Akhirnya
Sudirman mengambil keputusan muktamad untuk menjadi penyanyi. Selama ini,
Sudirman berada di dalam dilema iaitu sama ada ingin menjadi penyanyi atau
peguam. Dengan pengumuman yang dibuatnya pada 16hb. Februari yang lalu,
hapuslah segala teka-teki yang tersebar di sana sini mengenai karier Sudirman
di masa depan.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa Sudirman berada di dalam situasi yang
membingungkan sebaik saja dia diterima sebagai peguam tidak lama dulu,
beratus-ratus pucuk surat diterima dan entah berpuluh-puluh kali panggilan
telefon untuknya dalam sehari, hanya semata-mata memberi pandangan mengenai
kariernya di masa depan. Ada yang memintanya untuk terus menjadi penyanyi dan
tidak kurang pula yang menaruh harapan agar Sudir menjadi peguam saja.
Kini
legalah segala keraguan di hati para peminat bila Sudir mengumumkan
keputusannya untuk terus bergiat dalam bidang seni suara. Tiada kekesalan di
hatinya kini dan tidurnya telah lena bila kerunsingan telah berlalu dari
jiwanya.
“Saya
telah menunaikan hasrat dan cita-cita Allahyarham ayah saya. Semasa hidupnya,
dia meminta saya menunaikan hasratnya untuk menjadi peguam dan saya kini telah
pun diikhtiraf sebagai peguam. Dan hari ini, saya membuat keputusan untuk terus
menyanyi sebagai menunaikan hasrat dan cita-cita saya di masa kecil dulu,”
jelas Sudirman dengan penuh yakin dengan keputusan yang dibuatnya itu.
“Penglibatan
saya selama tujuh tahun dalam dunia seni suara, memberi keyakinan pada diri
saya untuk terus maju. Dulu, memang dunia seni suara ini penuh dengan risiko
dan saya tabah menghadapi risiko tersebut. Ianya memberi dorongan dan kekuatan
pada diri saya.
“Kini
bidang seni suara bukan lagi risiko pada diri saya tetapi merupakan satu
perjuangan. Saya telah lama mengenali dunia seni ini malah tujuh tahun lalu
saya sentiasa berpijak sebelah kaki dalam dunia seni dan sebelah lagi dalam
dunia peguam. Sudah tiba masanya saya menggunakan kedua-dua belah kaki itu
untuk terus berjuang bagi memeriahkan lagi dunia seni suara tanah air ini,”
jelas Sudir lagi.
Dengan
pengumuman tersebut, Sudirman sudah tidak ragu-ragu lagi untuk melangkah dan
terus melangkah dalam dunia hiburan tanah air. Malah pengorbanan yang
dibuatnya, tidak kurang mendapat tentangan dari setengah golongan. Sudah tentu
ada yang mengatakan keputusan Sudir untuk menjadi penyanyi adalah keputusan
bodoh dan sia-sia, namun Sudir lebih arif dengan langkah yang diambilnya itu.
Sudir
ingin menjadi penghibur dan kini sudah mempunyai syarikatnya sendiri iaitu “Sudirman
Production” yang bertujuan untuk menguruskan segala kredibiliti Sudir dalam
sesuatu pertunjukan termasuk hiasan pentas. Sementara Mike Berney masih menjadi
pengurus kepada Sudirman di dalam hal mendapatkan konteks untuk pertunjukan di
dalam dan di luar negeri.
Semoga
Sudirman akan terus gigih mendaki hingga ke puncak kejayaan sebagai seorang
penghibur. Selama hari ini tidak siapa yang menafikan akan daya kreatif Sudir
dalam dunia seni. Sudir sentiasa membuat idea bagi memberi kepuasan kepada para
peminat dan belum ada kedengaran keluhan dan perasaan tidak puas hati akan
persembahannya.
*Petikan "Cover Story” SUDIRMAN AMBIL KEPUTUSAN dalam majalah hiburan URTV terbitan 1
Mac 1984 oleh Norbaya Musa.
No comments:
Post a Comment