Saturday, August 27, 2011

Rohana Ingat Kain Batik Sudir!

Sudir berbaju melayu bercorak batik

Dalam banyak-banyak lagu sempena Hari Raya, lagu Balik Kampung dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Sudirman, tak jemu-jemu kita dengar. Malah ada di antara kita yang tak sabar-sabar nak balik kampung kerana dengar lagu Balik Kampung. Lirik dan lagunya Best.

Selain Anita Sarawak, Noorkumalasari dan Datuk Sharifah Aini... Juara Bintang RTM 1980, Rohana Jalil juga ada kenangan manis dengan penyanyi yang sudah meninggalkan kita semua, pada tahun 1992 ini.

Kata Rohana, "Masa kami sama-sama pergi buat show di Indonesia sekitar tahun 1982, aku masih ingat dia beritahu peminat-peminatnya di sana, aku ni princess dari Malaysia, masa tu kami pergi beli-belah. Sudirman mengusik aje. Tapi ada yang percaya aku ni seorang puteri!

"Sudirman kreatif. Bersama-sama kami masa tu, penyanyi Sharon Isaac juga. Kami pergi untuk program pertukaran penyanyi Malaysia dan Indonesia. Bila Sharon risau tak tahu baju apa nak dipakai  untuk show esoknya, Sudirman ajak aku tolong dia malam tu di hotel, kami sama-sama gunting kain. Sudirman nak buat baju untuk Sharon. Hasilnya, cantik baju macam jubah dan fesyen kelawar dipakai Sharon.

"Lepas tu, sebelum kami balik KL, Sudir ajak aku shopping. Dia kata, nak beli banyak kain batik nak bagi hadiah untuk adik-beradik dan yang dikenali. Dia belikan aku sehelai. Dia pesan, jangan lupa pakai kain batik lepas warna biru tu. Memang Sudir baik. Sepanjang aku kenal dia, tak retilah dia nak sakitkan hati orang. Nak tolong orang lagi, adalah."

Sempena Hari Raya tahun ini, ketika diminta membuat rakaman semula lagu raya, Rohana memilih nak menyanyi lagu Sudirman. Dia nyanyi semula lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf untuk album raya baru menghimpunkan artis 80-an. Tahun ini, Rohana beraya di Kuala Lumpur sahaja, bersama suaminya, Jangir Khan dan anak-anak mereka.

Cakap tentang Sudirman, Huzz pun simpan banyak kenangan manis dengannya. Masih ingat dulu, kalau beliau balik dari luar negara, mesti dia call Huzz di pejabat. Sudir yang Huzz panggil Abang Sudir, bertanya... apa kisah hiburan yang menarik?

Kalau di pejabat, dia suka panggil Huzz ke biliknya, kita akan borak-borak. Masa tu arwah jadi penulis sambilan untuk majalah hiburan. Pernah waktu berbuka puasa, Abang Sudir menegur Huzz, Jangan makan bersulam air, tak baik. Nanti perut naik. Masa tu pinggang Huzz 29 inci. Huzz kata mana perut naik!

Malah tak boleh Huzz lupa, Sudirman pernah suruh kawan kami, melukis gambar wajahnya di hari tua. Huzz tanya kenapa? Katanya, dia nak tengok macam mana mukanya kalau dah tua. Seolah-olah dia tahu, dia tak akan hidup lama. Bila dia pergi, Huzz pernah mimpi jumpa arwah datang pakai baju melayu lengkap songkok dan tersenyum aje. Semoga Abang Sudir bahagia di alam sana.

Huzz: Pada hari baik, bulan baik ini, jomlah kita semua bukan saja bermaaf-maafan sesama kita tetapi menghadiahkan Al-Fatihah, memanjatkan doa ke hadrat Allah, agar semua umat Islam yang masih hidup dan sudah meninggal dunia, diberi rahmat dunia dan akhirat, Amin.

Petikan URTV edisi 798 Khas! Hari Raya Aidilfitri 15 Ogos & 1 September 2011

Friday, August 26, 2011

Berita Minggu: Sudirman Dikenang Penghibur Patriotik Sepanjang Zaman


Tahukah anda?

Setiap kali sambutan kemerdekaan, seorang insan yang pasti menjadi kenangan ialah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang terkenal sebagai penghibur yang patriotik dan sering tampil memakai baju bendera.

Menjelang Ogos pastinya lagu nyanyian Sudirman Tegakkan Bendera Kita bergema di corong radio. Lirik lagu berkenaan dihasilkan oleh Sudirman sendiri yang mahukan generasi muda berbangga dan mencintai negara kita yang berdaulat dan merdeka serta menghormati bendera Malaysia.

Liriknya berbunyi; 'Hormatlah bendera kita, ia lambang negara, bersatu padu kita di bawahnya, hidup berkeluarga. Putih merah biru kuning, warna bendera kita, berkibar-kibar megah di angkasa, kemegahan semua, tegakkan bendera kita!'.

Lagu dan lirik yang penuh bersemangat ini walaupun pendek tapi cukup bertenaga dan merangsang semangat Merdeka!

Keratan asal artikel Berita Minggu bertarikh 21 Ogos 2011 





Sunday, August 21, 2011

Kisah Sudirman & Anak Saudaranya (Atai & Era)


SUDIRMAN terkenal sebagai seorang artis yang sibuk, sibuk dengan karier sebagai seorang penghibur dan sibuk sebagai seorang pemberita. Waktunya dipenuhi dengan dua karier utamanya ini. Memang jarang melihat Sudir menghabiskan waktu begitu sahaja. 

Apalagi untuk memeterikan gambarnya bersama ahli keluarga. Tapi baru-baru ini Sudir memberi kesempatan pada kami untuk mengambil gambarnya bersama dua orang anak buahnya yang paling Sudir senangi. 

Atai, anak buahnya yang telah dididik menjadi seorang penyanyi sepertinya. Atai juga merupakan seorang pelajar pintar di sekolah. Seperti Sudirman, Atai juga bercita-cita mahu menjadi seorang peguam bila dewasanya nanti. 

Gadis manis yang memeluk mesra Sudirman ini pula ialah kakak kepada Atai, Johana Era 17 tahun. Dia tidak mahu menjadi penyanyi seperti Cokman dan adiknya. Tetapi Johana minat menjadi seorang photo model. Bila waktu terluang bersama merekalah Sudirman menghabiskan waktunya. Bergurau dalam suasana keluarga yang bahagia dan damai. Salam dari mereka khas buat semua pembaca MEDIA HIBURAN.

Petikan Majalah Media Hiburan keluaran tahun 1980-an

Amboi Garangnya Kakak Atai

Gurauan Atai & Era

Eeeeh! Degil sungguh si Atai ni.......Apa? Ingat masa ni nak berpusing-pusing. Nah! Rasakan, berpusing tak? 

Amboi! Garangnya kakak Atai. Namanya Era. Kedua-duanya anak saudara Sudirman, macam mana Cokman, begitu juga dengan Atai & Era. 

Teman difahamkan, ibu bapa mereka kini menetap di Sabah (maksud teman tu.....bekerja di sana). Memandangkan Atai & Era masih bersekolah dan tidak mahu pelajaran mereka terganggu lantaran berpindah sekolah, maka kedua-duanya terpaksa tinggal di rumah mereka di Bangsar. 

Oh! Patutlah si Era tu garang, ganti si ayah dan ibulah dikatakan. Mungkin Cokman pun peringatkan Era untuk awasi Atai tak? Maklum aje, si Atai budak lelaki sedang meningkat dewasa. Soal nakal tak boleh dielakkan. Sebab tu Era kena awasi Atai setiap kali membaca buku, takut nanti Era hilang dari mata, Atai pun mulalah pusing-pusing macam gasing. 

Teman: Doakan Atai dapat keputusan paling baik dalam SRP nanti.

Keluarga Cokman Semuanya Kelakar

Aksi Jenaka Cokman & Kedua Anak Buahnya

Ah! Kan betul teman cakap. Macam mana Cokman, begitu juga kedua-dua orang anak saudaranya Era & Atai. Tengok gaya mereka itu, kelakar tak? Entah apa yang dicebek oleh mereka ini. Mungkin ada yang nak mengorat Atai atau Era tak? Sebab itu mereka julurkan lidah, tanda tak sudi bercinta di masa usia budak sekolah begini. Cokman di sebelah tukang mengintai, manalah tahu kok budak-budak yang mengorat Atai dan Era tu ada kakak. Bolehlah Cokman tumpang mengorat sama.

Jangan marah Sudir, teman cuma bergurau aje! Atai sebagaimana yang dikatahui......punya peminatnya yang tersendiri dan bukan mencuri peminat cokmannya. Walaupun ramai yang berkata cara nyanyian dan persembahan Atai mirip benar dengan gaya Cokmannya, tatapi Atai tetap yakin bahawa dia punya gaya yang tersendiri. Persamaan itu mungkin secara kebetulan. Apa kata Era pulak?

Teman: Nak dengar Atai & Era berduet, bila agaknya ye?

Petikan Candid Camera Kelolaan Baya dalam URTV keluaran tahun 1980-an

Wawancara Khas URTV Atai Anak Saudara Sudirman

Atai & Cokmannya

Kini muncul seorang lagi artis remaja yang bakal menyinari dunia muzik tanah air. Pendatang baru ini namanya Razman Azrai bin Zainuddin atau nama timangannya ATAI. Berusia 14 tahun, Atai kini sedang menuntut di Tingkatan 2  Victoria Institution, antara sekolah yang mempunyai reputasi pencapaian terbaik di Bandaraya Kuala Lumpur.

Sebagai pelajar tentulah ramai yang akan tertanya-tanya, tidakkah nanti penglibatan Atai di dunia hiburan akan menjejaskan pencapaian pelajarannya?

Sebagai menjawabnya, URTV telah mewawancara SUDIRMAN selaku penerbit album sulung Atai yang berjudul SAHABAT, yang mana album ini dihasilkan oleh Syarikat Sudir sendiri iaitu SUDIRMAN PRODUCTIONS SDN. BHD. diedarkan oleh EMI. Ikutilah perbualan kami ini.

URTV: Sebagai bapa saudara kepada Atai dan Sudir sendiri seorang penghibur terkemuka tanah air, apakah yang mendorong Sudir untuk menghasilkan album sulung Atai ini, atau dalam ertikata lain, mengetengahkan bakatnya?

SUDIRMAN: Sejak Atai kecil saya telah nampak keistimewaannya. Suaranya lunak, serang-serak, nyaring dan tidak lari. Lagipun gayanya bagus. Dari segi gerak-geri mahupun air mukanya. Jadi saya rasa sudah sampai waktunya saya membina jambatan laluan untuknya. Kadang-kadang saya rasa sepatutnya saya ketengahkan bakatnya sejak dulu lagi, semasa dia masih anak-anak.

URTV: Kenapa tidak?

SUDIRMAN: Saya mahu pastikan pelajarannya terlebih dahulu. Tetapi kini, saya yakin dia seorang pelajar yang pintar dan tahu keutamaannya. Jadi saya lebih berani dan taklah rasa bersalah kalau saya membimbingnya dengan pesat.

URTV: Beberapa tahun sudah, Sudir pernah mengenengahkan Atai untuk mengambil Award Penghibur Terbaik di TV, kemudian mengiringi Sudir dalam persembahan TV tahun baru, untuk album KUL IT!  dan baru-baru ini rancangan "Keluarga Bahagia Singer". Adakah itu semua susunan strategi Sudir untuk Atai?

SUDIRMAN: (Termenung........kemudian ketawa........) Tak eloklah kita katakan itu strategi. Tapi saya lebih mahu membiasakan dirinya sedikit demi sedikit. Rupanya dia tak kekok apabila berkecimpung di dunia seni.

URTV: Apa pandangan Sudir tentang penerimaanya?

SUDIRMAN: Dia berani, walaupun saya tahu, dalam hati kecilnya dia berasa gementar. Tapi diberanikan juga; lakukan atau mati. Dia seperti saya dalam hal ini.

URTV: Sejauh manakah yang mahu Sudir bimbing?

SUDIRMAN: Insya-Allah ke mercu kebolehannya. Saya tidak lokek kepada teman-teman artis. Di mana yang boleh saya tolong. Untuk Atai, tidak ada noktahnya. Kerana itu, apabila melakukan persembahan atau di mana-mana sahaja, saya menyuruh Atai memerhatikan tindak-tanduk saya, dan kemudian menerangkan kenapa ianya dilakukan. Di dalam dunia seni ini, adakalanya saya, tanpa dirancang, termasuk longkang. Saya mahu dia tahu akan longkang-longkang ini.

URTV: Adakah Sudir pendorong utama Atai suka menyanyi?

SUDIRMAN: Tidak. Saya rasa mak dia. Dia yang selalu suruh Atai menyanyi semasa kecil. Seperti juga dia menyuruh saya. Semasa saya kecil, selalu dia suruh saya nyanyi. Picit kepala dia pun sambil nyanyi-nyanyi. Kalau saya tak mahu, dia pun menyanyi, dan sengaja dia menyanyi salah. Saya akan kata yang itu tak betul. Jadi dia akan berkata, jadi macam manalah? Dan saya pun menyanyilah. Dia pandai kelentong.

URTV: (Ketawa.......) Apa perasaan Sudir menerbitkan album Atai ini?

SUDIRMAN: Saya rasa bersyukur kerana ramai orang yang mahu memberi kerjasama terbaik. Jenny Chin, Adnan, Susan, Fauzi Marzuki, Melati, Habsah Hassan, Johan dan ramai lagi. Juga sokongan dari pihak EMI, syarikat rakaman yang mengendalikan album-album saya. Cuma saya rasa, apabila pulang ke rumah lebih kurang pukul 3 pagi, saya rasa sayu hati adakalanya, saya tidak mahu Atai berkecil hati sekiranya saya meminta dia mengulangi nyanyiannya berkali-kali sampai penat. Saya tidak mahu dia salah anggap. Saya cuma mahu yang terbaik buat dirinya.

URTV: Apa nasihat terpenting Sudir buat Atai?

SUDIRMAN: Banyak. Tapi yang penting saya tekankan ialah budi bahasa. Jangan menyombong diri, lebih-lebih lagi kepada artis-artis yang terdahulu daripadanya. Tapi saya tahu, Atai tidak sombong dan tidak juga cepat marah. Dia "Cool".

Petikan URTV keluaran tahun 1988

 Atai bersama bonda tercinta Datin Rodziah

Atai dalam program Mekar Sejambak yang dihoskan
bersama Cokman pada tahun 1988

Atai - Tribute To Cokman


Friday, August 5, 2011

Terkenang Sudirman Menjelang Hari Raya Aidilfitri

Cover Album Hari Raya Sudirman & rakan artis di era 80-an

Hari ini merupakan hari ke-5 umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Setelah sebulan berpuasa kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tidak lengkap rasanya sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa diiringi dendangan lagu-lagu Raya khususnya lagu-lagu yang nostalgia dan evergreen dendangan penyanyi lama. Antara lagu kegemaran saya adalah lagu Raya dendangan Allahyarham Sudirman, seingat saya Sudirman pernah merakamkan tiga lagu Raya yang kekal hit sehingga kini iaitu Selamat Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf & Inang Di Aidilfitri (Duet bersama Zaleha Hamid) itu tidak termasuk lagu Balik Kampung yang sinonim dengan anak muda di perantauan. Kita tersenyum mendengar dendangan lagu Selamat Hari Raya kerana melodinya yang cukup indah mampu memeriahkan suasana lebaran. Kita turut tersentuh bila mendengarkan bait-bait lagu Dari Jauh Ku Pohon Maakerana pembawaan Sudirman yang penuh penghayatan menusuk ke jiwa, terutamanya bagi mereka yang terpaksa bertugas diperantauan di hari lebaran.