Saturday, February 20, 2021

HABSAH HASSAN TEMPAT MENCURAH ISI HATINYA

 


KUALA LUMPUR 22 Feb - Jika ada orang yang mengetahui segala isi hati Sudirman, orang itu tidak lain dan tidak bukan, penulis lirik terkenal Habsah Hassan.

Habsahlah yang menjadi tempat Sudirman mencurahkan segala isi hati dan kekecewaan selepas perkahwinannya gagal.

Dan semua cetusan perasaan Sudirman itu diabadikan dalam lirik lagu-lagu sentimentalnya yang menjadi hit seperti 'Terasing' dan 'Merisik Khabar'. Kedua-dua lagu tersebut pernah menjadi Juara Lagu Popular Minggu Ini (LPMI) di radio selama beberapa minggu berturut-turut.

"Beliau adalah seorang insan kerdil yang berjiwa besar... kehilangannya adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti sebagaimana Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee," Kata Habsah kepada Utusan.

Menurut Habsah, Allahyarham tahu bakatnya tidak sepenuh bakat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi dia yakin dengan usaha dan kebolehan yang ada, akan membantunya mencapai apa yang diimpikan.

Beliau yang telah mengenali Allahyarham Sudirman Haji Arshad sejak 15 tahun lalu terkejut apabila mendapat khabar mengenai kematian Sudirman.

"Saya merasa amat sedih... saya seperti kehilangan seorang rakan yang sukar dicari ganti," ujarnya lagi. Habsah adalah orang yang menulis lirik 'Teriring Doa' dan 'Suratku Yang Ini' untuk EP pertama Penghibur Nombor Satu Asia itu selepas beliau menjuarai Bintang RTM '76.

"Walaupun setiap apa yang dicitakan sentiasa berjaya dimilikinya tetapi sebenarnya Allahyarham merupakan seorang yang berputus asa dalam percintaannya dan sering mencurahkan keluhan perasaannya.

"Allahyarham sering mencurahkan keluhan perasaan kerana kegagalannya dalam membina sebuah rumah tangga bahagia dan itu memberi beliau idea untuk menulis lirik bagi lagu-lagu untuk album terbaru Allahyarham."

"Kebanyakan lagu-lagu nyanyian Allahyarham yang liriknya menyentuh perasaan sesiapa saja yang mendengarnya, merupakan rintihan perasaan Allahyarham sendiri," cerita Habsah.

'Salam Terakhir' lagu sentimental yang paling popular pernah dinyanyikan oleh Sudirman dicipta oleh Manan Ngah dan liriknya ditulis oleh Habsah merupakan sebuah lagu yang menggambarkan betapa kecewa dan putus asa Allahyarham dalam menghadapi kenyataan hidup.

Habsah terkilan kerana impian dan hasrat Allahyarham untuk menerbitkan filem "Mem" dan "Seniwati" secara usahasama Sudirman Film Production dengan Serangkai Film Production tidak tercapai.

"Allahyarham telah menyerahkan kertas-kertasnya mengenai penerbitan filem itu Jun tahun lalu, hingga kini saya masih menyimpan segala perancangannya mengenai filem berkenaan," kata Habsah.

Sumber : Akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 23 Februari 1992.

Oleh : Muzlina Abu Bakar







 

No comments: