Friday, December 9, 2011

Gua.com: Siti Nurhaliza Kenang Sudirman Di AJL 26?


Wow! Memanglah tarikh untuk majlis Anugerah Juara Lagu 26 masih jauh lagi, ada lebih kurang sebulan setengah lagi. Namun, GUA dengar penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza telah pun dirisik untuk terlibat menjayakan satu segmen bagi mengenang Penghibur Nombor Satu Asia, Datuk Sudirman Haji Arshad di malam anugerah tersebut.

Kalau betullah apa yang GUA dengar ini, memang pasti GUA antara orang yang akan gembira sekali kerana segmen membawakan lagu-lagu popular Sudirman pastinya mengimbau kenangan kita kepada penghibur itu.

Walaupun telah meninggalkan kita lebih 20 tahun, namanya masih segar terpahat dalam setiap hati rakyat Malaysia dan tidak salahnya kalau pihak produksi AJL kali ini mengiktiraf sumbangan Allahyarham.

Tidak ada penyanyi yang lebih layak selain Siti untuk mengemudi segmen tersebut kerana kita semua tahu akan karisma dan kredibiliti penyanyi nombor satu negara itu. Siti juga pernah menjayakan Konsert Salam Terakhir yang berlangsung di Istana Budaya beberapa tahun yang lalu.

Agak-agak, lagu apa yang anda ingin saksikan disampaikan oleh Siti ya?


Siti Nurhaliza sewaktu menjayakan Konsert mengenang
Sudirman pada tahun 2002 di Istana Budaya

Wednesday, November 30, 2011

Pemergian Sudirman Bukan Kerana AIDS

Jenazah Allahyarham Sudirman dibawa untuk disemadikan pada
22 Februari 1992.

SELEPAS hampir tujuh bulan bersembunyi hingga mencetuskan pelbagai tanda tanya, misteri kehilangan Penghibur No. 1 Asia 1989, Sudirman Haji Arshad, 37, akhirnya terungkai apabila beliau meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi. 

Allahyarham sebelum itu disembunyikan ahli keluarganya atas alasan mahu menjalani rawatan selepas jatuh sakit pada Ogos 1991 hingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak, terutama rakan artis dan peminat setianya.

Kebanyakannya menganggap tidak wajar keadaan sebenar Sudirman disembunyikan kerana beliau adalah penyanyi yang mempunyai ramai peminat, malah masyarakat perlu tahu perkembangan kesihatannya selepas dilaporkan sakit sebelum itu. 


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Baharuddin Omar, ketika itu dipetik sebagai berkata, sudah sampai masanya keluarga Sudirman mengumumkan keadaan penyanyi itu kerana beliau adalah penghibur nasional. 

“Mereka tidak boleh anggap Sudirman sebagai hak keluarga saja kerana Sudirman adalah penyanyi yang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Adalah lebih baik mereka mengumumkan daripada membiarkan cerita yang bukan-bukan mengenai penyanyi itu berleluasa," katanya. 

Noorkumalasari pula tidak menafikan mendengar pelbagai cerita mengenai rakan karibnya itu, malah ada yang bercerita kononnya beliau terkena buatan orang, dengan tangannya bengkok, tangannya terbelit dan matanya terbeliak.

“Saya sudah tidak kuasa mendengar selagi saya tidak melihat sendiri, saya tidak akan percaya semua cerita itu. Sekarang, saya sudah bosan mendengar khabar angin mengenai Sudirman. Saya hanya akan percaya kalau cerita itu saya dengar daripada keluarganya," katanya.

Beliau juga kesal kerana keluarga Sudirman bertindak mendiamkan diri hingga menimbulkan pelbagai khabar angin, termasuk dakwaan kononnya beliau menghidap Aids sehinggalah kematiannya disahkan berpunca dari penyakit radang paru-paru atau (pneumonia).

Keluarga Sudirman dipercayai menyembunyikan penyanyi itu, termasuk merahsiakan jenis penyakit dan punca sebenar kematian beliau kerana tidak mahu peminat bersedih kerana bimbangkan kesukaran peminat untuk menerima hakikat keadaannya yang sangat menyedihkan.

Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap Aids, tetapi mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan Sudirman, Habsah Hassan, dalam satu temubual bersama Berita Harian, dipetik sebagai berkata, memang warisnya tidak mahu mendedahkan keadaan sebenar beliau ketika itu kerana keadaannya cukup menyedihkan.

“Masyarakat Malaysia memang biasa melihat arwah dalam keadaan ceria dan `cute’ tetapi menjelang detik kematiannya, keadaan beliau cukup menyedihkan. Itulah sebabnya mereka (keluarga) menyembunyikan beliau sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Beliau berkata, penyanyi itu disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna tetapi terdapat punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana ketika itu, arwah sedang menghadapi pelbagai perkara aneh.

“Mungkin juga ajalnya sudah sampai. Bagaimanapun, Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya yang menulis lebih 20 lirik lagu untuk penyanyi itu.

Sementara itu, jenazah Sudirman selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Paya Dalam, Temerloh, dengan dihadiri 1,000 orang termasuk ahli keluarga dan rakan artis, selain peminat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Petikan: Misteri 'kehilangan' Sudirman terungkai Oleh Hardi Effendi Yaacob


Wednesday, November 9, 2011

Pertemuan Uji Rashid dengan Kakak Sudirman

Uji Rashid & Datin Rodziah bergambar kenangan

Seringkali Uji Rashid menyatakan hasratnya kepada BAM, ingin menemui Puan Rodziah (Emak Atai) - kakak arwah Sudir. Entah mengapa... mungkin kerana mimpinya dulu... sebelum Sudir meninggal dunia.

Bila BAM sampaikan hasrat Uji kepada Rodziah, beliau hanya tersenyum semacam punya makna yang tidak dapat BAM mengertikan. Sejenak itu Rodziah menjawab: "Saya pun teringin nak jumpa Uji Rashid. Kerana arwah Diman pun selalu bercerita pasal dia... orangnya lemah-lembut dan berbudi bahasa. Saya pula meminati Uji Rashid setelah menonton filem lakonannya "Permintaan Terakhir". Begitulah kata Rodziah.

Tibalah pada hari yang dijanjikan. Sememangnya suatu pertemuan yang penuh bermakna dan akan menjadi kenangan selama hidup, bagi Uji, bagi Rodziah dan bagi BAM sendiri yang sering menyaksikan berbagai peristiwa hidup artis.

Pertemuan yang dimulakan dengan perbualan biasa, tiba-tiba bertukar suasana menjadi hiba... sedih dan sayu... bila Rodziah membawa kami melihat suatu sudut di rumahnya... di situlah terletak barang-barang peninggalan Sudir... gambar-gambarnya bermacam aksi berukuran kecil dan besar... kini menjadi perhiasan yang menyayat perasaan siapa saja yang menatapnya.

Deraian air mata kami semua tidak dapat ditahan-tahan lagi. Kini hanya khazanahnya saja yang tinggal menjadi kenangan abadi, songkoknya, topinya, puluhan pasang baju Melayunya dan tulisannya ada di mana-mana... sebak hati melihat semuanya ini.

Uji menyatakan perasaan kesalnya tidak dapat menemui Sudir dan memenuhi hajat Sudir. Sebelum Sudir jatuh sakit di bulan Julai 1991, kira-kira bulan Mei hingga Jun, Sudir menelefon BAM hingga berkali-kali; "Di mana nak cari Uji Rashid?"

"Uji tidak tinggal di Jalan Dua Ampang Jaya lagi. Dia tinggal di Taman Rasmi Jaya, Ampang. Carilah dia di sana. Tak ada telefon di rumahnya. Sudir pergilah ke rumahnya," ujar BAM sambil memberikan alamat lengkap rumah Uji.

Sudut yang menempatkan barangan peninggalan Sudir

Beberapa hari kemudian, Sudir beritahu BAM lagi, dia tak dapat jumpa Uji, "Uji tak ada di rumah. Dah tinggal pesan, tapi senyap," kata Sudir.

Uji terus tak dapat dikesan. Lama kemudian barulah diketahui semasa Sudir mencarinya, Uji berada di luar Kuala Lumpur kerana shooting drama swasta. Sempat juga BAM tanya Sudir, mengapa dia sibuk mencari Uji? 

Jawabnya; " Nak suruh Uji menyanyi semula. Suaranya yang manja dan lemak merdu itu memang penyanyi lain tak boleh tiru. Kan bagus bikin album terus, jangan berhenti menyanyi.

Lalu BAM ceritakan kepada Sudir, Uji memanglah suka menyanyi, tapi tak ada tawaran buat album baru, bukan kerana dia tak mahu menyanyi lagi. Rupanya ketika itu Sudir mahu menjadi penerbit album, setelah dia berjaya menerbitkan album Atai "SAHABAT" yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Tapi Sudir mahu Atai menjadi orang terpelajar dulu.

Uji juga terkilan sangat, tak dapat menziarahi Sudir selama Sudir sakit. Apa nak dikatakan, sememangnya Sudir tidak mahu kawan-kawan menangis kerananya. Keluarga terpaksa patuh kepada permintaannya. Dia tidak mahu diziarahi oleh kawan-kawan dan sesiapa pun jua.

Dalam pertemuan yang penuh mesra, sebak dan sayu petang itu, Rodziah masih belum dapat melupakan adik kesayangannya itu, bagaikan belum boleh menerima kenyataan bahawa orang yang disayang telahpun pergi buat selama-lamanya.

Kata Rodziah bercerita: "Apa saja yang saya buat semuanya saya teringatkan dia. Kekadang sambil memandu kereta pun saya menangis teringatkan dia dah tak ada lagi. Pernah saya menjerit memanggil namanya semata-mata untuk melepaskan perasaan sedih saya. Hinggakan bila sedang memasak pun saya boleh menangis bila teringatkan lauk-lauk yang menjadi kesukaannya. Entahlah, saya belum dapat melupakannya lagi. Suami saya pun risau melihat keadaan diri saya, hingga dia menyuruh saya berbuat sesuatu... main golf! agar saya tidak melayani perasaan sedih yang keterlaluan..." Begitulah cerita Rodziah.

Di akhir pertemuan, Uji sempat membisikkan ke telinga kakak Sudir "Kak Rodziah, redhakanlah pemergiannya. Dia bahagia di sana!"

AL-FATIHAH BUAT SUDIRMAN HAJI ARSHAD.


Serasa begitu mesra layanan yang diberikan oleh Puan Rodziah terhadap kunjungan kami. Sayang sekali tak dapat bertemu Atai yang telah pulang ke Kuantan meneruskan persekolahannya di sana. Menurut ibunya, Atai akan meneruskan pengajiannya ke peringkat tertinggi di seberang laut pada pertengahan tahun ini. Sementara kakak Atai, Era kini sedang menuntut di England. Dan abang Atai yang tua, Adam baru saja mendirikan rumahtangga. Kerana itu Rodziah, ibu Atai begitu sunyi...

Petang itu kami disajikan dengan minuman petang yang istimewa - Popia, cheese kek dan puding nangka. Puan Rodziah tersenyum malu bila BAM tanyakan resepi puding nangkanya. "Untuknya peminat-peminat arwah Sudir, boleh buat untuk berbuka puasa," ujar BAM.

Beliau tidak keberatan, terus menulis resepinya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Rodziah.

Petikan: Artikel URTV keluaran 1 Mac 1993 oleh BAM.

Monday, November 7, 2011

Tun Dr. Mahathir Sumber Inspirasi Sudirman

Sudirman tekun membaca buku biografi
"Mahathir Great Malaysian Hero"

SAYA telah ditanya; "Kenapa Sudir suka Mahathir?" Lalu saya catatkan jawapan saya. Tetapi sebelum apa-apa ingin saya jelaskan bahawasanya di sini saya bukanlah membicarakan hal politik dan saya bukan penyokong ahli kepada mana-mana parti, baik UMNO, PAS dan mahupun apa jua. Malah sebagai penghibur saya memprinsipkan diri untuk tidak bercerita tentang hal agama, politik, seks, dadah dan peribadi orang lain. Justeru itu, catatan ini sekadar pandangan saya terhadap soalan yang dimajukan dan saya terangkan semudah-mudahnya.
 
 Sudir bergaya dengan T-Shirt 'Mahathir'

Sebenarnya, Perdana Menteri (PM) merupakan sumber inspirasi segala pencapaian kerjaya saya selama ini. Dan inspirasi ini saya sandarkan kepada tiga aspek mudah yang saya lihat tersemat dalam perjuangan Dr. Mahathir. Tiga aspek itu ialah:

* 'Vision' atau pandangan jauh ke depan yang menuju ke suatu matlamat,
* Perancangan yang bijak dan usaha yang gigih sebagai daya penggerak, serta
* Kesabaran dan ketegasan sebagai benteng perjuangan.

Berbekalkan tiga aspek ini, setiap perjuangan pasti mudah berjaya. Dan kejayaannya bukan sedikit kerana kejayaan itu menjadi suatu proses tindakan yang berangkai-rangkai. Setiap 'vision' akan menambahkan seribu 'vision'; setiap usaha akan menambahkan potensi kemajuan; senjata semangat pula akan meniupkan suatu perjuangan.

Dan semua ini saya jadikan etika bekerja saya. Caranya samalah seperti menanam benih dengan banyak sekali. Ada benih mengambil masa sehari untuk tumbuh, ada memakan masa seminggu, dan ada yang sampai sebulan, setahun dan bertahun-tahun. Pokoknya, semua benih itu akan tumbuh, dan apabila ia tumbuh hasilnya pasti tersangat lumayan sekali. Dan inilah Perdana Menteri kita! Apakah yang mahu dilakukan oleh Dr. Mahathir dari kaca mata saya? Juga saya dapati tiga aspek;

* Keharmonian rakyat,
* Kestabilan dan kemajuan ekonomi, dan
* Kecemerlangan antarabangsa.


Pertama; Aspek keharmonian rakyat, Dr. Mahathir sering mengimbangi kepentingan pelbagai kaum dalam perancangannya sejajar dengan kehendak perlembagaan negara. Dr. Mahathir juga sensitif terhadap masalah rakyat. Setiap isu yang timbul di kalangan rakyat pasti mendapat pandangan dan nasihatnya. Baik isu kafir-mengkafir, masalah pekerja kilang, masalah tindakan bank terhadap peminjam, masalah kenaikan harga barang atau nasihat tentang perniagaan malah apa saja, semuanya dijelaskan secara terperinci untuk membimbing rakyat ke arah kemakmuran. Boleh dikatakan Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri yang paling terbuka dan sensitif terhadap masalah rakyat. Rakyat sering didampinginya tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Sejajar dengan sifat seorang pemimpin ulung.

Kedua; Aspek kemajuan ekonomi. Penyatuan waktu Sabah, Sarawak dan semenanjung, perkenalan sistem "Punch Card" dan penggunaan masa dengan bijak merupakan tunjang awal perjuangannya sebagai Perdana Menteri. Satu revolusi sedang diaturkan. Dasar pandang ke timur menjadi suatu inspirasi terhadap intisari atau 'substance' yang mahu difokuskan. Lebih-lebih lagi dalam etika bekerja, kerajinan dan prinsip bersih, cekap & amanah menjadi tunjang. Kemudian 'Kepimpinan Melalui Teladan' berdasarkan rapatnya hubungan diantara majikan dengan pekerja di negara Jepun.

Kemudian penswastaan, dan dengan itu lahirlah 'Pensyarikatan Malaysia' yang sudah mula menampakkan hasilnya. Selain itu, negara di bawa ke arah perindustrian dan lahirlah 'Proton Saga' yang telah menjadi kebanggaan negara. Namun usaha perjuangan yang paling rapat dijiwanya ialah perjuangan bangsa Melayu itu sendiri. Dr. Mahathir tidak mahu bangsa Melayu bermegah di dalam tanah air sendiri yang kemewahannya adalah milik orang lain. Dari bukunya "The Malay Dilemma" hingga ke "Challenger" masalah orang Melayu menjadi dakwatnya. Nilai-nilai hidup mula bertukar ke arah matlamat yang lebih positif. Suatu revolusi mental berlaku tanpa disedari.

Dan ini membawa kepada aspek ketiga; Dr. Mahathir mahu tanah air didarjatkan di mata dunia. Baik masalah EEC, Aparteid, dadah, pelarian Vietnam mahupun masalah dunia ketiga, didebatkannya dengan suara yang lantang dan pemikiran yang terjadi?

Ini membibitkan rasa hormat negara luar kepada negara kita. Sehingga Dr. Mahathir mendapat gelaran 'Wira Dunia Ketiga' . Saya amat berbangga. Sebagai seorang individu, selain merupakan seorang 'Workaholic' yang mempunyai 'vision' yang jelas, Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang tahu apa yang mahu dilakukannya dan apa yang diperlukan negara.

Caranya bijak, tangkas, bernas dan lojik. Caranya adalah terbaik difikirkannya. Perlu diingati bahawa yang indah itu tak semestinya baik tetapi yang baik itu tak semestinya indah. Hanya masa yang akan menentukan. Dr. Mahathir juga seorang pemimpin yang telah berkali-kali membuktikan betapa tingginya nilai kesabaran dan ketabahan ketika menghadapi dugaan. Inilah faktor yang paling meruntunkan sanubari saya.

Dr. Mahathir tidak akan menentang sesiapa yang bukan lawannya. Caranya ialah cara seorang 'Political Genius'. Dr. Mahathir boleh mengubah keadaan dengan senyuman kerana yang bekerja ialah pemikirannya. Kadang-kadang saya terfikir juga, sekiranya Dr. Mahathir kita ini ialah Presiden George Bush di Amerika, pasti perancangan dan tindakannya lebih bernas dan berkesan, tidak seperti kegentingan yang ada ketika ini di dunia Arab. Apakah tindakan itu? Hanya Dr. Mahathir yang tahu.

Itulah lagi satu sifat terpuji. Dr. Mahathir adalah penasihat dan sahabat serta pengkritik dirinya sendiri. Setiap orang harus bersikap begini. Ini saya sematkan dalam diri. Walau bagaimanapun, dengan pandangan ini, tidak bermakna saya memandang rendah terhadap kewibawaan Y.B.M Tengku Razaleigh atau Y.M. Tuan Haji Abdul Hadi. Mereka juga mempunyai kewibawaan masing-masing. Namun alangkah bahagianya masyarakat Melayu sekiranya kepintaran pemimpin-pemimpin dapat digembelingkan untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Sepatutnya, kita tidak berlawan sesama sendiri. Yang kita perlu lawan ialah martabat kita di kaca mata dunia luar. Kalau kita bersatu, tentu kita lebih berpadu dan lebih maju. Tetapi soal siapa yang saya suka jadi Perdana Menteri; jawapannya sudah pasti. Setiap negara mesti hanya ada seorang pemimpin utama. Sebuah kapal tidak boleh mempunyai dua nakhoda. Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir adalah pilihan saya.

Kalau Hang Tuah mempunyai suatu harapan: "Takkan Melayu hilang di dunia," saya rasa Dr. Mahathir adalah orang yang akan menyedarkan kita.


Petikan: Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 14 Oktober 1990 dalam ruangan Sudirman Haji Arshad Menulis... "Kenapa Saya Suka Mahathir"

Thursday, October 27, 2011

Kisah Disebalik 'Pemetik Api' Merisik Khabar Juara Lagu '87


Memang Sudir tidak fikirkan tentang wang RM 3,000 dan piala pusingan yang diperolehinya itu. Tapi dia tidak lupa menumpukan perhatian pada Zaiton Sameon, Khatijah Ibrahim dan kumpulan Alleycats. Ketiga mereka ini pada Sudir mempunyai persembahan yang menarik dengan kekuatan lagu yang mereka sampaikan.

Memang Sudir layak menerima anugerah itu. Penampilannya menguasai semua peserta. 'Pemetik Api' yang dinyalakan oleh Sudir memang mempunyai cerita tersendiri. Pemetik api itu dimilikinya sepuluh tahun yang lalu melalui bekas isterinya. Ketika itu mereka masih bercinta dan sama-sama menuntut di Universiti Malaya.

Sudirman tidak merokok sehingga ke hari ini. Tapi semenjak terjumpa sebuah pemetik api ketika sama-sama menonton wayang dengan bekas isterinya, Sudir gemar bermain dengannya.

"Masa itu saya susah. Entah macam mana saya hilangkan pemetik api tersebut. Kerana sayangkannya saya menangis. Dan dia janji akan belikan yang baru bila dia ada duit. Dan itulah pemetik api yang saya gunakan tadi." Ujar Sudirman.

Pemetik api itu dibeli melalui duit biasiswa bekas isterinya itu. Dan Sudirman mengalunkan lagu tersebut khas buat siapa yang mengerti tentangnya. "Kenangan untuk pemetik api dan lagu itu tidak dapat saya lupakan," akhiri Sudirman.

Selepas saja berakhir Juara Lagu 1987. Sudir keluar sebentar mengikut Manan Ngah ke kereta. Dia kemudian diberi sebuah frame lagu 'Merisik Khabar' yang dijahit sendiri oleh isteri Manan Ngah. Sudirman biarpun berjaya sebagai penghibur untuk kali ini tapi dia terkilan dengan kekalahan lagu 'Merisik Khabar'.

Baginya lagu ini sebuah lagu yang menarik dan berhak menerima salah satu hadiah yang dipertandingkan. Terutama dalam kategori komposer terbaik. "Saya rasa TV3 patut membuat perubahan. Nampaknya kemenangan lagu bergantung pada musim. Lagu Merisik Khabar sudah lama dan yang menjadi ikutan dan sering didengar ialah lagu baru. Rasanya mereka perlu mengubah konsep agar ia adil dan sesuai dengan lagu yang dipertandingkan." Komen Sudirman.

Petikan: Artikel URTV terbitan tahun 1987.






Gandingan Sudirman & Noorkumalasari

Sudirman & Noorkumalasari merupakan teman rapat

HUBUNGAN diantara Noorkumalasari dengan Sudirman yang begitu erat dan mesra sesungguhnya sudah tidak menjadi rahsia lagi. Kemunculan mereka berdua dalam beberapa siri TV dan dalam album terbaru Noor telah membuktikan betapa akrabnya persahabatan mereka berdua.

Sewaktu ditemui ketika sedang membuat rakaman Video Pop di Studio TV3 baru-baru ini, Noor tidak menafikan kenyataan itu. Kata Noor: "Kami rapat sejak dari dulu. Sejak Noor masih jadi isteri Onn dan Sudir jadi suami Kay. Sebenarnya kami jadi mesra dan rapat seperti ini secara kebetulan. Maksud Noor, kebetulan kerana kami sama-sama mempunyai kesukaan yang sama."

"Misalnya, Noor suka warna hitam dan putih, Sudir pun begitu. Sudir suka berlagak garang waktu menyanyi di pentas, Noor pun begitu. Sebab itulah agaknya ramai yang kata 'showmanship' Noor dengan Sudir hampir serupa. Noor tahu ramai yang kata begitu. Sebenarnya itu secara kebetulan!" Akui Noor secara terus terang.

"Peminat Noor sendiri ramai yang hantar surat pada Noor, panggil Noor 'Lady Sudir'. Noor tak kisah dan Noor tak kecil hati. Itukan pendapat dan pandangan peminat terhadap diri Noor."

Menurut Noor, hubungan eratnya dengan Sudir bukan sekadar di dalam lensa kamera ketika menyanyi bersama. "Malah kalau Noor dapat jemputan seseorang pun, Sudir ambil berat."

"Noor jadi lebih mesra dengan Sudir pun sebab sikapnya yang begitu 'take care'. Misalnya sewaktu Noor dapat tawaran menyanyi di Paddock, Sudir datang jumpa Noor minta kepastian."

"Dia meneliti lagu-lagu yang sudah Noor senaraikan untuk Noor nyanyikan di Paddock. Kemudian dia menceritakan pengalamannya waktu menyanyi di Paddock sebagai contoh untuk Noor. "Ujar Noor menceritakan sikap ambil berat Sudir terhadapnya.

Begitulah Sudir! teman yang 'concern' tentang perkembangan karier Noorkumalasari.

Apakah stail rambut Noor yang bersiput dan dicucukkan dengan 'chopstick' panjang itu juga ilham dari Sudir?

"Tidak! Siput dan 'chopstick' ini ilham dari Mike Bernie. Kata dia, muka Noor 'oriental look'. Jadi dia suruh Noor bersiput biar terus nampak ketimuran. Lagipun Noor memang rimas kalau menyanyi rambut mengerbang. Noor lebih suka tunjukkan memek muka waktu menyanyi." Cerita Noor terus terang.

Petikan: Artikel Syok! Peminat Panggil Noor 'Lady Sudir' URTV terbitan 1980-an Oleh Fatimah Hassan.

Sudir & Noor sewaktu merakamkan persembahan lagu 
'Melangkah Seiringan' dalam rancangan Video Pop di TV3




Tuesday, October 25, 2011

Sudirman Sebagai Timbalan Presiden PAPITA

A. Rahman Hassan sebagai Presiden dan Sudirman selaku
Timbalan Presiden PAPITA (Persatuan Penyanyi Tanah Air)

Tokoh Pembela Nasib Penyanyi

Inilah wajah Presiden dan Timbalan Presiden PAPITA yang baru. Kacak dan menggodakan!

Hee! Sekali Sudir bercakap di depan teman-teman artis, seolah-olah bercakap dalam mahkamah rasanya. Teman pulak, sebelum meleret-leret..... nak juga ambil peluang kat sini mengucapkan tahniah di atas kemenangan A. Rahman Hassan selaku Presiden PAPITA dan Sudirman sebagai Timbalannya. Semoga di bawah pimpinan mereka. Persatuan PAPITA semakin teguh dan dihormati!

Gabungan penyanyi Pop Yeh Yeh dan penyanyi tahun 70-an dan 80-an, menjadikan A. Rahman Hassan dan Sudirman sebagai satu 'team' yang diharapkan membela nasib rakan seperjuangan di tahun 80-an dan seterusnya.

Pada pandangan temanlah, pemilihan mereka memang tepat sekali! Sebagai rakan yang sentiasa berhubung rapat dengan para artis, teman dan rakan-rakan wartawan yang lain berharap kerjasama antara media massa dan PAPITA akan bertambah erat lagi!

Dengan kukuhnya PAPITA, segala masalah yang timbul dikalangan artis.... bolehlah teman rujuk kepada A. Rahman Hassan dan Sudirman. Itu baru kena!

Petikan: Candid Camera URTV terbitan 1980-an

Inilah dia barisan pemimpin-pemimpin PAPITA

Sindir-Menyindir Sudir & Fauziah

SEWAKTU sedang rancak majlis pemilihan jawatankuasa baru PAPITA tempoh hari, berlakulah sedikit sindir-menyindir antara Sudirman Haji Arshad dengan juruhebah Fauziah Nawi.

Pada mulanya Sudirman bangun membuat usul: "Dalam memilih jawatankuasa baru PAPITA ini biarlah kita memilih mereka yang baru dari semua peringkat."

Tak lama kemudian, Fauziah Nawi bangun menghampiri pembesar suara: "Dalam memilih jawatankuasa ini kita tak perlu kira orang lama atau orang baru, tapi kita pilih orang yang boleh buat kerja." Nada suaranya yang lain dari biasa.

Sudirman segera mengangkat tangan minta izin dari Pengerusi Tetap Haji S.M. Salim untuk bercakap. Sudirman menerangkan: "Saya faham cakap-cakap Fauziah itu kenen ke saya. Saya tak bermaksud untuk mengenepikan orang lama. Maksud saya biarlah kita pilih jawatankuasa PAPITA ini dari penyanyi yang mewakili berbilang peringkat supaya mereka dapat membawa masalah mereka ke dalam setiap mesyuarat nanti kerana kita ada berbagai lapisan penyanyi." 

Sebelum suasana menjadi lebih tegang, Haji S.M. Salim meminta isu itu ditutup segera demi menyelamatkan suasana keharmonian majlis.

Sewaktu jawatankuasa baru PAPITA diarahkan untuk duduk di sebelah kerusi hadapan hadirin, kelihatan Fauziah Nawi menghampiri Sudirman. Mungkin ekoran dari sindir-menyindir tadi.

Petikan: Artikel URTV terbitan 1980-an


Monday, October 24, 2011

Sepak Takraw Catat Sejarah - ZAM

Sudir berbincang mengenai persembahannya dengan ZAM.  

"Sumbangan Sudirman mempopularkan Kejohanan Sepak Takraw MAS - Utusan Malaysia - RTM yang terhebat dalam sejarah negara tidak boleh dinafikan."

Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan di sebalik kejayaan gemilang dan bersejarah Kejohanan Sepak Takraw MAS - Utusan Malaysia - RTM yang bermula pada tahun 1985 di peringkat nasional hingga mencapai peringkat antarabangsa pada tahun 1988 ialah surat dari penghibur terkemuka negara, Sudirman yang dihantarnya kepada saya dalam penerbangannya dengan MAS ke London setelah memberikan sumbangan hiburan yang hebat di kejohanan itu pada tahun ketiga (1987).

Surat itu mencurahkan perasaan tersinggungnya kerana menurut persepsinya ucapan saya ketika pembukaan Kejohanan Sepaktakraw 1987 tidak memberikan pengiktirafan kepada sumbangannya. Bahagian ucapan saya yang telah menyinggung perasaannya ialah "sambutan yang hebat bukanlah semata-mata kerana adanya persembahan Sudirman."

Sudirman sangat gembira apabila dijemput untuk mengadakan persembahan bagi menambahkan kemeriahan kejohanan itu dan beliau telah memberikan sepenuh komitmen dari peringkat persiapan awal hingga ke akhir. Beliau telah datang berbincang dengan Jawatankuasa Dasar tentang format rancangan persembahannya dan memberikan beberapa ideanya yang kreatif untuk menyesuaikan persembahan dengan semangat kejohanan itu.

Petikan: Rencana Utusan Malaysia terbitan 30 Ogos 2009 oleh Tan Sri Zainudin Maidin bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.




Azhar Peminat Setia Allahyarham Sudirman

 Azhar bergambar kenangan bersama Datin Rodziah

AZHAR - Peminat setia arwah SUDIR, tidak ketinggalan hadir di majlis tahlil genap setahun Sudir yang kita kasihi telah berpindah ke alam baqa' meninggalkan orang-orang yang disayanginya dan yang menyayanginya.

Pertama kali datang ke rumah kakak Sudir, Azhar terus terdiam dan terpegun bila menatap gambar-gambar arwah Sudir yang menghiasi sebuah sudut di rumah kakak kesayangannya itu. 

Azhar yang mulai nak sebak itu terus menguntum senyum bila jurugambar Jeffri Iran meminta dia memakai tanjak songket kepunyaan Allahyarham dan bergambar di samping Puan Rodziah yang tidak keberatan melayani Azhar yang begitu terpegun membelek semua barangan koleksi arwah Sudir yang terdapat di sudut itu.

Begitulah... dalam sebak kita boleh tersenyum semata-mata untuk menahan perasaan sedih pilu  mengenangkan Allahyarham, perginya seperti disambar helang. Yang tinggal hanyalah khazanahnya sahaja.

Alangkah baiknya kalau kerajaan Pahang Darul Makmur dapat mengabadikan segala kenangan terhadap Sudir ditempatkan seperti Pustaka Kenangan Sudirman yang sentiasa dikunjungi ramai.

BAM - Anggap SUDIR satu-satunya insan mulia yang pernah BAM kenali.

Petikan: Syhhh...BAM, URTV terbitan tahun 1993

Azhar bergaya dengan "Sudir Shade"



Sunday, October 23, 2011

Sudirman Sebagai Usahawan

 Sudir bersama pengurusnya Mr. Dunn di pejabat SUDI Sdn. Bhd.

SIAPA sangka anak kecil dari Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh Pahang Darul Makmur ini, akan muncul sebagai Penghibur No.1 Asia. Dan siapa sangka anak kampung ini juga telah mengeluarkan minuman ringan atas jenamanya sendiri "SUDI". Itulah tuah manusia.

Bertempat di kawasan termahal di bandaraya Kuala Lumpur, SUDIRMAN USAHA DAGANG INDUSTRI atau ringkasannya SUDI telah mula beroperasi sejak awal tahun 1990. Di tingkat 4, UBN Tower itulah, Sudir banyak menghabiskan waktu siangnya untuk menguruskan perniagaannya yang kian memuncak. Pejabat SUDI cukup eksklusif. Sejurus sahaja anda memasuki ruang pejabat "glamour"nya sudah terasa. Poster-poster besar keratan akhbar terpampang di bilik menunggu. Pengunjung dapat membaca kejayaan-kejayaan besar Sudir di ruang ini, sambil duduk di kerusi empuk berlantai karpet tebal warna merah jambu dan menikmati minuman SUDI.

Pejabat Sudir terbahagi kepada dua ruang, ruang SUDIRMAN PRODUCTION SDN. BHD. yang mengendalikan "show" Sudir dan ruang SUDI yang mengendalikan perniagaannya. Bilik pejabat Sudir terletak di ruang SUDIRMAN PRODUCTIONS. Berkarpet putih gebu, bilik ini amat istimewa dan sesuai dengan keperibadian Sudir yang sentiasa mahukan yang terbaik. Perabutnya diperbuat dari kaca dan kayu yang mahal. Melalui tingkap kacanya, sebahagian dari kota Kuala Lumpur dapat dinikmati.

Di sebelah bilik Sudir ialah bilik pengurusnya, Encik Dharanee Dharan Kannan atau Mr. Dunn yang juga bertindak sebagai Pengarah Urusan SUDI. Di luar terdapat ruang pejabat yang menempatkan 4 orang pekerja Sudir. Ruangnya berlantai karpet merah jambu dan nampak luas. Di sini juga terpampang poster-poster gergasi Sudir ketika menyanyi.

Di bahagian SUDI pula, karpetnya warna kelabu dan menempatkan kira-kira 15 orang pekerja. Bahagian ini pun kelihatan amat lapang. Sudir masuk ke pejabat jam 11.00 pagi, atau lebih awal kalau ada "appointment", dan pulangnya pula agak lewat malam. Di pejabat, pekerja-pekerjanya menggelarkan Sudir "MR. MANN". Menurut seorang pekerjanya, itu adalah arahan Sudir. Menurut mereka lagi Sudir adalah seorang BOSS yang amat baik.

Kata Sudir pula "Saya harus bekerja lebih keras untuk menampung pekerja dan membayar sewa pejabat. Mungkin bila dah lega sikit nanti, saya bercadang untuk membeli terus lot pejabat di bandaraya. Kalau bayar tiap-tiap bulan pun setidak-tidaknya ia kepunyaan saya. Insya-Allah!"

Di ruang ini kita paparkan gambar-gambar beberapa sudut pejabat SUDI untuk tatapan pembaca. "SUDILAH!" Kata Sudir sebelum menutup wawancara.

Sudir bersama Air Tin SUDI keluaran syarikatnya

Petikan: URTV keluaran tahun 1990.

Saturday, October 22, 2011

Sudirman Pernah Bercita-Cita Menjadi Pengarah Filem


Pada tahun 1987, Sudir menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman dan teater di New York selama tiga tahun. Katanya, apabila pengajiannya tamat, filem pertama yang hendak diarahkannya ialah filem yang berunsur patriotik.

Bagaimanapun, niat mengarahkan filem memang sudah lama tersimpan di hatinya. Pada sidang media sempena pelancaran album Orang Kampung pada tahun 1986, beliau merancang mengarahkan filem komedi yang skripnya ditulis beliau sendiri. Sudir membayangkan barisan pelakonnya ialah Noorkumalasari, Khatijah Ibrahim, Yusni Jaafar, Raja Ema selain beliau sendiri.

Menjelang penghujung usianya, Sudirman memberitahu, dia telah menyiapkan skrip filem berjudul Primadona dan bercita-cita untuk menjadi penerbit dan pengarahnya. Namun sayang hasratnya itu tidak kesampaian.

Temubual Eksklusif URTV dengan Sudirman berkenaan Filem:

URTV: Bagaimana pula dengan pembelajaran tentang filem yang dulu Sudir nak ikuti?

SUDIR: Saya ni memang macam tu. Kalau saya ada projek, saya akan beritahu, bukan untuk memberitahu semata, tetapi juga menjadi pegangan saya untuk mengotakan apa yang telah saya kata. Begitu juga dengan ura-ura untuk belajar filem. Memang telah saya usahakan, mendaftar diri, memilih kursus, menetapkan waktu kursus dan pensyarahnya. Tetapi berikutan dengan kejayaan baru-baru ini, pengurus saya berpendapat yang saya harus menumpukan perhatian terhadap kejayaan baru ini. Saya boleh belajar bila-bila, katanya. Dia pengurus saya, jadi saya mengikut saja asalkan waras.

URTV: Maknanya, peminat filem tempatan masih boleh mengharap untuk menonton filem arahan Sudir pada suatu hari nanti?

SUDIR: Insya-Allah, begitulah. Saya suka meng'create', jadi bidang arahan filem memberi saya satu cara terbaik.

Petikan: URTV keluaran 1 Jun 1989.




Sudirman Tercabar di UKM

Konsert Malam Anak Desa UKM 
(Rakaman Langsung)

JIKA tidak kerana campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir mungkin konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman yang diadakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Januari 1985 dibatalkan terus kerana tentangan keras daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).

Pembatalan itu terpaksa dibuat apabila bantahan sampai kepada peringkat mengancam dan sesuatu yang buruk akan berlaku jika diteruskan. Risalah-risalah disebarkan menyifatkan penganjur dan penyokong-penyokong konsert itu sebagai taghut dan kafir. Selain beberapa persatuan mahasiswa, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM), Profesor Dr. Shahril Mohd Zain bertindak sendirian menyokong bantahan itu, menyebabkan beliau dikecam oleh beberapa orang pegawai dan pentadbiran kanan UKM.

Bersama-sama dengan PMUKM dalam bantahan ini ialah Persatuan Mahasiswa Fakulti Islam, Persatuan Kakitangan Akademik UKM, Persatuan Anak Kelantan, Jaksa Komsis, Persatuan Mahasiswa Sains dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Haji Idris Omar. Ini merupakan suatu episod hitam yang mencemarkan UKM yang pada peringkat awal perkembangannya untuk menjadi sebuah universiti berkualiti dan bertaraf nasional. Beberapa pihak menyifatkan UKM sebagai Universiti Kolot Melayu.

Sebelum peristiwa ini PMUKM mendalangi beberapa usaha dengan menghalang kegiatan kesenian dan kebudayaan di universiti itu. Bagaimanapun ini tidak sahaja berlaku di UKM tetapi juga merupakan fenomena di Universiti Malaya dan juga di UiTM di mana beberapa orang ustaz dan pengikut mereka mengecam pendidikan seni dan hiburan di institut itu.

Tenaga pengajar UiTM dan juga UKM yang progresif sering naik dan turun tangga pejabat Utusan Melayu untuk memaklumkan masalah gangguan, ugutan dan penghinaan yang sering diterima daripada golongan pelampau agama yang berfikiran sempit. Berikutan tekanan yang dihadapi, Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi UKM yang menganjurkan malam bersama Sudirman itu untuk mengutip derma bagi Pemadam dan tabung kegiatan mereka membatalkan pertunjukan itu setelah berunding dengan pihak berkuasa UKM untuk mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. 

Risalah disebarkan selepas sembahyang pada suatu Jumaat mengecam penganjur sebagai berotak jahiliah , berperangai kafir walaupun lidah beriman. Pembeli tiket dan penyokong pertunjukan itu dianggap sebagai orang yang mengkhianati kesucian Islam.

Utusan Malaysia adalah satu-satunya akhbar pada masa itu yang paling di hadapan dalam mendedahkan tindakan mahasiswa tersebut, mengecamnya dan memberikan sokongan kepada pihak penganjur.


Seorang tutor Jabatan Geografi UKM Abd Rahim Md. Nor telah menulis panjang dalam Utusan Malaysia 23 Januari 1985 marahkan Awang Selamat yang menyifatkan bantahan itu memberikan imej UKM sebagai universiti yang mundur ke belakang, tidak terbuka dan tidak bersifat nasional dan universal dan tidak menampakkan imejnya sebagai sebuah universiti. Tetapi lebih kepada imej pondok yang banyak terdapat di kampung-kampung terutama di Kelantan. Abd. Rahim antara lain berkata, "Ditinjau dari sudut mana pun atau oleh mana-mana pihak yang sempurna imannya, pertunjukan sesebuah konsert yang dalamnya terdapat orang atau orang orang yang memperagakan diri, suara, gaya, emosi, gerak-geri dan pakaiannya, apalagi bila mencampur adukkan kaum wanita dan lelaki yang bukan muhrim di atas sebuah pentas dan menjadi tontonan orang ramai, hukumnya adalah haram. Ini bukan sahaja kebenaran Islam tetapi hakikat agama suci itu," katanya.

Pembatalan konsert itu kerana ugutan, "Kalau diteruskan juga, tunggulah jawapannya pada 5 Januari" akhirnya mendedahkan sikap silent majority di kalangan kakitangan akademik dan mahasiswa universiti itu. Sepuluh buah persatuan yang bergabung di bawah Persatuan Mahasiswa mengisytiharkan mereka tidak bersama dengan PMUKM sebaliknya menyampaikan memorandum membantah pembatalan pertunjukan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam di samping menuntut kerajaan menyiasat anasir luar yang berada di belakang penentangan konsert berkenaan.

Mereka menyatakan tindakan PMUKM itu tidak mewakili segenap persatuan secara menyeluruh. Beberapa pensyarah pula mengecam Persatuan Kakitangan Akademik UKM yang menyokong pembatalan konsert itu kerana perbuatan tersebut melanggar piagam universiti yang melarang para pensyarah menyebelahi mana-mana pihak mahasiswa.

Memorandum membantah pembatalan pertunjukan itu dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri menerusi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UKM) Prof. Madya Dr. Abdul Halim Othman dengan salinannya kepada Menteri Pelajaran Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Pembatalan konsert itu mengecewakan ribuan orang yang membeli tiket terutama sekali kalangan mahasiswa dan keluarga ahli-ahli akademik.

Kampus

Orang ramai di luar kampus turut mengecam bantahan terhadap pertunjukan itu sebagai perbuatan "kolot dan liar" yang mencemarkan keseluruhan mahasiswa dan kakitangan UKM. Reaksi marah ini tidaklah mengejutkan kerana pada masa itu Sudirman sedang berada di puncak populariti di kalangan masyarakat berbilang kaum dari peringkat kanak kanak, belia dan orang dewasa dan juga orang tua.

Reaksi Sudirman sendiri ialah "sedih kerana mengecewakan ramai yang telah membeli tiket." Komposer terkenal Ahmad Nawab merasa kesal "kerana dikaitkan bantahan itu dengan Islam sedangkan Islam agama yang paling progresif," katanya.

Presiden Persatuan Penyanyi Tanah air (Papita) Ahmad Daud yang juga seorang penyanyi berkata "Menyanyi memang satu profesion, suara merdu yang ada pada seseorang penyanyi itu adalah kurniaan Tuhan."

Kontroversi ini diberikan publisiti meluas oleh akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia dan ia menarik perhatian Dr. Mahahtir yang mendorongnya memanggil saya dan juga Ketua Pengarang akhbar Berita Harian ke kediamannya yang turut disertai oleh Musa dan Abdullah.

Dr. Mahathir merasa sedih kerana mahasiswa kita yang sepatutnya mempunyai sikap terbuka dan berani untuk membuat penyesuaian dengan persekitaran dan membina ketahanan diri dalam masyarakat yang pelbagai budaya telah menampakkan diri mereka sebagai golongan yang percaya kepada pengasingan diri sebagai kekuatan.

Beliau bersetuju dengan tindakan pihak penganjur membatalkan pertunjukan Sudirman itu sebagai langkah penangguhan sementara. Tetapi beliau mengarahkan Menteri Pelajaran memastikan pertunjukan itu diadakan semula pada masa sesuai.

Berikutan dengan itu Konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman diadakan pada 2 Mac 1985 di Dewan Tun Abdul Razak UKM dengan mendapat sambutan yang di luar jangkaan berikutan kehadiran lebih 3,000 terutama kalangan mahasiswa dan kakitangan akademik serta keluarga mereka. Konsert itu berlangsung dalam kawalan ketat kerana ada ugutan disebarkan bahawa bala akan turun pada pukul 9.47 malam. Bagaimanapun pada detik itu seluruh penonton sedang berada dalam keadaan terpukau mendengarkan Sudirman membawakan lagu Anak Dagang.

Penonton yang mulanya berada dalam debaran sebelum pertunjukan dimulakan kerana "Selendang Merah" akan datang menghukum orang-orang kafir bertukar menjadi tenang dan ceria sebaik sahaja lampu dinyalakan dan Sudirman memulakan persembahan.

Komen yang menarik daripada seorang penonton selepas pertunjukan itu ialah "Saya tidak rasa menjadi kafir setelah menonton sebaliknya hati saya terguris dengan mesej-mesej yang disampaikan oleh Sudirman menerusi lagu-lagunya."

Sudirman membuktikan kepada penonton bahawa beliau adalah seorang penyanyi yang menjiwai inspirasi nasional. Beliau menyelimutkan tubuhnya dengan bendera Malaysia dan menyanyikan lagu- lagu yang berunsur kecintaan pada tanah air dan kemanusiaan.

Antara lagu yang disampaikan ialah Anak Desa, Tanah Ini Tanahku, Tegakan Bendera Kita, 31 Ogos, Balik Kampung, Ayah Dan Ibu, Warisan dan lain-lain yang menggambarkan dirinya bukan sebarang seniman tetapi seorang seniman patriotik.

Wartawan New Straits Times Sahibullah menulis dalam NST 4 Mac 1985 mengenai kejayaan hebat konsert itu dengan kata- kata "Tidak perlu ada ketakutan sama sekali jika seseorang itu percaya pada tuhan." Thus as you can see, there was nothing to fear at all if one puts one's trust in God.

Suatu lagi percubaan untuk mengagalkan konsert Sudirman pada 17 Ogos 1985 oleh Persatuan Islam Universiti Malaya tidak berjaya kerana ketegasan Naib Canselor Universiti Malaya profesor Diraja Ungku Aziz.

Ungku Aziz berkata, "Pihak universiti tidak boleh membatalkan konsert ini semata-mata kerana ada pihak yang tidak menyenanginya atau beranggapan ia bercanggah dengan ajaran Islam. Kerajaan sendiri tidak mengharamkan lagu dan persembahan penyanyi Sudirman" Utusan Malaysia 6 Ogos 1985.

Perubahan dinamik sosiopolitik tanah air dengan penggabungan puak-puak politik pelampau agama dan perkauman yang berkompromi atas core values masing-masing juga menjadikan kegiatan Islam di universiti universiti lebih moderate dan rasional sekarang ini. Tindakan demonstrasi membantah pertunjukan Sudirman seperti yang berlaku pada tahun 1985 dan juga demonstrasi bantahan terhadap majlis hiburan di Istana Kelantan dan juga di UiTM Terengganu yang dilakukan anasir pelampau Islam tidak lama dahulu, tidak mungkin akan berlaku lagi kerana ia menjadi tamparan kepada idola mereka di luar kampus dan akan menyebabkan mereka kelihatan berada di luar kesedaran baru politik puak pelampau yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

Petikan: Rencana Utusan Malaysia bertarikh 03 Januari 2010 Oleh Tan Sri Zainudin Maidin bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

Komen Sudirman Berhubung Isu Ini

"Apabila ada segelintir manusia yang mengkafirkan pertunjukkan saya, dengan hati tenang saya menghadapinya. Saya anggap ia seperti api kecil dan perlu dipadamkan sebelum ia merebak dan menjadi besar dan membahayakan," kata Sudir dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pada Mac 1985.

"Dalam kerjaya saya, pelbagai cabaran dihadapi tetapi saya lalui dengan tabah kerana ini adalah pilihan saya sendiri," katanya.