Saturday, October 20, 2012

Hari Raya Haji Ingatan Saya


Hari Raya Haji adalah untuk Haji dan Hajjah sahaja. Begitulah yang ditekankan oleh ayah kepada kami adik-beradik semasa kecil. Dan kami mempercayai ayah. Merengek-rengeklah untuk mendapat sehelai baju baru; hantuklah kepada ke dinding untuk mendapat sepatu baru, namun ayah tetap tidak akan berganjak daripada pendiriannya.

"Hari Raya Haji untuk wan, datuk, Pak Aji, Mak Aji Itam.... pergi lawat orang-orang tua tu!" satu perintah daripada ayah. Saya patuh dengan segala kerelaan hati. Tak ada baju baru atau sepatu baru pun tak apa. Perintah ayah dijunjung tinggi. Di rumah Wan, Pak Aji dan Mak Aji, mesti dapat duit belanja raya. Dan mereka ini tidak pernah menghampakan saya.

Apabila meningkat dewasa, saya mula dapat membaca tabiat ayah. Sememangnya ayah pandai mencari alasan sekiranya dia tidak berkemampuan untuk mendapatkan sesuatu yang kami adik-beradik hajatkan. Dan sekiranya kami masih berkeras kepala, barulah tangan ayah melayang ke pipi. Dengan ayah ada hadnya.

Sehingga hari ini saya masih berpendirian seperti ayah. Begitulah berkesannya 'ajaran' ayah. Dan kerana itu juga, pada setiap Hari Raya Haji saya selalu terkenangkan ayah dengan cara dan tindak-tanduknya.

Ayah mendapat panggilan 'Haji'nya pada tahun 1972. Ayah menaiki kapal laut. Dia diterima bertugas sebagai Pegawai Kebajikan jemaah-jemaah Haji ketika itu. Kerana itulah pelayarannya percuma. Kalau hendak menunggu ayah mengumpul duit untuk mengerjakan Haji, memang tidak terkumpul oleh ayah. Kerana ayah suka berkawan-kawan, suka berbelanja. Dan saya amat bangga dengan cara ayah.

Seminggu sebelum ayah bertolak, ayah telah melawat kami di rumah kakak saya di Kuala Lumpur. Suasana malam itu menjadi riuh-rendah. Kami amat merasakan keghairahan ayah untuk belayar ke tanah suci. Kami bersembang anak-beranak sampai lewat malam. Kemudian ayah memimpin saya ke suatu penjuru rumah.

 Allahyarham Haji Arshad Hassan

Ayah pastikan tiada orang lain yang mendengar kami sebelum dia berpesan. Dan permintaannya walaupun mengharukan, amat menggeletek hati saya. Kerana belum pernah saya melihat ayah yang begini. Sebelum dia bertolak pulang ke kampung kami di Temerloh, Pahang, ayah berpesan sekali lagi. Kali ini di hadapan semua.

"Sudir jangan lupa benda yang ayah nak tu ye?"

"Benda apa?" saya pura-pura bingung.

"Benda itulah," Ayah mengulangi. Keluarga saya saling berpandangan. Masing-masing ingin tahu apa yang dimaksudkan oleh ayah. Saya cuma tersenyum.

Dua minggu selepas ayah bertolak saya mendapat sekeping poskad darinya menyatakan yang 'tape recorder' tua saya habis rosak, tak boleh berjalan, kerana dimasuki air laut. Dan 'tape' yang saya rakamkan dengan lagu-lagu melayu untuk ayahpun habis rosak. Kasihan ayah. Pasti dia berasa kesunyian di dalam kapal.

Sepanjang pemergiannya, ayah kerap menghantar surat dan gambar-gambar semasa dia menunaikan Fardhu Haji di Kota Mekah. Kami tahu dia amat merindui kami. Kerana kami juga begitu terhadapnya.

Ayah pulang membawa sebahagian daripada Mekah; batu-batu akik yang berwarna-warni, permaidani yang berbagai-bagai ukuran, pinggan-mangkuk, buah kurma, air zam-zam, berbagai bentuk kitab dan terjemahannya dan seribu satu barang lagi. Ayah kelihatan seronok melihat kami adik-beradik berebut-rebut mengambil ole-ole yang dibawanya pulang. Saya agak ayah berasa amat puas kerana dapat menghadiahkan kami sesuatu yang amat kami sukai ketika itu.

Pada tahun 1978, saya memenangi peraduan menulis esei anjuran Syarikat Penerbangan Jepun (JAL). Hadiahnya merupakan kursus selama tiga bulan di Jepun. Saya berhari Raya Haji di sana. Dan saya sempat menghantar sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya Haji yang saya buat sendiri kepada ayah. Di dalamnya saya tulis:

"Dulu ayah kata Hari Raya Haji untuk orang dah naik Haji. Sekarang saya ucapkan Selamat Hari Raya Haji  kepada ayah, rajin-rajin makan ubat."

Ayah tidak membalas kad saya. Ayah memang tidak suka menulis surat. Tetapi apabila saya telah pulang ke kampung, saya ternampak kad ucapan saya di dalam laci biliknya. Dan saya nampak beberapa bekas titisan air mata atas kiriman saya. Dan saya tahu ayah amat terharu menerima kad tersebut daripada saya.

Semenjak ayah bergelar 'Haji', setiap Hari Raya Haji kami raikan bersama sekiranya tiada aral melintang. Dan ayah orang yang paling gembira sekali.

Pada Hari Raya Haji tahun 1979, saya ke Malaysia Timur, menyanyi. Saya sempat menghantar kad Hari Raya Haji saya untuk ayah. Ayah ketika itu sedang sakit. Dan seminggu selepas Hari Raya Haji tahun itu, ayah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Dan saya terus dibuai rindu dengan seribu kenangan tentang ayah setiap tahun pada Hari Raya Haji.

Kerana itulah pada Hari Raya Haji, setiap Haji dan Hajjah mendapat tempat yang paling istimewa di hati saya. Malahan perasaan ini terus terpupuk sepanjang tahun kerana saya menganggap mereka ini telah mencapai satu tahap yang mulia di sisi agama.

P.Ramlee bersama pasangan Haji S. Romainoor dan Hajjah Umi Kalthoum

Dan pada Hari Raya Haji ini, saya berhajat untuk menziarahi sepasang Haji dan Hajjah yang bertanggungjawab ke atas perkahwinan saya, Haji Romainoor dan Hajjah Umi Kalthoum yang kebetulan mereka adalah juga sahabat lama ayah. Dan seperti pesan ayah saya akan membawa kain pelekat baru sebagai tanda ingat, kan ini hari raya untuk mereka!

Petikan: 'Dari Dalam Sudirman' muka 32-33, tulisan Sudirman Haji Arshad.

No comments: