Antara ucapan yang pernah dikirimkan oleh Allahyarham Sudirman kepada Kak Chah (Habsah Hassan).
Sesungguhnya
tiada siapa tahu pemergian penyanyi terkenal tanah air, Allahyarham Sudirman
Haji Arshad sedekad yang lalu sebenarnya meninggalkan banyak kenangan dan
hajatnya yang tidak kesampaian.
Apa
yang amat menyedihkan ialah di ketika saat Sudirman mengalami sakit tenat,
masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab memburuk-burukkannya. Malah sewaktu
Sudirman menghembuskan nafas yang terakhir pun, khabar negatif itu masih terus
kedengaran.
Akhirnya
Sudirman pergi meninggalkan seribu satu persoalan dan hajat yang tidak tertunai.
Dan hingga kini semua hajat dan persoalan itu tiada siapa mampu memberikan
jawapannya melainkan seorang teman akrabnya iaitu Habsah Hassan atau lebih
mesra dengan panggilan Kak Chah. Hanya Kak Chah yang lebih banyak mengetahui
rahsia Sudirman.
Sedekad
sudah berlalu, namun nama Allahyarham Sudirman masih terpahat diingatan
peminat. Bagaikan terbayang-bayang aksi ligatnya di pentas. Dia
berpusing-pusing seperti gasing, dia mengibarkan bendera lambang patriotik.
Gurau senda dan gelak tawanya seiring dengan lagu-lagunya yang membangkitkan
nostalgia.
Namun
tiada siapa tahu tangis di hatinya. Hingga menutup mata, Sudirman meninggalkan
seribu satu persoalan yang sehingga kini tidak menemukan jawapan.
Apa
sahaja yang dikaitkan dengan Sudirman mengundang perhatian orang. Kisah
percintaan, perkahwinan waima perceraiannya menjadi buruan berita. Tidak
termasuk kejayaan-kejayaan yang diraih lewat kerjayanya sebagai anak seni.
Barangkali
tidak ramai yang tahu, Sudirman pergi membawa hajat yang tidak tertunai. Salah
seorang rakan yang rapat dengan Sudirman mengakui hakikat ini. Puan Habsah
Hassan atau Kak Chah berkata, Sudirman pernah menyuarakan kekecewaan hatinya
akibat tohmah yang dilemparkan kepadanya.
“Sudir
kecewa dan sedih terhadap khabar angin yang melanda dirinya. Walaupun dalam
keadaannya yang sakit tenat, masih ada yang sanggup memburuk-burukkan Sudir.
Padahal ramai yang tidak tahu keadaan sebenar Sudir. Namun Sudir tetap bersabar
dan tabah menghadapinya. Bagi Sudir, biarlah Allah sahaja yang membuktikan
kebenarannya,” kata Kak Chah.
Bercakap
pasal Sudir, hati Kak Chah mudah tersentuh. Ini berdasarkan hubungan rapat
mereka berdua. Kak Chah mengenali Sudir melalui produser Din Osman dari Warnada
Records. Kak Chah diberi peluang mencipta lirik lagu ‘Terasing’ ciptaan Manan
Ngah.
“Lagu
itulah yang telah mengeratkan hubungan kami. Sebelum itu, Kak Chah ada juga
tulis lirik untuk dua lagu dalam EP pertama Allahyarham iaitu lagu ‘Teriring
Doa’ dan ‘Suratku Yang Ini’. Tapi lagu ‘Terasing’lah yang telah merapatkan
hubungan kami. Katanya, saya dapat memahami perasaannya kerana lirik ‘Terasing’
dekat dengan kehidupannya,” tambah Kak Chah lagi.
Sebagai
orang yang dianggap kakak, Sudir sering meluahkan, berkongsi rasa gembira dan
sedihnya dengan Kak Chah. Rentetan suka-duka inilah yang Kak Chah garap
menerusi lirik lagu dendangan Sudir. Maka lahirlah lagu-lagu seperti ‘Salam
Terakhir’ yang cukup memberi makna sepanjang Sudir menjadi anak seni.
Secara
peribadi Kak Chah menganggap Sudir sebagai insan berhati lembut dan perasaannya
mudah terguris. Namun segala kekecewaan yang dialami sekadar dipendamkan
sahaja. Sudir tidak pernah mengambil tindakan terhadap mereka yang melemparkan
tohmahan buruk kepadanya, hanya dipendamkan sahaja keinginannya itu.
“Sebagai
manusia, saya berdoa agar sesiapa yang pernah menyebarkan teori terhadap Sudir
diampunkan Allah. Saya menyaksikan sendiri penyakit misteri Sudir dan saya
kesal atas tuduhan yang dilemparkan kepadanya.”
“Sebenarnya
Sudir ingin tahu dari mana datangnya khabar angin itu. Dia kecil hati dan
tenggelam dalam kekecewaan hidupnya. Namun dia jadikan pengalaman itu sebagai
motivasi untuk kariernya. Buktinya Sudir meninggalkan impak yang tinggi dan
jejak yang berkesan terhadap dunia seni tanah air.”
Kak
Chah menyifatkan Sudir sebagai penghibur yang berjiwa rakyat. “Dia memahami
kehendak penonton selain ciri-ciri istimewanya yang penyayang, mudah tersenyum,
baik hati dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya. Namun dalam
pada itu, dia juga sensitif,” jelas Kak Chah yang hampir 15 tahun mengenali
Allahyarham.
Kak
Chah juga masih tidak melupakan kali terakhir menatap wajah Sudir. “Sewaktu
Allahyarham meninggal dunia, wajahnya tenang saja. Raut wajahnya seperti bayi
baru lahir, bersih. Suami saya turut membantu menguruskan jenazahnya. Melihat
jenazah Sudir bertambah sayu hati Kak Chah.
*Petikan akhbar BACARIA 'Sedekad Pemergian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad' terbitan 22 Februari 2002.
No comments:
Post a Comment