Thursday, April 28, 2011

Peminat Dan Saya

Peminat-peminat Allahyarham Sudirman generasi baru & lama bergambar 
kenangan dalam pertemuan penuh bermakna pada 19 Februari 2011

Tahun ini, seperti tahun yang sudah-sudah ramai para peminat yang menghantar kad raya kepada saya. Tapi pada tahun ini, tidak seperti tahun-tahun yang lalu, saya tidak dapat membalas semua kad raya tersebut. Tahun ini adalah tahun yang amat sibuk bagi diri saya. Macam-macam kerja yang harus saya selesaikan. Dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'selamat hari raya' maaf zahir dan batin kepada semua peminat dan muslimin, sekali lagi.

Saya bermula sebagai seorang peminat penyanyi-penyanyi yang terlebih dahulu muncul daripada saya. Pada tahun lima puluhan dan enam puluhan terdapat berpuluh-puluh penyanyi pujaan saya. Saya dan rakan-rakan pernah berkejar-kejaran ke rumah persinggahan Temerloh Pahang untuk mencuri-curi melihat Rafeah Buang, Sanisah Huri, Ahmad Jais dan ramai lagi yang tinggal di situ ketika mereka membuat persembahan di bandar Temerloh. Saya berulang-alik membawa buku autograf. Pernah Jins Shamsuddin  singgah di bandar Temerloh dengan kereta sportnya, dan bandar kecil tempat saya dilahirkan menjadi riuh. Jins mempunyai personaliti yang hebat. Waktu itu saya memandangnya seolah-olah dia datang dari bulan.

Pertama kali saya menulis surat kepada seorang penyanyi ialah masa saya di dalam tingkatan satu. Saya menulis surat kepada A.Ramlee. Abang saya, Basir terjumpa surat itu. Teruk saya dibelasahnya. Dia mahu saya memberi perhatian seratus-peratus kepada pelajaran saya. "Takkanlah saya nak belajar 24 jam sehari," saya melawan balik. Malam itu saya tidur dengan mata lebam sebab teruk kena belasah. Walau bagaimanapun, saya berjaya juga melayangkan surat itu kepada A.Ramlee. Saya menggunakan nama samaran saya 'Rusman'. Saya masukkan setem 20 sen untuk memudahkan ia membalas surat saya. Tulisan saya amat buruk dan susah dibaca dan mungkin kerana itulah A.Ramlee membalas surat saya beserta sekeping gambarnya yang bertulis "Kepada Saudari Rusmah". Langsung saya tidak menunjukkan gambar tersebut kepada rakan-rakan saya. Malu.

Selepas pemergian Allahyarham P.Ramlee, saya pernah menulis kepada biduanita Saloma meminta dia membenarkan saya bekerja apa-apa saja untuknya dan meminta kebenaran darinya untuk belajar bermain piano di rumahnya. Saya tidak tahu akan alamatnya. Surat itu saya alamatkan ke Pawagam P.Ramlee. Tiada jawapan darinya. Apabila saya menceritakan hal ini kepadanya, Allahyarhamah cuma ketawa panjang. "Ngapa tulis ke panggung wayang?" Dia bertanya.

Saya mula mengenal peminat apabila memasuki pertandingan Bintang RTM tahun 1976. Pada mulanya, saya cuma menerima sekeping dua surat. Tetapi jumlahnya bertambah berganda-ganda sepanjang pertandingan tersebut. Peringkat akhir pertandingan tersebut telah dijalankan di Melaka. Di situlah saya melihat peminat saya terawal. Sewaktu menyanyi di Dewan Pay Fong di Kota Melaka gamat penonton dan sokongan peminat. Dan bermula dari hari itu, saya mula mengerti yang saya ditakdirkan untuk bekerja kuat menghiburkan mereka.

Tapak demi tapak saya mendekati peminat saya, sehingga hari ini. Ramai yang menghantar hadiah-hadiah tanda ingat. Ada yang datang menziarah. Ada yang kerap menulis surat. Tetapi mereka semua mempunyai persamaan mendapat tempat istimewa di hati saya.

Pada tahun pertama saya menyanyi, seorang peminat menghadiahkan saya baju saiz 17 sedangkan saya menggunakan saiz 14. Kemudian saya dapat tahu yang baju itu baju bapanya. Ini yang menyentuh hati saya.

Segala pengalaman saya, saya jadikan panduan untuk merapatkan diri kepada peminat-peminat saya. Kini, saya mempunyai adik angkat di seluruh negara. Yang sedihnya, saya tidak dapat menulis selalu kerana kesibukan dengan urusan seharian. Kasih sayang saya terhadap mereka saya tunjukkan secara bekerja kuat untuk memberikan satu pertunjukkan yang baik, biar di pentas ataupun di televisyen.

Ramai juga di antara peminat yang meminta barang-barang peribadi saya seperti seluar, baju dan kaca mata. Adakalanya saya amat bermurah hati. Saya faham perasaan mereka untuk mendapatkan cenderamata sedemikian kerana saya pernah melalui alam yang sama. Cuma ini tidak boleh saya lakukan selalu. Takut bankrap. Baru-baru ini sewaktu mengadakan pertunjukkan di Kota Melaka, seorang peminat telah menarik dan melarikan sweater merah kesayangan saya yang saya ikat keliling pinggang sewaktu menyanyi di pentas. Kesedihan saya kerana kehilangan sweater tersebut dilaporkan oleh seorang wartawan kita di sebuah akhbar tempatan. Peminat tersebut berasa bersalah,  lantas menulis kepada saya untuk mengembalikan sweater tersebut. Kejujuran menyentuh perasaan saya. Dan saya sukakan peminat yang jujur hati. Saya menulis kepadanya meminta dia menyimpan sweater tersebut sebagai cenderamatanya. Kejujuran mengatasi segala-galanya.

Saya suka bercerita kosong dengan peminat saya. Tetapi sayang sekali, kerana kebiasaannya apabila mereka mengenali saya mereka tidak berbicara dengan biasa. Satu peristiwa di Kuala Terengganu yang tidak akan saya lupakan ialah apabila pada lewat malam saya tidak dapat tidur, saya telah bertemu dengan dua orang remaja lelaki di tepi pantai. Kami di dalam kegelapan. Cuma cahaya bulan menerangi wajah kami. Kami bercerita berjam-jam. Saya yang tidak merokok menerima sahaja rokok yang dipelawanya. Akhirnya dia berkata, "Muka kamu macam Sudirman lah." Saya tersenyum sahaja. Kemudian katanya lagi,"itu tak pelik. Ramai orang kata muka saya macam muka Badul, serupa tak?"


Saya juga melawat peminat saya dengan mengejut sekiranya dipelawa ke rumah. Tetapi ini saya lakukan apabila ada waktu lapang.

Sememangnya ramai yang telah saya jumpa. Ibu, bapa, abang, kakak, nenek dan adik-adik, sepanjang pertunjukkan saya selama ini. Menghiburkan mereka adalah satu hiburan bagi diri saya. Itulah kekuatan peminat. Seperti yang pernah saya katakan dulu,"Mintalah saya menyanyi di hadapan seorang hakim nyanyian, saya akan jatuh pengsan. Tetapi suruhlah saya menyanyi di hadapan ribuan penonton, dan saya tahu di antaranya terdapat peminat-peminat saya, saya akan menyanyi sampai pengsan!

Itulah saktinya. Sekali kita berbuat baik berpuluh-puluh kali ganda datang balasannya. Itulah kekayaan Tuhan. Dan saya tahu, cerita saya dengan peminat tidak akan tamat. Insya Allah.

Sumber : Dari Dalam Sudirman (Muka 22 & 23)




Saturday, April 23, 2011

Terkenang Cerita Di Sebalik Lagu 'Salam Terakhir'

Sudirman ketika dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik, 
Anugerah Juara Lagu 1987 menerusi lagu Merisik Khabar

Mendengar dan mengamati seni kata lagu Salam Terakhir nukilan Habsah Hassan terasa seperti penyanyinya, Sudirman Haji Arshad seolah-olah mengetahui beliau tidak hidup lama. Lagu ciptaan Manan Ngah itu memang cukup sayu dan syahdu, apatah lagi penyanyi ini menyampaikannya dengan sepenuh perasaan seolah-olah beliau memang hendak meninggalkan dunia yang fana ini.

Penghayatan yang tinggi itu juga dapat dijiwai sepenuhnya oleh Sudirman kerana pada waktu itu beliau baru sahaja bercerai. Ini bermakna kemungkinan Salam Terakhir merujuk kepada salam perpisahan beliau dengan isterinya atau memang berkaitan dirinya yang akan meninggal dunia. "Tapi yang pasti, saya tulis seni kata lagu itu bukanlah kerana saya sudah tahu dia hendak meninggal dunia," kata Habsah.

Sebaliknya, seni kata lagu itu juga ditulis berdasarkan gurauannya bahawa beliau mungkin akan mati pada usia muda. Ketika melafazkan ungkapan bahawa dirinya hidup tidak lama, Sudirman berumur kira-kira 30 tahun. Habsah berkata, penyanyi itu mengungkapkan kata-kata itu disebuah hotel selepas menyertai Pertandingan Lagu Kesatuan Penyiaran Asia (ABU) 1985 di Singapura. Katanya, selain beliau sendiri, turut bersama Sudirman pada waktu itu ialah pengurusnya, Mike Bernie Chin dan bekas wartawan hiburan Berita Harian, Saodah Ismail. "Waktu itu sebenarnya dia baru lepas bercerai. Tapi dia asyik bercakap mengenai bekas isterinya. Kami semua cakap dengan dia, bunga bukan sekuntum. Saya sendiri cakap pada dia, Sudir, orang macam engkau kalau petik jari sekali, 10 yang datang.

"Tapi Sudir cakap,' Saya kecil (merujuk pada saiz fizikal dirinya), duit pun tak banyak, muka 'tak handsome' tapi dia pilih saya dalam banyak orang yang ada.' Maksudnya, Sudir percaya dia dianugerahkan cinta yang sangat suci," kata Habsah yang ditemui selepas menghadiri majlis bacaan tahlil di rumah Datin Rodziah, kakak Sudirman di Bangsar, Khamis lalu.

Sudirman berkahwin dengan Kamariah Jamaluddin pada 14 Februari 1981, tetapi mereka kemudian berpisah pada 25 Mei 1984. Kata Habsah lagi, daripada perbualan mengenai kekecewaan terhadap perceraiannya itu, Sudirman terus bercakap berkaitan dengan soal hidup dan mati dirinya. "Antara kata-katanya kepada kami pada waktu itu ialah,' Saya fikir saya tak hidup lama. Saya rasa saya akan mati muda'. Dia cakap dengan serius. Ketika cakap, Sudir dalam keadaan sihat walafiat, segar-bugar. "Kami menegurnya kerana soal ajal maut adalah urusan Tuhan," jelasnya. Bekas wartawan hiburan veteran, Bahyah Mahmod turut mengakui sekitar pertengahan tahun 80-an, Sudirman sering bercakap mengenai kematiannya. "Sudir jawab, dia tahu itu semua urusan Tuhan, tetapi kalau boleh dia hendak mati," kata Bahyah yang mencelah temubual bersama Habsah.

Sementara itu, Habsah berkata, sekembalinya dari Singapura, barulah beliau mula menulis seni kata Salam Terakhir berdasarkan perbualan bersama Sudirman di negara seberang tambak itu. Antara baris seni kata yang sangat bermakna ialah 'Salam yang teristimewa bersama-Nya ku memohon keampunan, melalui-Nya ku beri kemaafan, kepadamu' yang ditujukan kepada peminatnya. Lagu itu dimuatkan dalam album Orang Kampung pada tahun 1986 tetapi ia tidak popular seperti sekarang. "Lagu itu hanya popular apabila Sudir meninggal dunia," kata Habsah.

Satu lagi lagu yang memberi makna besar kepada Sudirman ialah Teriring Doa ciptaan Datuk Ooi Eow Jin. Lagu itu diterbitkan dalam bentuk EP dan memuatkan dua lagu. Selain Teriring Doa turut memuatkan lagu Suratku Yang Ini, kedua-dua seni katanya ditulis oleh Habsah. "Kulit EP pertama Sudir menarik iaitu gambar beliau dengan berlatar belakang bekas isterinya. Waktu itu mereka sedang bercinta. "Seni kata lagu Teriring Doa menceritakan mengenai impiannya menjadi penyanyi sudah tercapai, tetapi kerjayanya sebagai penghibur baru bermula," katanya.




Salam Terakhir

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Salam akhir
Salam yang teristimewa
KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya ku beri kemaafan
Kepadamu

Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersama mu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salam ku di ingatan
...Salam ku yang terakhir

Lagu: Manan Ngah
Seni Kata: Habsah Hassan





Kenapa Sudirman Berbaju Melayu?


"Takkan Melayu Hilang Di Dunia". Itu kalimat yang ditinggalkan Hang Tuah buat generasi Melayu selepasnya. Sejak kecil ungkapan ini sering bermain-main di jentera pemikiran saya. Panglima Hang Tuah seolah-olah pasti akan keabadian orang Melayu dan budayanya.

Ada beberapa kerat manusia yang sering bertanya: Apakah muslihat saya yang sering berpakaian Baju Melayu dewasa ini? Saya tidak mengerti mengapa soalan ini bisa timbul. Mungkinkah kerana beberapa tahun dahulu saya sering diselaputi jeket tebal atau dimahkotakan  topi ketika mundar-mandir baik di mana sahaja. Atau mungkinkah kerana orang Melayu sudah tidak mahu lagi berpakaian Melayu melainkan untuk perayaan-perayaan tertentu, seperti Hari Raya? Saya pun orang Melayu. Janggalkah saya mengenakan pakaian peninggalan tuk moyang kita.

Saya sering ke negara Jepun. Di sana suasana rakyatnya teramat moden dan kebaratan. Adakalanya lebih kebaratan daripada dunia Barat. Tetapi ramai wanitanya yang berpeleseran dengan menggayakan kimono, pakaian tradisi bangsa Jepun. Cantik sungguh dipandang. Saya juga pernah melawat bumi India. Di sana kemodenan Barat belum menguasai rakyatnya seperti bumi Jepun. Tidak hairanlah kalau saya terlihat wanitanya berpergian dengan lilitan sari. Ayunya mereka tidak terkata.

Amerika Syarikat adalah negara kegemaran saya untuk membuat lawatan percutian. Di sana anak-anak muda lebih selesa dengan T-Shirt dan Jeans. Sebenarnya ini adalah persalinan lumrah mereka atau boleh diibaratkan sebagai pakaian budaya mereka. Pun cantik juga mata memandang, walaupun tidak selembut kimono atau sari. Ramai orang suka berfesyen. Saya tidak terkecuali Kalau saya mahu berpakaian cara orang di Barat, itu adalah pilihan saya. Pakaian itu selesa, menarik dan berlainan sekiranya saya memilihnya untuk peribadi sendiri.

Tetapi, sekiranya saya berpakaian Melayu, itu bukanlah berfesyen namanya. Tidak juga ada muslihat disebaliknya. Pakaian itu sekadar lambang akar umbi asal usul saya. Lambang yang diwasiatkan Tuk Tuah yang diwarisi daripada nenek moyangnya. Yelah, kalau tidak kita sendiri yang memakainya, siapa lagi?

Semasa kecil, saya sering melihat arwah ibu saya berkebaya. Walaupun ketika itu tamadun British telah membawa masuk persalinan bernama gaun atau skirt, saya tidak pernah melihat ibu saya menggayakannya. Ibu lebih ayu, lebih manis dan lebih berhemah tinggi di mata saya, dengan kebaya labuhnya dipadankan dengan dua sanggul yang tersimpul londeh di tengkuknya. Saya ingat akan gambaran ini sehingga hari ini. Dan InsyaAllah akan saya jadikan warisan kepada keturunan saya, jika ada. Kerana kalau tidak mereka yang mengamalkan pemakaiannya, siapa lagi? Tidaklah sia-sia Hang Tuah berperi; "Takkan Melayu Hilang Di Dunia"


SUDIRMAN Pelopor Baju Melayu Seragam Dengan Songkok

 Antara koleksi Baju Melayu Sudirman yang pelbagai warna

Penghibur Internasional SUDIRMAN HAJI ARSHAD merupakan penyanyi yang mula memberanikan diri memakai sepasang pakaian Melayu lengkap satu warna dengan songkok. Ertinya kalau pakaian Melayu itu berwarna biru, songkoknya juga berwarna biru. Kalau tidak kerana Sudirman seorang artis top, mungkin dia akan kena sorak kerana mempelopori pakaian yang luar biasa dan ganjil sedemikian.

Kini orang lain pun sudah ramai yang berani meniru fesyen pakaian Melayu seragam seperti Sudirman. Waktu sesi fotografi raya URTV tempoh hari (1989), Hatta penyanyi rock Junction pakai baju Melayu dan songkok 'pink'. Kemudian dalam program raya 'Warna Warni' raya di TV (1989) lalu, seorang penyanyi turut memakai pakaian Melayu bersongkok 'Merah'! Demikianlah 'Trend' pakaian cara Sudirman itu sudah mula popular dan semuanya bermula apabila Sudirman menempah pakaian-pakaiannya di kedai jahit No.4, Den Wahab, Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sejak tahun 1984.

"Seingat saya Sudirman mula menempah pakaian di Den Wahab sejak tahun 1984. Hingga kini tak terkira lagi oleh saya sudah berapa banyak yang ditempah oleh Sudirman di kedai jahit ini," kata Zaharuddin Wahab, 26, tuan punya dan tukang jahit Den Wahab.

Pakaian-pakaian yang ditempah Sudirman itu ada yang direka sendiri oleh Sudir. Sudirman bukan saja seorang 'Superstar' malah dia juga seorang pereka fesyen pakaian eksklusif. Zaharuddin adalah adik kepada Zahari dan keduanya adalah pewaris bidang perniagaan jahitan pakaian dari arwah bapa mereka. Zaharuddin pernah mengikuti kursus jahitan dan fesyen pakaian selama dua tahun setengah di Centrel School Of Fesyen di London sedikit masa lalu. Memandangkan Sudirman telah menjadi pelanggan tetap Den Wahab, pihak kedai jahit itu telah menghadiahkan potret besar "Sudirman" berpakaian Melayu bersongkok biru.

Hadiah potret istimewa itu disampaikan sendiri oleh Zaharuddin sewaktu menyambut kepulangan Sudirman sebagai Penyanyi Terbaik Asia, di mana pertandingan nyanyian itu telah berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989. Tetapi hadiah potret itu disampaikan pada 27 Mac 1989 dalam majlis meraikan Sudirman di Hotel Hilton, Petaling Jaya kira-kira pukul 8.30 malam.

Nampaknya Sudirman bukan saja menaburkan baktinya untuk mempelopori nama mempopularkan dalam bidang nyanyian, malah turut menghidupkan fesyen pakaian Melayu dalam bentuk 'glamour' terutama sekali yang ditempah di Den Wahab sehingga turut menaikkan nama kedai jahit itu! Waktu pulang dari London tempoh hari pun Sudirman lengkap berpakaian Melayu! Syabas kerana Sudirman tidak cepat lupa diri tatkala berada di puncak jaya!

Den Wahab Tukang Jahit Sudirman