Masih teringat lagi tahun lalu Sudirman datang ke Holiday Plaza JB untuk promosi albumnya Asia's No. 1 Performer. Dia datang dalam keadaan kakinya terjengkot kerana cedera. Pada hari Isnin 28 Ogos lalu dia datang lagi ke sini, kali ini sebagai seorang businessman. Dia mengadakan persembahan pentas untuk promosi Air SUDI dan barang-barang keluaran Sudir Shoppe.
Dalam setiap pementasan Sudirman suasana pasti gamat dengan kelucuan membuatkan penonton tak kering gusi. Wow, kedatangan Sudirman dikawal rapi oleh 30 anggota pasukan keselamatan dari luar bangunan hinggalah ke kawasan pentas green zone, macam Michael Jackson!
Sudirman tanya pada seorang kanak-kanak bernama Hafiz "Adik boleh nyanyi tak?" Hafiz menjawab "Tak boleh." Sudirman hairan "Hai, tak boleh nyanyi kenapa ikut naik pentas?" Hafiz jawab "Abang Sudir suruh naik!" Laaa!
Seorang kanak-kanak berbaju belang ditanya "Adik dah besar nanti nak jadi apa?" Budak tu jawab "Nak jadi askar." Sudir tanya "Kenapa nak jadi askar, nak tembak siapa?" Budak tu jawab "Nak tembak nyamuk..." ha! ha!
Lepas berkenalan, semua kanak-kanak itu menari lagu Budak Kampung bersama Sudirman. Seorang dari kanak-kanak itu kebetulan sedang mengunyah chewing gum. Sedang dia berjoget-joget dia tertelan chewing gum itu. Terus hilang jogetnya, dia berdiri terkejung!
Semua kanak-kanak itu dihadiahkan dengan topi visor keluaran Sudir Shoppe. Ketika Sudirman angkat seorang budak untuk dibawa turun ke pentas Sudirman berseloroh "Amboi beratnya badan budak ni. Macam badan mak dia..." Penonton ketawa.
Lepas acara untuk kanak-kanak, seorang wanita pula dijemput naik ke pentas. Seorang awek Singapura tampil ke depan sambil kedua tangannya membimbit beg, baru balik shoppinglah tu. Sudirman membelek salah satu beg itu dan berkata "Wah, dia beli baju, baju kecik!" sambil tangannya menunjukkan ke arah dadanya. Penonton ketawa.
Gadis itu diminta melakukan gaya Anita Sarawak untuk lagu duet Bercanda di Pasiran Pantai. Sudirman kata "Anita Sarawak bibirnya tebal. Adik boleh buat bibir tebal tak?" Gadis itu jadi bengang. He he. Lepas nyanyi gadis itu dapat sehelai T-Shirt Sudir Shoppe.
Untuk acara ini mereka diiringi oleh muzik jingle iklan SUDI. Tapi salah seorang pemuda itu nampaknya feeling habis. Muzik belum bunyi lagi dia dah melulu ke depan pentas lalu bergaya. Sudir menjerit "Hei nanti dululah! Muzik belum pasang lagi kamu dah melenting. Ini bukan iklan SUDI ini iklan kartun!!" Penonton jadi riuh rendah.
Selesai acara pentas Sudirman dibawa ke Restoran Sate Ria di sini untuk temuramah dengan wartawan-wartawan JB. Selepas itu dia ke Singapura, menyanyi selama 3 hari di Hotel Westin Stamford di sana.
Oleh : NAS AHMAD (Wartawan URTV di JB & Singapura)
Foto : JEFRI IRAN
Sumber : URTV 1HB. OKTOBER, 1990
Maznah peminat dari JB bergambar dengan Sudirman
No comments:
Post a Comment