Wednesday, February 19, 2014

22 Tahun Kita Kehilangan Sudirman


Pada 22 Februari 2014 ini, maka genaplah 22 tahun kita kehilangannya. 22 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Sekiranya bayi yang lahir pada tarikh itu (22 Februari 1992) kini sudah meningkat dewasa, itulah tempoh masa 22 tahun yang kita lalui tanpa kehadiran seorang insan seni yang luar biasa bakatnya, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Saban tahun tarikh 22 Februari ini tetap tersemat dalam ingatan insan-insan yang pernah mengenali beliau sama ada ahli keluarga, rakan taulan, mahupun peminat-paminatnya. Sukar untuk dilupakan kehebatannya serta kelincahannya beraksi di pentas nyanyian sebagai 'Hero' pentas untuk menghiburkan jutaan peminatnya. 

Keunikan Allahyarham Sudirman tidak hanya difokuskan kepada bidang nyanyian semata-mata. Beliau juga memiliki pelbagai bakat lain antaranya, sebagai kartunis, penulis, pelukis, peguam, pelakon serta usahawan yang berjaya.

Allahyarham Sudirman juga peka terhadap persekitarannya dan beliau menterjemahkannya dalam bentuk lagu untuk hiburan peminat-peminatnya. Sebagai contoh, tidak lengkap perjalanan pulang ke kampung tanpa diiringi lagu 'Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Sudirman kerana ianya menghidupkan suasana ceria saat pulang ke kampung halaman. Selain itu, apabila timbulnya masalah pengangguran khususnya di kalangan siswazah, beliau pantas menghasilkan lagu 'Aku Penganggur' serta lagu 'Baru Dapat Kerja' sebagai susulan kepada lagu 'Aku Penganggur'. Tak lupa buat gadis-gadis kilang dihasilkannya pula lagu 'Pulang Dari Kilang', manakala untuk jururawat dihasilkan lagu 'Jamilah (Untuk Jururawat)' dan pelbagai lagi lagu yang berunsurkan kemasyarakatan. Begitulah pekanya Allahyarham Sudirman terhadap keadaan persekitarannya ketika itu, sehinggakan beliau diberi jolokan 'Penghibur Rakyat'.

Allahyarham Sudirman juga terkenal sebagai seorang penghibur yang 'Perfectionist' iaitu sangat mementingkan kesempurnaan. Bagi beliau selagi hayat masih dikandung badan, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik untuk kepuasan peminat-peminatnya. Kerana itulah sehingga kini lagu-lagu yang ditinggalkannya masih tidak jemu didengar dan kekal menjadi malar segar sehingga kini. Inilah hasilnya apabila lagu yang disampaikan itu, disampaikan dengan penuh penghayatan serta keikhlasan.

Banyak lagi jasa Allahyarham Sudirman yang disumbangkan terhadap industri seni tanah air. Tidak lengkap rasanya sekiranya tidak disebut tentang kejayaan Allahyarham Sudirman merangkul Anugerah 'Asia's Best Performer' di dewan berprestij The Royal Albert Hall, London pada tahun 1989. Kejayaan ini merupakan kejayaan yang paling bermakna kepada beliau sepanjang kerjaya seninya dan ianya juga merupakan satu kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia.

Namun kini, semua itu hanyalah dalam kenangan, kerana beliau telah 22 tahun pergi meninggalkan kita dan yang ditinggalkan hanyalah khazanah seninya yang tidak ternilai harganya. Semoga Allahyarham Sudirman terus diingati dan kekal dalam lipatan sejarah negara. Hanya doa yang dapat kita utuskan buat Allahyarham Sudirman agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Al-Fatihah.

Wednesday, February 12, 2014

Peristiwa Sedih Pada Tarikh 22 Februari 1992

 


KETIKA itu saya bekerja syif malam (saya tak pasti petugas Harian Metro sekarang ada syif atau tidak). Kira-kira jam 6.50 pagi telefon di atas meja pengarang berita (ketika itu saudara Puad Onah - sekarang Pengurus Besar Grand Briliance) berbunyi berkali-kali.

Hanya saya seorang yang bekerja syif malam bersama jurugambar saudara Noor Azmi Mat Noor. Tergamam saya seketika mendengar berita yang disampaikan pemanggil. Pemanggil tak mahu memperkenalkan dirinya. Dia bercerita tentang Sudirman! Tentang kematian Sudirman.

Ikhlas saya katakan, memang saya tidak mahu terpedaya dengan berita yang disampaikan orang menerusi telefon, apatah lagi tentang Sudirman. Saya sudah penat. Merata kubur sebelum ini saya lawat, saya periksa buku daftar pengkebumian! Berkali-kali saya periksa latar belakang syarikat yang ada kaitan dengan Sudirman di pejabat SSM (dulu pejabat pendaftaran perniagaan). Saya cari semua orang yang kenal Sudirman! Saya gagau setiap tempat apabila ada sahaja orang berkata, Sudirman berada di situ! Semuanya saya lakukan demi memenuhi kehendak dan keinginan pembaca yang terlalu ingin mengetahui di mana Sudirman 'disembunyikan' sepanjang dia dilaporkan sakit.

Dan pagi itu apabila menerima berita menerusi telefon daripada seseorang yang tidak mahu memperkenalkan dirinya, memaklumkan Sudirman telah meninggal dunia, saya berperang dengan perasaan. Mahu percaya atau tidak! Akhirnya selepas dua kali pemanggil membuat panggilan, saya tekadkan sahaja hati untuk percaya.

Antara kata-kata si pemanggil dalam telefon itu yang masih saya ingat ialah: "Encik...saya nak maklumkan Sudirman telah meninggal dunia. Tadi ada waris dia membuat laporan kematian di balai polis........Kalau encik tak percaya, ambil alamat ini dan pergi sekarang"

Selepas berbincang dengan pengarang berita, kami membuat keputusan untuk percaya dengan maklumat itu. Kebetulan Saodah Ismail, wartawan hiburan terkenal ketika itu baru sahaja masuk pejabat. Saya, Saodah dan jurugambar, Noor Azmi terus ke alamat yang dimaklumkan. Satu kawasan perumahan di Bangsar yang hanya jaraknya lebih kurang 2 kilometer dari pejabat Harian Metro.

Setibanya di depan sebuah rumah banglo, saya terlihat kelibat seseorang seperti Tan Sri Radzi. Terus saya bertanya sama ada benar itu rumah Puan Rodziah, kakak Sudirman. Tan Sri tertunduk seketika dan akhirnya mengangguk dan mempelawa saya berjumpa Puan Rodziah di dalam rumah. Ketika saya tiba, tiada sesiapa di rumah itu kecuali lima enam orang, termasuk Puan Rodziah, Tan Sri Radzi dan Adam!

Selepas memberi salam saya terus tuju kepada tujuan kedatangan saya. Antara perkataan pertama yang masih saya ingat ialah: "Maaf kak, saya Hamid dari Harian Metro. Saya nak tahu betul ke berita Sudirman telah meninggal dunia?"

Ketika itu Saodah yang mengenali Puan Rodziah terus mengajak kakak Sudirman itu berbual. Puan Rodziah akhirnya mengesahkan berita yang saya terima menerusi panggilan telefon di pejabat sebelum ini. Wajah Puan Rodziah ketika itu sedikit suram tapi dia mempelawa saya melihat sendiri jenazah Allahyarham Sudirman di tingkat atas rumah berkenaan.

Dimintanya Adam menemani saya ke tingkat atas. Dan ketika itu saya, Adam dan jenazah Allahyarham sahaja yang ada. Sebagai tanda menghormati jenazah, selepas membuka kain menutup muka Allahyarham, saya berdiri betul-betul di hujung kepalanya menghadiahkan Al-Fatihah. Lebih kurang 10 minit saya di sisi jenazah Allahyarham. Tanpa saya duga air mata saya mengalir.

Seorang penyanyi yang amat saya sayangi, walaupun selama bertugas sebagai wartawan tidak pernah bertentang mata, akhirnya pergi menyahut panggilan Ilahi. Berat langkah saya untuk meninggalkan jenazah, menurun anak tangga ke tingkat bawah.

Saodah ketika itu masih bersama Puan Rodziah dan selang lima minit kemudian saya meminta diri, bersama Saodah dan Azmi. Pulang ke pejabat, kami bertiga diarahkan pula pergi ke Temerloh untuk membuat liputan majlis pengkebumian Sudirman.

Ribuan terutama peminat Allahyarham rupanya telah sedia menanti di rumah kayu, milik ibu Allahyarham untuk menghadiri majlis pengkebumiannya. Ketika itu hati saya tersentuh lagi apabila menemubual dua siswi keturunan Cina daripada Universiti Malaya yang datang ke Temerloh selepas mendengar berita kematian penyanyi berkenaan menerusi akhbar Harian Metro yang dipasarkan sekitar jam 12 tengah hari. Salah seorang siswi Cina itu menangis apabila saya bertanyakan tentang kenapa dia datang dari jauh untuk menghadiri majlis berkenaan.

Katanya: "Saya suka sangat lagu-lagu Sudirman encik. Dia lambang generasi satu Malaysia!"

Petikan artikel sepertimana yang ditulis oleh saudara Hamid (Bekas Wartawan Akhbar Harian Metro).