Saturday, April 28, 2012

Teringat-Ingat: Bomoh Di New York


Pada bulan Ogos, tahun 1985, buat kali keduanya saya menjejakkan kaki di Kota New York. Kota Besar ini memang telah lama menjadi kota impian saya. Di Pulau Manhattan, bangunannya tinggi dan macam belukar rapatnya. Dari udara, kelihatan seperti gunung-ganang batu. Dan bangunan-bangunan inilah yang menjadi daya tarikan pertama saya terhadap Kota New York.

Saya suka melihat bangunan tinggi pelbagai bentuk ini. Pada kali pertama saya menjejaki di Kota New York, sengaja saya tidak mahu memanjat bangunan yang kedua tertinggi di New York, bangunan United Nation, kerana ketika itu, saya begitu pasti bahawa saya akan kembali ke Kota New York.

Dari hotel penginapan saya, bangunan kembar UN kelihatan bagai dua tiang raksasa. Letaknya di bucu pulau Manhattan. Dalam keadaan cuaca yang redup akan tertutuplah puncak bangunan tersebut dek awan, seolah-olah bangunan itu menceroboh masuk ke ruang udara meninjau langit yang tinggi. Tentu sekali pemandangan dari puncak bangunan itu hebat.



Sejurus setelah saya keluar dari sekolah Fine Arts yang saya hadiri, dengan deras sekali saya melangkah menuju ke bangunan itu. Saya masih ada 4 jam yang terluang untuk dilayan sebelum meneruskan kuliah saya. Dan menara berkembar itu seolah-olah melambai-lambai pada saya.

Sedikit pun tidak terasa keletihan meredah jalan yang berkilometer panjangnya. Bangunan di kiri-kanan jalan bagaikan hiburan dan manusia yang melintasi sana-sini bagaikan teman yang tidak perlu saya teguri. Jauh juga saya menghentak kaki, tetapi keghairahan di dada untuk berada di puncak menara menguasai segala-galanya.

Tiba-tiba, tangan saya ditarik ke kaki lima. Seorang perempuan tua Gipsi merenung saya dengan tajam.

"Anak ada masalah. Saya kasihan sekali melihat anak. Wajahmu mendung. Dahimu melukiskan seribu masalah dan di sekitar tubuh anak saya nampak kegusaran yang amat sangat." Ujar Gipsi itu laju bagaikan keretapi.


"Puan mahu apa?" Soal saya pendek. Belum sempat saya menghela nafas, tangan saya telah diheret masuk ke perkarangan kedai kecilnya. Di cermin hiasan kedai, saya nampak iklan profesionnya "MOTHER THERESA - PSYCHIC". Secepat kilat saya menangkap tujuannya menarik saya masuk ke dalam kedainya. Memang di kota New York, tukang telek ramai macam tiang lampu elektrik banyaknya.

"Cuma dengan harga US$3.00 sahaja saya akan menerangkan segala-galanya kepada anak. "Wajahnya penuh simpati. Sebenarnya saya tidak ada pilihan lain tetapi menurut sahaja kehendaknya, kerana kejutan yang dilakukannya mematikan akal saya. Lagipun, saya berasa hairan melihat kesungguhan gelagatnya dan perasaan ingin tahu akan tindak-tanduknya yang seterusnya mula menebal dalam sanubari saya.

Bilik ramalannya sempit. Sebuah meja, dua buah kerusi yang bertentangan dan sebatang lilin.

"Anak dibuat orang. Percayalah cakap saya. Mungkin anak tak percaya. Tetapi tahukah anak, bahawa anak telah dianiaya orang?" Bertempias mulutnya berkata-kata. Mungkin dia bimbang kehilangan pelanggan.

"Dalam tubuh anak tertanam rambut anak, dimasuki orang melalui ilmu hitam. Pernahkah anak membenarkan seseorang mengisar-ngisarkan rambut anak? Rambut anak dicuri, kemudian ditanam ke dalam tanah di perkarangan rumah anak." Tambahnya lagi dengan nada serius dan cemas.

Bagai tergaru-garu saya mahu tergelak kerana pada jangkaan saya hanya di ceruk-ceruk kampung di tanah air saya sahaja cerita-cerita begini wujud. Tetapi, di kota New York? Namun demikian saya mahu melihat terus drama yang ulung kali saya alami ini.

Sebiji telur ayam dibungkusnya di dalam sapu tangan dengan pantas, dan lantas dia menyapu-nyapu bungkusan telur itu ke seluruh belakang saya. Kemudian bungkusan itu ditempatkan di atas meja.

"Pukul!" Perintahnya. Saya memukul dengan kuat. Pasti berkecai telur itu, fikir saya.

"Lihat! Ada rambut di dalam telur ini. Saya keluarkan daripada tubuh anak. Sekarang percaya tak? Ludah! Ludah rambut itu, supaya hilang sialnya!" Herdik Gipsi tua itu lagi.

Pantang saya diperbodoh-bodohkan. "Saya tak percaya. Pertamanya itu bukan rambut saya. Rambut saya tidak sehalus itu. Kedua kalau rambut itu datangnya dari dalam telur, tentu rambut itu dibasahi oleh isi telur, tetapi rambut itu kering. Mesti puan menaruhnya ke dalam sapu tangan semasa menggiling bungkusan itu di belakang saya tadi."

Saya meletakkan US$3.00 di atas meja dan menghayun langkah keluar. Wanita Gipsi itu tidak berkata sepatahpun!

Cerita lama...

Sudirman Heret Zaiton Sameon Ke Stadium Negara 14 Julai

Sudir diapit oleh Zaiton Sameon & Sara Loo

Suatu ketika dulu, peminat-peminat heboh tertanya-tanya siapakah dia penyanyi 'duda' yang secara senyap-senyap meminati penyanyi 'janda' seksi Zaiton Sameon? Berita yang berupa gossip ini tersiar di majalah URTV.

Antara banyak surat-surat peminat yang sampai ke meja URTV dan tidak termasuk panggilan telefon, ramai yang cuba meneka yang si penyanyi duda popular itu adalah Sudirman Haji Arshad!

Bila diacukan pertanyaan ini kepada Sudir, jawapnya 'No Komen'. Bagi Sudir berita tersebut sekadar gossip dan mungkin juga boleh dianggap 'gimmick' kepada dirinya yang sehingga kini masih menduda.

Untuk kepastian, para peminat boleh mendapatkan jawapan bila menonton Konsert F & N Sarsi, konsert Sudirman di Stadium Negara pada 14hb Julai nanti. Konsert Sudir di Kuala Lumpur itu nanti adalah klimaks kepada rangkaian konsert ke bandar-bandar utama yang telah diadakan sebelum itu. Antara bandar-bandar yang telah dilewati oleh Sudir dan artis-artis undangannya ialah Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Melaka.


Dalam Konsert F & N Sarsi Sudirman, penyanyi seksi yang meletup secara mendadak bersama lagu 'Menaruh Harapan' iaitu Zaiton Sameon buat pertama kalinya berduet dengan Sudirman. Tentu para peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat aksi mereka di pentas nanti.

Menurut Sudir, lagu yang mereka nyanyikan nanti adalah lagu ciptaannya sendiri yang menggambarkan perasaan mereka berdua.

Selain Zaiton Sameon, artis jemputan Sudirman yang terdiri dari Sara Loo dan Yusni Jaafar, Band pengiring pula, The Glue.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan Konsert F & N Sarsi Sudirman nanti, bolehlah dapatkan tiket sebanyak mungkin dengan cara menukar 12 pelapis F & N Sarsi atau Orange Crush.

Setiap pertukaran 12 pelapis F & N Sarsi atau Orange Crush atau 6 gelang-cabut bercetak khas dari tin F & N Sarsi atau Orange Crush akan memperolehi 1 tiket percuma menonton Konsert Sudirman. Selamat menonton!

Petikan: Majalah hiburan URTV keluaran Julai 1988.

Friday, April 27, 2012

Teringat-Ingat: The Oriental Scent



Oktober 1978: Noor dan saya menyanyi keliling Sabah sampai ke ceruk-ceruk, menaiki rakit. Berbagai peristiwa berlaku.

Noor berikan saya tangkal pendindingnya sebab sewaktu di sana, desas-desus di kalangan artis menyatakan yang ada orang nak buat guna-guna pada saya. Saya orang baik-baik, sebab itu tak percaya.... tapi sempat juga jumpa bomoh bila sekali-sekali hilang ingatan. Bomohnya makwe muda pulak tu. Pengerasnya, katanya, hantar majalah hiburan sebulan sekali. Pelik-pelik ragam orang, kan?

Kami berhenti minum, melepas penat di satu penjuru 'Coffee House' sebuah hotel. Bercakap pun antara bisik dan dengar, kerana tidak mahu menarik perhatian. Seorang Mat Salleh pelancong menghampiri kami. Katanya: "Awak berdua macam kembar. Ekspresi, renungan mata, senyuman dan cara awak berdua duduk di ceruk ini pun amat mengkhayalkan sesiapa memandang. Benarkan saya ambil gambar awak berdua buat ingatan. Saya akan namakan gambar ini "The Oriental Scent" (Bau Wangi Timur) sesuai untuk minyak wangi buat kekasih."

Sebulan kemudian saya dan Noor menerima sekeping gambar melalui pos. Mesejnya berbunyi: "Pada waktu-waktu kesunyian, saya menatap gambar awak berdua. Bagaikan satu misteri yang indah."

Kami berkekek-kekek ketawa. Noor terus menyelitkan gambar ini ke dalam tas tangannya.


Thursday, April 26, 2012

Teringat-Ingat: Bila Sudir Ke Dapur


Kehidupan Sudirman sekarang sepenuhnya adalah dengan show dan dunia penulisan. Biarpun rumahtangganya hancur beberapa tahun lalu tetapi sampai kini dia masih mahu hidup menyendiri. Menurut Sudir, jika dia tidak ada show dia banyak menumpukan perhatian kepada penulisan. 

Untuk menemui peminatnya melalui penulisan, Sudirman sanggup berjaga sampai pagi menyiapkan sesuatu artikel. Tetapi mungkin ramai tidak mengetahui bahawa, biarpun sibuk dengan tugas harian Sudir adakalanya suka juga turun ke dapur menyediakan masakan sendiri. "Tetapi kalau nak suruh saya masak, mestilah ada tetamu yang nak makan. Jika untuk tekak sendiri memang saya jarang masak," katanya lagi dengan tersenyum.

Sudirman suka masak cara kampung. Baginya masak cara kampung adalah lebih enak dan menyelerakan. Untuk itu peminatnya janganlah lupa untuk membeli buku masakan hidangan Sudirman dan teman artisnya yang lain keluaran Karangkraf tidak lama lagi.


Cita-Cita Sudir Yang Tak Kesampaian


SUDIR memang artis yang kreatif. Di kepalanya ada saja idea-idea baru untuk peminatnya. Sudir bukan sekadar menyanyi. Bagai yang semua ketahui, dia boleh melukis dan bercerita dengan baik.

Kata Sudir, kalau dia jadi penulis mungkin boleh lahirkan beberapa buah novel. Tapi, dia tidak punya waktu. Namun dia punya hasrat untuk melahirkan bukunya sendiri.

Buku tentang dirinya yang setakat ini telah ada di pasaran 'Dari Dalam Sudirman' buku tentang artis lama dan buku tentang dunia hiburan sepenuhnya akan Sudir lahirkan kemudian. Semuanya ini memerlukan penumpuan yang lebih berat dari Sudirman. "Itu yang saya tidak mampu kerana saya juga perlu bekerja keras untuk karier saya sebagai penyanyi," akuinya.

Sudir akan ke Amerika dua tahun lagi. Dan sekarang dia mahu meninggalkan seberapa banyak kenangan untuk peminatnya. Juga sedikit pendapatan buat sara dirinya di rantau orang. Sudirman mahu melahirkan syarikat rakamannya sendiri.

Segala usaha awal untuk projeknya itu telahpun selesai. Hanya mencari waktu yang sesuai untuk memulakan aktiviti. Cita-cita Sudirman sebenarnya besar. Dia mahu wujudkan satu industri perfileman dan nyanyian yang luas di negara kita. Dia mahu punya syarikat perfilemannya sendiri yang mengeluarkan berbagai produktiviti.

"Macam kat Hong Kong dulu ada Run Run Shaw yang menguasai perfileman Asia. Bukan sekadar filem tapi pelbagai. Saya ini suka buat sesuatu dari bawah. Orang kata take the challenge. Sekarang saya sudah sampai peringkat atas sebagai penyanyi solo, saya mahu mulakan satu yang baru pula. Kerana itu saya fikirkan filem," ujar Sudir. Selepas filem mungkin dia memikirkan projek yang lain pula. 

Antara hasrat Sudir yang pernah diluahkannya melalui majalah Media Hiburan.

Sudirman Meriahkan Hari Raya Bersama Kanak-Kanak Cacat

SUDIRMAN dengan dibantu oleh Noreen Noor sedang menyampaikan 
hadiah kepada salah seorang kanak-kanak cacat akal.

Penyanyi terkenal, Sudirman Haji Arshad telah memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya untuk kanak-kanak cacat akal yang diadakan di Kelab Perwira Habib Bank, Lorong Gurney, Kuala Lumpur petang kelmarin.

Majlis tersebut anjuran bank berkenaan bertujuan untuk menggambarkan betapa masyarakat tidak lupa akan nasib yang dialami oleh golongan yang tidak bernasib baik, seperti mereka.

Berbagai-bagai acara menarik telah diadakan, termasuk acara berbual mesra diantara Sudirman dan beberapa orang dari kanak-kanak itu. Noreen Noor juga tidak ketinggalan menyumbangkan beberapa buah lagu bagi menyerikan lagi majlis tersebut.


Wednesday, April 25, 2012

Teringat-Ingat: Sudirman Tubuh Tabung Bantuan Khas Bantu Pelajar


Semangat Sudirman memang tak pernah padam walau dia menghadapi masalah hidup yang berat. Dia kehilangan isteri yang dicintainya. Dia juga mendapat tentangan hebat sewaktu mengadakan persembahan di UKM tempohari.

"Saya tak pernah berhenti untuk menjadi seorang artis yang terkemuka," Sudirman mengucapkan kata-kata ini bersungguh-sungguh. Dengan suaranya, dia ingin menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

"Saya sering ingin menyanyikan lagu untuk negara dan masyarakat untuk mengisi semangat cintakan negara." Tapi dia tak mahu menjual murah nama Malaysia dengan slogan-slogan kosong. Sudirman punya cara tersendiri, iaitu menyelitkan unsur pendidikan dan tauladan dalam lagu-lagunya.

Persembahan di UKM itu dimaksudkan untuk memberi kesedaran terhadap desa tanah kelahiran kita. Sebab itulah EMI merakamkan persembahan Malam Anak Desa tersebut. Kaset rakaman persembahan Sudirman itu kini dijual di pasaran agar peminat Sudirman di seluruh tanah air dapat menikmatinya.

Dia ingin anak bangsanya maju dan mendapat pendidikan sempurna. Untuk itu Sudirman membentuk Tabung Bantuan Khas untuk membantu murid sekolah yang berkebolehan tetapi tidak mampu menanggung belanja sekolahnya.

Itulah tanda syukur Sudirman. Dia mengejar kariernya hingga ke puncak tertinggi sekalipun. Tapi bukan semata-mata untuk dirinya. Dia ingin menggembirakan orang lain walaupun diri sendiri tak terurus. Lihatlah Sudirman semakin kurus.


Teringat-Ingat: Peminat Hulur Kaset Cetak Rompak


Sudirman Haji Arshad ke Kota Kinabalu untuk menjayakan rancangan terbitan RTM, Keluarga Bahagia. Setibanya di lapangan terbang sana, peminat-peminat menyerbu dan memanggil-manggil namanya.

Sudir terkejut juga. Dia sama sekali tidak sangka peminatnya di sana masih kenal dan tahu perkembangan terbarunya. Kali terakhir Sudir ke sana ialah pada tahun 1978 bersama Noorkumalasari.

Setiap hari lebih kurang 1,200 orang memenuhi dewan untuk menyaksikan telatah Sudirman. Mereka membawa kaset Sudir dan mengharap tanda tangannya.

Tetapi Sudir sedih kerana kebanyakan kaset yang dibawa mereka adalah kaset cetak rompak. Terpaksalah pihak EMI menukar kaset cetak rompak itu dengan kaset original yang dibawa mereka kerana tidak sanggup mengecewakan hati peminat Sudir di sana.

Seminggu di sana Sudir berkesempatan menjayakan rancangan radio Selamat Pagi Sabah dan melawat rumah anak-anak yatim dan cacat.

Seorang peminat Sudir pula sanggup menjadi penaja Sudir mengadakan konsert besar-besaran di seluruh Sabah pada Ogos nanti.


Tuesday, April 10, 2012

Saat-Saat Akhir Sudirman


DAN pada setiap kali saya menziarahinya, pasti saya tidak boleh tidur nyenyak kerana asyik terbayang-bayangkan keadaan dirinya yang terlentang lemah tidak berdaya. Makan disuapkan, mandi pun dimandikan, dilapkan, pakai baju pun dipakaikan dan rambut pun disikatkan. Kesian Sudir...

Bayangkan... Sudirman seorang yang kuat bekerja dan sudah biasa tak tidur sampai pagi, kerana suka menulis apa saja, menulis skrip untuk shownya, mengarang artikel untuk siaran akhbar, melukis kartun dan mengatur perancangan bisnesnya yang sedang rancak pada ketika itu. Minuman SUDI cukup laris di merata negeri, Sudir Shoppe lagi dan terbaru Restoran Selera Sudi.

Jadi apabila saya melihatnya lemah terlentang sakit di katilnya, hati terasa begitu insaf, menyedari betapa besarnya kuasa Allah. Segalanya boleh berubah dalam sekelip mata sahaja. Tidak mustahil yang segar bugar tiba-tiba jadi lemah longlai.

Bayangkan... Sudir yang kuat bekerja itu tiba-tiba terlentang di tempat pembaringannya, seolah-olah Tuhan mahukan dia berehat, kerana dia tidak kenal siang dan malam apabila menghadapi kerja-kerjanya.

Sudir ketika terlantar sakit di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur.

Menghitung tarikh yang tercatat di dalam diari, kiranya sudah 15 kali saya berulang-alik melepaskan kerinduan terhadap Sudir yang dikasihi, bermula 8 September dan terhenti pada 14 November. Saya pun tidak tahu mengapa terhenti menziarahinya, cuma hati saya semacam merajuk, bagaikan tak sanggup melihat keadaannya begitu... kesian sangat.

Kini saya terasa, semuanya digerakkan oleh Allah jua. Kerana saya yakin seseorang yang kita sayangi, semacam kita tidak mahu berjumpanya lagi, bila kita terasa kita akan kehilangannya.

Tapi saya tidak pula menjangka bahawa Sudir akan pergi menemui Allah, bahkan saya penuh yakin dia akan sembuh, kerana ramai yang meramal Sudir panjang umur.

Seperti juga Rudiah yang amat menyayangi Deman adiknya, di hari kematian adik kesayangannya itu dia bertanya saya; "Awak dah menatap Deman puas-puas di hari terakhir ini, nanti rindu..."

"Dah! Saya tatap wajahnya puas-puas," jawab saya tersedu-sedan. "Awak dah tengok dia," tanya saya pula.

Rudiah menangis menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata: "Saya tak mahu tengok Deman mati! Saya tak mahu tengok Deman mati!" berulang kali meratap begitu sedih... kami berdua berpelukan tersedu-sedan.

Kenangan mengusik jiwa Datin Rudiah bersama adik kesayangannya 
yang telah pergi buat selama-lamanya.

Dah ketentuan Allah! Sama-samalah kita redha pemergiannya ke 'alam Baqa' - Alam yang kekal abadi!

Barangkali ramai di kalangan kita-kita ini belum memahami bahawa penyakit yang singgah ataupun kita hadapi itu adalah merupakan "Rahmat Allah" kepada kita. Kerana dengan penyakit yang kita tanggung itu dengan penuh sabar, penuh yakin bahawa penyakit itu satu ujian Allah kepada kita, maka semua dosa-dosa kecil akan terhapus.

Begitu juga dengan penyakit yang dideritai oleh Sudirman selama berbulan-bulan, itu merupakan satu kifarah. Itu sebabnya, para ulama besar di zaman dahulu mereka memang mahu Allah timpakan penyakit ke atas mereka, kerana mereka tahu segala dosa-dosa yang ada pada diri mereka akan diampunkan Allah setelah menerima kifarah.

Semua insan dalam dunia ini mempunyai dosa, kecuali para Nabi dan Rasul yang terpelihara dari dosa. Allah S.W.T. Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dengan ditimpanya penyakit kepada hamba-Nya yang penuh sabar, maka dihapuskannya segala dosa yang ditanggung oleh hamba-Nya itu. (Kecuali dosa-dosa besar dan dosa-dosa mensyirikkan Allah).

RENUNGAN:

Dalam satu Hadis Qudsi, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: 

"Sesungguhnya aku tidak mengeluarkan seseorang dari dunia, sedangkan aku ingin merahmatinya, sehingga aku membalas kesalahan pernah diperbuatnya dengan menimpakan penyakit di tubuhnya, musibah pada keluarga dan anaknya, kesempitan dalam penghidupannya, dan kekurangan dalam rezekinya. Sehingga dosanya lebih kecil dari beberapa butir zarrah. Jika masih tersisa sedikit dosa padanya, maka aku pedihkan kematian atasnya sehingga dia dikembalikan kepada-Ku seperti saat dilahirkan ibunya."

Al-Fatihah untuk Allahyarham Sudir semoga rohnya dicucuri Rahmat dan 
ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal Soleh.


Petikan: URTV "abadi dalam kenangan" catatan, Bahyah Mahmood (BAM) terbitan 1-15 April 2012.


Monday, April 9, 2012

BAM Dipanggil Tengok Sudirman Sakit


Kisah bagaimana saya diberi peluang menziarahi Sudirman yang sedang sakit, pada saya segala-galanya adalah digerakkan oleh Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Saya masih ingat lagi pada Sabtu 7 September 1991, orang di rumah saya memberitahu, "Siang tadi ada orang telefon, katanya dia Rudiah kakak Sudirman. Dua kali dia telefon."

Berdegup jantung saya mendengarnya... sebak rasa dada. Gementar tangan untuk mendail nombor telefon di rumah kakak Sudir, tapi saya kuatkan hati, terus mendail, walaupun sedang dalam keadaan terperanjat.

Saya semacam tidak percaya bila kakak Sudir, Rudiah berkata: Kalau BAM nak tengok Sudirman bolehlah. Bagaimanapun, nanti saya beritahu Roslan dulu, boleh tidak awak datang, kemudian saya akan telefon semula," kata Rudiah.

Jemputan yang tidak disangka-sangka itu membuatkan saya "Sujud Syukur" kepada Allah yang Maha Mengasihani.
Sesungguhnya, sejak Sudir jatuh sakit yang dikejarkan ke Hospital Tawakkal pada 20 Julai 1991, saya benar-benar merasakan kehilangannya, lebih-lebih lagi bila tidak tahu di manakah dia berada dan bagaimana keadaan dirinya yang sebenar.

Boleh dikatakan saban hari saya menelefon ke pejabatnya (Sudirman Productions), bercakap dan menangis bersama setiausahanya, Rohaiza bercakap dengan Tana, Shuib, Ritchie dan pekerja-pekerjanya yang lain untuk mengetahui keadaan Sudirman.

Bila saya tanya macam mana keadaan Sudir?

Jawab Rohaiza: "Ok, dia boleh makan." Bagaimanakah cara-cara saya boleh sampaikan perasaan simpati saya terhadap Sudir?

Terus saya teringat nak menulis surat kepada Sudir dan meminta Rohaiza menyampaikannya. Spontan itu Rohaiza menjawab: "Oh, sayalah yang kena bacakan."

"Sudir hanya terdaya untuk mendengarnya sahaja? Bererti dia dalam keadaan serius," kata hati saya terkejut.

Mulai saat itu, saban minggu saya tulis kisah Sudir. Kisah apa saja yang saya ingat tentang dirinya, khusus untuk tatapan peminat-peminat yang menyayanginya, yang saban hari menelefon, merintih dan menangis bertanyakan hal Sudir.

Rupa-rupanya keresahan hati yang saya tumpahkan di kolum Syyyy BAM di Mingguan Malaysia, seperti yang diberitahu oleh Rudiah kakak Sudir, Doktor Roslan abang Sudir yang tinggal di Johor Bahru turut tersentuh hati dan tak sampai hati membacanya.

Lalu, Dr. Roslan menelifon Rudiah supaya menghubungi wartawan BAM, "Suruh dia datang melihat Sudir."


Esoknya, Ahad 8 September 1991, Rudiah telefon semula minta saya datang selepas solat Isyak. Tak tau rumah di mana?" tanyanya.

"Saya tau. Kalau di Lorong Taban, Bangsar. Sudir kan pernah tinggal di situ dan saya dah beberapa kali datang ke rumah itu, ambil gambar resepi masakan Sudir (ketam sumbat) dan sesi fotografi untuk hari raya."

Mungkin Rudiah pun baru terasa betapa rapatnya persahabatan Sudir dengan saya.

Hinggakan sewaktu dia telefon semalamnya tanpa meninggalkan nombor telefonnya, dan tiba-tiba saya menghubunginya, beliau hairan juga macam mana saya tahu nombor telefon rumahnya. Semuanya kerana Sudir... saya boleh mencarinya di mana saja bila perlu, biar tengah malam mahupun di subuh hari.


Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sebaknya hati saya sepanjang perjalanan ke rumah kakak Sudir pada malam itu. Macam-macam yang saya fikir dan bayangkan ketika itu.

Dengan perasaan sebak dan sayu pilu... saya melangkahkan kaki masuk ke rumah banglo yang terpencil di Lorong Taban 1, Bangsar Park itu.

Hati saya tak henti-henti menyebut nama Sudir... Sudir... mana dia Sudir...? Ya Allah Ya Tuhanku... Inikah dia Sudirman... Saya tergamam! Tergamam dan terkejut melihat dia seperti budak belasan tahun yang sakit, tidak bergerak-gerak dan diam membisu.

Mencurah-curah air mata saya teresak-esak menangis tak dapat ditahan-tahan lagi kerana terlalu kesiankan dia dalam keadaan begitu. Dia sudah tidak boleh bercakap lagi. Pandangannya kosong... matanya memandang tajam menghala ke bumbung. Tangan dan kakinya kadang-kadang lembut, kadang-kadang keras kejang.

"Kenapalah Sudir jadi begini sekali... saya meratap dan menangis dan entah apa lagi yang saya merepek sedih dan geram mengapa Sudir dah bukan Sudir lagi... sambil mengusap dahinya dan mencium ubun-ubun kepalanya... Matanya bergenang basah, saya pegang tangan Sudir, kuku-kuku dah hitam lebam.


Sudir sudah seperti adik saya sendiri. Kalau dia datang ke rumah saya pun, dia suka baring lepak-lepak di depan televisyen sambil bercerita, sambil berangan-angan... nak buat itu, nak buat ini... saja-saja cakap kartun, tapi ada juga yang serius dan menjadi kenyataan seperti minuman SUDI dan Sudir Shoppe.

Dia memakai seluar cerut berikat tali ikat di pinggang dan pakai T-Shirt jenama Sudir Shoppe, label lukisan kartunnya tersemat di dada.

Memang 'cute', Sudir walaupun dalam keadaan sakit. Rambutnya basah tersisir rapi. Jelas sekali dia dijaga dengan penuh kasih sayang oleh kakak-kakaknya, Rudiah dan Roaini.


Kata Rudiah, sebelum saya datang, dia sudah beritahu adiknya itu tentang kedatangan saya. Rudiah menyebut kembali kata-kata itu: "Diman, malam ini kita ada tetamu tau, BAM, Kak Bahyah Mahmood dan suaminya Ahmad Idris nak datang tengok awak, boleh kan? Dia kan sayang awak. Deman kan selalu cerita dengan Angah pasal Kak Bahyah. Kalau dia boleh datang, awak kelip mata. "Dia terus kelipkan matanya. Dia tahulah kak Bahyahnya nak datang jumpa dia. Dia izinkan," kata Rudiah.

Saya katakan terus terang kepada Rudiah bahawa selama ini saya hanya kenal rapat dengan Sudir sahaja, tetapi tak pernah bertemu dengan abang-abang dan kakak-kakaknya, walaupun dia selalu bercerita tentang adik-beradiknya dan menyebut semua nama-nama yang menjadi kesayangannya, Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini.

Tapi saya pernah berjumpa Rudiah dua kali semasa beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka dulu.

Jadi bila Sudir jatuh sakit, dengan siapalah saya nak memberitahu yang saya rapat dengan Sudir dan teringin nak menziarahi Sudir yang sedang sakit. Saya terus jadi lemah dan tidak berdaya bila mendapat tahu semua wartawan yang menunggunya di Hospital Tawakkal pada 20 Julai 1991 dulu, tidak berjaya menemui Sudir yang sedang sakit. Kalau saya ke sana, bererti saya pun akan mengalami nasib yang sama.

Biarlah saya berdoa dari jauh sahaja... dan tak henti-henti berdoa supaya dibukakan oleh Allah pintu hati keluarganya untuk mengizinkan saya menziarahi Sudir... Syukurlah doa saya dimakbulkan Allah.


Bercerita perihal Sudir mula-mula jatuh sakit dulu, sehingga pulang ke rumah dari Hospital Tawakkal, sebenarnya Sudir masih rancak bercakap lagi," kata Rudiah.

Ketika saya datang, kebetulan kakaknya Roaini sedang nak beri Sudir makan. Kata Aini: "Kak Bahyah tengok, Deman macam baby, makannya bertime, best-best punya makanan, bubur nasi campur kentang, campur lobak dan sayur-sayuran. Tengok tu kulit tangannya cantik, fresh, merah lebih bersih dari dia tak sakit dulu, yang tidak terjaga makan minumnya.

Kemudian ramuan makanannya dimasukkan ke dalam tiub, laju aje sekejap dah habis. Kemudian dimasukkan pula 'fresh orange' ke dalam tiub itu, laju juga, habis. Bagaikan tak sanggup saya melihat Sudir berkeadaan begitu, sungguh kesian dia.

Saya berpeluang menziarahi Sudir sakit ialah pada 8 September 1991 - 49 hari yang lalu bermakna sudah sebulan lebih dia terlantar, dari boleh bercakap terus dah tak boleh bercakap lagi.

Mulai saat itu, saya ditemani suami, sering berulang menjenguk Sudir. Terasa rindu sangat kalau tak dapat menjenguk beberapa hari. Kesemua tarikh menatap wajah Sudir saya catat di dalam diari...








Friday, April 6, 2012

Kerajaan Yang Ada Sekarang Perlu Dikekalkan


Kita sedang menuju ke arah kecemerlangan terpuji, mengapa perlu dikorbankan?

Sekali lagi saya ingin ajukan dengan suatu soalan yang sebelum ini belum pernah saya tinjau. Urusan pentadbiran negara bukanlah urusan saya. Urusan saya adalah untuk mencapai kecemerlangan diri dalam apa jua bidang yang saya ceburi supaya dapat bersama-sama berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara, ke arah kecemerlangan.

Dan, selama ini, suasana pentadbiran negara membolehkan saya memainkan peranan. Justeru itu, mengapa pula saya harus pertukarkan suasana hari ini kepada suasana yang belum saya kenal pasti, dan kurang yakin akan keberkesanannya?

Lebih-lebih lagi kita sebenarnya sedang menuju ke era kegemilangan. Mengapa mahu membunuh kerajaan sendiri?

Para pengkritik mungkin bertanya, apakah yang saya peroleh dengan cerita begini? Saya akan berkata bahawasanya saya hanya bercakap benar atas dasar cinta saya terhadap agama, bangsa dan negara. Sebelum terlambat.

Jakarta

Kota Jakarta (Gambar Hiasan)

Sewaktu berada di Kota Jakarta, saya telah berbual dengan pemandu limousine. "Pak orang Melayu ramaikan di sini Pak? Bagaimana boleh saya kenali mereka? Tanya saya. "Oh di sini , kita semua bangsa Indonesia. Melayunya ramai tapi kita namakan orang Indonesia. Baik yang beragama Kristian, Islam mahupun Hindu. Namanya juga nama Indonesia," ujar pemandu itu panjang lebar. Lalu saya teringat akan harapan Laksamana Hang Tuah lebih 500 tahun yang lalu. Dan betapa gagahnya kerajaan Melayu ketika itu.

Singapura

Kota Singa (Gambar Hiasan)

Sewaktu mengadakan persembahan di sebuah kelab malam di Singapura pula saya terserempak dengan peminat saya, dua orang gadis Melayu. Mereka ingin sekali menonton persembahan saya. Kata saya: "Boleh, Abang Sudir boleh belanja." Mereka terdiam seketika lalu berkata: "Takutlah Abang Sudir. Kita orang 'out-of-place' lah."

Lalu saya berkata, "Tak apa, Abang Sudir ada." 

"Terima kasihlah Abang Sudir, tapi entahlah, kita orang rasa tak seronoklah. Itu tempat orang-orang kaya saja."

Malam itu ketika menyanyi di pentas, saya perhatikan pengunjung-pengunjung yang terdiri daripada bangsa Mat Saleh dan bangsa bukan Melayu yang tampak mewah. Kalau ada pun orang Melayu, hanya semeja dua. Itupun lagak mereka bukan seperti orang Melayu lagi.

Lalu saya teringat akan dua orang peminat yang saya temui itu. Saya terfikir, kita pernah senegara dan bersaudara, tetapi kenapa kini langkah kita amat berbeza?

Lalu saya terfikir lagi, adakah itu nasib sebahagian besar daripada Melayu di Singapura? Atau kebetulan saja? Saya tidak mahu memberikan jawapannya. Singapura adalah urusan bangsa Singapura. Laksamana Hang Tuah muncul kembali di benak saya.

Episod Seorang Peminat

Baru-baru ini seorang peminat perempuan dari kampung telah menulis surat kepada saya. Dia mengadu bahawa dia terpaksa berhenti sekolah untuk mencari pekerjaan apa sahaja bagi membantu orang tuanya menyekolahkan 7 orang adiknya. Dia sebenarnya bakal mengambil peperiksaan STPM.

Lalu saya membalas surat itu meminta agar dia mengkaji semula keputusannya. Sama ada dia mahu berkorban sekarang untuk membantu adik-adiknya secara berdikit-dikit, atau mahu meneruskan usahanya dalam pembelajaran dan kemudian membantu keluarganya dengan cara yang lebih berkesan.

Peminat itu menulis balik, marah-marah katanya: "Abang Sudir bolehlah cakap begitu sebab Abang Sudir sudah lepas."

Saya membalas suratnya dan menjelaskan: "Memanglah Abang Sudir boleh cakap sebab Abang Sudir sudah lepas, tetapi mengapa adik tak tanya macam mana Abang Sudir boleh lepas?"

Sudirman sewaktu bergelar siswazah

"Abang Sudir juga daripada keluarga susah. Adik-beradik pun ramai. Malah, kalau nak ikut-ikutkan, mustahil budak-budak dari sekampung Abang Sudir boleh sampai ke mana-mana."

Mujur Abang Sudir berpeluang ke sekolah. Jadi, Abang Sudir belajar rajin-rajin dan berkat ketekunan Abang Sudir, kerajaan telah menawarkan biasiswa. Malah ayah Abang Sudir tak perlu bersusah-payah menanggung persekolahan Abang Sudir. Abang Sudir terus mendapat perhatian dan biasiswa kerajaan, sampailah Abang Sudir jadi penyanyi dan boleh berdikari."

"Nah, sekarang adik pun kata yang Abang Sudir sudah berjaya. Kerana apa? Pastinya usaha! Percayalah kerajaan sentiasa mahu membantu orang susah macam kita. Tetapi kita perlu berusaha." Saya menjelaskan panjang lebar.

"Adik sudah hampir mencapai kejayaan mutlak, mengapa mahu berundur?" Tanya saya lagi.

Dan intisari episod inilah yang ingin saya tekankan. Kita sedang berada di gerbang kecemerlangan. Mengapa mahu berundur?

Pencapaian Negara

Tun Dr. Mahathir telah mencorak kejayaaan Malaysia

Selama 10 tahun Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir menerajui kepimpinan barisan kerajaan, berbagai pencapaian terlihat oleh mata kita. Kita perlu mengakuinya. Kata orang putih, sudah ada 'solid proof'.

Sebenarnya apabila kita terjumpa sebutir mutiara, kita haruslah mengakui kesahihan mutiara itu, tidak menganggapnya sebagai kaca. Hanya dengan pengakuan ini sahajalah kita dapat menikmati nilai sebenar mutiara itu.

Tetapi kita suka menidak-nidakkan sesuatu yang baik. Samalah seperti kisah-kisah Rasul yang tidak diterima ditempat mereka sendiri. 

Justeru itu, janganlah kita tersilap langkah.

Salah satu pencapaian kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir.

Pencapaian kerajaan di bawah pimpinan PM terlalu banyak untuk diperkatakan. Ringkasnya:

* Kestabilan dan keharmonian rakyat tidak pernah terganggu-gugat sepanjang dekad lapan puluhan.

* Nilai-nilai hidup yang positif diserapkan ke jiwa rakyat. Dasar pandang ke Timur menjadi landasan.

* Usaha ke arah memperindah Malaysia, dan seterusnya menjadikan Malaysia tempat tumpuan pelancong pesat dilaksanakan.

* Kegagahan Jambatan Pulau Pinang, lambaian pencakar langit di Bandaraya Kuala Lumpur yang bermandikan neon serta keluasan lebuh raya yang terbentang adalah di antara keindahan yang dapat kita nikmati bersama.

* Kemajuan luar bandar menjadi tanggungjawab yang wajib. Pelbagai rancangan dan projek telah diatur untuk menaikkan taraf penduduk luar bandar.

* Bantuan untuk rakyat termiskin juga diberi perhatian. Termasuklah usaha untuk membantu peniaga-peniaga bumiputera.

* Pelajaran dititikberatkan. Setiap warganegara diberi pelajaran sekolah rendah percuma dengan susulan penawaran biasiswa kepada pelajar yang berkebolehan menyambung pelajaran. Universiti juga bertambah.

* Bahasa Melayu didaulatkan sebagai bahasa utama.

* Malaysia menduduki tempat kelima dikalangan negara membangun. Kemajuan ekonomi kian ketara. Kini kita mengecapi perkembangan pada kadar 9%.

* Projek industri besar telah dimulakan. Kita telahpun mempunyai kereta nasional yang menjadi kebanggaan kita.

* Dasar penswastaan dan persyarikatan dilaksanakan kini sudah menampakkan hasilnya.

* Pelaburan negara-negara luar dan perdagangan antarabangsa kian meningkat ke tahap yang belum pernah kita alami selama ini.

* Eksport pertanian juga meningkat 23.2 billion ringgit.

* Hutang negara dibayar lebih awal daripada jangka waktunya.

* Nilai-nilai Islam mula diserapkan ke dalam pentadbiran. Kalau ditinjau, hukuman mati yang dikenakan ke atas pengedar dadah adalah berdasarkan hubungan pencegahan di dalam Islam. Universiti Islam dan Bank Islam dibentuk dan menjadikan Malaysia pusat tumpuan perkembangan Islam di rantau ini.

* Keberkesanan peranan Malaysia di meja antarabangsa juga terserlah. Keberanian dan ketangkasan pemikiran serta ketegasan pendirian PM telah membuka mata dunia yang selama ini kurang tahu akan wujudnya Malaysia.

Sudirman telah lebih awal memakai baju "I Love PM"

Terlalu banyak untuk disenaraikan segala pencapaian kerajaan dalam dekad lapan puluhan ini. Bayangkanlah kegemilangan yang bakal dinikmati sepuluh tahun akan datang.

Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang teruji. Kerajaan hari ini telah berkali-kali diuji dan muncul dengan cemerlang pada setiap ujian. Kesinambungan pentadbiran negara yang sama amat perlu untuk pencapaian yang berterusan cemerlang. Tambahan pula kerajaan pada hari ini terbaris daripada golongan yang mempunyai nada yang sama tanpa suara-suara sumbang.

Lalu saya bertanya kepada diri sendiri, apa akan jadi kalau kita bertukar kerajaan?

Kerajaan Pembangkang?

Hakikatnya, gagasan pembangkang kerajaan, masih belum teruji keberkesanannya. Malah ideologi mereka tampak bercanggah sesama mereka, dan sengaja disatukan untuk kepentingan masing-masing.

Saya bayangkan masalah yang bakal timbul kalau mereka membentuk kerajaan, antaranya:

* Ekuiti 30% bangsa Melayu akan hilang.

* Ketuanan bangsa Melayu di tanah air sendiri akan lupus.

* Bahasa Melayu akan hilang darjatnya.

* Penerapan nilai-nilai Islam akan terjejas. Mungkin terus lesap.

* Negara akan dibelenggu hutang yang banyak.

* Ramai yang akan tertindas, lebih-lebih lagi penyokong Barisan Nasional, termasuk saya.

* Menjelang tahun 1999, saya tidak hairan sekiranya, mereka membuka pintu kepada jutawan-jutawan dari Hong Kong dan negara-negara lain untuk memulakan penghidupan mereka di sini lantas membolot kemewahan dan  kekayaan yang ada. Kejadian ini tidak mustahil kerana sejarah telah menunjukkan bahawa perkara ini boleh berlaku (kes BMF).

* Dan bangsa Melayu akan meredah hutan semula. Atau mungkin juga akan hidup seperti kebanyakan bangsa Melayu di negara yang dikuasai oleh bangsa asing. Negara maju tetapi orang Melayu tidak selesa.

* Orang kaya akan bertambah kaya. Orang miskin berterusan miskin.

* Orang Melayu akan terus mundur baik dalam bidang pembelajaran, ekonomi mahupun bidang politik.

* Negara akan asyik berpesta ('Party all the time') cuba kita tanya diri kita sendiri. Apakah ini yang kita mahu? Tidak saya. Jika ini berlaku, akan menangislah saya dengan sedu yang tidak terhenti. Jangan pula saya dikeji kerana menangis, kerana saya pasti ketika itu seluruh tanah air akan meratap sama.

Penentuan

"Takkan Melayu hilang di dunia." Kata Hang Tuah.

"Siapa Hang Tuah itu?" Generasi akan datang akan bertanya.

Ketika itu orang Melayu sudah malu untuk menjawab.

Jangan kita biarkan hal ini berlaku. Marilah bersama-sama kita mempertahankan darjat bangsa kita dengan memberi kepercayaan penuh kepada BARISAN NASIONAL, satu-satunya parti yang dapat memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara.

Sayangi Malaysia, Yakini BN

Petikan: Sudirman Haji Arshad Menulis... Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 21 Oktober 1990.
Sumber: Mohd Azhar Md Isa (Peminat Setia Sudirman)