Wednesday, November 30, 2011

Pemergian Sudirman Bukan Kerana AIDS

Jenazah Allahyarham Sudirman dibawa untuk disemadikan pada
22 Februari 1992.

SELEPAS hampir tujuh bulan bersembunyi hingga mencetuskan pelbagai tanda tanya, misteri kehilangan Penghibur No. 1 Asia 1989, Sudirman Haji Arshad, 37, akhirnya terungkai apabila beliau meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi. 

Allahyarham sebelum itu disembunyikan ahli keluarganya atas alasan mahu menjalani rawatan selepas jatuh sakit pada Ogos 1991 hingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak, terutama rakan artis dan peminat setianya.

Kebanyakannya menganggap tidak wajar keadaan sebenar Sudirman disembunyikan kerana beliau adalah penyanyi yang mempunyai ramai peminat, malah masyarakat perlu tahu perkembangan kesihatannya selepas dilaporkan sakit sebelum itu. 


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Baharuddin Omar, ketika itu dipetik sebagai berkata, sudah sampai masanya keluarga Sudirman mengumumkan keadaan penyanyi itu kerana beliau adalah penghibur nasional. 

“Mereka tidak boleh anggap Sudirman sebagai hak keluarga saja kerana Sudirman adalah penyanyi yang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Adalah lebih baik mereka mengumumkan daripada membiarkan cerita yang bukan-bukan mengenai penyanyi itu berleluasa," katanya. 

Noorkumalasari pula tidak menafikan mendengar pelbagai cerita mengenai rakan karibnya itu, malah ada yang bercerita kononnya beliau terkena buatan orang, dengan tangannya bengkok, tangannya terbelit dan matanya terbeliak.

“Saya sudah tidak kuasa mendengar selagi saya tidak melihat sendiri, saya tidak akan percaya semua cerita itu. Sekarang, saya sudah bosan mendengar khabar angin mengenai Sudirman. Saya hanya akan percaya kalau cerita itu saya dengar daripada keluarganya," katanya.

Beliau juga kesal kerana keluarga Sudirman bertindak mendiamkan diri hingga menimbulkan pelbagai khabar angin, termasuk dakwaan kononnya beliau menghidap Aids sehinggalah kematiannya disahkan berpunca dari penyakit radang paru-paru atau (pneumonia).

Keluarga Sudirman dipercayai menyembunyikan penyanyi itu, termasuk merahsiakan jenis penyakit dan punca sebenar kematian beliau kerana tidak mahu peminat bersedih kerana bimbangkan kesukaran peminat untuk menerima hakikat keadaannya yang sangat menyedihkan.

Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap Aids, tetapi mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan Sudirman, Habsah Hassan, dalam satu temubual bersama Berita Harian, dipetik sebagai berkata, memang warisnya tidak mahu mendedahkan keadaan sebenar beliau ketika itu kerana keadaannya cukup menyedihkan.

“Masyarakat Malaysia memang biasa melihat arwah dalam keadaan ceria dan `cute’ tetapi menjelang detik kematiannya, keadaan beliau cukup menyedihkan. Itulah sebabnya mereka (keluarga) menyembunyikan beliau sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Beliau berkata, penyanyi itu disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna tetapi terdapat punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana ketika itu, arwah sedang menghadapi pelbagai perkara aneh.

“Mungkin juga ajalnya sudah sampai. Bagaimanapun, Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya yang menulis lebih 20 lirik lagu untuk penyanyi itu.

Sementara itu, jenazah Sudirman selamat dikebumikan bersebelahan kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Paya Dalam, Temerloh, dengan dihadiri 1,000 orang termasuk ahli keluarga dan rakan artis, selain peminat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Petikan: Misteri 'kehilangan' Sudirman terungkai Oleh Hardi Effendi Yaacob


No comments: