Tuesday, May 15, 2012

Mengenang Jasa Guru Kita

Sudir sewaktu zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan 
Jalan Bahagia, Temerloh

Sedang saya membelek-belek satu robot mainan, saya terdengar seseorang membisikkan nama saya. Bisikannya antara dengar dan tidak dengar. Perlahan-lahan saya menoleh ke belakang.

"Encik T.T.L" teriak saya spontan sambil tersentak dengan wajah yang berada di hadapan saya.

"Wah.... ingatan kamu kuat ye? Kamu masih ingat nama saya," ujar guru saya sambil menoleh ke arah isteri dan anak-anaknya yang seramai tiga orang. Wajah guru saya menguntum senyum seribu kebanggaan. Dan saya pasti beliau memang tidak menyangka bahawa saya masih ingat akan nama penuhnya.

"Sudah tentu Encik T.T.L, guru sayakan?" Saya cuba mendamaikan hingar keseronokkan kami bertemu kembali.

"Tapi itu sudah lama. Saya dah pun mempunyai anak. Tiga orang. Yang tua dua belas tahun umurnya," Encik T.T.L memperkenalkan saya kepada keluarganya.

Saya mengamat-amati anak sulungnya. Dia masih belum lahir sewaktu saya menjadi murid bapanya, kini dah pun 12 tahun usianya! Begitu pantas masa berlalu!

Sudir sewaktu menyertai Talentime di sekolahnya

"Hampir saya terlupa, ini isteri saya," saya memperkenalkan isteri saya yang ada di sebelah saya.

"Beli mainan untuk anak-anak?" Encik T.T.L bertanya dengan penuh keyakinan.

"Oh tidak. Beli untuk hadiah hari jadi anak rakan. Kami masih lagi berbulan madu," ujar saya. Berderai kami ketawa dan terus berbual dengan lebih mesra di dalam kedai yang ditimbuni berbagai-bagai jenis dan ragam permainan.

Sememangnya, kebelakangan ini saya sering terserempak dengan bekas guru-guru saya. Dan tempat-tempat pertemuan itu pelik-pelik belaka: di medan selera, di gerai, di dalam kedai mainan, seperti sekarang ini. Tetapi yang anehnya setiap kali apabila kami berbicara, cara pertuturan kami tetap seperti dahulu. Tidak banyak berubah. Segala kemesraan yang terjalin di antara guru dan kelas terimbas kembali di dalam benak saya. Dan saya terasa bagaikan masih lagi menjadi murid mereka. Dan perasaan ini sungguh menyenangkan.

Saya masih ingat pesan Cik E.C.P., semasa saya di dalam tingkatan tiga. "Kamu semua bila dah belajar tinggi-tinggi, kamu jumpa cikgu jangan buat tak kenal. Cikgu tahulah diri kamu tu dah lebih pandai daripada cikgu sendiri." Dan sehingga hari ini pesanan itu tersemat di kalbu saya.

Oleh sebab isteri saya dan saya telah kesuntukan waktu saya terus meminta izin untuk berlalu.

"Encik T.T.L, saya amat gembira bertemu cikgu. Lebih daripada itu saya amat berterima kasih atas segala tunjuk ajar cikgu kepada saya semasa saya menjadi murid cikgu."

"Dan lagipun, saya menyambung, saya masih ingat dulu, sewaktu murid-murid sedang menghabiskan waktu di dalam makmal sains, saya leka menyanyi-nyanyi sendirian di dalam kelas. Saya tersentak dan berhenti menyanyi apabila saya sedari cikgu sudah lama berada di hadapan kelas. Tetapi cikgu meminta saya supaya jangan berhenti dan terus menyanyi. Cikgu kata cikgu suka mendengarnya."

"Dan saya tidak berhenti menyanyi sampai hari ini," saya bersenda. Berderai kami ketawa.

"Terima kasih sekali lagi." Saya mengucapkan salam dan terus berlalu bersama isteri saya.

Perasaan saya sungguh lapang. Terasa lega segala sebak di dada.

"Dia itu, guru kamu tahun bila?" isteri saya bertanya.

"Tingkatan satu," kata saya.

"Lamanya dah. Kenapa teruk sangat kamu berterima kasih?" isteri saya bertanya lagi.

"Guru...... tak kira pada peringkat mana, tetap guru kita. Sedikit sebanyak hidup kita telah dicorakkannya. Dan terima kasih saya, adalah kerana saya rasa beliau telah melakukan kerjanya dengan amat baik sekali. Walaupun tak sebanyak mana," ujar saya.

Kami berlalu dari kedai, mencebet permainan yang telah kami beli. Isteri saya memegang tangan saya erat-erat. Saya tahu dia bersetuju dengan pendapat saya.

Petikan: Dari Dalam Sudirman muka 75.

No comments: