Friday, February 17, 2012

Berita Harian: Konsert Memperingati Sudirman 24 Februari


SEMPENA memperingati jasa dan pengorbanan penyanyi tersohor Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, stesen televisyen RTM membawakan konsert tribute Sudirman... Abadi Di Hati pada 24 Februari ini.

Konsert berkonsepkan kronologi penyanyi itu menampilkan kelainan dengan persembahan lagu hit Allahyarham yang jarang didengar atau diputarkan di stesen radio seperti Hilang Berganti, Hujan, Kehadiranku dan Jali Jali.

Penerbit Perkhidmatan Muzik RTM, Ali Shaib berkata, selepas kejayaan penganjuran konsert Suara Hati Sudirman lima tahun lalu di Stadium Melawati, RTM komited mengangkat karya seniman itu sejajar dengan bulan memperingati Allahyarham.

“Melodi lagu Allahyarham tidak akan diubah sebaliknya kita akan membuat susunan muzik agar bersesuaian dengan penyanyi yang akan menyanyikan lagunya.

“Konsert ini berkonsepkan kronologi di mana kita akan tampilkan lagu daripada album pertamanya, Teriring Doa, sehingga album terakhirnya, Setelah Kau Tiada. Malah kita juga akan membawa karyawan muzik yang pernah bekerjasama dengannya.

“Orang kenal lagu Balik Kampung, Salam Terakhir, Merisik Khabar tetapi orang tak tahu yang Allahyarham juga pernah menyanyikan lagu Jali Jali walaupun itu bukan lagu dia. Kelainan itu yang akan kita tampilkan dengan mengenengahkan lagu-lagu hitnya yang jarang didengar,” katanya pada majlis pelancaran kalendar Siri Orkestra RTM 2012 dan konsert terbabit oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Konsert yang diiringi 40 pemuzik Orkestra RTM itu menampilkan 24 lagu hit Sudirman sejak awal kemunculannya dalam industri muzik yang akan disampaikan penyanyi Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey (Bintang RTM).

Selain konsert itu, RTM turut membawakan konsert Datuk Sharifah Aini pada 1 April ini dan Konsert Refleksi Rakyat yang menyajikan elemen muzik, lagu dan irama alam.

No comments: