Tuesday, July 30, 2013

Tengku Mahkota Pahang Ke Rumah Sudirman


Tentu ramai peminat sekarang nak tahu di manakah penghibur terkenal Allahyarham Sudirman Haji Arshad meraikan Aidilfitri ketika hayatnya dulu? Di KL atau balik ke kampungnya, Temerloh, Pahang? Editor URTV, Huzz meminta BAM mencoretkan memori Aidilfitri untuk kolum Abadi Dalam Kenangan.

"Sudir mesti balik kampung, balik Temerloh, Pahang," Jawab BAM.

Di Hari Raya yang mulia itulah Sudir dapat berkumpul dengan kesemua adik-beradiknya yang dikasihi; Abang Din, Kak Diah, Abang Lan, Abang Basir, Roaini, Ina serta Mak Yam ibu tirinya dan anak-anak saudaranya yang ramai itu.

"Di hari raya barulah dapat berjumpa Cokman!" kata budak-budak tu!

Bagaikan satu 'kejutan'..... suatu peristiwa paling indah, yang paling tak dapat dilupakan oleh Sudir sepanjang hidupnya, apabila rumahnya dikunjungi oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Di akhir-akhir tahun 80-an dulu, Sudir tidak ketinggalan menghadirkan dirinya ke Masjid Temerloh, Pahang Darul Makmur. Rupa-rupanya Tengku Mahkota Pahang pun turut hadir untuk solat hari raya berjemaah bersama rakyat jelata.

Selesai solat hari raya, baginda Tengku Mahkota telah menjemput kesemua jemaah ke istananya termasuk Sudir untuk menikmati juadah hari raya.


Sewaktu kesemua tetamu menjamu selera, tiba-tiba secara spontan, Tengku Mahkota bersuara dengan membahasakan dirinya 'saya'.

"Saya nak pergi ke rumah kamu Sudir, boleh?"

Sudir tergamam... tak tau nak berkata apa-apa, melainkan katanya, "Rumah patik buruk Tuanku!" Di dalam hati, Sudir berharap bahawa Tengku Mahkota hanya berseloroh mengusiknya aje.

Rupanya dalam diam-diam, Tengku Mahkota telah mengarahkan pegawai-pegawainya memastikan di mana rumah Sudirman. Dan Sudir pun apa lagi... bila mendapat tahu hal ini kelam-kabutlah dia membuat persiapan.

Kata Sudir bercerita pada BAM, "Apa tidaknya saya jadi kelam-kabut, kerana keluarga saya 'simple'. Sejak ayah meninggal dunia, satu apa pun di rumah itu saya tak ganti, kerusi meja dan langsir semuanya dah buruk.

"Lagipun anak buah saya ramai, semuanya 20 orang, riuh-rendah bising memekak 24 jam. Saya tak mahulah menyusahkan Tuanku atas dasar sanjungan saya terhadap dirinya.

"Tapi dalam masa satu setengah jam itu, saya bergegas ke pekan membeli pinggan mangkuk, permaidani, kerusi set, kipas angin, langsir semua saya tukar yang baru serta-merta. Bukan nak membazir, tapi rasa berbesar hati nak menyambut kedatangan Tuanku Tengku Mahkota di hari yang mulia, walaupun saya tahu Tuanku tentu tidak mahu saya berbuat begitu.

"Tengku Mahkota tiba di rumah saya yang jalannya lekuk-lekik becak dan penuh batu-batu. Jalan tanah merahlah katakan. Atas bukit pulak. Kesian Tengku Mahkota kena berjalan kaki mendaki bukit."

Bagaimanapun, kata Sudir, hatinya merasa lega kerana rumahnya dah teratur. Kerusi baru, karpet baru, langsir pun baru. Bahkan hidangan hari raya untuk santapan Tengku Mahkota disajikan dengan pinggan mangkuk baru.

"Puas rasa hati," kata Sudir.

Sudir terus perkenalkan ahli-ahli keluarganya yang tua kepada Tuanku.

"Mana orang-orang lain? Tempat Sudir ni sunyi ye, tapi pemandangannya cantik," ujar Tuanku.

"Iya Tuanku!" jawab saya.

"Saya terus teringatkan anak-anak buah saya yang bising, bingit macam bunyi jet!

Cerita Sudir lagi, "20 minit kemudian, Tuanku berangkat untuk pulang, dan belum sempat keretanya bergerak 10 meter, anak-anak buah saya menderu keluar nak curi-curi tengok.

"Saya tak benarkan mereka keluar, bukan sebab apa, saya tak mahu mereka semua buat bising, nanti Tuanku jadi tak selesa. Saya faham Tuanku tentu penat selepas melayan beratus-ratus rakyat di istananya pada sebelah pagi tadi, dan kemudian nanti pada sebelah petang pula," kata Sudir bercerita panjang.

"Nak tau tak di mana saya sorokkan budak-budak tu?"

"Dalam perkarangan reban ayam, belakang rumah," kata Sudir ketawa geli-geli hati dan kesian mereka... tak mengapalah, Cokman cuma kurung 20 minit aje," katanya.

Sudir kagum dengan sikap Tengku Mahkotanya yang berjiwa rakyat. Dan rakyat tentu tak senang duduk kerana kasihkan Rajanya.

Sudir memang bangga sebagai anak Pahang Darul Makmur. Penghibur ternama Sudirman Haji Arshad sering memperkenalkan dirinya sebagai 'Kampung Boy' dari Temerloh, Pahang Darul Makmur dalam setiap shownya di hotel-hotel lima bintang yang dihadiri oleh pelancong-pelancong dari pelosok dunia.

Namun kini... hanya tinggal kenangan abadi.

Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah azza Wajalla. Di alam dunia namamu terpahat sebagai seniman legenda yang sukar dicari ganti. Al-Fatihah.

Petikan: Majalah hiburan URTV edisi khas Syawal 2013, "Abadi Dalam Kenangan" oleh Bahyah Mahmood (BAM).

Lakaran karikatur Sudir tentang kunjungan Tengku Mahkota Pahang 
ke rumahnya di Temerloh sewaktu Hari Raya Aidilfitri.



Monday, July 29, 2013

Aidilfitri Dan Saya


Tanggungjawab seorang ayah dan ibu memang tenat apabila menjelang hari raya. Ini saya sedari apabila saya merenung kembali musim raya semasa zaman kanak-kanak dulu. Waktu itu saya tidak tahu apa itu masalah. Kena sebat, kena pukul, itu bukan masalah. Itu perkara biasa.

Kalau baik dibalas baik, jahat dibalas jahat. Yang penting bagi saya ketika itu ialah mempunyai baju baru, sekurang-kurangnya tiga pasang untuk tiga hari raya, kasut baru, wang saku yang cukup dan kuih-muih yang lazat untuk dihidangkan kepada rakan-rakan. Saya tidak peduli bagaimana ayah mendapatkan ini semua. Pokoknya perkara-perkara ini adalah syarat-syarat yang perlu untuk saya berhari raya. Dan saya mesti berhari raya sebab saya puasa!

Seminggu sebelum raya, emak saya akan sibuk menyediakan berbagai-bagai jenis kuih. Emak memang pandai memasak. Selalunya emak buat kuih selepas sahur supaya jiran-jiran tidak mengetahui kuih apa yang dibuatnya. "Suspense," katanya. Dan pada pagi raya dia akan bertukar-tukar kuih dengan jiran sebelah-menyebelah. Dan saya tolong ulikan tepung, susun kuih ke atas tudung periuk untuk dimasukkan ke dalam dapur. Kemudian saya mencucuk kuih dengan lidi untuk memastikan sama ada ia sudah masak atau belum.

Kalau goreng kacang, saya tukang kupas kulit kacang. Kalau emak buat serunding daging, saya tukang siat daging. Emak kata mesti siat halus-halus, macam kapas. Kadang-kadang saya ke rumah nenek saya sebatu jauhnya dari rumah kami. Nenek suka buat kuih bahulu dan dodol. Saya suka memukul telur untuk dibuat kuih bahulu. Saya juga amat sukakan dodol panas.

Emak juga sibuk menjahit pakaian baru kami menjelang raya. Tetapi saya lebih berminat memakai baju 'koboi' (Cowboy) yang berambu-rambu atau baju 'zorro' yang bertopeng hitam. Saya memang gila. Dan emak selalu melayan kegilaan saya itu tanpa banyak soal. Kan saya berpuasa, dan hanya orang berpuasa saja boleh berhari raya.

Walaupun ayah bengis, bila tiba hari raya kami masih berani meminta. Nak ini, nak itu. Kakak saya yang tua selalu sahaja mendapat kemahuannya, kerusi baru, langsir baru. "Malu pada boyfriend," katanya pada ayah. Dan ayah menurut saja.

Ayah tidak kaya. Tetapi tidak mahu menghampakan kakak saya. Tetapi apabila saya meminta sepasang kasut biru untuk dipakai pada hari raya, ayah mengecat kasut putih saya dengan cat warna biru. Kalau saya marah-marah, ayah berkata: "Cuba Sudir jadi ayah, dan ayah jadi Sudir, ke manalah Sudir nak cari duit untuk ayah."

Pada pagi raya, kami sekeluarga ke masjid untuk sembahyang raya. Sekembali dari masjid saya bergegas menukar pakaian saya..... saya malu-malu keluar pintu, takut diketawakan rakan-rakan. Teng.... tereng.... teng.... teng.... tereng.... saya keluar rumah dengan pakaian 'zorro'. Dan rakan-rakan saya ada yang 'terror'. Kami mengatur rancangan. Pagi-pagi lagi kami menziarah jiran-jiran.

Kadang-kadang dapat duit. Kami mesti dapat sebanyak yang terboleh, kerana kami akan menonton semua wayang gambar yang ditayangkan di bandar kami dan juga bandar yang berhampiran. Kami juga akan berbelanja di gerai-gerai yang sebelum ini cuma menjadi medan makanan tontonan kami.

Selalunya, pada hari raya, kerana terlalu banyak kuih-muih, saya tidak berselera untuk makan. Namun demikian, saya tidak dapat menolak rendang, lemang dan nasi kapit. Kadang-kadang kami berkerumun mengelilingi radio mendengar lagu-lagu permintaan dan ucapan-ucapan selamat hari raya.

Pada pagi raya kedua, penghuni-penghuni sekampung akan ke tanah perkuburan bertahlil. Di akhir tahlil tersebut, seorang tua akan diwakilkan mendermakan sedikit wang kepada kanak-kanak yang hadir. Ramai di antara kami yang berpindah-randah dari satu tempat ke tempat di sekitar kawasan perkuburan yang mendapat sedekah sebanyak yang terboleh. Waktu itu, lima puluh sen macam dapat rumah batu!

Semakin kami dewasa, semakin bertukar suasana raya di rumah saya. Walaupun kami sudah berjauhan membela untung masing-masing, pada malam raya kami akan bergelimpang bersama-sama di tengah ruang rumah di atas tikar mengkuang. Kami bercerita, Kerapkali cerita-cerita kami melarat kepada cerita hantu. Dan semuanya takut tidur di sebelah tingkap. Ayah cuma tersenyum di atas kerusi kesukaannya, sambil melihat gelagat anak-anaknya. Saya tahu saat-saat begini adalah saat-saat yang termanis buat ayah. Kerana itu sepanjang hayatnya, kami memastikan yang kami akan pulang untuk beraya walaupun sehari sahaja. Dari semua ini merapatkan lagi kami sekeluarga.

Saya tahu selepas raya, rumah ayah akan lengang kembali. Anak-anaknya telah besar dan perlu memulakan penghidupan sendiri. Saya juga tahu perasaan ayah ketika itu. Tetapi perjuangan kami harus diteruskan juga. Dan saya tahu ayah memahami hakikat ini.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 21-22.


Wednesday, July 10, 2013

PUASA DAN SAYA


Pertama kali saya cuba berpuasa ialah semasa saya berumur empat tahun. Ketika itu saya amat memandang tinggi terhadap abang-abang dan kakak-kakak saya yang tak tinggal-tinggal puasa dan saya amat ingin menjadi sebahagian dari kedewasaan mereka. Waktu bersahur, riuh-rendahlah jiran memukul 'gendang tong kosong' menandakan waktu untuk penghuni-penghuni sekitar kawasan kami bangun dari tidur mereka dan bersahur. 

Jiran sebelah-menyebelah mengetuk pintu dinding jiran-jiran sekeliling mengejut mereka yang masih tidur. Kelentang-kelentung bunyi di dapur. Saya tahu itu bunyi emak saya sedang bertanak nasi. Dan emak tak pernah mengadu separuh tidur. Ayah amat bangga dengan niat saya untuk berpuasa. Kami duduk keliling meja, mengadap masakan emak. Saya makan sampai buncit, supaya tahan lapar esoknya. Kemudian kami kembali tidur. Esoknya jam sembilan pagi, saya mencari nasi sejuk di dapur!

Tahun berikutnya saya mencuba lagi. Kali ini hingga jam dua belas tengah hari. Nenek saya kata kalau saya berpuasa sekerat hari untuk dua hari, ini akan menjadikannya satu hari puasa. Saya percaya saja. Tahun itu saya berpuasa enam hari, campuran 12 setengah hari berpuasa. Dan nenek mengingatkan saya supaya jangan menelan air liur walaupun air liur sendiri. Sepanjang saya berpuasa, saya asyik meludah sampai kering tekak. Saya takut buat salah. Saya takut batal puasa. Marah Tuhan, kata emak saya.

Sebelum berbuka, jiran-jiran bertukar-tukar juadah. Kerana saya yang paling bongsu di dalam keluarga saya, saya selalu kena angkat mangkuk makanan ke hulu ke hilir. Tetapi saya tidak komplen kerana kesucian dan keagungan bulan puasa itu sendiri memberikan saya satu perasaan yang baru, tak boleh marah-marah, mesti selalu tolong orang, tak boleh cakap kotor, tak boleh tidur, tak boleh mandi lama-lama, tak boleh berus gigi kerap sangat, takut telan air dan bermacam-macam lagi. Ini semua cerita nenek saya dan dulu ia telah menjadi kepercayaan  saya. Tetapi kini saya tahu ia merupakan muslihat nenek untuk melatih saya berpuasa.

Saat-saat sebelum berbuka puasa adalah saat-saat yang paling menguji. Ayah selalu marah bila melihat saya berhadapan dengan air sirap lima minit sebelum berbuka. Pernah suatu petang sebelum berbuka puasa, saya kena belasah oleh ayah saya kerana meminum segelas air sebelum masuk waktu berbuka. Sedang saya menghadap air sirap berselasih, saya terdengar bunyi pukulan beduk di masjid yang berhampiran, saya lantas meneguk air sirap di depan mata. Abang saya muncul di pintu sambil ketawa berdekah-dekah. Saya mula sedar yang pukulan beduk yang saya dengar tadi adalah buatannya. Puasa saya habis! Saya terus meraung.

Untuk berbuka, emak saya menghidangkan lauk yang berbagai jenis. Tetapi saya lebih gemarkan serunding kelapa dan serunding telur, digumal dengan nasi dan ditolak dengan air sirap berselasih. (Pengsan!!) Dan emak selalu mengingatkan. "Jangan tolak nasi dengan air, nanti ngaji Qur'an pendek nafas!"

Selepas berbuka, saya ke rumah jiran untuk berjumpa kawan-kawan. Dan saya tahu ibu-ibu mereka pasti menyimpan sedikit kuih untuk saya. Kemudian kami beramai-ramai ke masjid untuk sembahyang Terawih, bersongkok, beselempang kain, berbaju melayu dan bersongkok. Saban malam selepas sembahyang, seorang tua yang selalu tidur di masjid itu akan menceritakan kepada kami kisah-kisah polong, pelesit dan berbagai jenis hantu. Dan kami akan berlunggun-lunggun dilututnya. Katanya, di bulan puasa, roh orang-orang yang telah mati akan dilepaskan dan mereka boleh lihat apa yang kita lakukan. Kerana itulah apabila emak saya telah meninggal dunia, sayalah budak yang paling baik sepanjang bulan puasa, mengaji, sembahyang, buat baik, tolong orang, tak cakap kotor, tak bergaduh-gaduh, bersopan-santun dan apa saja yang baik. Kalau tidak, emak saya akan cekik saya, kata nenek saya. Takut! 

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 17.






Friday, February 1, 2013

Sudir Pernah Jadi Pengacara Festival Filem Malaysia


Teringat BAM, penghibur ternama Allahyarham Sudirman Haji Arshad semasa hayatnya dulu, pernah menjadi pengacara Festival Filem Malaysia (FFM). Beliau berpasangan dengan Sharifah Aini, mengendalikan majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada mulanya Sudir telah menolak tawaran keemasan itu. Katanya dia segan dan dia bukan sesiapa sangat di dunia filem.

Pihak penganjur tidak putus asa terus memujuknya. Puas dipujuk, akhirnya Sudir bersetuju mengacarakan FFM yang gilang-gemilang itu kerana sebab-sebab yang tertentu iaitu meraikan kehadiran bintang-bintang veteran.

Kata Sudir, semasa kecil dulu dia suka menonton filem Melayu dan sama-sama merasa sedih dan menangis bersama pelakonnya dalam adegan-adegan sedih.

Sudir begitu menyanjung dan menghormati bintang-bintang veteran. Semuanya dia sayang, Sarimah, Saadiah, Latifah Omar, Roseyatimah, Rosnani, Umi Kalthum, Zaiton, Hashimah Yon, Kasmah Booty, Maria Menado dan ramai lagi.


Bintang-bintang filem ternama ini sememangnya menyemarakkan lagi suasana di malam anugerah yang gilang-gemilang itu.

Kata Sudir, memang sewajarnya bintang-bintang veteran diberi penghormatan dan layanan yang istimewa di dunia seni hari ini. Kerana orang-orang lama inilah terlebih dahulu telah menghidupkan bidang yang mereka pelopori sejak berkurun-kurun, yang akhirnya menimbulkan minat di kalangan generasi muda yang berkesinambungan dari zaman ke zaman dan perubahan demi perubahan mengikut edaran zaman.


Petikan: Majalah Hiburan URTV edisi 831, "Abadi Dalam Kenangan" catatan Bahyah Mahmood (BAM), keluaran 1-15 Februari 2013.

Tuesday, January 15, 2013

Keajaiban Nasib Sudir Dan Eton


21 Februari 1990 Zaiton Sameon ditimpa kemalangan jalanraya yang ngeri... dan 2 tahun kemudiannya... 22 Februari 1992 Sudirman Haji Arshad meninggal dunia... hanya selang sehari di bulan Februari, bagai suatu keajaiban nasib diri dua bintang ternama ini.

Kemalangan ngeri yang menimpa... Eton koma selama 3 bulan. Suatu keajaiban umpama mati hidup semula. Insan yang dianggap tak punya harapan untuk bernafas semula, tiba-tiba tersedar dari mimpinya yang panjang.

Sudir pula yang terlantar disihir dan disantau terbaring selama tujuh bulan sejak tarikh 20 Julai 1991, akhirnya telah menamatkan riwayat hidupnya pada 22 Februari 1992. Begitulah takdir ketentuan Allah Azza Wajalla. Segala-galanya suatu kejutan!

Kejutan demi kejutan sering terjadi dalam hidup insan di dunia yang fana ini. Bertemu dan berpisah! Tiap insan akan merasai MATI! Ingat itu!

Eton Serius Nak Kahwin Sudir

Perjalanan hidup penyanyi popular 80-an Zaiton Sameon sememangnya menyayat hati, sejak ditimpa kemalangan jalanraya yang ngeri pada 21 Februari 1990 dulu. Hingga saat ini ingatannya masih belum stabil sepenuhnya.

BAM yang pernah bersua dengannya tidak lama dulu, terus memeluk dan menciumnya... rindu sangat, lama tak jumpa.

"Kenal tak? Ingat tak lagi?" tanya BAM. "Engkau ni siapa?" tanyanya semacam hairan.

Hati BAM begitu terharu dan sebak mengenangkan Eton masih belum pulih ingatannya. Ternyata terlalu berat ujian hidup yang ditanggungnya.

Teringat dulu sewaktu Eton keluar dari hospital dan pulang ke rumahnya, BAM pernah menemani Sudir (Allahyarham) menziarahi Eton di rumahnya di Taman Melawati Hulu Kelang. Sudir yang pemurah hati itu telah menghulurkan bantuan berupa wang dan juga barangan cenderahati.

Sudir mahu Eton gembira sentiasa menyambut kehadiran kawan-kawan artis yang menziarahinya, dengan harapan sedikit demi sedikit ingatannya akan kembali pulih seperti sedia kala.

Lucunya, Eton telah memberitahu kawan-kawan wartawan hiburan, Sudirman telah meminangnya. "Eton serius nak kahwin dengan Sudir".

Pada zaman itu memang gempar cerita Zaiton Sameon nak kahwin dengan Sudirman. Sungguh-sungguh Eton memberitahu para wartawan, dia nak berkahwin dengan Sudirman. Kata Eton, dia serius, bukan bergurau dan bukan main-main.

Memang gempar sungguh, kenyataan Eton itu terpampang jadi "headline" di muka depan sebuah akhbar tabloid. Gempar sungguh peminat-peminat memperkatakannya, memang heboh dunia hiburan satu Malaysia hingga ke Singapura dan Brunei Darussalam.

Memang secara terang-terangan sekali Sudir sudah kena lamar menerusi surat khabar oleh Eton yang membuat pengakuan: "Sesungguhnya kehadiran Sudir bagaikan suatu cahaya 'Nur' dalam hidup Eton," romantik sungguh Zaiton Sameon.

Dalam keadaan heboh itu, apa kata Sudir?

Kata Sudir; "Alah Eton tu kan suka bergurau, lebih-lebih lagi dalam keadaannya sekarang ini. Dia kan sakit, fikirannya terganggu dan masih trauma. Biarlah dia nak kata apa pun saya tak kisah, asalkan dia terhibur."

Dalam pada itu juga Sudir sempat berbisik; "Saya masih termimpikan cerita cinta lama. Dulu pernah saya berkata, perkahwinan bagi saya sekali seumur hidup. Tapi telah ditakdirkan, perkahwinan saya tak dapat bertahan lama. Namun saya merasa terikat dengan SUMPAH itu.

Itulah SUDIRMAN, cintanya dibawa mati bersama. Semoga kau bertemu dengan BIDADARI di Syurga! Al-Fatihah!

Sudir "Berdating" Dengan Eton

Kepada peminat-peminat, tatapilah lakaran Kartun Sudirman di kala "berdating" dengan Zaiton Sameon, sebelum tragedi menyayat hati menimpa diri Eton pada 21 Februari 1990 dulu.

Inilah diantara khazanah peninggalan Sudir yang menjadi memori Eton. Masih ingatkah dia?


Petikan: Majalah hiburan URTV keluaran 15-31 Januari 2013, "Abadi Dalam Kenangan" oleh Bahyah Mahmood (BAM).