Friday, February 17, 2012

Segmen Khas Sempena Memperingati Sudirman


Minggu hadapan iaitu pada hari Rabu bersamaan 22 Februari 2012 merupakan tarikh yang mencatatkan sejarah sedih apabila negara kehilangan Penghibur Tersohor Asia iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Pada tahun ini maka genaplah 20 tahun kita kehilangannya. Namun segala jasa dan sumbangan beliau kepada negara khususnya dalam bidang seni tidak harus dilupakan begitu sahaja. Beliau merupakan seorang Penghibur yang luar biasa bakatnya, dari Penghibur Rakyat beliau terus melonjakkan namanya sehinggalah berjaya dinobatkan sebagai Penghibur No.1 Asia.

Sempena bulan memperingati pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, beberapa segmen khas mengenang Sudirman akan disiarkan oleh beberapa stesen TV iaitu RTM (TV1) melalui rancangan bual bicaranya Selamat Pagi 1 Malaysia (Nadi Seri Pagi) dan Media Prima (TV3) melalui rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) pada tarikh tersebut (22 Februari 2012).


Manakala pada 24 Februari 2012 pula pada jam 9.00 malam secara langsung dari Auditorium Perdana Angkasapuri sebuah konsert khas Sudirman.... Abadi Di Hati akan disiarkan di TV1. Barisan penyanyi yang akan menyampaikan lagu-lagu popular Allahyarham termasuklah Datuk Sharifah Aini, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob (AF), Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey (BRTM).

Pada 25 Februari 2012 (Sabtu), jam 8.30 malam pula TV9 melalui program Apa Saja FBI juga akan membicarakan topik "Sudirman Dalam Kenangan". Antara jemputan yang hadir pada program ini ialah mereka yang rapat dan pernah bekerja dengan Sudirman iaitu Daniel Dharanee Kannan (bekas pengurus Sudirman), Den Wahab (tukang jahit Sudirman), Fauzi Marzuki (komposer), Atai (anak saudara Sudirman), Che Mok @ Mokhtaza Ahmad (Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music) dan Azhar (Peminat setia Sudirman). Ianya akan diacarakan oleh Faizal Ismail (FBI).


Seterusnya diikuti oleh Konsert Penutup Jom Heboh di Melaka yang turut menyelitkan segmen tribute buat Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Konsert ini akan disiarkan secara langsung di TV3 pada 26 Februari 2012, jam 9.00 malam.

Kepada peminat setia Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad jangan ketinggalan menyaksikan program-program tersebut. Sebagai tanda jasa dan sumbangan beliau terus dikenang sehingga kini.

1 comment:

Aina said...

nasib baik tertengok mhi hari ni.kalau tak rugi:)