Monday, July 23, 2012

Sudir, Jamal Sama-Sama Mencurah Perasaan


Segala soal jawap tentang Jamal yang bertukar ganti di dalam kepala sewaktu dalam perjalanan tadi hilang terus. Fikiran saya lengang. Entah ke mana. Hanya mata saya memanjat pagar dawai yang tinggi yang berduri-duri di atasnya. Saya melemparkan pandangan jauh ke deretan bangsal tahanan dalam kawasan pagar itu. Sayup. Jauh. Kering. Panas! Kosong! Terpencil! Terasing! Sedih. Hiba.

"Kalau, abang saya di dalam ni, macam mana ye?" Saya melayan perasaan. Mujur juga ada kaca mata hitam, seperti tembok menutup riak perasaan saya daripada insan sekeliling. Kami tiba di luar pagar masuk. Seorang anak kecil berlari. Kemudian terus hilang.

Saya ditemankan seorang sahabat, seorang peguam. Pegawai bertugas menjemput kami ke bilik ruang tamu. "Semalam saya telefon Mr. Singh untuk ke mari," ujar saya.

"Ya..... Mr. Singh sudah beritahu kami. Hari ini dia ada tugas luar. Dia meminta saya menyambut kamu." Encik Jungun, pegawai bertugas memperkenalkan saya kepada pegawai-pegawainya. Keadaan mula hingar-bingar sedikit. Saya disambut mesra oleh semua kakitangan di situ.

Saya tidak tahu berapa lama saya menunggu di bilik rehat itu. Tetapi lama benar rasanya. "Jamal di padang. Main bola." Kedengaran satu jeritan dari luar. Ya. Jamal ada! Hati saya terbuka seluas-luasnya. Saya rela tunggu.

Jamal berdiri di muka pintu. Wajahnya jernih. Senyumannya sedikit. Tapi mahal. Saya bangun. Kami bersalaman. Sama-sama menggenggam kuat. Dan terus berpelukan. Kami duduk sebelah-menyebelah di kerusi panjang.

"Jamal tak sangka Sudir akan datang tengok Jamal," Jamal membuka cerita.

"Bila diorang beritahu Sudir datang. Jamal tak percaya. Takkanlah penghibur macam Sudir ni ada masa. Tengok ni.... tangan Jamal masih terketar-ketar! Masih tak percaya!"

Saya tangkap terus kesopanan Jamal. Kami banyak persamaan. Suka merendah diri. Tidak suka menyusahkan orang lain. Dan lebih penting, tahu menghargai kudrat seseorang. Cara kami, sekepala! Dan ini akan terbukti terus sepanjang perjumpaan kami.


Jamal dan saya bercerita panjang. Kami lupa orang di sekeliling. "Datin Rafeah, Ogy, Aman dan ramai artis lain datang. Kalau mereka buat show di sini, mereka pasti datang tengok Jamal." Gembira sungguh Jamal menyebut nama-nama yang melawatnya.

"Noor, Sharifah dan peminat-peminat yang menulis pada saya, semua kirim salam kat Jamal." Saya membalas.

"Ya, Jamal banyak terima surat. Tapi Jamal tak boleh balas. Tulis surat hanya boleh pada keluarga, itu pun kena tapis. Jamal sedih. Mereka tulis tapi tak akan dapat jawapan dari Jamal." Keluh Jamal.

"Ya. Saya ada baca surat Jamal untuk peminat Jamal yang disiarkan di akhbar. Saya percaya peminat Jamal semua memahami. Mereka sayang Jamal." Saya cuba menenangkan kehampaan Jamal.

"Sudir rasa, mereka akan menerima Jamal semula? Adakah masa depan untuk Jamal?" Soalan Jamal datang mendadak. Simpati saya terhadapnya kian menebal. Jika boleh saya lakukan sesuatu untuk melepaskannya, akan saya lakukan.


"Jamal tak perlu bimbang mengenai penerimaan masyarakat terhadap Jamal. Sekiranya Jamal seorang artis biasa, mungkin. Tapi Jamal sudah ada tapak dan nama dan berbakat besar. Jamal tak perlu bimbang. Peminat mesti akan terus sayang. Malahan dalam pilihan penyanyi di rancangan radio RMIK, Jamal menjadi pilihan pendengar. Jamal pukul habis kami semua." Saya memberi keyakinan kepadanya. Jamal membisu mendengar kata-kata saya.

"Cuma bila Jamal keluar nanti, Jamal mesti berhati-hati mengatur langkah supaya tidak terjebak. Jamal ramai kawan?" "Tak." Jawabnya pendek.

