Tuesday, November 27, 2012

Sudirman Sayang Sangat ATAI


COKMAN ATAI - begitulah tajuk tulisan tangan Sudirman Haji Arshad untuk lukisan kartunnya semuka penuh di ruangan Teringat-ingat Sudirman yang pernah tersiar di majalah URTV kesayangan ramai, keluaran 1 November 1990.

Kartun ini memaparkan perasaan kasih sayang Sudir terhadap anak saudaranya, sejak Atai masih kecil lagi. Sememangnya Atai membesar di depan mata Sudir yang dipanggilnya Cokman atau panggilan sayang kesemua anak-anak saudaranya.

Atai nama penuhnya Razman Azrai memang tinggal serumah dengan Cokmannya kerana ibu dan ayahnya, Datin Rudiah yang mengikut suaminya Datuk Zainudin bertugas di luar Kuala Lumpur iaitu di Sabah dan di Pulau Pinang selama beberapa tahun.

Sudirlah yang membimbing Atai untuk menjadi penyanyi dan penghibur sepertinya dan muncullah album nyanyian Atai yang berjudul Sahabat pada tahun 1987 keluaran Sudirman Productions. Dan Atai kerap juga muncul di pentas show Sudirman dan di konsert Sudirman di RTM (TV1). 

Setelah 20 tahun berlalu, kartun ini diulang sekali lagi untuk tatapan peminat-peminat Allahyarham untuk kita fikir-fikirkan pemikiran Penghibur No.1 Asia ini mempunyai wawasan yang jauh ke depan, sentiasa berusaha dan bekerja untuk menggapai angan-angannya menjadi Jutawan Ternama setelah bergelar Penghibur Ternama.

20 tahun dulu, ketika kartun ini tersiar (1990) bisnes Sudir memang sedang meningkat, pantas dan laju minuman SUDInya laris di pasaran dan Sudir pernah membisikkan ke telinga BAM, tak lama lagi dia akan menggenggam keuntungan RM5 juta.

Sudir juga berbisik untuk memasarkan minuman SUDInya ke Eropah dan ke Amerika (lihatlah lukisan kartun Sudir di Hawaii) keluaran lalu. Kesemua lukisan kartunnya di URTV semasa hayatnya dulu... tersurat dengan angan-angannya... kekecewaan hatinya yang terluka parah gara-gara rumah tangganya yang musnah, Sudir akhirnya berhenti menangis meratap... dia terus tersedar dari khayalannya memuja bidadarinya yang ghaib entah ke mana!

Sudir akhirnya tidak mahu lagi hidup merana, lantas bekerja dan berusaha terus tanpa penat dan tanpa tidur, ingin menjadi insan yang berjasa kepada negara sekaligus memartabatkan dirinya ke darjat jutawan ternama... itulah angan-angannya seperti yang tersurat di sebalik Cokman Atai dan itulah yang tersirat di sanubarinya, Atai buah hati pengarang jantung akan menerima satu juta ringgit di hari jadinya yang ke-24 tahun nanti.

Tidak mustahil angan-angan Sudir akan menjadi kenyataan kiranya namanya memang telah tertulis di Loh Mahfuz usianya menjangkau hingga 50-an misalnya, kerana Sudir pernah berbisik, dia akan jadi jutawan di usia 40-an.

Renung-renung dan fikir-fikirkanlah lukisan kartun yang penuh makna ini tersiar pada tarikh 1 November 1990. Kemudian, lapan bulan selepasnya (20 Julai 1991) Sudir tiba-tiba jatuh sakit. Sama sekali tidaklah kita menyangka dan menduga penyakitnya itu berlarutan hingga menghembuskan nafas terakhir. Kematiannya sungguh menggemparkan seluruh negara.

Tujuh bulan lamanya Sudir terlantar sakit dan akhirnya dia meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Kisah Sudirman Haji Arshad, hidup dan matinya sungguh menyayat hati.

Sememangnya banyak impiannya yang tidak tercapai. Begitulah kehendak Allah Azza Wajalla! Dia Maha Pengasih Maha Penyayang terhadap hamba-hambanya. Apa yang telah terjadi itulah yang terbaik. Ada hikmahnya!

Mudah-mudahan roh Sudirman Haji Arshad sentiasa dilimpahi rahmat Allah S.W.T.


Atai Lupakan Angan-Angan Jadi Penyanyi

Atai bersama wartawan Fauziah Samad (tengah) dan Saodah Ismail

ATAI - panggilan manja Razman Azrai bin Datuk Zainudin sememangnya menjadi 'buah hati' kesayangan Sudirman - bapa saudara yang dipanggilnya Cokman.

Atai semasa kanak-kanak lagi, umurnya baru lima tahun Sudir sudah membawa ke pentas shownya berganding dalam program hiburan di televisyen (RTM1).

Cerita Atai: "Semasa Cokman menyanyikan lagu patriotik, saya berjalan hormat atas pentas sambil tabik kepada penonton. Saya yakin saya telah melakukannya dengan baik, selepas itu saya sering dibawa oleh Cokman ke pentas-pentas shownya.

"Suatu ketika saya masih ingat lagi, Cokman menyuruh saya memanjat tiang bendera di Dataran Merdeka semasa show Cokman di malam tahun baru. Saya kena berlakon sebagai 'Double'nya sementara penonton menumpukan perhatian kepada saya, tiba-tiba Cokman muncul dari bawah pentas."

Setelah merakamkan nyanyiannya dalam album Sahabat terbitan Sudirman Productions pada tahun 1987, Atai mula rasa seronok menjadi penyanyi, apalagi lagu nyanyiannya 'Pusing' menjadi lagu hits kegemaran budak-budak sebaya dengannya.

Keseronokan berada dalam dunia hiburan memang terasa sangat. "Memang, semasa Cokman masih hidup dulu, saya benar-benar mahu libatkan diri dalam dunia seni. Masa tu seronok sangat sebab Cokman ada. Bila Cokman dah tak ada lagi di dunia ini, keseronokan saya hilang serta-merta.

"Apatah lagi di saat-saat terakhir Cokman berpesan bagai amanat terakhirnya. Atai, janganlah sekali-kali Atai meneruskan kehidupan sebagai artis. Janganlah mengikut jejak Cokman sebagai anak seni. Sebenar-benarnya kehidupan insan-insan seni penuh dengan pancaroba.

"Begitulah pesan Cokman yang masih terdengar-dengar lagi. Selepas Allahyarham Cokman meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya, saya tidak lagi berangan-angan untuk menjadi penyanyi dan penghibur sepertinya. Saya berjanji tak akan melupakan amanat terakhir Cokman, bapa saudara yang paling saya sayangi. Dia amat istimewa bagi saya.

"Saya terlalu merinduinya... Dia sentiasa di hati saya walaupun dia sudah tak ada lagi di dunia ini. Segala kenangan hidup bersamanya tetap abadi."

Ketika Cokmannya meninggal dunia, Atai berusia 18 tahun dan masih menuntut lagi. Atai kini 38 tahun sudah bergelar sarjana lulusan University of Rhode Island, Amerika Syarikat, kini berjawatan bos di sebuah syarikat di Cyberjaya.

Atai telah pun melayari penghidupan rumah tangga bahagia di samping isteri dan anak-anak.

Mudah-mudahan penghidupan kita semua dilimpahi rahmat Allah S.W.T. Bahagia di dunia dan bahagia di akhirat, Insya-Allah. 

Petikan: Majalah URTV edisi 827, 01 -15 Disember 2012, catatan Bahyah Mahmood (Kak BAM).

Saturday, November 17, 2012

Liza Aziz Saksi Sudirman Pengsan

Liza Aziz ketika berduet bersama Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Pemergiannya semakin jauh... namun Allahyarham Sudirman Haji Arshad sentiasa dalam kenangan setiap insan yang berdampingan rapat dengannya. Di antaranya ialah Liza Aziz, anak gadis pasangan bintang filem ternama Aziz Jaafar dan Normadiah.

Julai, 1991 - Sewaktu Sudir tiba-tiba jatuh sakit yang membuatkan dunia artis gempar kerana tidak mengetahui khabar beritanya yang konon Sudir disembunyikan oleh keluarganya entah di mana...? Tup-tup saya menerima sepucuk surat kiriman Liza Aziz 'backing singer' Sudir.

Dalam suratnya itu Liza memulakan kata-kata: "Kak Bam tau tak, Liza adalah artis yang akhir sekali dapat bercakap dengan Abang Sudir.

"Hari itu seorang pembantu Abang Sudir telefon Liza meminta Liza turut serta dalam show Abang Sudir di Pulau Pinang. Tapi Liza terpaksa menolak ajakannya disebabkan pada tarikh yang sama, Liza pun ada show juga.

"Tapi 10 minit selepas tu, Abang Sudir sendiri telefon Liza merayu dan mengharap sangat-sangat Liza dapat bersamanya. Pujukannya membuatkan Liza sebak dan terus menangis dalam telefon.

"Kerana apa Liza menangis...? Liza menangis kerana Liza betul-betul tak percaya suara itu suara Abang Sudir... suaranya terketar-ketar... perlahan dan terputus-putus membuatkan Liza sukar nak faham apa yang diucapkannya.

"Suaranya dan kata-katanya masih lagi terdengar-dengar di telinga Liza. Liza rasa sedih dan kesian sangat. Terus Liza bersetuju untuk bersama show Abang Sudir dan membatalkan show Liza sendiri dengan rela hati.

"Abang Sudir rupanya seorang yang tabah, kerana dalam keadaan dirinya yang sakit, dia tetap datang untuk rehearsal. Semasa latihan kadang kala dia terlupa lirik lagu nyanyiannya kemudian tiba-tiba dia pengsan...! Kami semua terkejut dan kelam-kabut membantu menyedarkannya.

"Esoknya pembantu Abang Sudir memberitahu Liza, show di Pulau Pinang dibatalkan. Dan Abang Sudir telah dimasukkan ke hospital."

Sahabat Buat Abang Sudir


Liza terkilan sungguh tak dapat menghadiahkan kepada Abang Sudir kaset sulung Liza yang beredar di pasaran serentak pada hari kematiannya.

"Liza teringat, Abang Sudirlah orang yang paling gembira sekali bila Liza ditawarkan oleh Rediffusion Records sebagai recording artistnya.

"Sebelum itu Abang Sudir sering berkata, jika dia menubuhkan syarikat rakamannya nanti, Liza sudah pasti menjadi recording artistnya.

"Album ini terdapat lagu berjudul SAHABAT. Istimewa buat Abang Sudir. Liriknya mengisahkan perihal seorang sahabat yang telah pergi buat selama-lamanya.

"Liza sendiri tak tau mengapa semasa merakamkan lagu 'Sahabat', suara Liza tersangkut-sangkut, malah Liza tiba-tiba terasa sebak dan berdiri bulu roma dek perasaan terharu dan nyanyian Liza terpaksa diulang berpuluh kali. Pada hal pada ketika itu Abang Sudir sedang sakit... rupa-rupanya dia akan meninggalkan kita semua buat selama-lamanya.

Berulang kali Liza menyatakan rasa terhutang budi kepada Sudirman yang sentiasa memberi perangsang dan dorongan terhadap gadis yang satu ini yang sering merasa rendah diri dan pemalu.

Pada Sudir, Liza mempunyai bakat yang boleh diketengahkan. Kata Sudir: "Bukannya orang nak peduli kita gemuk atau kurus. Apa yang penting ialah bakat yang ada pada diri seseorang."

"Liza masih ingat, sebelum Abang Sudir terbang ke London bertanding di Royal Albert Hall, dia nampak kurang yakin dengan kebolehannya untuk mengalahkan penghibur-penghibur Asia yang hebat-hebat tu, tapi Liza memberi semangat dan meyakinkannya dengan kata-kata semangat: "To me Abang Sudir, you are number one. Masin mulut, dia memang Penghibur No.1 Asia.

"Walaupun Liza merasa terkilan dan sedih tak dapat menziarahinya sepanjang tujuh bulan lamanya dia sakit hinggalah dia meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya tapi Liza sentiasa berdoa agar rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah buat Abang Sudir tersayang, seorang insan yang istimewa!"

Demikian warkah Liza Aziz yang penuh syahdu...!

Petikan: Majalah hiburan URTV ruangan 'abadi dalam kenangan' catatan Bahyah Mahmood, keluaran 15-30 November 2012.



Tuesday, October 16, 2012

Rambut Sudirman & Kenangan Royal Albert Hall

Sudir sewaktu diumumkan sebagai pemenang Asia's No.1 Performer

Semasa hayatnya Sudirman Haji Arshad 20 tahun yang lalu, saya memang suka sangat bila dapat peluang bersembang-sembang santai dengan manager Sudir, Dharanee Dharan Kannan - Mr. Dunn, panggilan Sudir kepada pemuda yang kacak lawa lagi peramah.

Sepulangnya ke Malaysia dari London, Mr. Dunn yang mengiringi Sudir yang kegembiraan menjulang anugerah Penghibur Terbaik Asia (Asia's No.1 Performer) di Malam Anugerah Muzik Popular Asia di Royal Albert Hall, London 1989 (dulu), Dharanee sempat berbisik-bisik dengan saya: "Ada banyak story ....nantilah!"

Tentunya banyak hal-hal yang berlaku di belakang pentas Royal Albert Hall yang tak akan diceritakan oleh Sudir sendiri.

Kata Mr. Dunn: "Memang banyak hal yang saya terpaksa hadapi berkaitan dengan Sudirman. Pertama sekali ketika Rehearsal. Kata Sudirman, dia tak perlu menghadiri latihan pertama itu. Biarlah pengarah muziknya, Michael Veerapan sahaja yang membuat penerangan kepada Orkestra Royal Albert Hall itu. Lagipun Sudirman memang dah banyak berlatih di tempat sendiri dengan pengarah muziknya itu.

"Ketiadaan Sudirman semasa latihan membuatkan penganjurnya marah-marah!" cerita Mr. Dunn.

Kata Mr. Dunn: "Dia nak marah! ....Marahlah!". Sudir memang tidak mahu membuang masa berjam-jam rehearsal. Saya sendiri mati-matian membela Sudirman. Kerana saya sendiri lebih suka Sudirman pergi ke salon dan Sudirman sendiri pun memang dah merancang nak ke Vidal Sasson untuk mendandan rambutnya, nak tukar fesyen, tukar style rambut yang lebih mempesona penampilannya di pentas malam nanti.

Sudir bersama managernya Mr. Dunn

"Biarkan dia ke salon, tak mengapa. Kerana dia memang sudah bersedia untuk shownya di malam nanti," begitulah yang dikisahkan oleh Mr. Dunn. Lalu minta saya meneka berapakah harga fesyen rambut baru Sudir malam yang bersejarah itu?

Entah ya!. Di London tentulah mahal!. Harga rambut baru Sudirman ialah 75 pound! Wowww! (RM360), untuk malam yang bersejarah itu. Tak mengapalah, Sudirman menang Asia's No.1 Performer!

Sudir & Anita Sarawak Berdakap

Sudirman (empat dari kiri) bersama rakan-rakan penghibur Asia yang 
menyertai pertandingan nyanyian di Royal Albert Hall, London. Turut
kelihatan dalam foto ialah Anita Sarawak (paling kanan).

Munir, Sahabat saya yang bermastautin di Kota London, seronok sangat bercerita tentang kemenangan Sudirman menggondol anugerah Penghibur Terbaik Asia di Royal Albert Hall, London (1989).

Kata Munir dia berasa bertuah dapat menyaksikan pertandingan penghibur-penghibur Asia yang ternama.

Katanya, lebih seronok lagi, dapat melihat sendiri peristiwa Sudirman & Anita Sarawak yang nampaknya cukup mesra mereka berdua. Sudir dengan Anita berdakap-dakap sikit punya lama di saat keputusan pertandingan mula dibacakan. Tentunya insan berdua ini sedang berkongsi perasaan yang sedang berdebar-debar.... tak tau siapa menang sebagai JUARA

Bila saya tanya Dharanee perihal Sudir dan Anita sepulangnya mereka dari London, Mr. Dunn pun memang tau Sudir dan Anita sememangnya berkawan baik, "Sudir tu anggap Anita macam kakaknya. Dia begitu hormat pada Anita".

Kata Mr. Dunn, sewaktu berbaris di belakang pentas, sebelum keluar ke depan pentas untuk menerima award masing-masing, Sudir beritahu Anita; "Nita, kalau you menang, jangan lupa yang I pun ada berdiri tercanguk di atas stage ya!". 

Dan jawab Anita pulak; "Sudir, kalau you menang, jangan lupa I pun ada berdiri di sebelah you ya!".

Begitulah kisah mereka berdua. Seronok dan terharu sekali mendengar luahan perasaan kedua-dua bintang handalan ini ketika mereka berdua berada di tempat orang.

Sebab itulah agaknya bila keputusan diumumkan, seperti yang diceritakan oleh kawan-kawan di London, orang yang paling gembira sekali dengan kemenangan Sudir ialah Anita Sarawak. Dia terpekik kegembiraan. Sukanya dia, melonjak-lonjak kegembiraan.

Ternyata mereka berdua meraikannya bersama, tak kira siapa yang menang.

Setelah mendengar banyak cerita-cerita kisah London dari Mr. Dunn, secara bergurau saya tanya Sudir: "Apa yang Sudir cakapkan pada Anita sewaktu berdakap-dakap tu?"

Sudir terkejut juga bila ditanya begitu, terus terkekek-kekek dia tertawa...; "Kak Bahyah ni tak pergi London pun boleh tau semua hal.

"Memanglah saya gembira dan kalau saya tak menang pun, saya harap-harap Anitalah yang menang. Saya cakap pada dia berulang kali; "Anita, Anita! You are still my star! You are still my star".

Apa pula kata Anita pada Sudir? Tanya saya saja-saja nak kepo.

Jawap Anita; "I am so happy for you. I told you, you are special. I am so happy for you."

BAM tumpang berbangga! Tak sedar meleleh air mata mendengar cerita anak Melayu yang istimewa ini.

Tak Mahu Penari Mat Saleh


Mr. Dunn menemani Sudir di pentas untuk persembahan Charlie Chaplinnya

"Sudirman tak mahu penari Mat Saleh membawa propnya ke pentas untuk persembahan Charlie Chaplinnya, kerana bimbang si penari tersilap buat nanti," cerita Dharanee perihal peristiwa yang berlaku di malam Anugerah Muzik Popular Asia di Royal Albert Hall, London.

Jadi mahu tak mahu, terpaksalah Mr. Dunn sendiri mengambil alih tempat si penari kerana Mr. Dunn sendiri sebagai manager, memang sudah biasa mengendalikan show Sudir.

Pihak penganjur memang menentang keras tindakan Mr. Dunn yang rela hati nak membawa prop naik ke pentas, disebabkan dia tak ada 'work permit'.

Terpaksa juga si manager mencari jalan, semata-mata untuk kepuasan artisnya yang satu ini.

Begitulah hebatnya pengurus seperti Dharanee. Baginya, kebaikan Sudir adalah keutamaannya. Hingga sanggup dia bertekak tak habis-habis. Pihak penganjur pun hairan dengan sikap Mr. Dunn, lalu berkata; "Awak sepatutnya boleh mengawal artis awak."

Tetapi sebenarnya, kawalannya terhadap kepentingan Sudirman adalah lebih penting baginya, sehingga menghasilkan kejayaan yang hebat, turut mengharumkan tanah airnya, Malaysia! Satu Malaysia negara tercinta!

Tidur

Alkisah... pada hari pertunjukkan, sekali lagi Mr. Dunn bertekak dengan pihak penganjur, sebab Mr. Dunn tidak mahu kejutkan Sudir di pagi hari, untuk menghadiri temu ramah di BBC London.

Kata Mr. Dunn; "Artis saya perlu tidur dan rehat yang cukup."

Mr. Dunn Jaga Makan Minum Sudirman



Semasa di London, Mr. Dunn juga khabarnya tiap hari tak penat-penat keliling kota London mencari restoran halal untuk membeli makanan halal buat santapan bosnya, Sudirman.

Makanan yang dipilih bukan saja halal, tapi sedap dan sesuai, kena dengan selera Sudir. Sudir pula memang cerewet dengan makanan, kalau kita kata sedap, pada dia tak sedap, dia tak makan.

Mr. Dunn kenalah memilih makanan yang sesuai untuk Sudir, supaya suara Sudir tidak parau atau sakit tekak disebabkan tersalah makan.

Ternyata berat juga tanggungjawab dan tugas Mr. Dunn terhadap seorang artis ternama, Sudirman Haji Arshad. Dan tak sia-sialah penat lelah Mr. Dunn lantaran artisnya berjaya menjulang award Asia's No.1 Performer di Royal Albert Hall, London!

Sembunyikan Sudir


Kebanggaan negara. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Sudir 
sebaik pulang dari London, selepas mengharumkan nama negara.

Kepulangan Sudirman Haji Arshad, Penghibur No.1 Asia ke tanah air Malaysia tercinta telah disambut dengan sorakan gembira dan bangga dari ribuan peminat-peminatnya dan juga kawan-kawan yang menunggunya di Hotel PJ Hilton.

Dalam sibuk-sibuk orang ramai menyerbunya, saya pun yang tak ketinggalan menyibuk sama, sempat juga berbual sekejap dengan Sudir bertanyakan kisah dia di London.

Dalam senyum sedih Sudir mengadu, katanya sebelum pertunjukkan di Royal Albert Hall itu, dia tak mendapat perhatian langsung dari pihak media atau jurugambar di London.

"Terasa diri saya tidak dipedulikan langsung dalam satu acara di mana kesemua artis berkumpul untuk bergambar."

Tak sempat Sudir menghabiskan ceritanya, Mr. Dunn cepat menyampuk; "Kak Bahyah tau tak, setelah mereka melihat persembahan Sudir.... masing-masing terus terpegun. Dan bila diumumkan Sudir menang... wow! Semua wartawan dan jurugambar mencari-carinya sehinggalah Sudir terpaksa diheret oleh pihak penganjur dan disembunyikan satu jam lamanya, kerana ribuan manusia di luar sedang menantinya untuk menatap wajah Sudir dari dekat!

"Bayangkan... kalau Sudir keluar untuk pulang ke hotel, sudah tentu dia pengsan di tengah-tengah 'mat saleh' yang tegap-tegap sasa!" kata Mr. Dunn sambil ketawa.

Petikan: Majalah URTV 'Abadi Dalam Kenangan' catatan: Bahyah Mahmood, keluaran Oktober 2012.


Sudir sewaktu melakukan persembahan

Monday, September 24, 2012

Cara Saya Belajar


Ramai di antara adik-adik telah mengutarakan masalah mereka mengenai pelajaran. Kerana itu, pada minggu ini, saya ingin memberi sedikit pandangan saya tentang cara-cara belajar yang pernah saya amalkan sewaktu di bangku sekolah dahulu.

Sememangnya ramai di antara kita, semasa remaja tidak memberi perhatian yang khusus terhadap pelajaran. Kepentingannya hanya mula dirasakan apabila kita telah meningkat dewasa, dan biasanya kita sudah terlambat untuk menginsafi kelalaian kita.

Adik-adik, abang ini bukanlah pakar. Apa yang ingin abang sampaikan hanyalah sekadar pengalaman abang sewaktu bertungkus-lumus dengan buku-buku dulu. Punca masalahnya ialah diri kita sendiri. Kita mempunyai cita-cita. Nak jadi pandai. Nak jadi orang berguna. Tetapi kegigihan kurang. Kita perlu tumpukan segala usaha kepada matlamat kita. Dengan kesedaran ini mudahlah bagi kita untuk memberikan perhatian yang penuh kepada pelajaran kita.

Di dalam darjah, berilah perhatian yang khusus terhadap apa yang diajar. Dengar dan fahamkan. Jika tak tahu bertanyalah. Jangan segan. Kalau kita segan kita yang rugi. Jangan fikirkan soal-soal lain sewaktu guru sedang berbicara. Anggaplah setiap yang diajar sebagai satu cerita yang menarik.

Menulis nota yang baik adalah penting. Cubalah membuat satu garisan memanjang di sebelah kiri atau kanan kertas / buku nota. Salin semula fakta-fakta yang penting dengan teratur dan terang. Selepas waktu sekolah, baca apa yang telah disalinkan. Baca berulang kali sehingga faham benar. Jangan tunggu hari yang lain. Waktu yang paling baik megulangkaji ialah ketika ingatan masih segar terhadap apa yang telah dipelajari. Jika perlu rujukan kepada buku-buku teks. Di ruangan yang dibuat tadi, catatkan rumusan ringkasan yang boleh mengingatkan kita kepada fakta-fakta yang telah disalin.

Ingat: BUFSU; Baca, Ulang, Fahamkan, Salin nota ringkas, Ulang.

Beberapa bulan sebelum peperiksaan cubalah menjawab soalan-soalan kertas tahun-tahun lalu. (Walaupun soalan sepuluh tahun lalu). Sepanjang sepuluh tahun tentu ada soalan yang berulang, cuma ia disoal dengan cara yang berlainan. Setelah menjawab soalan tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan, bandingkan dengan fakta-fakta yang terkandung di dalam nota-nota atau buku-buku. Perbaikilah jawapan-jawapan tadi. Dan tanpa rujukan, jawaplah soalan itu sekali lagi, atau jika perlu, berkali-kali lagi. Pasti tersemat di otak. Ini adalah suatu latihan yang baik. Ia mungkin cerewet sedikit. Tetapi pasal belajar sampai pengsan pun tak apa, kan?

Sewaktu belajar tenangkan fikiran. Jangan fikirkan perkara-perkara yang tidak bersangkutan. Pada mula-mulanya memang susah. Tetapi alah bisa tegal biasa, lebih-lebih lagi jika kita dapat menginsafi hidup tanpa pelajaran yang cukup. Kerana ilmu adalah senjata kita yang terkuat.

Jika perlu buatlah kad-kad nota kecil yang boleh dibawa ke mana-mana, sama ada ketika menziarah keluarga atau sewaktu pergi memancing atau pun ketika sedang menunggu bas dan sebagainya. Tetapi ingat, jangan bawa saja. Bacalah!

Sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan, ulangkajilah dengan menggunakan rumusan-rumusan ringkas. Insya-Allah. Kalau masih gagal juga, mesti ada silap di mana-mana. Mungkin perhatian yang diberikan masih belum seratus-peratus. Jangan malu untuk mencuba lagi.

Kita, di negara ini, memang pada dasarnya mempunyai perasaan segan dan malu. Sesungguhnya perasaan segan dan malu. Sesungguhnya perasaan segan dan malu memang baik, jika kena pada tempatnya, tetapi dalam soal belajar, perasaan ini tidak harus wujud. Kalau ada mesti dikikis! Semoga berjaya.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 11.


Friday, September 14, 2012

Ke Universiti Impian Saya


Memang tidak salah bermimpi. Saya juga mempunyai banyak impian. Ianya menyambung tujuan hidup saya. Dan saya akan menceritakan impian hidup saya satu-persatu dari semasa ke semasa.

Hari pertama saya menjejakkan kaki di Universiti Malaya, saya tercegat sejenak di hadapan pagar besi yang memisahkan ketenangan universiti tersebut daripada kesesakan kota di sekitar kawasannya. Hati saya melonjak, mendesak kaki saya berjalan masuk. Bukannya saya tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan universiti sebelumnya. Tetapi kunjungan saya dahulu hanyalah sebagai pelawat yang menghantar abang saya yang menuntut di menara gading itu. Kali ini giliran saya pula. Saya amat gembira. Terasa seperti ada seribu ekor kupu-kupu terbang menari-nari di dalam dada saya.

Impian terawal saya semasa kecil kini menjadi nyata. Saya melangkah pantas. Seolah-olah ingin menanam tapak kaki saya di kawasan itu secepat mungkin. Saya nampak padang yang luas. Dan saya teringat bagaimana dulu kami sekeluarga menyusur padang itu dengan kereta, saya akan berangan berlari di tengah padang itu. Saya berangan diri saya berjalan mengepit fail-fail dan buku-buku yang tebal. Saya bayangkan diri saya bersiar-siar di waktu petang. Saya bayangkan rakan-rakan yang ramai. Ia seperti satu dunia baru. Dunia impian.


Saya tidak terasa terik matahari yang memancar garang pada pagi itu. Seluruh anggota saya sudah meresap ke alam sekeliling. Sejak kecil saya tertunggu-tunggu akan saat ini. Dan kini saya mahu benar-benar merasakan nikmat alam baru ini.

Sekeliling saya, ramai muka-muka baru seperti saya. Ada yang telah tua. Ada yang kelihatan seperti anak orang berada. Ada yang kelihatan kurang berkemampuan. Tetapi yang lebih nyata ialah semua mereka ini telah menyemai impian yang sama. Dan satu kehidupan baru bermula untuk kami semua.

Kami hidup seperti di dalam satu perkampungan yang kecil. Ada tempat tidur. Ada masjid. Ada tempat belajar. Ada tempat menjualan makanan yang beraneka. Ada kedai buku. Ada kemudahan bersukan. Ada tempat berehat. Ada tempat bersiar-siar. Ada televisyen untuk ditonton sepanjang malam yang membosankan. Sekali-sekala ada hiburan di dewan besar. Kerana itulah kami tidak perlu keluar. Lainlah kalau ingin menghitung kota Kuala Lumpur.

Saban hari kami ke kuliah. Kami dibenarkan berpakaian bebas. Tidak perlu lagi mencuci uniform sepanjang minggu seperti waktu di sekolah dulu. Jadual waktu pun tersusun rapi sepanjang hari. Rakan begitu ramai. Dan kalau bernasib baik, kami akan mendapat pasangan yang sesuai. Mungkin membawa terus ke jinjang pelamin. Walaupun ini bukan matlamat asalnya. Tetapi ini tidak dapat dielakkan. Masing-masing sudah dewasa. Masing-masing sudah bijak, sudah tahu baik-buruknya sesuatu itu. Dan kedewasaan ini terus membentuk kami. Dalam kami mencari-cari diri kami sendiri, impian baru mulai berputik. Strategi baru mula dirancangkan. Cita-cita kami sudah tidak kabur lagi. Kami tahu arah tujuan kami. Dan esok kelihatan bertambah cerah.

Azam kami kian menggunung. Dan di masa-masa begini kenangan di kampung menjadi satu sumber inspirasi kepada siswa-siswi yang berasal dari sana. Begitu jugalah dengan saya. Di sini juga kami mulai mendapat kenalan-kenalan baru yang akan berganding sama setelah sama-sama keluar bekerja nanti. Dan ini merupakan satu lembaran baru pula.

Saya tidak terasa panjangnya tahun-tahun yang telah saya lalui di universiti. Segala-galanya berlalu dengan pantas sekali. Sedar-sedar saya sudah berjubah dan memegang segulung ijazah. Di luar dewan Tunku Cancelor, keadaan sesak seperti pasar, pada hari konvokesyen itu. Jurugambar merata-rata. Bergulung-gulung filem yang habis. Berbagai-bagai wajah kelihatan tersenyum riang. Setiap graduan datang bertemankan penyokong-penyokongnya yang bukan sedikit. Pada masa itu saat-saat ini adalah detik-detik yang amat indah, tidak ternilai harganya. Tiada perasaan malu. Tiada perasaan segan. Masing-masing mengetengahkan kaum keluarga mereka. Biarpun dari ceruk mana. Kenapa tidak? Hari bersejarah ini adalah kejayaan bersama.

Ramai di antara adik-adik pembaca ruangan ini menyatakan keinginan mereka untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Tetapi mereka juga mempunyai perasaan was-was terhadap kemampuan mereka. Saya tidak menyalahkan mereka. Kerana saya pernah merasakan kesangsian yang sama.

"Kamu semua mesti menanam cita-cita untuk ke universiti," kata Miss Lim sewaktu saya di dalam darjah tiga. Kata-katanya menusuk ke dalam lubuk hati saya ketika itu. Dan terus terlekat di situ. Miss Lim menceritakan kepada kami keindahan universiti yang pernah dikunjunginya itu. Pada ketika itu, Miss Lim pun menaruh harapan untuk ke universiti. Permohonannya pernah ditolak. Namun dia tidak mengalah. Hatinya sudah ke situ. Tiada apa yang mungkin dapat menukarkan impiannya. Dan terasa begitu jauh sekali tempat indah itu bagi diri saya ketika itu. Tetapi harapan untuk ke sana bergeser seperti keretapi yang meluncur laju ke seluruh perjalanan nadi saya. Saya sarankan sepenuh keupayaan untuk tujuan itu. Saya tidak mahu pupus di tengah jalan. Saya tidak mahu rasa kecurigaan membelenggu diri saya meragut semangat saya daripada buku-buku saya. Kerana itu, saya selalu mengingatkan diri sendiri: "Sudah beribu murid yang ke sana. Kenapa tidak saya?"

Dan, kenapa pula tidak adik-adik? Selamat belajar.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 47-48.


Monday, August 27, 2012

Tanggal 31 Lagu Keramat


Rasanya tidak lengkap sambutan Bulan Kemerdekaan yang disambut setiap Ogos tanpa lagu Tanggal 31 nyanyian Penghibur No.1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Rentak dan bait-bait lirik serta kelunakan suara Allahyarham menjadikan lagu itu cukup berbisa Sehingga mampu menyentap semangat rakyat untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara bebas daripada belenggu penjajah itu.

Sejak berkumandang pada tahun 1982, lagu asal ciptaan penyanyi kelahiran Medan, Indonesia, Ahmad Chass Barra (Ahmad CB) terus meniti di bibir rakyat tanpa mengira latar belakang keturunan sehingga mencapai status malar segar.

Ahmad CB merupakan penyanyi asal lagu Tanggal 31

Tidak ramai yang tahu, rentak asal lagu tersebut bukan seperti didengari hari ini. Rentak asal lagu berkenaan lebih perlahan. Rentak yang didengari hari ini diubah atas permintaan Sudirman. Apatah lagi Sudirman pada ketika itu mahu memasukkan lagu berkenaan ke dalam album patriotik berjudul ABADI keluaran syarikat rakaman EMI.

Penerbit album berkenaan, S. Atan memberitahu, penggubahan semula irama lagu ciptaan dan nyanyian Ahmad CB itu dilakukan atas kehendak Sudirman sendiri sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

"Dia datang bertemu saya untuk merakamkan semula lagu penyanyi berasal dari Indonesia, Ahmad CB. Hasrat Sudirman semasa itu adalah untuk menukarkan lagu klasik berentak march itu kepada pop. Semasa hari rakaman saya terkejut apabila beliau bawa sekumpulan kanak-kanak dan orang tua untuk menyanyikan suara latar. Itu idea dia sendiri," kata S. Atan.

Menurut S. Atan populariti lagu Tanggal 31 yang dimuatkan di dalam album ABADI keluaran 1982 menjadikan album tersebut laris dengan jualan mencecah 50,000 unit.

Album ABADI terbitan tahun 1982 memuatkan lagu-lagu 
patriotik termasuk Tanggal 31

"Sebelum itu, tiada siapa yang berminat untuk merakamkan lagu patriotik, tapi selepas kejayaan lagu itu, semakin banyak lagu seumpamanya dicipta. Muzik penuh patriotik dengan seni kata yang mudah diingati itu menjadikan Tanggal 31 lagu paling dekat di hati kita setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan Negara," katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja bersama Sudirman, S. Atan menyifatkan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu sebagai penghibur berani mengambil risiko dalam setiap tindakannya. Selain itu, katanya, Sudirman juga dikenali oleh semua sebagai penghibur yang sangat berdisiplin dan bertanggungjawab.

"Kerja dengan Sudirman mudah. Dia tepati masa, faham kerja dia dan tidak sesekali menyusahkan orang lain. Kalau ada rakaman, dia tidak ambil sebarang persembahan, tumpuan diberikan 100 peratus. Semua lirik dia hafal sebelum masuk studio," katanya.

Tambah beliau, selepas lebih 20 tahun pemergian penyanyi kecil molek itu, dunia hiburan tempatan masih tidak menemui pengganti yang mampu menandingi kehebatan Sudirman.

"Bagi saya beliau sentiasa hidup di antara kita. Setiap kali sambutan kemerdekaan, dia akan hadir. Bahkan sambutan Hari Kemerdekaan seperti tidak lengkap tanpa laungan sakti yang menyuntik semangat patriotik kepada seluruh lapisan masyarakat," katanya.

Tambahnya, Sudirman bukan sahaja seorang penghibur yang hebat tetapi beliau juga seorang yang sangat patriotik kepada negara."

Petikan: Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Ogos 2012.

Tanggal 31 (Versi Sudirman)

Tanggal 31 (Versi asal Ahmad CB)

Tuesday, July 31, 2012

Merdeka! Merdeka! Merdeka Kita!


Pada suatu petang dalam tahun 1974. Saya dan Rajoo menyaksikan satu perlawanan hoki di antara Malaysia dan India. Rajoo adalah kawan baik saya ketika itu malahan pada waktu itu kami tiada kenalan lain. Tetapi sebaik sahaja perlawanan selesai, kami membawa diri masing-masing. Persahabatan kami berakhir di situ. Atas kemahuan bersama.

Pada suatu petang dalam tahun ini, saya telah menyaksikan satu perlawanan hoki di antara Malaysia dan India. Di situ saya ternampak Rajoo. Mata kami bertentangan. Dan serentak dengan itu, kami mengerti bahawa perselisihan di antara kami telah lama berkubur. "Kamu sokong pasukan mana Sudir?" Rajoo sengaja mengajukan pertanyaan itu kepada saya. Serentak, kami ketawa. Perbualan kami semakin rancak, serancak permainan yang sedang berlangsung.

Rajoo hari ini berbeza daripada Rajoo yang saya kenal dulu. Kini semangat kenegaraannya begitu ketara sekali. Dia tidak lagi memberi sokongan kepada pasukan India seperti yang dilakukannya dulu sehingga kami memutuskan persahabatan kami kerana saya tidak dapat menerima pendiriannya. Malam itu kami meraikan kemenangan kami bersama. Kami amat gembira kerana persahabatan kami terjalin semula. Dan lebih daripada itu, kami berasa bangga kerana kami berdua mempunyai negara yang satu. Tidak berkiblat ke mana-mana lagi.

Saya mempunyai ramai lagi rakan-rakan seperti Rajoo. Dan saya percaya semangat kenegaraan ini kian menular di kalangan masyarakat kita, tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada lewat malam 2 Oktober 1981, saya tiba di kota London yang sunyi sepi ketika kota yang gagah itu. Di satu penjuru yang berdekatan, saya ternampak seorang wanita tua terkontang-kanting mengheret lima beg besar. Saya menghampirinya. Malam itu, tidak kurang daripada dua kali saya turun naik tangga yang bertingkat-tingkat, memunggah lima beg yang seberat anak gajah. Sambil turun naik keretapi bawah tanah dan turun naik teksi, untuk ke hotel penginapannya, kami berbual panjang.


"Anak dari mana?" Suaranya parau. Macam suara nenek saya. "Malaysia," kata saya dan serentak itu, bulu roma saya tegak berdiri. Sekilas petir saya teringat tanah air. Tanah air saya! Saya mempunyai negara! Di tengah-tengah kota yang megah dan sombong ini, saya hilang ditenggelami malam. Namun saya masih berpunya, anak Malaysia!

Bukannya selama ini saya tidak menyedari yang saya bertanah air, tetapi suasana pada malam itu meniupkan satu kesedaran yang amat mendalam ke dalam sanubari saya bahawa saya, seorang musafir ketika itu, masih mempunyai negara!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, laungan ini seumpama satu laungan sakti yang membangkitkan perasaan patriotik di kalangan kita semua. Ia suatu syarat yang mengafdalkan setiap perayaan merdeka di seluruh negara. Dan saya percaya yang tiupan semangat ini akan terus berkekalan sehingga ke zaman cucu-cicit kita dan seterusnya.

Semasa saya kecil, perayaan 31 Ogos secara tidak langsung, banyak mengenalkan saya kepada tanah air. Di lebuhraya, akan kelihatan bendera-bendera Malaysia berkibar megah. Padang awam akan dihias indah. Seolah ditutup, Pawagam menayangkan tayangan gambar percuma (hingga masam panggung). Ayah pula, selain dari memasang bendera, akan sibuk menggantung kertas dan lampu warna-warni di merata siling rumah.

Pada sebelah pagi, beribu-ribu penduduk di sekitar kawasan Temerloh akan membanjiri padang besar. Perarakan berlangsung dengan meriah sekali. Saya adalah di antara murid-murid sekolah rendah yang bersusun rapi macam semut sepanjang jalan raya, mengibar bendera Malaysia berukuran kecil, mengalu-ngalukan kedatangan menteri. Tetapi saya tak pernah dapat tengok wajahnya. Cuma tangannya sahaja yang melambai-lambai di tepi tingkap. Dan saya rasa sungguh berjasa.

Pada sebelah malamnya, selepas Isyak, berhadapan tapak masjid, akan berlangsunglah pertandingan syarahan, bahas, kuiz, nyanyian, kugiran dan drama. Pertandingan ratu fesyen pun ada. Saban malam saya turut berpesta. Walaupun dilarang keras oleh ayah. Saya tidak boleh tidak, mesti pergi. Saya sudah berjanji dengan kawan-kawan untuk bermain kejar-mengejar di celah-celah orang ramai.

Ayah akan mengunci pintu besar rumah kedai kami sekiranya saya pulang melewati jam sebelas malam. "Lantak (biar) dia tidur di luar!" Ayah pernah memberitahu ibu. Tetapi ayah tidak tahu yang sekiranya saya menolak daun pintu sekuat hati, saya dapat menyelit masuk melalui renggang daun pintu tersebut. Kerana itulah saya galak sangat keluar masuk. Merdeka! Tetapi, kebebasan saya tidak lama. Ayah mendapat tahu pintu rahsia saya. Suatu malam, dia menahan daun pintu daripada dalam dengan sebuah meja berat. Tak larat saya menolak.

"Takkanlah hari Merdeka pun tak boleh keluar. Kalau gitu, baik tak usah Merdeka." Saya merayu kepada ayah.

"Aha! Merdeka. Merdeka. Tetapi belajar corot. Orang Merdeka, patutnya belajar rajin-rajin, dia tidak! Asyik bermain, berjalan. Buku tidak dikajinya." Mujur ayah tidak begitu bengkeng malam itu. Baik betul nasib saya. Esoknya saya buat lagi.

Tetapi hari ini saya faham benar akan kata-kata ayah. Kemerdekaan baginya bekerja keras. Bebas daripada penjajah tidak bermakna lepas daripada kemalasan sendiri, satu belenggu yang boleh meracuni kemerdekaan kita.

"Kemerdekaan tanpa kemajuan adalah seperti berjalan hala ke belakang," kata seorang guru saya.

Namun begitu, kita amat bertuah kerana mendapat kemerdekaan tanpa tumpah darah. Dan kerana itu, Hari Kemerdekaan bagi saya ialah satu gambaran di mana Bapak Malaysia Tunku, sedang mengangkat tangan sambil melaungkan kemerdekaan kita di hadapan ribuan saksi. Itulah detik permulaan kita bebas, bebas dari tekanan kuasa luar.

Dua puluh enam tahun kita merdeka. Dan setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, perasaan cintakan tanah air akan datang meluap-luap. Tetapi sedarkah kita, yang setiap hari adalah hari kemerdekaan kita. Merdeka daripada British atau Sepanyol atau Belanda atau Jepun atau apa saja. Bayangkan kehidupan di bawah telunjuk mereka.

Kini, bayangkan betapa indahnya kemerdekaan! Kemerdekaan negara kepunyaan kita bersama!

"Inilah tanahku, tanah pusaka, tanah ayah bunda, milik bersaudara. Ku jaga, ku lindungi dari bencana. Suci, subur, indah, Ini tanah kita, milik bersaudara, Ini tanah pusaka, ini tanah kita." - (tanah ini, tanahku) Sudirman - "Lagu Anak Desa"

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 29-30.
Oleh: Sudirman Haji Arshad

Laungan keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka!