Tuesday, June 26, 2012

Album Sulung Sudirman "Aku Penghiburmu"


Semasa upacara pelancaran piring hitam (LP) sulungnya yang berjudul "Aku Penghiburmu" di Pejabat EMI, Kuala Lumpur baru-baru ini, Sudirman Haji Arshad menyatakan harapannya untuk terus bergiat dalam lapangan seni suara hingga ke suatu masa tertentu.

Sudir juga mengucapkan terima kasih kepada para wartawan akhbar, majalah dan RTM atas sokongan memberi publisiti kepadanya sejak dia menjadi penghibur.

"Tanpa sokongan dan publisiti tak mungkin saya jadi terkenal seperti hari ini," kata Sudir yang disambut dengan tepuk sorak dari yang hadir.

Menyentuh tentang album sulungnya ini, Sudir menyatakan terdapat sebuah lagu yang ditujukan khas kepada biduanita Saloma dan lagu itu diberi nama "Mama".

"Saya sendiri yang gubah lagu ini sebagai penghargaan saya terhadap biduanita sepanjang zaman ini," kata Sudir.

Lagu-lagu dalam albumnya itu ialah "Aku Penghiburmu" ciptaan Ahmad Nawab, "Mama" ciptaan Sudir sendiri, "Bila Hati Terpikat" ciptaan Akhbar Nawab, "Maya" (copyright), lagu lama "Jali-Jali" yang menaikkan nama Sudir dalam pertandingan Bintang RTM.

"Kerana Mata" (copyright), "Kasih" ciptaan Ahmad Nawab, "Jika Kau Pergi" (copyright), "Hanya Lagu" ciptaan Syed Haron, "Cinta dan Cita" (copyright), "Gugur Di Tangkai Madu" ciptaan Ahmad Nawab dan "Gadis Semalam" ciptaan S. Atan.

Petikan: Majalah Utusan Radio & TV, keluaran 18 Oktober 1978.
Sumber: Wiraaz Collezzione

Sudirman - Mama (Ditujukan khas kepada Saloma)

Prebet Tidak Lapok Sudirman

 Album Patriotik Sudirman berjudul "ABADI"

Sudirman nampaknya semakin jelas ingin menyampaikan sesuatu kepada masyarakatnya melalui seni suara. Tidak hairan kalau ada yang menggelarkannya sebagai penyanyi masyarakat atau penyanyi rakyat.

Setiap ideanya, di dalam setiap albumnya, senantiasa membawa nafas baru bersama lagu-lagu bertemakan kemasyarakatan. Kemudian terbit pula "Lagu Dari Kota" yang diterbitkan oleh S. Atan. Bermula dari album inilah Sudirman dikenali sebagai penyanyi rakyat.

Baru-baru ini Sudirman sekali lagi menggemparkan orang ramai, sebaik sahaja album terbarunya diedarkan. Album ini berjudul "ABADI" mengandungi 10 buah lagu. Boleh dikatakan lagu-lagu di dalam album ini, adalah lagu-lagu bercorak patriotik, yang menaikkan semangat anak muda untuk menyintai negara.

Ketika memulakan sidang akhbarnya di kolam renang Angkatan Tentera Darat Malaysia di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Gurney, Kuala Lumpur, sebuah lagu yang dinyanyikannya telah menaikkan bulu roma.

Lagu "ABADI" ciptaan S. Atan itu berjaya menjadikan Sudirman sebagai seorang tentera darat. Malam pelancaran albumnya itu Sudirman pun berpakaian seorang askar, amat melucukan sekali.

 Sudirman segak berpakaian ala tentera darat

Menurut Sudirman, sejak dulu lagi dia telah menginginkan album nyanyiannya yang mengandungi lagu-lagu seperti itu. "Inilah masanya saya mendapat peluang. Memang janggal dan mungkin juga orang bertanya mengapa saya memilih lagu-lagu patriotik, tidak cinta, kecewa seorang perempuan dan lelaki?" Tanya Sudirman lantang.

Katanya lagi, kalau seorang penyanyi asyik dengan lagu-lagu cinta, sampai bila pun peminat tidak akan meminati lagu lain. "Kalau kita sebagai penyanyi berani membawakan lagu-lagu seperti ini misalnya, mahu tak mahu peminat akan menerimanya, malah akan menjadi kegemaran di samping menanamkan semangat kecintaan kepada negara," kata Sudirman.

Malam itu Sudirman telah bermesra dengan orang ramai yang turut menyaksikan persembahan yang amat menarik, semuanya terpegun dan yakin lagu-lagu Sudirman dari album terbaru ini.

Dia telah diiringi oleh Orkes Tentera Darat di bawah pimpinan Kapten Pit. Dalam suasana riuh rendah, Leftenan Jeneral Jaafar Onn tabik hormat kepada Sudirman. Sudirman malu-malu hormat. "Patutnya saya yang memberi tabik hormat kepada Leftenan Jeneral," ujar Sudirman sambil tersenyum.

Leftenan Jeneral Jaafar Onn tabik hormat kepada Sudirman

Orang ramai bersorak dalam drama lucu itu. Lepas itu penyanyi kesayangan jutaan peminat ini naik ke pelantar terjun di kolam renang itu. Di situ tempat teristimewa Sudir, di atasnya berkibar-kibar bendera Malaysia di samping asap ciptaan berkepul-kepul di udara mencantikkan suasana.

Sebagai contoh, inilah cara Sudirman yang menjadi perhatian ramai. Kalau anda ingat lagi, semasa dia jadi gembala lembu dalam satu rancangan TV tak lama dulu, Sudirman telah menggayakan sepenuh hati, sehingga betul-betul jadi gembala lembu.

Sanggupkah penyanyi-penyanyi lain mencipta identiti sendiri, seperti itu?

Petikan: Majalah Kisah Cinta, keluaran 1 Mac 1982.


Saturday, June 23, 2012

Kematian Orang Yang Dikasihi Dan Kita

Sudir sewaktu kecil

Masih terngiang-ngiang suara Mak Piah memanggil nama saya. Kuat dan lantang. Tetapi nadanya berayun penuh kasih sayang. Suara itu saya dengar setiap hari. Pagi, petang, siang dan malam. Dan bagi seorang anak berumur empat tahun, suara itu sudah menjadi seakan-akan suara ibunya sendiri.

Emak saya jarang di rumah. Dia kuat berpolitik. Dan saya selalu berasa rindu. Namun begitu, saya tidak pernah merungut. Mak Piah ada.

Mak Piah akan menyuapkan nasi ke dalam mulut saya. Mak Piah suka pedas. Saya terikut sama. Mak Piah bancuhkan susu untuk saya. (Tetapi saya tidak suka susu). Dituangnya susu ke dalam botol. Direndam di dalam sekole air sejuk untuk menyuamkan susu.

"Kalau tak minum, nanti, emak Sudir tak balik." Katanya.

Mak Piah tahu kelemahan saya. Apabila emak saya pulang. Mak Piah akan mendukung saya untuk dihantar pulang. Kami jiran sebelah-menyebelah. Oleh kerana itu kadang-kadang saya tidur terus di sisinya. Dan tilam kekabu Mak Piah terus menerima kesan-kesan peninggalan alam kanak-kanak saya. Tetapi Mak Piah, tak pernah marah. Macam emak saya juga.

Minggu lalu saya diberitahu yang Mak Piah saya sudah tiada lagi, pergi menyusul anaknya Yati yang saya ceritakan dulu dalam cetusan rasa "Menulis Surat dan Kita." Saya tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Sudah lama saya tidak berjumpa Allahyarhamah Mak Piah. Sudah lama tak bertanya khabar. Sedar-sedar segalanya sudah terlambat. Mak Piah sudah tiada lagi.

"Ya Allah ya Tuhanku, panjangkanlah usia keluarga dan orang-orang yang rapat denganku. Jagalah mereka."

Sejak kematian emak saya, saban malam, inilah doa sepi saya sebelum tidur. Ketika itu saya masih berhingus, dan masih belum mengenal erti kesengsaraan kehilangan orang yang disayangi. Dan kehilangan emak saya hanya rasakan bertahun-tahun kemudian. Oleh kerana itu doa saya bersambung dari sehari ke sehari. Saya rasa tidak mungkin dapat menerima kenyataan kematian orang yang saya kasihi.

Bertahun-tahun selepas pemergian emak saya, saya tidak pernah menghadapi kematian orang-orang yang saya kasihi lagi. Saya rasa Tuhan dengar doa saya saban malam. Dan saya amat bersyukur.

Sehinggalah saya kehilangan ayah saya pula. Tiada kata yang dapat menggambarkan kepiluan saya semasa ayah pergi. Perasaan ngilu menglonglai tubuh badan saya.

Ayah tidak seharusnya pergi. Kami masih memerlukannya. Namun dia pergi jua. Dan pemergiannya adalah kehilangan terbesar yang pernah saya rasakan. Pada hari itu saya seakan-akan mati sama.

Tetapi sebaliknya, sejak menjadi yatim piatu, khasnya sejak ayah pulang ke Rahmatullah, saya bagaikan mendapat tiupan semangat baru. Segala rindu terhadapnya saya salurkan ke dalam perjuangan saya dan saya tekadkan hati untuk menyempurnakan segala impiannya terhadap saya. Dan saya bulatkan suara hati saya, bahawa kematian adalah lawannya kehidupan. Ia suatu yang pasti. Yang harus diterima. Dan tidak perlu dikesali. Yang telah pergi tetap mempunyai tempat yang syahdu di ruang hati. Yang tinggal harus terus menyambung nyawa untuk terus hidup. Walaupun akhirnya kematian akan datang juga kepada mereka. Itu, biasa!

Saya masih ingat lagi sekembalinya dari pengkebumian emak saya, kakak saya mengumpulkan kami adik-beradik dan sambil tersedu-sedan, dia berkata, "Kita semua, sudah tak ada emak. Tapi Ngah akan jaga kamu semua." Pada waktu itu kata-kata itu tidak membawa apa-apa makna bagi saya. Tetapi hari ini saya mengerti yang kematian bukanlah pengakhir cerita bagi yang pergi. Kasih sayang yang diberikan sewaktu hidupnya, akan menjadi panduan dan tiupan semangat mereka yang masih hidup. Seperti kasih sayang emak saya dan ayah saya. Dan Mak Piah!......... Al-Fatihah.........

Petikan: Dari Dalam Sudirman muka 71-72.



Friday, June 15, 2012

Ayah Saya

Allahyarham Haji Arshad Hassan (Bapa Sudirman)

Saya dibesarkan tanpa canang. Tidak dimanja-manjakan seperti menatang minyak yang penuh. Sepanjang ingatan, ayah tidak pernah memeluk kami. Ayah ketua rumah. Ketua rumah tak boleh beri muka kepada pengikut-pengikutnya. Takut pengikut naik atas kepala. Ayah macam pemerintah garang. Putih katanya putihlah jadinya. Dengan ayah, tak boleh bergurau sangat. Bahkan tak boleh bergurau langsung.

Itulah caranya di rumah semasa masih anak-anak. Malahan, cara itu lumrah kampung. Mungkin itulah lumrah masyarakat kampung seluruh negara. Kaum bapa senantiasa keras dan tegas. Tidak pernah menunjukkan kasih sayang secara nyata. Seperti ayah saya, kalau dia senyum, saya semacam kena loteri.

Kerana itulah semasa kecil, ayah bukanlah lambang hero yang dilahirkan dari novel-novel, bagi diri saya. Tubuhnya kecil seperti tubuh saya. Cuma raut wajahnya lebih berperwatakan. Ayah amat bersahaja. Namun demikian, saya tidak dapat menyelami karektornya.

Saya masih ingat, ayah ramai kawan. Kereta buruknya seperti kereta awam. Sesiapa pun boleh menggunakannya pada bila-bila masa, dan tak payah isi petrol. Ayah senang diajak bicara. Tiap-tiap hari rumah kami jadi rumah terbuka. Orang keluar dan masuk. Kawan-kawannya boleh makan dan minum di rumah kami pada bila-bila masa. Boleh tidur. Boleh mandi (tuala saya selalu jadi sasaran). Dan kami tak boleh komplen, kena 'balun' dengan tali pinggang atau bulu ayam. Sampai bintat.

Ayah begitu mengongkong. Saya tak boleh naik basikal jauh-jauh. Tak boleh mandi sungai atau laut. Tak boleh main dalam belukar. Saya ingkar, sebab itu selalu kena belasah, dan kerana ini, sampai hari ini saya masih tidak pandai memandu kereta.

Ayah pantang kalau kami lemah dalam pelajaran. Dan dialah paling gembira sekiranya kami berjaya. Sehingga kawan-kawan pun tahu. Inilah saat-saat yang paling kami tidak senangi.

Ayah simpan duit merata-rata. Sebeban not seringgit diikat dengan getah dibiarkan di dalam saku seluarnya yang baggy, tergantung di dinding. Adakalanya ayah simpan duit dalam kasut. Kami masih tidak tahu hingga hari ini, sama ada ayah sedar yang duitnya kena kebas seringgit dua.

Ibu dan ayah Sudirman

Suatu petang, semasa berumur 10 tahun saya melintas jalan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Seorang pemandu kereta telah berhenti dan menempeleng saya. Sakit hati dibuatnya. Saya mengadu pada ayah dengan harapan agar ayah dapat mengajar pemandu tersebut. Tetapi saya kena tempeleng lagi. Begitulah ayah.

Jika ayah beli sate pada lewat malam, semua dikejutkan untuk makan bersama. Tak boleh menolak. Saya tidak faham langsung dengan sifat ayah, ketika itu.

Tetapi setelah dewasa barulah saya faham muslihat ayah. Dengan caranya sendiri, ayah amat menyayangi kami. Apabila ayah semakin lanjut usianya. Saya semakin dekat kepadanya. Tetapi saya tidak pernah diasuh menunjukkan sayang pada ayah.

Hanya waktu tidurnya, saya akan mencuri-curi menyelimutkannya. Anehnya dia juga berbuat demikian terhadap kami.

Sehingga di saat-saat akhir bersama kami, kami hanya mampu bersalaman. Ingin benar saya memeluknya tetapi terasa begitu segan dan malu. Itulah dinding yang menyekat kami dengan ayah.

Saya masih ingat lagi, bagaimana terkejutnya ayah apabila kakak memeluknya waktu dia pulang dari Mekah. Dan itulah pelukan tunggal dari kami untuk ayah. Di saat pemergian ayah, saya mengucup dahinya pada tubuh yang telah terbujur kaku, kucupan tunggal dalam hidup saya untuk ayah. Dan ayah kelihatan sungguh tenang.

Hingga hari ini saya diburu sesalan kerana tidak menunjukkan kasih sayang secara terang sewaktu hidupnya. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Itu adalah adat dan caranya ketika itu, tradisi waktu.

Abang Sudir harap adik-adik tunjukkanlah kasih sayang yang sepenuhnya kepada ibu dan bapa sewaktu hidup mereka.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 10.

Pusara Allahyarham Haji Arshad Hassan, Al-Fatihah.