Saturday, February 20, 2021

BANGLO RAHSIA DI BANGSAR

 


Banglo dua tingkat di Lorong Taban 1, Bangsar, Kuala Lumpur adalah tempat persembunyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad sepanjang tujuh bulan lalu, termasuk ketika dia digembar-gemburkan sudah meninggal dunia di London pada akhir tahun lalu.

Sejak dimasukkan ke Hospital Tawakkal di ibu negara pada 17 Julai tahun lalu dan dibenarkan pulang empat hari kemudian. Allahyarham tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.

Menurut seorang waris, Rahimah Sinan, 48, Allahyarham tinggal di rumah kakaknya Rodziah di Bangsar sebaik saja keluar dari Hospital Tawakkal.

"Allahyarham ada dibawa ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu pada akhir tahun lalu. Selepas itu, Allahyarham dibawa kembali ke Bangsar," katanya.

Media massa, khususnya akhbar tabloid, sebelum ini menyiarkan pelbagai siri pembongkaran kes kehilangan dan spekulasi mengenai keadaan Allahyarham dalam usaha mengesannya di seluruh negara.

Sepupunya, Maarof Idris, 30, berkata dia kerap melawat Allahyarham di Bangsar untuk mengetahui keadaan Allahyarham dari semasa ke semasa.

Dia yang tinggal di Kuantan, berkata Sudirman hanya dibawa ke beberapa tempat tertentu bagi mendapatkan rawatan secara tradisional dan moden untuk mengubati penyakit ganjil yang dialaminya.

Ramai peminat dan waris Allahyarham terkilan kerana sukar mengetahui perkembangan penyakitnya yang dianggap misteri.

Malah, waris kecuali adik-beradik Allahyarham, dilarang menziarahinya ketika Allahyarham sedang dirawat dan ini menyebabkan mereka terkejut apabila diberitahu mengenai kematiannya semalam.

Seorang waris, Kamaruddin Abdul Manaf, 48, berkata beliau masih tidak tahu mengenai penyakit sebenar Sudirman.

"Ramai waris tidak mengetahui penyakit Allahyarham kerana adik-beradiknya enggan bercerita dan menganggap perkembangan kesihatan Allahyarham sebagai rahsia," katanya.

Sebelum itu, di Kuala Lumpur, tidak ramai yang datang menziarahi Allahyarham kecuali saudara terdekat dan wakil media massa.

Tidak ramai artis datang menziarahi, kecuali pelakon Mek Habsah yang tiba pada jam 10 pagi, disusuli penyanyi Sharifah Aini sejam kemudian. Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan tiba kira-kira jam 11.30 pagi.

Sharifah Aini yang terkejut dengan kematian Allahyarham, menyifatkannya sebagai kehilangan besar kepada peminat seni suara kerana tiada yang dapat menandingi  kehebatan Sudirman.

Sumber : Petikan paparan akhbar bertarikh 23 Februari 1992.

No comments: