Saturday, April 23, 2011

Terkenang Cerita Di Sebalik Lagu 'Salam Terakhir'

Sudirman ketika dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik, 
Anugerah Juara Lagu 1987 menerusi lagu Merisik Khabar

Mendengar dan mengamati seni kata lagu Salam Terakhir nukilan Habsah Hassan terasa seperti penyanyinya, Sudirman Haji Arshad seolah-olah mengetahui beliau tidak hidup lama. Lagu ciptaan Manan Ngah itu memang cukup sayu dan syahdu, apatah lagi penyanyi ini menyampaikannya dengan sepenuh perasaan seolah-olah beliau memang hendak meninggalkan dunia yang fana ini.

Penghayatan yang tinggi itu juga dapat dijiwai sepenuhnya oleh Sudirman kerana pada waktu itu beliau baru sahaja bercerai. Ini bermakna kemungkinan Salam Terakhir merujuk kepada salam perpisahan beliau dengan isterinya atau memang berkaitan dirinya yang akan meninggal dunia. "Tapi yang pasti, saya tulis seni kata lagu itu bukanlah kerana saya sudah tahu dia hendak meninggal dunia," kata Habsah.

Sebaliknya, seni kata lagu itu juga ditulis berdasarkan gurauannya bahawa beliau mungkin akan mati pada usia muda. Ketika melafazkan ungkapan bahawa dirinya hidup tidak lama, Sudirman berumur kira-kira 30 tahun. Habsah berkata, penyanyi itu mengungkapkan kata-kata itu disebuah hotel selepas menyertai Pertandingan Lagu Kesatuan Penyiaran Asia (ABU) 1985 di Singapura. Katanya, selain beliau sendiri, turut bersama Sudirman pada waktu itu ialah pengurusnya, Mike Bernie Chin dan bekas wartawan hiburan Berita Harian, Saodah Ismail. "Waktu itu sebenarnya dia baru lepas bercerai. Tapi dia asyik bercakap mengenai bekas isterinya. Kami semua cakap dengan dia, bunga bukan sekuntum. Saya sendiri cakap pada dia, Sudir, orang macam engkau kalau petik jari sekali, 10 yang datang.

"Tapi Sudir cakap,' Saya kecil (merujuk pada saiz fizikal dirinya), duit pun tak banyak, muka 'tak handsome' tapi dia pilih saya dalam banyak orang yang ada.' Maksudnya, Sudir percaya dia dianugerahkan cinta yang sangat suci," kata Habsah yang ditemui selepas menghadiri majlis bacaan tahlil di rumah Datin Rodziah, kakak Sudirman di Bangsar, Khamis lalu.

Sudirman berkahwin dengan Kamariah Jamaluddin pada 14 Februari 1981, tetapi mereka kemudian berpisah pada 25 Mei 1984. Kata Habsah lagi, daripada perbualan mengenai kekecewaan terhadap perceraiannya itu, Sudirman terus bercakap berkaitan dengan soal hidup dan mati dirinya. "Antara kata-katanya kepada kami pada waktu itu ialah,' Saya fikir saya tak hidup lama. Saya rasa saya akan mati muda'. Dia cakap dengan serius. Ketika cakap, Sudir dalam keadaan sihat walafiat, segar-bugar. "Kami menegurnya kerana soal ajal maut adalah urusan Tuhan," jelasnya. Bekas wartawan hiburan veteran, Bahyah Mahmod turut mengakui sekitar pertengahan tahun 80-an, Sudirman sering bercakap mengenai kematiannya. "Sudir jawab, dia tahu itu semua urusan Tuhan, tetapi kalau boleh dia hendak mati," kata Bahyah yang mencelah temubual bersama Habsah.

Sementara itu, Habsah berkata, sekembalinya dari Singapura, barulah beliau mula menulis seni kata Salam Terakhir berdasarkan perbualan bersama Sudirman di negara seberang tambak itu. Antara baris seni kata yang sangat bermakna ialah 'Salam yang teristimewa bersama-Nya ku memohon keampunan, melalui-Nya ku beri kemaafan, kepadamu' yang ditujukan kepada peminatnya. Lagu itu dimuatkan dalam album Orang Kampung pada tahun 1986 tetapi ia tidak popular seperti sekarang. "Lagu itu hanya popular apabila Sudir meninggal dunia," kata Habsah.

Satu lagi lagu yang memberi makna besar kepada Sudirman ialah Teriring Doa ciptaan Datuk Ooi Eow Jin. Lagu itu diterbitkan dalam bentuk EP dan memuatkan dua lagu. Selain Teriring Doa turut memuatkan lagu Suratku Yang Ini, kedua-dua seni katanya ditulis oleh Habsah. "Kulit EP pertama Sudir menarik iaitu gambar beliau dengan berlatar belakang bekas isterinya. Waktu itu mereka sedang bercinta. "Seni kata lagu Teriring Doa menceritakan mengenai impiannya menjadi penyanyi sudah tercapai, tetapi kerjayanya sebagai penghibur baru bermula," katanya.




Salam Terakhir

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Salam akhir
Salam yang teristimewa
KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya ku beri kemaafan
Kepadamu

Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersama mu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salam ku di ingatan
...Salam ku yang terakhir

Lagu: Manan Ngah
Seni Kata: Habsah Hassan





No comments: