Sudir dan Peminatnya











SUDIRMAN DAN PEMINAT

Tahun ini, seperti tahun yang sudah-sudah ramai para peminat yang menghantar kad raya kepada saya. Tapi pada tahun ini, tidak seperti tahun-tahun yang lalu, saya tidak dapat membalas semua kad raya tersebut. Tahun ini adalah tahun yang amat sibuk bagi diri saya. Macam-macam kerja yang harus saya selesaikan. Dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'selamat hari raya' maaf zahir dan batin kepada semua peminat dan muslimin, sekali lagi.

Saya bermula sebagai seorang peminat penyanyi-penyanyi yang terlebih dahulu muncul daripada saya. Pada tahun lima puluhan dan enam puluhan terdapat berpuluh-puluh penyanyi pujaan saya. Saya dan rakan-rakan pernah berkejar-kejaran ke rumah persinggahan Temerloh Pahang untuk mencuri-curi melihat Rafeah Buang, Sanisah Huri, Ahmad Jais dan ramai lagi yang tinggal di situ ketika mereka membuat persembahan di bandar Temerloh. Saya berulang-alik membawa buku autograf. Pernah Jins Shamsuddin singgah di bandar Temerloh dengan kereta sportnya, dan bandar kecil tempat saya dilahirkan menjadi riuh. Jins mempunyai personaliti yang hebat. Waktu itu saya memandangnya seolah-olah dia datang dari bulan. 

Pertama kali saya menulis surat kepada seorang penyanyi ialah masa saya di dalam tingkatan satu. Saya menulis surat kepada A.Ramlee. Abang saya, Basir terjumpa surat itu. Teruk saya dibelasahnya. Dia mahu saya memberi perhatian seratus-peratus kepada pelajaran saya. "Takkanlah saya nak belajar 24 jam sehari," saya melawan balik. Malam itu saya tidur dengan mata lebam sebab teruk kena belasah. Walau bagaimanapun, saya berjaya juga melayangkan surat itu kepada A.Ramlee. Saya menggunakan nama samaran saya 'Rusman'. Saya masukkan setem 20 sen untuk memudahkan ia membalas surat saya. Tulisan saya amat buruk dan susah dibaca dan mungkin kerana itulah A.Ramlee membalas surat saya beserta sekeping gambarnya yang bertulis "Kepada Saudari Rusmah". Langsung saya tidak menunjukkan gambar tersebut kepada rakan-rakan saya. Malu. 

Selepas pemergian Allahyarham P.Ramlee, saya pernah menulis kepada biduanita Saloma meminta dia membenarkan saya bekerja apa-apa saja untuknya dan meminta kebenaran darinya untuk belajar bermain piano di rumahnya. Saya tidak tahu akan alamatnya. Surat itu saya alamatkan ke Pawagam P.Ramlee. Tiada jawapan darinya. Apabila saya menceritakan hal ini kepadanya, Allahyarhamah cuma ketawa panjang. "Ngapa tulis ke panggung wayang?" Dia bertanya. 

Saya mula mengenal peminat apabila memasuki pertandingan Bintang RTM tahun 1976. Pada mulanya, saya cuma menerima sekeping dua surat. Tetapi jumlahnya bertambah berganda-ganda sepanjang pertandingan tersebut. Peringkat akhir pertandingan tersebut telah dijalankan di Melaka. Di situlah saya melihat peminat saya terawal. Sewaktu menyanyi di Dewan Pay Fong di Kota Melaka gamat penonton dan sokongan peminat. Dan bermula dari hari itu, saya mula mengerti yang saya ditakdirkan untuk bekerja kuat menghiburkan mereka. 

Tapak demi tapak saya mendekati peminat saya, sehingga hari ini. Ramai yang menghantar hadiah-hadiah tanda ingat. Ada yang datang menziarah. Ada yang kerap menulis surat. Tetapi mereka semua mempunyai persamaan mendapat tempat istimewa di hati saya. 

Pada tahun pertama saya menyanyi, seorang peminat menghadiahkan saya baju saiz 17 sedangkan saya menggunakan saiz 14. Kemudian saya dapat tahu yang baju itu baju bapanya. Ini yang menyentuh hati saya.

Segala pengalaman saya, saya jadikan panduan untuk merapatkan diri kepada peminat-peminat saya. Kini, saya mempunyai adik angkat di seluruh negara. Yang sedihnya, saya tidak dapat menulis selalu kerana kesibukan dengan urusan seharian. Kasih sayang saya terhadap mereka saya tunjukkan secara bekerja kuat untuk memberikan satu pertunjukkan yang baik, biar di pentas ataupun di televisyen.

Ramai juga di antara peminat yang meminta barang-barang peribadi saya seperti seluar, baju dan kaca mata. Adakalanya saya amat bermurah hati. Saya faham perasaan mereka untuk mendapatkan cenderamata sedemikian kerana saya pernah melalui alam yang sama. Cuma ini tidak boleh saya lakukan selalu. Takut bankrap. Baru-baru ini sewaktu mengadakan pertunjukkan di Kota Melaka, seorang peminat telah menarik dan melarikan sweater merah kesayangan saya yang saya ikat keliling pinggang sewaktu menyanyi di pentas. Kesedihan saya kerana kehilangan sweater tersebut dilaporkan oleh seorang wartawan kita di sebuah akhbar tempatan. Peminat tersebut berasa bersalah, lantas menulis kepada saya untuk mengembalikan sweater tersebut. Kejujuran menyentuh perasaan saya. Dan saya sukakan peminat yang jujur hati. Saya menulis kepadanya meminta dia menyimpan sweater tersebut sebagai cenderamatanya. Kejujuran mengatasi segala-galanya. 

Saya suka bercerita kosong dengan peminat saya. Tetapi sayang sekali, kerana kebiasaannya apabila mereka mengenali saya mereka tidak berbicara dengan biasa. Satu peristiwa di Kuala Terengganu yang tidak akan saya lupakan ialah apabila pada lewat malam saya tidak dapat tidur, saya telah bertemu dengan dua orang remaja lelaki di tepi pantai. Kami di dalam kegelapan. Cuma cahaya bulan menerangi wajah kami. Kami bercerita berjam-jam. Saya yang tidak merokok menerima sahaja rokok yang dipelawanya. Akhirnya dia berkata, "Muka kamu macam Sudirman lah." Saya tersenyum sahaja. Kemudian katanya lagi, "itu tak pelik. Ramai orang kata muka saya macam muka Badul, serupa tak?" 

Saya juga melawat peminat saya dengan mengejut sekiranya dipelawa ke rumah. Tetapi ini saya lakukan apabila ada waktu lapang. 

Sememangnya ramai yang telah saya jumpa. Ibu, bapa, abang, kakak, nenek dan adik-adik, sepanjang pertunjukkan saya selama ini. Menghiburkan mereka adalah satu hiburan bagi diri saya. Itulah kekuatan peminat. Seperti yang pernah saya katakan dulu, "Mintalah saya menyanyi di hadapan seorang hakim nyanyian, saya akan jatuh pengsan. Tetapi suruhlah saya menyanyi di hadapan ribuan penonton, dan saya tahu di antaranya terdapat peminat-peminat saya, saya akan menyanyi sampai pengsan! 

Itulah saktinya. Sekali kita berbuat baik berpuluh-puluh kali ganda datang balasannya. Itulah kekayaan Tuhan. Dan saya tahu, cerita saya dengan peminat tidak akan tamat. Insya Allah.