Saturday, April 28, 2012

Sudirman Heret Zaiton Sameon Ke Stadium Negara 14 Julai

Sudir diapit oleh Zaiton Sameon & Sara Loo

Suatu ketika dulu, peminat-peminat heboh tertanya-tanya siapakah dia penyanyi 'duda' yang secara senyap-senyap meminati penyanyi 'janda' seksi Zaiton Sameon? Berita yang berupa gossip ini tersiar di majalah URTV.

Antara banyak surat-surat peminat yang sampai ke meja URTV dan tidak termasuk panggilan telefon, ramai yang cuba meneka yang si penyanyi duda popular itu adalah Sudirman Haji Arshad!

Bila diacukan pertanyaan ini kepada Sudir, jawapnya 'No Komen'. Bagi Sudir berita tersebut sekadar gossip dan mungkin juga boleh dianggap 'gimmick' kepada dirinya yang sehingga kini masih menduda.

Untuk kepastian, para peminat boleh mendapatkan jawapan bila menonton Konsert F & N Sarsi, konsert Sudirman di Stadium Negara pada 14hb Julai nanti. Konsert Sudir di Kuala Lumpur itu nanti adalah klimaks kepada rangkaian konsert ke bandar-bandar utama yang telah diadakan sebelum itu. Antara bandar-bandar yang telah dilewati oleh Sudir dan artis-artis undangannya ialah Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Melaka.


Dalam Konsert F & N Sarsi Sudirman, penyanyi seksi yang meletup secara mendadak bersama lagu 'Menaruh Harapan' iaitu Zaiton Sameon buat pertama kalinya berduet dengan Sudirman. Tentu para peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat aksi mereka di pentas nanti.

Menurut Sudir, lagu yang mereka nyanyikan nanti adalah lagu ciptaannya sendiri yang menggambarkan perasaan mereka berdua.

Selain Zaiton Sameon, artis jemputan Sudirman yang terdiri dari Sara Loo dan Yusni Jaafar, Band pengiring pula, The Glue.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan Konsert F & N Sarsi Sudirman nanti, bolehlah dapatkan tiket sebanyak mungkin dengan cara menukar 12 pelapis F & N Sarsi atau Orange Crush.

Setiap pertukaran 12 pelapis F & N Sarsi atau Orange Crush atau 6 gelang-cabut bercetak khas dari tin F & N Sarsi atau Orange Crush akan memperolehi 1 tiket percuma menonton Konsert Sudirman. Selamat menonton!

Petikan: Majalah hiburan URTV keluaran Julai 1988.

No comments: