Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn. Bhd. (SUDI) dan Sudir Shoppe





 








Usahawan

Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn. Bhd. dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama SUDI. Kejayaannya dalam memasarkan SUDI telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda. Minuman SUDI yang terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6 bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman SUDI). 

Pada 9 Mac 1991, Sudirman telah mengadakan konsert di tapak Expo Air Keroh, Melaka. Konsert percuma anjuran SUDI Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Melaka itu, bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai atas sambutan mereka terhadap minuman jenama SUDI.

Atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka Sudir Shoppe di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular dan ‘merchadising’ keluaran dirinya, termasuk cermin mata hitam yang fleksibel.

Syarikatnya merancang untuk mengeluarkan SUDI Rasa - iaitu makanan dalam tin seperti sardin, santan kelapa, buah-buahan, koktel dan mee segera. Dilaporkan ada juga rancangan untuk minyak masak, sos tomato dan sos cili istimewa. Beliau dikatakan memiliki restoran yang dinamakan Restoran Selera SUDI terletak berhampiran pejabat urusannya, Sudirman Productions di Taman Sri Hartamas.

Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaannya - Sudirman Productions dan SUDI Sdn. Bhd. telah ditutup pada September 1991.