Sunday, August 21, 2011

Kisah Sudirman & Anak Saudaranya (Atai & Era)


SUDIRMAN terkenal sebagai seorang artis yang sibuk, sibuk dengan karier sebagai seorang penghibur dan sibuk sebagai seorang pemberita. Waktunya dipenuhi dengan dua karier utamanya ini. Memang jarang melihat Sudir menghabiskan waktu begitu sahaja. 

Apalagi untuk memeterikan gambarnya bersama ahli keluarga. Tapi baru-baru ini Sudir memberi kesempatan pada kami untuk mengambil gambarnya bersama dua orang anak buahnya yang paling Sudir senangi. 

Atai, anak buahnya yang telah dididik menjadi seorang penyanyi sepertinya. Atai juga merupakan seorang pelajar pintar di sekolah. Seperti Sudirman, Atai juga bercita-cita mahu menjadi seorang peguam bila dewasanya nanti. 

Gadis manis yang memeluk mesra Sudirman ini pula ialah kakak kepada Atai, Johana Era 17 tahun. Dia tidak mahu menjadi penyanyi seperti Cokman dan adiknya. Tetapi Johana minat menjadi seorang photo model. Bila waktu terluang bersama merekalah Sudirman menghabiskan waktunya. Bergurau dalam suasana keluarga yang bahagia dan damai. Salam dari mereka khas buat semua pembaca MEDIA HIBURAN.

Petikan Majalah Media Hiburan keluaran tahun 1980-an

Amboi Garangnya Kakak Atai

Gurauan Atai & Era

Eeeeh! Degil sungguh si Atai ni.......Apa? Ingat masa ni nak berpusing-pusing. Nah! Rasakan, berpusing tak? 

Amboi! Garangnya kakak Atai. Namanya Era. Kedua-duanya anak saudara Sudirman, macam mana Cokman, begitu juga dengan Atai & Era. 

Teman difahamkan, ibu bapa mereka kini menetap di Sabah (maksud teman tu.....bekerja di sana). Memandangkan Atai & Era masih bersekolah dan tidak mahu pelajaran mereka terganggu lantaran berpindah sekolah, maka kedua-duanya terpaksa tinggal di rumah mereka di Bangsar. 

Oh! Patutlah si Era tu garang, ganti si ayah dan ibulah dikatakan. Mungkin Cokman pun peringatkan Era untuk awasi Atai tak? Maklum aje, si Atai budak lelaki sedang meningkat dewasa. Soal nakal tak boleh dielakkan. Sebab tu Era kena awasi Atai setiap kali membaca buku, takut nanti Era hilang dari mata, Atai pun mulalah pusing-pusing macam gasing. 

Teman: Doakan Atai dapat keputusan paling baik dalam SRP nanti.

Keluarga Cokman Semuanya Kelakar

Aksi Jenaka Cokman & Kedua Anak Buahnya

Ah! Kan betul teman cakap. Macam mana Cokman, begitu juga kedua-dua orang anak saudaranya Era & Atai. Tengok gaya mereka itu, kelakar tak? Entah apa yang dicebek oleh mereka ini. Mungkin ada yang nak mengorat Atai atau Era tak? Sebab itu mereka julurkan lidah, tanda tak sudi bercinta di masa usia budak sekolah begini. Cokman di sebelah tukang mengintai, manalah tahu kok budak-budak yang mengorat Atai dan Era tu ada kakak. Bolehlah Cokman tumpang mengorat sama.

Jangan marah Sudir, teman cuma bergurau aje! Atai sebagaimana yang dikatahui......punya peminatnya yang tersendiri dan bukan mencuri peminat cokmannya. Walaupun ramai yang berkata cara nyanyian dan persembahan Atai mirip benar dengan gaya Cokmannya, tatapi Atai tetap yakin bahawa dia punya gaya yang tersendiri. Persamaan itu mungkin secara kebetulan. Apa kata Era pulak?

Teman: Nak dengar Atai & Era berduet, bila agaknya ye?

Petikan Candid Camera Kelolaan Baya dalam URTV keluaran tahun 1980-an

Wawancara Khas URTV Atai Anak Saudara Sudirman

Atai & Cokmannya

Kini muncul seorang lagi artis remaja yang bakal menyinari dunia muzik tanah air. Pendatang baru ini namanya Razman Azrai bin Zainuddin atau nama timangannya ATAI. Berusia 14 tahun, Atai kini sedang menuntut di Tingkatan 2  Victoria Institution, antara sekolah yang mempunyai reputasi pencapaian terbaik di Bandaraya Kuala Lumpur.

Sebagai pelajar tentulah ramai yang akan tertanya-tanya, tidakkah nanti penglibatan Atai di dunia hiburan akan menjejaskan pencapaian pelajarannya?

Sebagai menjawabnya, URTV telah mewawancara SUDIRMAN selaku penerbit album sulung Atai yang berjudul SAHABAT, yang mana album ini dihasilkan oleh Syarikat Sudir sendiri iaitu SUDIRMAN PRODUCTIONS SDN. BHD. diedarkan oleh EMI. Ikutilah perbualan kami ini.

URTV: Sebagai bapa saudara kepada Atai dan Sudir sendiri seorang penghibur terkemuka tanah air, apakah yang mendorong Sudir untuk menghasilkan album sulung Atai ini, atau dalam ertikata lain, mengetengahkan bakatnya?

SUDIRMAN: Sejak Atai kecil saya telah nampak keistimewaannya. Suaranya lunak, serang-serak, nyaring dan tidak lari. Lagipun gayanya bagus. Dari segi gerak-geri mahupun air mukanya. Jadi saya rasa sudah sampai waktunya saya membina jambatan laluan untuknya. Kadang-kadang saya rasa sepatutnya saya ketengahkan bakatnya sejak dulu lagi, semasa dia masih anak-anak.

URTV: Kenapa tidak?

SUDIRMAN: Saya mahu pastikan pelajarannya terlebih dahulu. Tetapi kini, saya yakin dia seorang pelajar yang pintar dan tahu keutamaannya. Jadi saya lebih berani dan taklah rasa bersalah kalau saya membimbingnya dengan pesat.

URTV: Beberapa tahun sudah, Sudir pernah mengenengahkan Atai untuk mengambil Award Penghibur Terbaik di TV, kemudian mengiringi Sudir dalam persembahan TV tahun baru, untuk album KUL IT!  dan baru-baru ini rancangan "Keluarga Bahagia Singer". Adakah itu semua susunan strategi Sudir untuk Atai?

SUDIRMAN: (Termenung........kemudian ketawa........) Tak eloklah kita katakan itu strategi. Tapi saya lebih mahu membiasakan dirinya sedikit demi sedikit. Rupanya dia tak kekok apabila berkecimpung di dunia seni.

URTV: Apa pandangan Sudir tentang penerimaanya?

SUDIRMAN: Dia berani, walaupun saya tahu, dalam hati kecilnya dia berasa gementar. Tapi diberanikan juga; lakukan atau mati. Dia seperti saya dalam hal ini.

URTV: Sejauh manakah yang mahu Sudir bimbing?

SUDIRMAN: Insya-Allah ke mercu kebolehannya. Saya tidak lokek kepada teman-teman artis. Di mana yang boleh saya tolong. Untuk Atai, tidak ada noktahnya. Kerana itu, apabila melakukan persembahan atau di mana-mana sahaja, saya menyuruh Atai memerhatikan tindak-tanduk saya, dan kemudian menerangkan kenapa ianya dilakukan. Di dalam dunia seni ini, adakalanya saya, tanpa dirancang, termasuk longkang. Saya mahu dia tahu akan longkang-longkang ini.

URTV: Adakah Sudir pendorong utama Atai suka menyanyi?

SUDIRMAN: Tidak. Saya rasa mak dia. Dia yang selalu suruh Atai menyanyi semasa kecil. Seperti juga dia menyuruh saya. Semasa saya kecil, selalu dia suruh saya nyanyi. Picit kepala dia pun sambil nyanyi-nyanyi. Kalau saya tak mahu, dia pun menyanyi, dan sengaja dia menyanyi salah. Saya akan kata yang itu tak betul. Jadi dia akan berkata, jadi macam manalah? Dan saya pun menyanyilah. Dia pandai kelentong.

URTV: (Ketawa.......) Apa perasaan Sudir menerbitkan album Atai ini?

SUDIRMAN: Saya rasa bersyukur kerana ramai orang yang mahu memberi kerjasama terbaik. Jenny Chin, Adnan, Susan, Fauzi Marzuki, Melati, Habsah Hassan, Johan dan ramai lagi. Juga sokongan dari pihak EMI, syarikat rakaman yang mengendalikan album-album saya. Cuma saya rasa, apabila pulang ke rumah lebih kurang pukul 3 pagi, saya rasa sayu hati adakalanya, saya tidak mahu Atai berkecil hati sekiranya saya meminta dia mengulangi nyanyiannya berkali-kali sampai penat. Saya tidak mahu dia salah anggap. Saya cuma mahu yang terbaik buat dirinya.

URTV: Apa nasihat terpenting Sudir buat Atai?

SUDIRMAN: Banyak. Tapi yang penting saya tekankan ialah budi bahasa. Jangan menyombong diri, lebih-lebih lagi kepada artis-artis yang terdahulu daripadanya. Tapi saya tahu, Atai tidak sombong dan tidak juga cepat marah. Dia "Cool".

Petikan URTV keluaran tahun 1988

 Atai bersama bonda tercinta Datin Rodziah

Atai dalam program Mekar Sejambak yang dihoskan
bersama Cokman pada tahun 1988

Atai - Tribute To Cokman


No comments: