Thursday, April 26, 2012

Cita-Cita Sudir Yang Tak Kesampaian


SUDIR memang artis yang kreatif. Di kepalanya ada saja idea-idea baru untuk peminatnya. Sudir bukan sekadar menyanyi. Bagai yang semua ketahui, dia boleh melukis dan bercerita dengan baik.

Kata Sudir, kalau dia jadi penulis mungkin boleh lahirkan beberapa buah novel. Tapi, dia tidak punya waktu. Namun dia punya hasrat untuk melahirkan bukunya sendiri.

Buku tentang dirinya yang setakat ini telah ada di pasaran 'Dari Dalam Sudirman' buku tentang artis lama dan buku tentang dunia hiburan sepenuhnya akan Sudir lahirkan kemudian. Semuanya ini memerlukan penumpuan yang lebih berat dari Sudirman. "Itu yang saya tidak mampu kerana saya juga perlu bekerja keras untuk karier saya sebagai penyanyi," akuinya.

Sudir akan ke Amerika dua tahun lagi. Dan sekarang dia mahu meninggalkan seberapa banyak kenangan untuk peminatnya. Juga sedikit pendapatan buat sara dirinya di rantau orang. Sudirman mahu melahirkan syarikat rakamannya sendiri.

Segala usaha awal untuk projeknya itu telahpun selesai. Hanya mencari waktu yang sesuai untuk memulakan aktiviti. Cita-cita Sudirman sebenarnya besar. Dia mahu wujudkan satu industri perfileman dan nyanyian yang luas di negara kita. Dia mahu punya syarikat perfilemannya sendiri yang mengeluarkan berbagai produktiviti.

"Macam kat Hong Kong dulu ada Run Run Shaw yang menguasai perfileman Asia. Bukan sekadar filem tapi pelbagai. Saya ini suka buat sesuatu dari bawah. Orang kata take the challenge. Sekarang saya sudah sampai peringkat atas sebagai penyanyi solo, saya mahu mulakan satu yang baru pula. Kerana itu saya fikirkan filem," ujar Sudir. Selepas filem mungkin dia memikirkan projek yang lain pula. 

Antara hasrat Sudir yang pernah diluahkannya melalui majalah Media Hiburan.

No comments: