Koleksi Album Sudirman



















Album Sudirman

Selepas Bintang RTM, tahun 1977, Sudirman mula merakamkan suara dalam album EP sulungnya Teriring Doa bersama Warnada Rekod. Walaupun ketika itu sibuk dengan kuliahnya di Universiti Malaya, beliau sempat merakam lagu-lagu untuk dimuatkan dalam EP pertamanya, diantaranya lagu Teriring Doa dan Suratku Yang Ini.

Tahun 1978, EMI menawarkan kontrak kepada Sudirman. Album sulungnya dengan EMI berjudul Aku Penghiburmu. Beliau menyanyikan semula lagu Jali Jali yang telah memperkenalkannya kepada umum, termasuk dua lagu ciptaan Ahmad Nawab Aku Penghiburmu dan Kasih. Kedua-dua lagu ini juga dinyanyikan oleh Broery Marantika apabila Ahmad Nawab berhijrah ke WEA. Dalam tahun itu, Sudirman dipilih sebagai Penghibur TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.

Tahun 1979, album Perasaan diterbitkan dengan lagu hit Gerimis di Lautan bersama lagu-lagu lucu Mat Disko dan Toyol.

Setelah menamatkan pengajiannya, Sudirman bebas mengembangkan karier seninya. Beliau yang bangga dengan imej budak kampung, menyanyikan lagu-lagu yang berkait rapat dengan masyarakat Malaysia.

Istimewanya Sudirman kerana bermula tahun 1980, beliau telah menerbitkan 2 buah album dalam setahun. Kesemua albumnya berjaya dan kebanyakkan lagu-lagunya menjadi hit. Tidak semua artis pada zaman Sudirman dan zaman sekarang mampu berbuat demikian.

Tahun 1980, album Anak Muda dan Lagu Anak Desa 
Tahun 1981, album Lagu Dari Kota dan Twinkle-Twinkle Little Star 
Tahun 1982, album Lagu Cinta dan Abadi 
Tahun 1983, album Images (hanya sebuah album sahaja)
Tahun 1984, album Orang Baru dan Lagu Dari Sebuah Bilik 

Pada tahun 1985, Album Konsert Malam Anak Desa di UKM, Bangi edisi terhad telah diterbitkan dalam bentuk kaset. Ianya adalah rakaman langsung persembahan konsert tersebut.

Selepas itu, Sudirman hanya menerbitkan sebuah album dalam setahun.

Tahun 1986, album Orang Kampung 
Tahun 1987, album Kul It
Tahun 1989, album Asia's No.1 Performer 

Lagu-lagu Sudirman yang istimewa dan popular telah dikumpulkan dalam album kompilasi Koleksi 16 Lagu-Lagu Terbaik (1986) dan Pilihan Sentimental Emas (1987). Oleh kerana beliau amat menggemari lagu-lagu lama/klasik dan berirama deli, Sudirman turut mengeluarkan album Lagu-Lagu Rakyat (1989) dan Koleksi Klasik (1991).

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, beliau telah menghasilkan 18 buah album dalam bahasa Melayu, dan 2 buah album dalam bahasa Inggeris (Twinkle-Twinkle Little Star dan Images).

Selepas kematiannya pada tahun 1992, EMI Malaysia telah mengeluarkan 3 buah album kompilasi. Dua lagu baru Setelah Kau Tiada dan Cinta Di Sisimu dapat diterbitkan setelah diketahui siapa penciptanya. Lagu-lagu ini dimasukkan dalam album Setelah Kau Tiada.
  • Jauh Di Sudut Hati (1992)
  • Balik Kampung (1993)
  • Setelah Kau Tiada (1995)
Banyak album kompilasi beliau telah diterbitkan semula dalam bentuk kaset dan cakera padat.

  • DwiDekad (1996)
  • Nilai Cintamu (2000)
  • Sudirman No.1 (2002)
  • Sudirman Penghibur No.1 (2002)
  • Sudirman II 40 No.1 Dalam 1 (2003)
  • Memori Hit Sudirman (2004)
  • Memori Sentimental Hit (2005)
  • Dwi Intan
  • Timeless (2006)
  • Koleksi Emas Aidilfitri
  • Alunan Sukma Sudirman & Sharifah Aini
  • Memori Hit Melayu Deli
  • Sudirman Terunggul (2008) 
  • Dato' Sudirman In Down Memory Lane (2010)
  • Lagenda Hit Dato' Sudirman Senandung Rakyat (2010) 
  • Tripel Dekad Dato' Sudirman (2011)
  • Kul It! (2011 Cetakan Semula) 
  • Aku Penghiburmu (2011 Cetakan Semula)
  • Dato' Sudirman Jiwa Merdeka (2011)

Tema lagu

Nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan terus subur di hati para peminat. Lagu-lagu dendangannya berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.

Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan gadis desa seperti lagu Pesan Abang, Jamilah, Sepetang Di Pinggir Bukit, Orang Kampung dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan sejagat dan mencintai tuhan.

Lagu Berunsur Nasihat

Lagunya mengajak masyarakat menghargai alam sekitar, menyedari kepentingan pendidikan, menghormati dan yakin pada diri sendiri, disiplin dan jangan mudah lupa asal usul atau jati diri.

Sudirman mengabadikan puisi nukilan Allahyarham JM Aziz iaitu Penyu Menangis Siapa Tahu yang sebenarnya mengenai rayuan seekor penyu agar manusia menghentikan pencemaran alam sekitar.

Lagu Pesta Dunia mencela manusia-manusia negara kaya yang membazirkan makanan dan memperpanjangkan kebuluran di negara-negara miskin. Tahun itu, lagu ini telah memenangi kategori lagu terbaik dan penyanyi terbaik di South East Asia Song Festival.

Manakala lagu-lagu seperti Punch Card dan Chow Kit Road bukan saja menghiburkan dan sedap didengar tetapi juga mempunyai mesej.

Semangat patriotik

Sudirman pernah mencoretkan catatan pada kulit album (piring hitam) ABADI (1982) bahawa EMI dan penerbitnya masa itu, S.Atan, tidak yakin untuk menerbitkan album patriotik (sepuluh lagu semuanya lagu patriotik) kerana takut masyarakat tidak dapat menerimanya. Tetapi demi cintanya pada Malaysia, beliau berkata sekurang-kurangnya biarlah dia ada satu album patriotik untuk seumur hidupnya. Dalam ABADI, lahirlah lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita. Album itu tidak mendapat sambutan sebagaimana album komersilnya yang lain. Namun, tidak siapa menyangka, album patriotik Sudirman itu mendapat perhatian sampai kini.

Lagunya sering berkumandang setiap tahun ketika negara menyambut hari kemerdekaan.

Suara bangga dan kagum pada negara, agama dan bangsa serta tokoh pemimpin diluahkan oleh Sudirman menerusi lagu Radio Malaysia, Bapak (ditujukan kepada Bapak Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj), Kul It! (mengenai perpaduan kaum) serta One Thousand Million Smiles.

Beliau turut menyanyikan lagu yang ditujukan khusus kepada Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Mama. “Mama” (panggilannya kepada Saloma) tidak percaya bila saya membuka mulut meminta kebenaran untuk saya cipta lagu untuknya. Kata Mama, P.Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi,” kata Sudirman pada April 1983.

Sudirman meninggalkan lagu Salam Terakhir dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang memberi makna besar kepada peminatnya.

Sudirman memberikan nilai baru kepada kampung halaman apabila menyanyikan lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) dan Anak Gembala dengan tempo yang rancak dan girang.

Lagu seperti Apa Khabar Orang Kampung mengajak peminatnya supaya jangan lupa pada asal usul kita. Lagu Balik Kampung merupakan suatu kemestian bagi para perantau yang berpusu-pusu pulang ke kampung pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.

Ketika bermula era "siswazah menganggur" Sudirman terlebih dulu menyingkapkan dalam lagu Aku Penganggur. Sekalipun lagu ini berentak rancak tetapi isu yang dilontarkan tentang stigma penganggur sampai kepada sasaran.

Lagu Aku Dan Duniaku menceritakan Sudirman dengan dunia pilihannya, manakala lagu seperti Baru Dapat Kerja, Orang Muda dan Pulang Dari Kilang adalah paparan mengenai jiwa dan perasaan orang muda, terutama yang baru bekerja.

Pada tahun 1983, Sudirman menubuhkan syarikatnya 'Sudirman Productions' dengan hanya seorang pekerja. Tahun 1987, Sudirman menghasilkan sebuah album berjodol Sahabat untuk anak saudara kesayangannya Atai (Razman Azrai Zainudin) di bawah Sudirman Productions. Beliau bersama pengurusnya, Mike Bernie Chin bercita-cita menerbitkan video yang merakam aksinya ketika konsert. Walaubagaimanapun pada Mac 1987, Mike Bernie mengundurkan diri daripada menjadi pengurus Sudirman setelah ia merasa Sudirman tidak dapat 'diurus' lagi. Kemudian Sudirman melantik Dharanee Dharan Kannan sebagai pengurusnya sehingga Jun 1991. Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaannya Sudirman Productions dan SUDI Sdn Bhd telah ditutup pada September 1991.