Tuesday, January 31, 2012

Apa Saja FBI "Sudirman Dalam Kenangan"


Sempena mengenang pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang genap 20 tahun pada 22 Februari depan, rangkaian Media Prima iaitu TV9 telah mengadakan satu segmen khas untuk mengimbau kembali perjuangan seni Penghibur No.1 Asia ini.

Program Apa Saja FBI, sebuah rancangan terbitan Primeworks Studios yang dikendalikan oleh pengacara dan penyampai radio popular Hot FM iaitu Faizal Ismail. Topik yang diketengahkan dalam program ini ialah "Sudirman Dalam Kenangan". Bakal mengimbau kembali nostalgia dan legasi yang ditinggalkan oleh Sudirman ketika hayatnya. Program ini telah dirakamkan di hadapan penonton di Studio NTV7 Glenmarie, Shah Alam semalam, sekitar jam 6 petang dan berakhir pada jam 10 malam.

Antara jemputan yang hadir pada program ini ialah mereka yang rapat dan pernah bekerja dengan Sudirman iaitu Daniel Dharanee Kannan (bekas pengurus Sudirman), Den Wahab (tukang jahit Sudirman), Fauzi Marzuki (komposer), Atai (anak saudara Sudirman), Che Mok @ Mokhtaza Ahmad (Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music) dan Azhar (Peminat setia Sudirman).
Pelbagai pengalaman yang dikongsikan oleh mereka yang pernah bekerja dengan Sudirman ketika zaman kegemilangannya sekitar era 1980-an. Jangan ketinggalan menyaksikan rakaman Apa Saja FBI ini yang bakal bersiaran di TV9 di hatiku pada 25 Februari 2012 (Sabtu) jam 8.30 malam.

Studio Apa Saja FBI


Thursday, January 19, 2012

Mengenang 20 Tahun Pemergian Sudirman

Kami bergambar kenangan sewaktu pertemuan pertama tahun lalu

Pada 22 Februari 2012 depan maka genaplah 20 tahun industri hiburan tanah air kehilangan seorang Penghibur Prolifik yang cukup disayangi ramai, beliau yang dimaksudkan ialah Penghibur No.1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Kehebatannya sebagai Penghibur serba boleh sehingga kini masih menjadi sebutan malah beliau juga turut dijadikan sumber inspirasi kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya serta ingin menakluki dunia dalam apa jua lapangan sekalipun. 

Legasi yang beliau ditinggalkan sukar untuk dipadam dari memori sesiapa sahaja yang mengenalinya secara rapat mahupun generasi muda yang baru sahaja mengenalinya. Malah tidak menghairankan jika Sudirman berjaya menarik minat warga Hong Kong untuk meminatinya. Sebagai contoh baru-baru ini saya telah mendapat seorang kenalan warga Hong Kong di laman sosial Facebook iaitu Puan Leung Angie yang menyatakan rasa kagum beliau terhadap Penghibur Lagenda Malaysia ini. Minat beliau mula berputik apabila menonton dokumentari Sudirman Arshad yang disiarkan di Channel Bio Hong Kong. Beliau mengkagumi visi Sudirman yang berusaha gigih untuk mencapai cita-citanya yang gemilang. Begitulah hebatnya aura seorang insan yang bernama Sudirman.

Sebagai mengenang pemergian Allahyarham yang genap 20 tahun (22 Februari 2012), pada 25 Februari depan bersamaan hari Sabtu satu majlis ringkas Pertemuan Peminat Sudirman akan diadakan di rumah kakak Allahyarham iaitu Datin Hajah Rodziah Haji Arshad bertempat di No.16 Lorong Taban 1, Lucky Garden Bangsar, 59100 Kuala Lumpur. Di kesempatan ini juga, saya sebagai wakil bagi pihak Datin Rodziah ingin menjemput khususnya peminat setia Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad untuk sama-sama hadir pada pertemuan itu nanti. Program berkemungkinan akan bermula pada jam 1 tengah hari dan berakhir pada jam 5 petang. Semoga pada pertemuan itu nanti dapat mengeratkan silaturrahim dikalangan peminat setia Allahyarham. 

===============================================================

Nota dari admin:  

Assalamualaikum, nampaknya perjumpaan peminat sepertimana yang direncanakan pada 25 Februari 2012 (Sabtu) terpaksa di BATAL kan atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Berikut sedikit mesej dari Datin Rodziah Hj. Arshad berhubung pembatalan Majlis ini "Terlebih dahulu aunty minta berbanyak maaf kerana tak dapat nak buat perjumpaan untuk get together with peminat Deman kerana bermula 18 Februari ini aunty akan berada di luar kota setiap weekend untuk menguruskan mesyuarat agung kawasan bagi persiapan mesyuarat agung tahunan pada akhir Mei ini, selalunya mesyuarat kawasan bermula pada bulan Mac tapi tahun ni terpaksa start awal kerana Pengerusi akan ke Dubai. Itu lah kita hanya merancang yang menetapkannya Yang Maha Kuasa. Sekali lagi maaf sangat-sangat" HARAP MAKLUM.


Sedikit rakaman pada pertemuan pertama kami