Wednesday, February 19, 2014

22 Tahun Kita Kehilangan Sudirman


Pada 22 Februari 2014 ini, maka genaplah 22 tahun kita kehilangannya. 22 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Sekiranya bayi yang lahir pada tarikh itu (22 Februari 1992) kini sudah meningkat dewasa, itulah tempoh masa 22 tahun yang kita lalui tanpa kehadiran seorang insan seni yang luar biasa bakatnya, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Saban tahun tarikh 22 Februari ini tetap tersemat dalam ingatan insan-insan yang pernah mengenali beliau sama ada ahli keluarga, rakan taulan, mahupun peminat-paminatnya. Sukar untuk dilupakan kehebatannya serta kelincahannya beraksi di pentas nyanyian sebagai 'Hero' pentas untuk menghiburkan jutaan peminatnya. 

Keunikan Allahyarham Sudirman tidak hanya difokuskan kepada bidang nyanyian semata-mata. Beliau juga memiliki pelbagai bakat lain antaranya, sebagai kartunis, penulis, pelukis, peguam, pelakon serta usahawan yang berjaya.

Allahyarham Sudirman juga peka terhadap persekitarannya dan beliau menterjemahkannya dalam bentuk lagu untuk hiburan peminat-peminatnya. Sebagai contoh, tidak lengkap perjalanan pulang ke kampung tanpa diiringi lagu 'Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Sudirman kerana ianya menghidupkan suasana ceria saat pulang ke kampung halaman. Selain itu, apabila timbulnya masalah pengangguran khususnya di kalangan siswazah, beliau pantas menghasilkan lagu 'Aku Penganggur' serta lagu 'Baru Dapat Kerja' sebagai susulan kepada lagu 'Aku Penganggur'. Tak lupa buat gadis-gadis kilang dihasilkannya pula lagu 'Pulang Dari Kilang', manakala untuk jururawat dihasilkan lagu 'Jamilah (Untuk Jururawat)' dan pelbagai lagi lagu yang berunsurkan kemasyarakatan. Begitulah pekanya Allahyarham Sudirman terhadap keadaan persekitarannya ketika itu, sehinggakan beliau diberi jolokan 'Penghibur Rakyat'.

Allahyarham Sudirman juga terkenal sebagai seorang penghibur yang 'Perfectionist' iaitu sangat mementingkan kesempurnaan. Bagi beliau selagi hayat masih dikandung badan, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik untuk kepuasan peminat-peminatnya. Kerana itulah sehingga kini lagu-lagu yang ditinggalkannya masih tidak jemu didengar dan kekal menjadi malar segar sehingga kini. Inilah hasilnya apabila lagu yang disampaikan itu, disampaikan dengan penuh penghayatan serta keikhlasan.

Banyak lagi jasa Allahyarham Sudirman yang disumbangkan terhadap industri seni tanah air. Tidak lengkap rasanya sekiranya tidak disebut tentang kejayaan Allahyarham Sudirman merangkul Anugerah 'Asia's Best Performer' di dewan berprestij The Royal Albert Hall, London pada tahun 1989. Kejayaan ini merupakan kejayaan yang paling bermakna kepada beliau sepanjang kerjaya seninya dan ianya juga merupakan satu kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia.

Namun kini, semua itu hanyalah dalam kenangan, kerana beliau telah 22 tahun pergi meninggalkan kita dan yang ditinggalkan hanyalah khazanah seninya yang tidak ternilai harganya. Semoga Allahyarham Sudirman terus diingati dan kekal dalam lipatan sejarah negara. Hanya doa yang dapat kita utuskan buat Allahyarham Sudirman agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Al-Fatihah.

No comments: