Wednesday, November 30, 2011

Pemergian Sudirman Bukan Kerana AIDS

Jenazah Allahyarham Sudirman dibawa untuk disemadikan pada
22 Februari 1992.

SELEPAS hampir tujuh bulan bersembunyi hingga mencetuskan pelbagai tanda tanya, misteri kehilangan Penghibur No. 1 Asia 1989, Sudirman Haji Arshad, 37, akhirnya terungkai apabila beliau meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi. 

Allahyarham sebelum itu disembunyikan ahli keluarganya atas alasan mahu menjalani rawatan selepas jatuh sakit pada Ogos 1991 hingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak, terutama rakan artis dan peminat setianya.

Kebanyakannya menganggap tidak wajar keadaan sebenar Sudirman disembunyikan kerana beliau adalah penyanyi yang mempunyai ramai peminat, malah masyarakat perlu tahu perkembangan kesihatannya selepas dilaporkan sakit sebelum itu. 


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Baharuddin Omar, ketika itu dipetik sebagai berkata, sudah sampai masanya keluarga Sudirman mengumumkan keadaan penyanyi itu kerana beliau adalah penghibur nasional. 

“Mereka tidak boleh anggap Sudirman sebagai hak keluarga saja kerana Sudirman adalah penyanyi yang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Adalah lebih baik mereka mengumumkan daripada membiarkan cerita yang bukan-bukan mengenai penyanyi itu berleluasa," katanya. 

Noorkumalasari pula tidak menafikan mendengar pelbagai cerita mengenai rakan karibnya itu, malah ada yang bercerita kononnya beliau terkena buatan orang, dengan tangannya bengkok, tangannya terbelit dan matanya terbeliak.

“Saya sudah tidak kuasa mendengar selagi saya tidak melihat sendiri, saya tidak akan percaya semua cerita itu. Sekarang, saya sudah bosan mendengar khabar angin mengenai Sudirman. Saya hanya akan percaya kalau cerita itu saya dengar daripada keluarganya," katanya.

Beliau juga kesal kerana keluarga Sudirman bertindak mendiamkan diri hingga menimbulkan pelbagai khabar angin, termasuk dakwaan kononnya beliau menghidap Aids sehinggalah kematiannya disahkan berpunca dari penyakit radang paru-paru atau (pneumonia).

Keluarga Sudirman dipercayai menyembunyikan penyanyi itu, termasuk merahsiakan jenis penyakit dan punca sebenar kematian beliau kerana tidak mahu peminat bersedih kerana bimbangkan kesukaran peminat untuk menerima hakikat keadaannya yang sangat menyedihkan.

Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap Aids, tetapi mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan Sudirman, Habsah Hassan, dalam satu temubual bersama Berita Harian, dipetik sebagai berkata, memang warisnya tidak mahu mendedahkan keadaan sebenar beliau ketika itu kerana keadaannya cukup menyedihkan.

“Masyarakat Malaysia memang biasa melihat arwah dalam keadaan ceria dan `cute’ tetapi menjelang detik kematiannya, keadaan beliau cukup menyedihkan. Itulah sebabnya mereka (keluarga) menyembunyikan beliau sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Beliau berkata, penyanyi itu disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna tetapi terdapat punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana ketika itu, arwah sedang menghadapi pelbagai perkara aneh.

“Mungkin juga ajalnya sudah sampai. Bagaimanapun, Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya yang menulis lebih 20 lirik lagu untuk penyanyi itu.

Sementara itu, jenazah Sudirman selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Paya Dalam, Temerloh, dengan dihadiri 1,000 orang termasuk ahli keluarga dan rakan artis, selain peminat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Petikan: Misteri 'kehilangan' Sudirman terungkai Oleh Hardi Effendi Yaacob


Wednesday, November 9, 2011

Pertemuan Uji Rashid dengan Kakak Sudirman

Uji Rashid & Datin Rodziah bergambar kenangan

Seringkali Uji Rashid menyatakan hasratnya kepada BAM, ingin menemui Puan Rodziah (Emak Atai) - kakak arwah Sudir. Entah mengapa... mungkin kerana mimpinya dulu... sebelum Sudir meninggal dunia.

Bila BAM sampaikan hasrat Uji kepada Rodziah, beliau hanya tersenyum semacam punya makna yang tidak dapat BAM mengertikan. Sejenak itu Rodziah menjawab: "Saya pun teringin nak jumpa Uji Rashid. Kerana arwah Diman pun selalu bercerita pasal dia... orangnya lemah-lembut dan berbudi bahasa. Saya pula meminati Uji Rashid setelah menonton filem lakonannya "Permintaan Terakhir". Begitulah kata Rodziah.

Tibalah pada hari yang dijanjikan. Sememangnya suatu pertemuan yang penuh bermakna dan akan menjadi kenangan selama hidup, bagi Uji, bagi Rodziah dan bagi BAM sendiri yang sering menyaksikan berbagai peristiwa hidup artis.

Pertemuan yang dimulakan dengan perbualan biasa, tiba-tiba bertukar suasana menjadi hiba... sedih dan sayu... bila Rodziah membawa kami melihat suatu sudut di rumahnya... di situlah terletak barang-barang peninggalan Sudir... gambar-gambarnya bermacam aksi berukuran kecil dan besar... kini menjadi perhiasan yang menyayat perasaan siapa saja yang menatapnya.

Deraian air mata kami semua tidak dapat ditahan-tahan lagi. Kini hanya khazanahnya saja yang tinggal menjadi kenangan abadi, songkoknya, topinya, puluhan pasang baju Melayunya dan tulisannya ada di mana-mana... sebak hati melihat semuanya ini.

Uji menyatakan perasaan kesalnya tidak dapat menemui Sudir dan memenuhi hajat Sudir. Sebelum Sudir jatuh sakit di bulan Julai 1991, kira-kira bulan Mei hingga Jun, Sudir menelefon BAM hingga berkali-kali; "Di mana nak cari Uji Rashid?"

"Uji tidak tinggal di Jalan Dua Ampang Jaya lagi. Dia tinggal di Taman Rasmi Jaya, Ampang. Carilah dia di sana. Tak ada telefon di rumahnya. Sudir pergilah ke rumahnya," ujar BAM sambil memberikan alamat lengkap rumah Uji.

Sudut yang menempatkan barangan peninggalan Sudir

Beberapa hari kemudian, Sudir beritahu BAM lagi, dia tak dapat jumpa Uji, "Uji tak ada di rumah. Dah tinggal pesan, tapi senyap," kata Sudir.

Uji terus tak dapat dikesan. Lama kemudian barulah diketahui semasa Sudir mencarinya, Uji berada di luar Kuala Lumpur kerana shooting drama swasta. Sempat juga BAM tanya Sudir, mengapa dia sibuk mencari Uji? 

Jawabnya; " Nak suruh Uji menyanyi semula. Suaranya yang manja dan lemak merdu itu memang penyanyi lain tak boleh tiru. Kan bagus bikin album terus, jangan berhenti menyanyi.

Lalu BAM ceritakan kepada Sudir, Uji memanglah suka menyanyi, tapi tak ada tawaran buat album baru, bukan kerana dia tak mahu menyanyi lagi. Rupanya ketika itu Sudir mahu menjadi penerbit album, setelah dia berjaya menerbitkan album Atai "SAHABAT" yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Tapi Sudir mahu Atai menjadi orang terpelajar dulu.

Uji juga terkilan sangat, tak dapat menziarahi Sudir selama Sudir sakit. Apa nak dikatakan, sememangnya Sudir tidak mahu kawan-kawan menangis kerananya. Keluarga terpaksa patuh kepada permintaannya. Dia tidak mahu diziarahi oleh kawan-kawan dan sesiapa pun jua.

Dalam pertemuan yang penuh mesra, sebak dan sayu petang itu, Rodziah masih belum dapat melupakan adik kesayangannya itu, bagaikan belum boleh menerima kenyataan bahawa orang yang disayang telahpun pergi buat selama-lamanya.

Kata Rodziah bercerita: "Apa saja yang saya buat semuanya saya teringatkan dia. Kekadang sambil memandu kereta pun saya menangis teringatkan dia dah tak ada lagi. Pernah saya menjerit memanggil namanya semata-mata untuk melepaskan perasaan sedih saya. Hinggakan bila sedang memasak pun saya boleh menangis bila teringatkan lauk-lauk yang menjadi kesukaannya. Entahlah, saya belum dapat melupakannya lagi. Suami saya pun risau melihat keadaan diri saya, hingga dia menyuruh saya berbuat sesuatu... main golf! agar saya tidak melayani perasaan sedih yang keterlaluan..." Begitulah cerita Rodziah.

Di akhir pertemuan, Uji sempat membisikkan ke telinga kakak Sudir "Kak Rodziah, redhakanlah pemergiannya. Dia bahagia di sana!"

AL-FATIHAH BUAT SUDIRMAN HAJI ARSHAD.


Serasa begitu mesra layanan yang diberikan oleh Puan Rodziah terhadap kunjungan kami. Sayang sekali tak dapat bertemu Atai yang telah pulang ke Kuantan meneruskan persekolahannya di sana. Menurut ibunya, Atai akan meneruskan pengajiannya ke peringkat tertinggi di seberang laut pada pertengahan tahun ini. Sementara kakak Atai, Era kini sedang menuntut di England. Dan abang Atai yang tua, Adam baru saja mendirikan rumahtangga. Kerana itu Rodziah, ibu Atai begitu sunyi...

Petang itu kami disajikan dengan minuman petang yang istimewa - Popia, cheese kek dan puding nangka. Puan Rodziah tersenyum malu bila BAM tanyakan resepi puding nangkanya. "Untuknya peminat-peminat arwah Sudir, boleh buat untuk berbuka puasa," ujar BAM.

Beliau tidak keberatan, terus menulis resepinya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Rodziah.

Petikan: Artikel URTV keluaran 1 Mac 1993 oleh BAM.

Tuesday, November 8, 2011

Didikan Ayah dan Ibu (Sempena Hari Raya Haji)

Gambar kenangan Arwah Ayah dan Ibu Sudirman

Bila sampai Hari Raya Haji, saya selalu gelisah teringatkan arwah ayah saya. Saya teringat betapa bangga wajah ayah bila mula bergelar haji. Saat itu bagaikan pencapaian tertinggi bagi ayah. Memang itu hak ayah. Sebab dia bersusah payah nak dapatkan gelaran itu. Maklumlah keluarga kami bukan kaya. Jadi ayah pergi pun atas tiket pegawai membantu menyelaraskan urusan jemaah haji. Jaga orang naik haji. Saya bangga atas usaha ayah walaupun kesian pun ada, sebab ayah pun terlalu dijaga. Sudah tua.

Ayah ke sana berbekalkan lagu-lagu Melayu yang dia minta saya rakamkan dalam 'tape'. Tapi ayah tak dapat dengar sebab tape recordernya jadi masin, kena simbah air laut. Ayah pergi naik kapal haji, dalam tahun 1974.

Dan Hari Raya Haji tahun ini, saya teringat anak-anak buah saya. Baru-baru ini ramai peminat bertanya geli-geli hati kenapa anak-anak buah saya ditempatkan dalam perkarangan reban ayam sewaktu saya menerima kunjungan tetamu istimewa ke rumah saya pada hari raya dulu.

Sebenarnya perkarangan reban ayam Abang Sudir itu amatlah bersihnya. Mak Abang Sudir ni, kaki bersih orangnya. Tengok Abang Sudir, kalau berkarat pun disental sampai putih melepak, kadang-kadang merah lebam. Lebih dari itu. Tempat ini selamat dari ular, lipan atau kala sebab berpagar rapat. Lagipun dalam rumah tu, kalau budak-budak bergolek sikit, papan akan bunyi iek-oik-iek-oik. Jadi bising dan tak manis.

Lebih dari itu, anak buah Abang Sudir ni anggap Abang Sudir macam cikgu. Semuanya tak mahu dengar kata Abang Sudir. Tapi kalau Abang Sudir nyanyi, semua berhenti main. Kalau Abang Sudir nyanyi dalam dapur, semua berlonggok di muka pintu. Maksudnya, Abang Sudir ada caranya dengan mereka. Kan Abang Sudir ni 'Cik Oman' dia orang.

Sebenarnya kalau adik peminat ingat Abang Sudir ni 'bertuah' punya bapak saudara, adik mesti tahu dulu cerita Abang Sudir ini. Abang Sudir masa kecil dulu selalu merungut: "Ayah ni kolotlah. Anak ayah ni bukannya perempuan. Takkan tak boleh hensot-hensot sikit."

Tapi ayah Abang Sudir keras orangnya. Macam orang Melayu lama. Budak kecil mesti pergi jauh-jauh bila orang tua bercakap. Dia kata duduk, duduk! Dia kata diam, diam! Dan Abang Sudir selalu anggap ayah kolot.

Tapi bila dah besar, Abang Sudir mula faham mengapa ayah buat macam tu. Sampai ke hari ini, Abang Sudir sentiasa mahu fikirkan kesejahteraan orang lain dulu. Macam ayah. Dan ayah Abang Sudir tak pernah marah.

Selamat Hari Raya Haji untuk semua Pak Aji dan Mak Aji.

Petikan: "Teringat-Ingat" catatan Sudirman Haji Arshad di URTV keluaran 1980-an.


Monday, November 7, 2011

Tun Dr. Mahathir Sumber Inspirasi Sudirman

Sudirman tekun membaca buku biografi
"Mahathir Great Malaysian Hero"

SAYA telah ditanya; "Kenapa Sudir suka Mahathir?" Lalu saya catatkan jawapan saya. Tetapi sebelum apa-apa ingin saya jelaskan bahawasanya di sini saya bukanlah membicarakan hal politik dan saya bukan penyokong ahli kepada mana-mana parti, baik UMNO, PAS dan mahupun apa jua. Malah sebagai penghibur saya memprinsipkan diri untuk tidak bercerita tentang hal agama, politik, seks, dadah dan peribadi orang lain. Justeru itu, catatan ini sekadar pandangan saya terhadap soalan yang dimajukan dan saya terangkan semudah-mudahnya.
 
 Sudir bergaya dengan T-Shirt 'Mahathir'

Sebenarnya, Perdana Menteri (PM) merupakan sumber inspirasi segala pencapaian kerjaya saya selama ini. Dan inspirasi ini saya sandarkan kepada tiga aspek mudah yang saya lihat tersemat dalam perjuangan Dr. Mahathir. Tiga aspek itu ialah:

* 'Vision' atau pandangan jauh ke depan yang menuju ke suatu matlamat,
* Perancangan yang bijak dan usaha yang gigih sebagai daya penggerak, serta
* Kesabaran dan ketegasan sebagai benteng perjuangan.

Berbekalkan tiga aspek ini, setiap perjuangan pasti mudah berjaya. Dan kejayaannya bukan sedikit kerana kejayaan itu menjadi suatu proses tindakan yang berangkai-rangkai. Setiap 'vision' akan menambahkan seribu 'vision'; setiap usaha akan menambahkan potensi kemajuan; senjata semangat pula akan meniupkan suatu perjuangan.

Dan semua ini saya jadikan etika bekerja saya. Caranya samalah seperti menanam benih dengan banyak sekali. Ada benih mengambil masa sehari untuk tumbuh, ada memakan masa seminggu, dan ada yang sampai sebulan, setahun dan bertahun-tahun. Pokoknya, semua benih itu akan tumbuh, dan apabila ia tumbuh hasilnya pasti tersangat lumayan sekali. Dan inilah Perdana Menteri kita! Apakah yang mahu dilakukan oleh Dr. Mahathir dari kaca mata saya? Juga saya dapati tiga aspek;

* Keharmonian rakyat,
* Kestabilan dan kemajuan ekonomi, dan
* Kecemerlangan antarabangsa.


Pertama; Aspek keharmonian rakyat, Dr. Mahathir sering mengimbangi kepentingan pelbagai kaum dalam perancangannya sejajar dengan kehendak perlembagaan negara. Dr. Mahathir juga sensitif terhadap masalah rakyat. Setiap isu yang timbul di kalangan rakyat pasti mendapat pandangan dan nasihatnya. Baik isu kafir-mengkafir, masalah pekerja kilang, masalah tindakan bank terhadap peminjam, masalah kenaikan harga barang atau nasihat tentang perniagaan malah apa saja, semuanya dijelaskan secara terperinci untuk membimbing rakyat ke arah kemakmuran. Boleh dikatakan Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri yang paling terbuka dan sensitif terhadap masalah rakyat. Rakyat sering didampinginya tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Sejajar dengan sifat seorang pemimpin ulung.

Kedua; Aspek kemajuan ekonomi. Penyatuan waktu Sabah, Sarawak dan semenanjung, perkenalan sistem "Punch Card" dan penggunaan masa dengan bijak merupakan tunjang awal perjuangannya sebagai Perdana Menteri. Satu revolusi sedang diaturkan. Dasar pandang ke timur menjadi suatu inspirasi terhadap intisari atau 'substance' yang mahu difokuskan. Lebih-lebih lagi dalam etika bekerja, kerajinan dan prinsip bersih, cekap & amanah menjadi tunjang. Kemudian 'Kepimpinan Melalui Teladan' berdasarkan rapatnya hubungan diantara majikan dengan pekerja di negara Jepun.

