Dia
diberi penghormatan sebagai PENGHIBUR TERBAIK di Malaysia. Baik di dalam
mahupun di luar negara bakat semulajadinya pasti menakjubkan penonton yang
berbagai-bagai ragam. Namanya terpahat kukuh di hati sanubari masyarakat tanpa
mengira bangsa. Lagu-lagu dendangannya seperti Basikal Tua, Anak Gembala, Balik
Kampung, Terasing, Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan lain-lain telah
menjadi siulan di kalangan anak-anak muda, malahan semua peringkat umur.
Namun
demikian, gelaran dan sanjungan tidak mudah membuat dirinya tenggelam dalam
khayalan. Sebaliknya, penghormatan dan pujian yang diberikan itu membuatkan
dirinya lebih tabah mengejar kejayaan yang lebih gemilang untuk hari muka.
Di
bidang akademik, dia telah membuktikan dirinya kini seorang
peguambela-peguamcara yang bertauliah, dia lebih berminat kepada bidang seni
walaupun bidang tersebut bukan cita-citanya yang asal. Itu semua dilakukan
olehnya semata-mata kerana mencari kelainan dalam hidup.
“Yang
penting bukan apa yang kita lakukan, tetapi bagaimana kita melakukannya.” Satu
saranan daripadanya.
“Setelah
lulus dalam jurusan undang-undang di universiti, saya menghadapi dilema untuk
memilih karier, iaitu antara peguam dengan penyanyi. Akhirnya saya memilih
bidang nyanyian kerana ia lebih sesuai dengan minat saya. Seorang peguam perlu
menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kes-kesnya. Bermakna, ia tidak dapat
disatukan dengan kehendak profesion seorang penyanyi.”
“Namun
mungkin satu hari nanti saya akan mempunyai firma guaman saya sendiri. Ijazah undang-undang
adalah suatu hadiah buat keluarga saya, lebih-lebih lagi arwah bapa saya. Bidang
nyanyian adalah jiwa saya.” Ujar Sudirman.
Demikian
kisah SUDIRMAN HAJI ARSHAD, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana
masyarakat sudah lama mengenalinya. Baginya dunia seni dan jiwanya ibarat irama
dan lagu, tidak dapat dipisahkan lagi. Malah, beberapa cabang seni yang lain,
termasuk menulis, mencipta lagu, melukis dan berlakon turut bertapak dan
mengalir dalam dirinya.
Dunia
seni diminatinya sejak kecil. Namun demikian, anak kecil dari pekan Temerloh
pada ketika itu hanya sekadar menjadi peminat kepada beberapa orang bintang
filem dan penyanyi yang dipujanya seperti Ahmad Jais, Rafeah Buang, Seniwati
Normadiah, Saadiah, Sarimah dan Allahyarham P. Ramlee.
Cerita
Sudir; “Penglibatan saya dalam bidang seni suara bermula dengan Pertandingan
Bintang RTM yang saya sertai pada tahun 1976. Saya tidak terlintas untuk
menjadikan bidang nyanyian sebagai satu profesion. Sebaliknya, penyertaan saya
itu hanya untuk suka-suka disamping mencari ‘rezeki tambahan’ setelah penat
memerah otak dengan buku-buku.”
“Malah
pendapatan saya melalui seni suara ketika saya menuntut, telah sedikit sebanyak
menampung perbelanjaan pelajaran saya semasa di universiti.” Ujarnya. Tetapi sejak
awal lagi, Sudirman telah menampakkan prestasi terbaiknya.
Kerana
hanya mahu menganggap nyanyian sebagai hobi, dia mengikat kontrak dengan sebuah
syarikat rakaman tempatan WARNADA dengan EP sulungnya ‘Teriring Doa’ sejurus
memenangi Bintang RTM. Tetapi pada tahun 1978, EMI telah ‘membeli’ penyanyi
yang berjaya menunjukkan kehebatannya, daripada syarikat awalnya. Dan sejak itu
dia tidak menoleh ke belakang lagi.
“Ketika
itu ramai juga yang mahu saya menarik diri daripada bidang nyanyian kerana
bimbang pelajaran saya kecundang. Tetapi saya sedar, segala sesuatu itu bermula
daripada hati sendiri. Kalau kita menyedari tanggungjawab kita, kita boleh
melakukan apa sahaja.” Katanya dengan bersungguh-sungguh.
Setelah
hampir 12 tahun melibatkan diri dalam bidang seni, beliau boleh berbangga
kerana telah menghasilkan 14 album yang berjaya kesemuanya. Dalam menempuh
pelbagai ranjau dan onak, Sudirman mula merasakan dia perlu melengkapkan diri
dengan ilmu kesenian, bukan sahaja sebagai penyanyi, malah lebih jauh daripada
itu.
Pada
tahun 1985, pihak TDC menamakan beliau sebagai ‘OFFICIAL SINGING AMBASSADOR OF
MALAYSIA’. Dan persembahannya di Australia telah menerbitkan semangat di
kalangan penonton Australia untuk sama-sama berdiri memberinya satu ‘standing
ovation’ sejurus selesai pertunjukannya. Ini satu penghormatan untuk seorang
penghibur.
Pada
tahun 1986, beliau mencatat sejarah dengan mengumpulkan lebih 100,000 penonton
untuk menyaksikan persembahannya di tengah Jalan Chow Kit; sebatang jalan yang
telah diabadikannya di dalam lagunya ‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’.
“Setiap
kejayaan adalah pendorong saya untuk berusaha dan bekerja lebih keras,” begitu
tegasnya.
Apakah
sebenarnya cita-cita Sudirman dalam bidang seni hingga tak mengenal erti penat
lelah?
Kata
Sudir: Keinginan mengarah filem bukanlah bermaksud untuk meniru jejak langkah
Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee.
Sudirman
baru sahaja pulang dari kontrak ‘showtime’ di sebuah kelab eksklusif di
Singapura. Dunia luar kian membuka mata terhadap kebolehannya. Dan baginya
perjuangan di dunia seni suara tiada penghujungnya. Seperti katanya; “Di bidang
ini, kita seperti seorang murid. Lagi jauh kita belajar, lagi banyak yang perlu
dipelajari.”
Mungkin
kerana prinsip yang dipegangnya ini yang selama ini yang telah mencipta banyak
lagu-lagu rakyat seperti Balik Kampung, Aku Penganggur, Chow Kit Road, Kesian
Dia, Penyu Menangis, Di Manakah Nilai Cintamu, Orang Muda, Baru Dapat Kerja dan
kira-kira 30 lagi setakat ini, mula menanam keyakinan dalam dirinya di bidang
penerbitan album pula.
Di
samping itu beliau telah membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau mampu
menubuhkan syarikat piring hitamnya sendiri di bawah nama SUDIRMAN PRODUCTIONS.
Atai, anak saudaranya dibimbing sebagai artis pertamanya. Dan album sulungnya
bertajuk SAHABAT yang diterbitkan oleh Sudirman adalah satu album yang segar
dan mendapat pasaran yang baik dikalangan peminat seni suara. Untuk masa-masa
akan datang. Lebih ramai penyanyi akan diambil dan fungsi syarikat tersebut
juga akan bertambah.
Beliau
juga telah menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Dari Dalam Sudirman’ melalui
syarikatnya SUDIRMAN ARTS. Dan buku komiknya ‘Sejarah Awal Sudirman’ bakal
menemui peminat-peminatnya.
Melihat
kepada semangat yang ada pada beliau, ramai peminat yang ingin tahu apakah
sebenarnya cita-cita Sudirman dalam bidang seni sehingga dia sanggup berusaha
dengan lebih gigih lagi dalam hidupnya tanpa mengenal erti penat lelah.
“Saya
mahu meneroka dunia perfileman, khususnya di bidang pengarahan filem pada suatu
masa nanti” Ujar Sudirman. Disebabkan cita-cita itulah, katanya dia kini sedang
bertungkus-lumus menceburi bidang penulisan yang dapat membantunya sebagai
persediaan ke arah pencapaian cita-citanya di samping menajamkan pemikirannya
untuk merancang sesuatu atau bertindak dengan lebih rasional serta bijak.
