Thursday, January 25, 2018

LUAHAN RASA SEORANG PEMINAT SETIA


Assalamualaikum, Sudir dah meninggal ye! Selama ini segala cakap-cakap orang saya tidak percaya, macam-macam tohmahan yang sampai ke telinga saya, mula-mula kata Allahyarham kena AIDS, lepas tu gerak gempa pula kata Allahyarham dah mati di London, diterbangkan khas dengan jet. Arghh macam-macam, malah ada yang sampai hati kata mayatnya dibakar di London, semua tohmahan itu memeritkan hati dan nurani saya kerana saya amat sayang dan meminati beliau.

Semalam saya terkejut besar dan terus meraung apabila berita di TV menyatakan Sudir telah kembali ke Rahmatullah, sedih, duka, pilu dan hampa. Selama ini saya tahu Sudir sakit tapi bukan sakit biasa, sebab sebelum dia jatuh sakit pada bulan Julai 1991, beberapa bulan sebelum itu Allahyarham pernah menulis memberitahu saya yang Allahyarham baru baik dari sakit, kata Allahyarham sakitnya kerana aniaya orang. Nyaris hilang ingatan dan katanya keluar paku, hirisan tengkorak orang mati dari badannya.

Bila Sudir jatuh sakit Julai itu, saya tidak termakan tohmahan orang yang Sudir kena sakit yang bahaya sebab Sudir dah beritahu awal-awal yang dia nyaris mati kena buatan orang yang dengki. Tapi siapalah saya, saya cuma mampu berdoa dan terus berdoa semoga Allah memanjangkan usia Sudir.

Surat akhir Sudir kepada saya katanya, ingatlah Sabariah biarlah orang buat kita tapi jangan kita buat orang, itu pesanan ibunya sewaktu dia baru berusia 4 tahun dan dia pegang sehingga kini. Dan dia pula pesan begitu kepada saya.

Saya mengasihi Allahyarham seperti keluarga sendiri, meskipun saya sekadar peminat, tapi Sudir begitu baik sekali. Dia sering menulis surat meskipun kadangkala di tengah kesibukan, saya tahu beliau sibuk jika dia menulis ringkas dan tulisan kurang teratur dan sekiranya dia kurang sibuk dia akan menulis panjang lebar dan tulisannya amat kemas sekali.

Setiap suratnya banyak memberi nasihat kepada saya sebagai seorang ibu, malah Allahyarham sering mengirim buku-buku cerita untuk anak saya dan ada masanya setiap suratnya pasti dilampirkan potretnya.

Saya tidak tahu bagaimana remuk dan hancur perasaan saya atas pemergiannya ke Rahmatullah, saya ingin beliau lebih lama meneroka hidup untuk melihat lebih lagi kegigihan beliau mengharungi hidup dan selebihnya saya mahu bekas isterinya melihat kejayaan demi kejayaan yang ditempa Sudir.

Saya sering meniupkan semangat perangsang kepada beliau, menyenangkan perasaannya dengan nasihat-nasihat supaya tenangkan perasaan selalu tanpa terlalu memendam hati atas kehilangan bekas isterinya, tapi kata Sudir dia tidak dapat langsung melupakan Kay, sampai bila-bila Kay tetap bersemadi di hatinya. Dia teramat-amat mengasihi dan mencintai Kay!

Dulu saya kata kepada Allahyarham di dalam surat saya, kalaulah saya ada kuasa, saya mahu merayu agar Kay menerima Sudir kembali ke pangkuannya, tapi apalah daya saya, saya tidak kenal bekas isteri beliau malah tidak tahu langsung tempat tinggalnya.

Saya terlampau sedih, sebak dan hampa atas kehilangan Sudir. Selama ini saya sangka Sudir akan sihat kembali sebab semua peminat mendoakan kesejahteraan beliau. Akhirnya Sudir pergi jua, saya sedih.

Sudir sukar dicari ganti, memang tiada gantinya. Biarpun berjuta-juta penghibur, tiada yang serupa dengannya. Budi bahasanya halus, hatinya mulia malah semua kebaikan ada pada Allahyarham. Justeru itu, semua orang sayang kepadanya.

Perginya Allahyarham membawa duka lara. Saya tahu perasaannya atas kehilangan bekas isterinya, parah sekali luka tidak boleh sembuh sampai bila-bila.

Saya pernah menulis lirik lagu untuk Sudir dan katanya jika nanti selepas dia merakamkan albumnya dia akan menggubah lagu saya pula (lirik kiriman saya). Tapi sekarang ini, nampaknya banyak cita-cita Sudir tidak tercapai, kesian dia. Meskipun begitu, saya tetap mendoakan rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sudir adalah lambang manusia yang berpegang kepada cinta sejati, sekali dia jatuh cinta itulah cinta yang pertama dan terakhir, lihatlah sampai ke akhir hayatnya cinta kepada bekas isterinya masih bersemi. Saya benar-benar hiba, amat sebak dadanya ini kerana kelaraan perasaannya membawa dirinya merana begitu. Dia selalu berkata, baginya hidupnya sudah tidak ada apa-apa lagi, yang ada cuma kerjayanya, jadi dia mesti bekerja kuat. Masih saya ingat lagi katanya kepada saya, dia mahu menempa nama sampai ke hujung dunia!

Masih saya ingat lagi, sewaktu singlenya diedarkan di London untuk pasaran antarabangsa. Katanya dia panik seperti artis baru, siang malam berdebar-debar mengingatinya. Katanya, doakan dia berjaya. Sebab katanya, berjaya sahajalah yang dia ada, dan dia mahu maju ke puncak dunia Insya-Allah!

Saya tidak dapat menulis panjang lebar, saya masih terasa sebak di dada, kesedihan masih bergayutan di hati saya. Saya benar-benar belum dapat menerima pemergian Sudir ke alam barzakh. Rasa macam tidak percaya kerana saya sayang kepadanya.

Segala surat-surat, gambar-gambar dan buku-buku semuanya saya akan simpan baik-baik sebab itulah kenangan pemberian Sudir untuk saya sekeluarga.

Tolonglah sampaikan salah takziah saya kepada Puan Rodziah, Atai dan Puan Roaini, sebab saya tahu mereka amat berdukacita kini atas kehilangan Sudir, sedangkan saya sendiri bukan ada pertalian kekeluargaan dengan Sudir pun amat berdukacita, keluarganya lebih lagi merasainya kerana sepanjang 7 bulan menderita sakit merekalah yang menjaganya.

Cukup sampai di sini.

Wassalam, terima kasih.

Yang benar,
SABARIAH,
Hulu Kinta, Perak.

No comments: