Sunday, January 23, 2011

Tribute To Asia's No.1 Performer

(25 Mei 1954 - 22 Februari 1992)

Blog ini dibina khusus untuk mengimbau kembali nostalgia perjuangan seni Penghibur No.1 Asia Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sehingga kini kekal menjadi khazanah yang cukup berharga buat negara kerana bakatnya yang tiada tolok bandingnya. Bak kata pepatah melayu "Patah Tumbuh Hilang Berganti" namun sehingga kini pemergian Sudirman di usia muda masih belum berpengganti. Tiada artis kini yang mampu menyaingi kehebatan Sudirman sebagai seorang Penghibur Sejati. Tanggal 22 Februari setiap tahun pasti kekal terpahat di memori setiap individu yang mengenali Sudirman sebagai tarikh yang memilukan apabila mengimbau kembali detik pemergian sebutir "Permata Seni" yang tiada galang gantinya. Hampir 19 tahun kita kehilangannya, namun jasa yang dicurahkannya tetap akan dikenang sampai bila-bila. Terimalah Tribute dari saya salah seorang dari ribuan peminat setia Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Saya bergambar kenangan bersama
Datin Rodziah & Habsah Hassan

Sudirman Dalam Kenangan

Saya merupakan salah seorang daripada ribuan peminat setia Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad Penghibur No.1 Asia. Saya mula meminati beliau bukan ketika hayatnya tetapi setelah dia pergi meninggalkan kita semua. Sewaktu zaman kegemilangannya di era 80-an saya secara peribadi tidak langsung mengenali beliau kerana sewaktu itu saya masih terlalu muda & mentah, masih kanak-kanak. Bayangkanlah sewaktu beliau meninggal dunia pada tanggal 22 Februari 1992 saya baru berusia 8 tahun. Apa yang masih kekal diingatan saya pada tahun 1990 sewaktu berusia 6 tahun saya pernah minum minuman tin berkarbonat jenama SUDI & pernah juga menonton Sudirman dalam rancangan Mekar Sejambak menyanyikan lagu Hidup Di Kota. Selepas daripada itu samar-samar dalam ingatan kedengaran berita tentang Sudirman menghidap penyakit misteri & meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

Mula terdetiknya minat saya atau kekaguman saya kepada Arwah Sudirman adalah sewaktu awal remaja sekitar tahun 1997. Terima kasih saya ucapkan pada kakak saya yang begitu obses dengan dunia hiburan & rajin melanggan Majalah URTV sejak tahun 1980-an lagi sehingga kini. Saya mula kenal Arwah Sudirman melalui pembacaan di Majalah URTV kerana sewaktu zaman kegemilangannya banyak cerita-cerita berkisar perjalanan seninya disiarkan dipaparan URTV. Kebanyakan wawancara di URTV adalah antara Sudirman & Kak BAM (Bekas Pengarang URTV). Sudirman turut mempunyai ruangan khas di URTV iaitu Teringat-Ingat. Melalui ruangan Teringat-Ingat Sudirman menceritakan perjalanan seninya dengan cukup kreatif iaitu menerusi lakaran kartun.

Apa yang membuatkan saya berasa kagum dengan Arwah Sudirman adalah kerana bakatnya bukan hanya sekadar sebagai seorang penyanyi tetapi beliau juga merupakan seorang Penghibur yang serba boleh sebagai peguam, penulis, pelukis, pelakon, penulis lirik, usahawan pendek kata seorang Penghibur yang versatile. Saya juga turut kagum dengan semangat patriotik beliau yang cukup tinggi sehingga tidak pernah ketinggalan mengenakan baju bendera & menyanyikan lagu patriotik di setiap show yang pernah dihoskannya. Arwah Sudirman juga merupakan seorang Penghibur yang cukup perihatin dengan keadaan sekeliling masyarakat Malaysia ketika itu, maka lahirlah banyak lagu-lagu yang berunsur kemasyarakatan seperti Chow Kit Road, Aku Penganggur, Balik Kampung, Aku Budak Kampung, Anak Gembala & sebagainya. 

Bakat lakonan Arwah Sudirman juga turut terserlah melalui filem pertama & terakhir beliau iaitu "Kami". Walaupun itu merupakan filem pertama lakonannya, beliau kelihatan tidak kekok melakonkan watak Tookoo yang cukup meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa yang menontonnya. Filem "Kami" kekal menjadi filem klasik walaupun tidak mendapat sambutan sewaktu ianya mula dihasilkan. Sudirman juga pernah bercita-cita untuk menjadi pengarah filem & pernah mengambil kursus perfileman di luar negara, tetapi sayangnya hajatnya itu tidak kesampaian.

Secara peribadi saya melihat Arwah Sudirman merupakan seorang yang cukup sederhana, peramah & murah dengan senyuman. Apabila menonton rakaman konsertnya saya berasa cukup kagum dengan cara dia yang pandai mengusik peminat yang terdiri dari pelbagai bilang bangsa khususnya Melayu, Cina & India. Pasti bertuah sesiapa yang pernah bersahabat & bekerja dengan Arwah Sudirman & mungkin pengalaman mereka itu merupakan pengalaman manis yang tak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Saya secara peribadi sehingga kini masih menyimpan segala koleksi berkaitan Arwah Sudirman. Antara yang menjadi koleksi peribadi adalah keratan majalah, surat khabar, Kaset, Piring Hitam, CD, VCD Konsert termasuk rakaman di TV serta buku "Dari Dalam Sudirman" & komik "Sejarah Awal Sudirman" yang menjadi koleksi cukup berharga buat saya. Tidak ketinggalan saban tahun menjelang tarikh 22 Februari saya pasti mendapatkan surat khabar yang ada termuat cerita mengenai Arwah Sudirman & tidak lupa juga untuk mendoakan kesejahteraan buat Arwah Sudirman.

Sehingga kini saya lihat tidak ada seorang pun artis yang mampu menyaingi bakat seorang Penghibur Sejati yang dimiliki oleh Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad. Beliau kekal menjadi lagenda & khazanah negara yang sukar dicari ganti seperti juga Seniman Agong Negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Akhir kata dari saya, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau di sana & semoga Rohnya dicucuri Rahmat & ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman & beramal soleh, Al-Fatihah.

Dedikasi Oleh:
Ramlan bin Md Isa (Peminat Setia Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad)
Antara koleksi Sudirman dalam simpanan saya


Profil Datuk Sudirman Haji Arshad (L.L.B. (Hons), A.M.N., A.M.P., J.M.N., D.S.A.P.)

Datuk Sudirman Haji Arshad dilahirkan di Temerloh Pahang, pada 25 Mei 1954 (meninggal dunia pada 22 Februari 1992). Dikenali sebagai penyanyi dan penghibur selain penulis lagu. Beliau juga turut diberikan jolokan sebagai Penyanyi Peguam, Penyanyi Rakyat dan Elvis Malaysia. Anak bongsu daripada tujuh beradik oleh pasangan Haji Arshad Hassan dan Ramlah Dahlan. Allahyarham ibunya adalah wakil rakyat wanita pertama di Pahang ketika tahun 1950-an. Sudirman amat meminati nyanyian dan sebagai penghibur sejak usia muda lagi apabila adik beradik dan jiran-jirannya gembira serta terhibur dengan aksi yang ditunjukkannya.


Dia menolak tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Sebaliknya, Sudirman memilih pengajian undang-undang dan berjaya memperolehi ijazah dalam bidang pilihannya itu di Universiti Malaya. Beliau berkahwin dengan Kamariah Jamaluddin pada 1981 tetapi bercerai tiga tahun kemudiannya. Tiga lagu nyanyiannya, Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan Salam Terakhir meletakkan Sudirman sebagai penyanyi amat popular di dikalangan peminat muzik di Malaysia, Brunei dan Indonesia. Penulis lagu yang banyak memberi sokongan padanya termasuklah S. Atan, Manan Ngah, Michael Veerapan dan Syed Harun.

Pemuzik yang sering mengiringi persembahannya ialah Alex Boon, Jay Jay, Hillary, Mac Chew dan Jenny Chin. Tiga wanita yang mengirinya persembahannya sebagai penari dikenali sebagai The Girls ialah Joanne (kini isteri kepada penyanyi, Zainal Abidin), Samantha Schubert dan Linda Jasmine Hashim (yang kini menjadi koreografer untuk program Akademi Fantasia).

Walaupun menjadi penyanyi dan penghibur disegani, tetapi persembahan Sudirman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat bantahan daripada kumpulan pelajar Islam di universiti berkenaan. Konsert itu yang diadakan bertujuan untuk ‘menghidupkan suasana UKM yang sepi’ diteruskan dalam dewan besar. Ironinya, beberapa tahun selepas penyanyi itu meninggal dunia, UKM menganjurkan pertandingan karaoke lagu-lagu nyanyian Sudirman.

Sudirman pernah menerbitkan album untuk anak saudara kesayangannya, Razman Azrai atau Atai di bawah label Sudirman Productions. Pada April 1983, Sudirman menyanyikan lagu khas untuk Puan Sri Saloma berjudul Mama. Saloma, sebelum meninggal dunia, macam tidak percaya apabila Sudirman membuatkan lagu itu istimewa untuk beliau.



Pada 15 April 1986, Sudirman mengadakan konsert terbuka di Jalan Chow Kit. Ia adalah konsert pertama diadakan di sebatang jalan terbuka dan disaksikan kira-kira 100,000 orang. Persembahan pada malam Isnin itu menyebabkan kesesakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda hingga Jalan Raja Alang. Ramai yang pengsan, kebanyakannya sesak nafas kerana berhimpit-himpit untuk menyaksikan konsert itu. Sebuah akhbar Inggeris melaporkan, keadaan di Kuala Lumpur menjadi hingar bingar bukan disebabkan pengangguran tetapi kerana lelaki yang seorang ini, penghibur nombor satu Malaysia, yang menampilkan persembahan bertenaga dan pasti diingati selamanya.

Pada 1989, Sudirman memenangi gelaran Penghibur Terbaik pada pertandingan Anugerah Muzik Asia di Royal Albert Hall, London. Pertandingan itu turut disertai oleh penyanyi terbaik dari Asia seperti Leslie Cheung mewakili Hong Kong, Anita Sarawak (Singapura), Epo (Jepun) dan penyanyi jazz terkenal Filipina, Kuh Ledesma. Selain menyanyi dan menjadi penulis, Sudirman juga berlakon dalam filem Kami pada 1982. Ia menceritakan dua anak yatim yang hidup sebagai anak jalanan di Kuala Lumpur. Lagu ini memuatkan sound track lagu Pelangi Petang yang menjadi malar segar hingga hari ini.

Sudirman juga pernah menjadi pengacara gameshow untuk sebuah program TV iaitu Keluarga Bahagia Singer. Sudirman Arshad menjadi penyanyi Malaysia pertama yang ditonjolkan sebagai seorang usahawan berjaya menerusi minuman ringan yang menggunakan jenama Sudi. Produk itu menjadi popular menyebabkan dia sering diundang untuk ditemubual dalam majalah perniagaan dan program TV dari Australia hingga Hong Kong. Dalam tempoh lima bulan, jenama Sudi sudah menguasai lima peratus pasaran minuman berkarbonat. Sudirman kemudian membuka francais pakaian iaitu Sudi Shoppe dan restoran Sudi. Dia juga menjadi penyanyi Malaysia pertama menjadi penghias kulit muka depan majalah Malaysian Business dan Asian Business.

Sudirman dipilih sebagai Duta Nyanyian Malaysia oleh Lembaga Pembangunan Pelancongan Malaysia (MTDC). Sebagai duta, dia menyanyikan lagu khas MTSC iaitu To know Malaysia is to love Malaysia yang dicipta oleh penyanyi dan pemuzik Amerika yang pernah mendapat pencalonan untuk anugerah Emmy, Grammy dan Oscar iaitu Carol Connors. Wartawan hiburan Singapura menggambarkan Sudirman sebagai Penyanyi Dinamik. Sementara itu, Simon Napier-Bell iaitu pengurus penyanyi antarabangsa, George Michael dan kumpulan Wham! merujuk Sudirman sebagai ‘institusi industri muzik Malaysia’.

Di atas sumbangannya kepada bangsa dan negara, Sudirman dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1988, Ahli Mahkota Pahang (daripada Sultan Pahang pada 1990), Johan Mangku Negara (daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1992) dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober 2009.