Sudirman
menghasilkan 60 bahan penulisan sebulan untuk kumpulan Karangkraf. Melalui penulisannya,
selain mewawancara para menteri, dia cuba membimbing para pelajar untuk
mengetahui selok-belok alam pelajaran yang telah dilaluinya. Tidak hairanlah
kalau Puan Azah Aziz, seorang wartawan lama yang ternama, isteri kepada Naib
Canselor Universiti Malaya Profesor Diraja Ungku Aziz menggelarkannya ‘wartawan
handalan’.
Tetapi
dalam hal ini, Sudirman enggan digelar ‘wartawan’. Sebaliknya cukuplah dia
dipanggil sebagai ‘penulis’ kerana baginya istilah ‘wartawan’ adalah terlalu
mahal. Sememangnya Sudirman suka merendah diri walaupun umum sudah sedia maklum
bahawa kelulusannya bukanlah calang-calang kelulusan.
“Sebagai
penulis, saya masih belajar. Bagi saya, penulis tidak pernah menjadi seorang
yang ‘terpandai’. Di samping itu, seorang penulis juga perlu sensitif terhadap
persekitarannya.” Jelas Sudirman apabila dirinya dikaitkan dengan bidang
penulisan yang diceburinya.
Sudirman
seterusnya menekankan, bidang penulisan yang diceburinya sekarang adalah
semata-mata sebagai latihan untuk melengkapkan dirinya sebelum meneroka bidang
pengarahan filem.
Katanya;
“Keinginan mengarah filem bukanlah bermaksud untuk meniru jejak langkah Seniman
Agung Allahyarham P. Ramlee. Beliau bapa seni dan seharusnya menjadi perangsang
bagi angkatan muda untuk terus memajukan bakat masing-masing di bidang ini. Dunia
seni di negara ini mempunyai masa depan yang cerah, jika para artis melibatkan
diri dalam bidang masing-masing dengan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar
mencari nama.”
Sudirman
memandang jauh ke hadapan. Dia ingin agar kerjaya seni di Malaysia setaraf
dengan bidang-bidang lain supaya masyarakat menghormati artis bukan sahaja
sebagai penghibur, malah juga sebagai insan yang dihormati dan disegani
masyarakat.
Sudirman
juga memuji tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membantu para artis dalam
usaha mengatasi masalah cetak rompak dan pelepasan cukai ke atas filem sebanyak
25 peratus. Tindakan tersebut membuktikan kerajaan telah mengikhtiraf dan
mengambil berat tentang dunia seni. Menurutnya segala ini diharapkan sebagai
tapak permulaan ke arah kecemerlangan dunia seni, kerana banyak lagi yang perlu
dilaksanakan.
Apabila
ditanya tentang isu pengangguran di kalangan para siswazah hari ini, Sudirman
berkata; “Kita tidak dapat mengelak hal ini. 20 tahun dulu pemegang sijil SRP
tiada pekerjaan. 15 tahun lalu, pemegang SPM. Kemudian STPM. Hari ini para
siswazah pula. Zaman bekerja ‘makan gaji’ dan berjawatan kolar putih telah
berakhir kerana telah ramai yang lulus terlebih dahulu. Kerana itu, kita tidak
seharusnya segan memegang cangkul atau melakukan apa jua yang tidak setaraf
dengan kelulusan kita. Soal berijazah, adalah soal kejayaan diri. Sepatutnya disiplin
diri yang sekian lama itu membuat kita lebih tabah dan berani menghadapi
kenyataan.” Tegas Sudirman mengakhiri perbualan.
Itulah
Sudirman! Baik menyanyi di TV, di kolej universiti, di stadium, di kelab
eksklusif, di kampung, di dalam atau di luar negara, disiplin diri dijadikan
sebagai pembendung utama yang amat dipatuhi untuk sekian lama demi menjadikan
beliau seorang artis yang pandai menyesuaikan diri sejajar dengan daya kreatif
yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Sememangnya
pengajian ijazah undang-undangnya tidak sia-sia. Inilah yang harus diteladani. Dengan
semangat ini, tidak mustahil sekiranya satu dunia akan dijadikan pentasnya.
Insya-Allah!
*Petikan
artikel tulisan Roslan Haji Ibrahim dalam majalah hiburan URTV terbitan 15
Januari 1988.
No comments:
Post a Comment