Monday, September 24, 2012

Cara Saya Belajar


Ramai di antara adik-adik telah mengutarakan masalah mereka mengenai pelajaran. Kerana itu, pada minggu ini, saya ingin memberi sedikit pandangan saya tentang cara-cara belajar yang pernah saya amalkan sewaktu di bangku sekolah dahulu.

Sememangnya ramai di antara kita, semasa remaja tidak memberi perhatian yang khusus terhadap pelajaran. Kepentingannya hanya mula dirasakan apabila kita telah meningkat dewasa, dan biasanya kita sudah terlambat untuk menginsafi kelalaian kita.

Adik-adik, abang ini bukanlah pakar. Apa yang ingin abang sampaikan hanyalah sekadar pengalaman abang sewaktu bertungkus-lumus dengan buku-buku dulu. Punca masalahnya ialah diri kita sendiri. Kita mempunyai cita-cita. Nak jadi pandai. Nak jadi orang berguna. Tetapi kegigihan kurang. Kita perlu tumpukan segala usaha kepada matlamat kita. Dengan kesedaran ini mudahlah bagi kita untuk memberikan perhatian yang penuh kepada pelajaran kita.

Di dalam darjah, berilah perhatian yang khusus terhadap apa yang diajar. Dengar dan fahamkan. Jika tak tahu bertanyalah. Jangan segan. Kalau kita segan kita yang rugi. Jangan fikirkan soal-soal lain sewaktu guru sedang berbicara. Anggaplah setiap yang diajar sebagai satu cerita yang menarik.

Menulis nota yang baik adalah penting. Cubalah membuat satu garisan memanjang di sebelah kiri atau kanan kertas / buku nota. Salin semula fakta-fakta yang penting dengan teratur dan terang. Selepas waktu sekolah, baca apa yang telah disalinkan. Baca berulang kali sehingga faham benar. Jangan tunggu hari yang lain. Waktu yang paling baik megulangkaji ialah ketika ingatan masih segar terhadap apa yang telah dipelajari. Jika perlu rujukan kepada buku-buku teks. Di ruangan yang dibuat tadi, catatkan rumusan ringkasan yang boleh mengingatkan kita kepada fakta-fakta yang telah disalin.

Ingat: BUFSU; Baca, Ulang, Fahamkan, Salin nota ringkas, Ulang.

Beberapa bulan sebelum peperiksaan cubalah menjawab soalan-soalan kertas tahun-tahun lalu. (Walaupun soalan sepuluh tahun lalu). Sepanjang sepuluh tahun tentu ada soalan yang berulang, cuma ia disoal dengan cara yang berlainan. Setelah menjawab soalan tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan, bandingkan dengan fakta-fakta yang terkandung di dalam nota-nota atau buku-buku. Perbaikilah jawapan-jawapan tadi. Dan tanpa rujukan, jawaplah soalan itu sekali lagi, atau jika perlu, berkali-kali lagi. Pasti tersemat di otak. Ini adalah suatu latihan yang baik. Ia mungkin cerewet sedikit. Tetapi pasal belajar sampai pengsan pun tak apa, kan?

Sewaktu belajar tenangkan fikiran. Jangan fikirkan perkara-perkara yang tidak bersangkutan. Pada mula-mulanya memang susah. Tetapi alah bisa tegal biasa, lebih-lebih lagi jika kita dapat menginsafi hidup tanpa pelajaran yang cukup. Kerana ilmu adalah senjata kita yang terkuat.

Jika perlu buatlah kad-kad nota kecil yang boleh dibawa ke mana-mana, sama ada ketika menziarah keluarga atau sewaktu pergi memancing atau pun ketika sedang menunggu bas dan sebagainya. Tetapi ingat, jangan bawa saja. Bacalah!

Sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan, ulangkajilah dengan menggunakan rumusan-rumusan ringkas. Insya-Allah. Kalau masih gagal juga, mesti ada silap di mana-mana. Mungkin perhatian yang diberikan masih belum seratus-peratus. Jangan malu untuk mencuba lagi.

Kita, di negara ini, memang pada dasarnya mempunyai perasaan segan dan malu. Sesungguhnya perasaan segan dan malu. Sesungguhnya perasaan segan dan malu memang baik, jika kena pada tempatnya, tetapi dalam soal belajar, perasaan ini tidak harus wujud. Kalau ada mesti dikikis! Semoga berjaya.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 11.


Friday, September 14, 2012

Ke Universiti Impian Saya


Memang tidak salah bermimpi. Saya juga mempunyai banyak impian. Ianya menyambung tujuan hidup saya. Dan saya akan menceritakan impian hidup saya satu-persatu dari semasa ke semasa.

Hari pertama saya menjejakkan kaki di Universiti Malaya, saya tercegat sejenak di hadapan pagar besi yang memisahkan ketenangan universiti tersebut daripada kesesakan kota di sekitar kawasannya. Hati saya melonjak, mendesak kaki saya berjalan masuk. Bukannya saya tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan universiti sebelumnya. Tetapi kunjungan saya dahulu hanyalah sebagai pelawat yang menghantar abang saya yang menuntut di menara gading itu. Kali ini giliran saya pula. Saya amat gembira. Terasa seperti ada seribu ekor kupu-kupu terbang menari-nari di dalam dada saya.

Impian terawal saya semasa kecil kini menjadi nyata. Saya melangkah pantas. Seolah-olah ingin menanam tapak kaki saya di kawasan itu secepat mungkin. Saya nampak padang yang luas. Dan saya teringat bagaimana dulu kami sekeluarga menyusur padang itu dengan kereta, saya akan berangan berlari di tengah padang itu. Saya berangan diri saya berjalan mengepit fail-fail dan buku-buku yang tebal. Saya bayangkan diri saya bersiar-siar di waktu petang. Saya bayangkan rakan-rakan yang ramai. Ia seperti satu dunia baru. Dunia impian.


Saya tidak terasa terik matahari yang memancar garang pada pagi itu. Seluruh anggota saya sudah meresap ke alam sekeliling. Sejak kecil saya tertunggu-tunggu akan saat ini. Dan kini saya mahu benar-benar merasakan nikmat alam baru ini.

Sekeliling saya, ramai muka-muka baru seperti saya. Ada yang telah tua. Ada yang kelihatan seperti anak orang berada. Ada yang kelihatan kurang berkemampuan. Tetapi yang lebih nyata ialah semua mereka ini telah menyemai impian yang sama. Dan satu kehidupan baru bermula untuk kami semua.

Kami hidup seperti di dalam satu perkampungan yang kecil. Ada tempat tidur. Ada masjid. Ada tempat belajar. Ada tempat menjualan makanan yang beraneka. Ada kedai buku. Ada kemudahan bersukan. Ada tempat berehat. Ada tempat bersiar-siar. Ada televisyen untuk ditonton sepanjang malam yang membosankan. Sekali-sekala ada hiburan di dewan besar. Kerana itulah kami tidak perlu keluar. Lainlah kalau ingin menghitung kota Kuala Lumpur.

Saban hari kami ke kuliah. Kami dibenarkan berpakaian bebas. Tidak perlu lagi mencuci uniform sepanjang minggu seperti waktu di sekolah dulu. Jadual waktu pun tersusun rapi sepanjang hari. Rakan begitu ramai. Dan kalau bernasib baik, kami akan mendapat pasangan yang sesuai. Mungkin membawa terus ke jinjang pelamin. Walaupun ini bukan matlamat asalnya. Tetapi ini tidak dapat dielakkan. Masing-masing sudah dewasa. Masing-masing sudah bijak, sudah tahu baik-buruknya sesuatu itu. Dan kedewasaan ini terus membentuk kami. Dalam kami mencari-cari diri kami sendiri, impian baru mulai berputik. Strategi baru mula dirancangkan. Cita-cita kami sudah tidak kabur lagi. Kami tahu arah tujuan kami. Dan esok kelihatan bertambah cerah.

Azam kami kian menggunung. Dan di masa-masa begini kenangan di kampung menjadi satu sumber inspirasi kepada siswa-siswi yang berasal dari sana. Begitu jugalah dengan saya. Di sini juga kami mulai mendapat kenalan-kenalan baru yang akan berganding sama setelah sama-sama keluar bekerja nanti. Dan ini merupakan satu lembaran baru pula.

Saya tidak terasa panjangnya tahun-tahun yang telah saya lalui di universiti. Segala-galanya berlalu dengan pantas sekali. Sedar-sedar saya sudah berjubah dan memegang segulung ijazah. Di luar dewan Tunku Cancelor, keadaan sesak seperti pasar, pada hari konvokesyen itu. Jurugambar merata-rata. Bergulung-gulung filem yang habis. Berbagai-bagai wajah kelihatan tersenyum riang. Setiap graduan datang bertemankan penyokong-penyokongnya yang bukan sedikit. Pada masa itu saat-saat ini adalah detik-detik yang amat indah, tidak ternilai harganya. Tiada perasaan malu. Tiada perasaan segan. Masing-masing mengetengahkan kaum keluarga mereka. Biarpun dari ceruk mana. Kenapa tidak? Hari bersejarah ini adalah kejayaan bersama.

Ramai di antara adik-adik pembaca ruangan ini menyatakan keinginan mereka untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Tetapi mereka juga mempunyai perasaan was-was terhadap kemampuan mereka. Saya tidak menyalahkan mereka. Kerana saya pernah merasakan kesangsian yang sama.

"Kamu semua mesti menanam cita-cita untuk ke universiti," kata Miss Lim sewaktu saya di dalam darjah tiga. Kata-katanya menusuk ke dalam lubuk hati saya ketika itu. Dan terus terlekat di situ. Miss Lim menceritakan kepada kami keindahan universiti yang pernah dikunjunginya itu. Pada ketika itu, Miss Lim pun menaruh harapan untuk ke universiti. Permohonannya pernah ditolak. Namun dia tidak mengalah. Hatinya sudah ke situ. Tiada apa yang mungkin dapat menukarkan impiannya. Dan terasa begitu jauh sekali tempat indah itu bagi diri saya ketika itu. Tetapi harapan untuk ke sana bergeser seperti keretapi yang meluncur laju ke seluruh perjalanan nadi saya. Saya sarankan sepenuh keupayaan untuk tujuan itu. Saya tidak mahu pupus di tengah jalan. Saya tidak mahu rasa kecurigaan membelenggu diri saya meragut semangat saya daripada buku-buku saya. Kerana itu, saya selalu mengingatkan diri sendiri: "Sudah beribu murid yang ke sana. Kenapa tidak saya?"

Dan, kenapa pula tidak adik-adik? Selamat belajar.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 47-48.