Kemudian penswastaan, dan dengan itu lahirlah 'Pensyarikatan Malaysia' yang sudah mula menampakkan hasilnya. Selain itu, negara di bawa ke arah perindustrian dan lahirlah 'Proton Saga' yang telah menjadi kebanggaan negara. Namun usaha perjuangan yang paling rapat dijiwanya ialah perjuangan bangsa Melayu itu sendiri. Dr. Mahathir tidak mahu bangsa Melayu bermegah di dalam tanah air sendiri yang kemewahannya adalah milik orang lain. Dari bukunya "The Malay Dilemma" hingga ke "Challenger" masalah orang Melayu menjadi dakwatnya. Nilai-nilai hidup mula bertukar ke arah matlamat yang lebih positif. Suatu revolusi mental berlaku tanpa disedari.

Dan ini membawa kepada aspek ketiga; Dr. Mahathir mahu tanah air didarjatkan di mata dunia. Baik masalah EEC, Aparteid, dadah, pelarian Vietnam mahupun masalah dunia ketiga, didebatkannya dengan suara yang lantang dan pemikiran yang terjadi?

Ini membibitkan rasa hormat negara luar kepada negara kita. Sehingga Dr. Mahathir mendapat gelaran 'Wira Dunia Ketiga' . Saya amat berbangga. Sebagai seorang individu, selain merupakan seorang 'Workaholic' yang mempunyai 'vision' yang jelas, Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang tahu apa yang mahu dilakukannya dan apa yang diperlukan negara.

Caranya bijak, tangkas, bernas dan lojik. Caranya adalah terbaik difikirkannya. Perlu diingati bahawa yang indah itu tak semestinya baik tetapi yang baik itu tak semestinya indah. Hanya masa yang akan menentukan. Dr. Mahathir juga seorang pemimpin yang telah berkali-kali membuktikan betapa tingginya nilai kesabaran dan ketabahan ketika menghadapi dugaan. Inilah faktor yang paling meruntunkan sanubari saya.

Dr. Mahathir tidak akan menentang sesiapa yang bukan lawannya. Caranya ialah cara seorang 'Political Genius'. Dr. Mahathir boleh mengubah keadaan dengan senyuman kerana yang bekerja ialah pemikirannya. Kadang-kadang saya terfikir juga, sekiranya Dr. Mahathir kita ini ialah Presiden George Bush di Amerika, pasti perancangan dan tindakannya lebih bernas dan berkesan, tidak seperti kegentingan yang ada ketika ini di dunia Arab. Apakah tindakan itu? Hanya Dr. Mahathir yang tahu.

Itulah lagi satu sifat terpuji. Dr. Mahathir adalah penasihat dan sahabat serta pengkritik dirinya sendiri. Setiap orang harus bersikap begini. Ini saya sematkan dalam diri. Walau bagaimanapun, dengan pandangan ini, tidak bermakna saya memandang rendah terhadap kewibawaan Y.B.M Tengku Razaleigh atau Y.M. Tuan Haji Abdul Hadi. Mereka juga mempunyai kewibawaan masing-masing. Namun alangkah bahagianya masyarakat Melayu sekiranya kepintaran pemimpin-pemimpin dapat digembelingkan untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Sepatutnya, kita tidak berlawan sesama sendiri. Yang kita perlu lawan ialah martabat kita di kaca mata dunia luar. Kalau kita bersatu, tentu kita lebih berpadu dan lebih maju. Tetapi soal siapa yang saya suka jadi Perdana Menteri; jawapannya sudah pasti. Setiap negara mesti hanya ada seorang pemimpin utama. Sebuah kapal tidak boleh mempunyai dua nakhoda. Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir adalah pilihan saya.

Kalau Hang Tuah mempunyai suatu harapan: "Takkan Melayu hilang di dunia," saya rasa Dr. Mahathir adalah orang yang akan menyedarkan kita.


Petikan: Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 14 Oktober 1990 dalam ruangan Sudirman Haji Arshad Menulis... "Kenapa Saya Suka Mahathir"