"Saya pun tak ada." Kata saya.

"Dulu, masa Jamal mula-mula menang Bintang RTM, Jamal ingat lagi Sudir kata, kalau Jamal berada di EMI kita dapat bekerjasama." Begitu kuat ingatan Jamal terhadap kata-kata yang terucap enam tahun yang lalu.

"Tak apa. Ahmad Nawab adalah komposer yang terbaik untuk Jamal. Antara kita sesama artis di syarikat mana pun tak apa. Kita masih boleh bekerjasama. Tapi Jamal bila keluar nanti, janganlah lupa berhubung. Bila Jamal boleh keluar?"

Kami mengalih pandangan ke arah Encik Jungun. Baru kami tersedar akan alam sekeliling. "Lagi sembilan bulan. Paling cepat tujuh." Ujar Encik Jungun. "Lamanya." saya mencelah. "Tak boleh awal sikit? Jamal pun dah baik, kan?" Tanya saya.

Encik Jungun cuma tersenyum mendengar permintaan saya. "Jamal dah baik." Jamal membisik kembali kepada saya. "Jamal dah baik dan sihat. Disiplin di sini kuat. Latihannya pesat. Jamal rasa Jamal boleh bergiat dengan baik. Kalau terlalu lama di sini banyak buang masa pula." Tekanan suara Jamal seperti orang rindu. Rindu untuk ke pangkuan peminat.

"Ya, Jamal sudah pulih sekarang." Encik Jungun menyokong. "Dan rekod Jamal amat baik. Dia boleh dikeluarkan lebih awal. Tujuh bulan lagi. Tetapi mesti melalui pihak berkuasa." Jamal dan saya saling berpandangan. Dari raut wajah Jamal, terbayang keinginannya yang luhur untuk kembali ke pangkal jalan dan meneruskan perjuangan seninya yang sekian lama tinggal terbengkalai.


"Di sini, Jamal buat skrip. Jamal tulis senikata lagu. Tentang bahaya dadah dan macam-macam lagi. Dapat juga Jamal sibuk-sibukkan diri. Dan, Alhamdulillah. Semasa Jamal di sini, ada juga duit masuk melalui royalti rekod dan buku tentang Jamal. Ada juga rezeki." Jamal lebih mudah tersenyum hari ini. Dan kemanisan raut wajahnya kian jelas. Saya perhatikan rambut 'crew cut' Jamal yang sudah mula panjang sedikit. Tegak berdiri dan menebal garang. Lebih segak lagi bila dia memakai pakaian sukan, sepasang merah, berseluar pendek siap dengan but bolanya.

"Kadang-kadang Jamal menyanyi dengan geng-geng di sini. Terhibur juga. Dan surat peminat yang Jamal terima menghiburkan Jamal. Cuma Jamal sedih tak dapat balas." Keluh Jamal lagi.

"Itu polisi kami. Kami tak dapat benarkan Jamal menulis surat kepada sesiapa juga. Ini kawalan." Sambut Encik Jungun.

"Tapi dia boleh tulis satu pesan dan disiarkan di akhbar, khas untuk peminatnya, kan?" Tanya saya.

"Ya. Itu boleh."

Sengaja saya keluarkan sekeping kertas dan sebatang pen untuk Jamal menulis sesuatu kepada peminatnya. Jamal menyambutnya dengan gembira. Tangannya teragak-agak untuk menulis. Dia tahu yang saya cuba mendapatkan apa yang mustahil. Kami sama-sama tersenyum.


"Tapi.... sekarang tak boleh. Kena melalui pihak kami." Encik Jungun segera mematahkan rancangan saya. Dah agak pun!

"Kalau begitu, raya dah dekat. Saya rasa elok jika Jamal dapat berutus melalui akhbar dengan peminatnya." Saya meminta lagi.

"Yalah, itu boleh diuruskan." Ujar Encik Jungun. 

Jamal hanya memerhatikan gelagat saya. Kami diam sejenak. "Saya dah tengok Azura. Jamal berlakon bagus. Penonton di sebelah saya ada yang menangis tengok Jamal." Saya membuka cerita lagi.

Jamal yang pernah kita kenal dulu sukar sekali tersenyum lebar. Pendiam dan suka memencil. Jamal tidak pernah menyusahkan orang lain. Dia lebih senang membawa halnya sendirian.

Seketika kemudian.

"Mari main Abang Sudir." Seseorang berteriak dari jauh. Saya menunjuk ke arah kasut saya yang runcing di bucu depannya, dan terus berlari ke pintu gol. Jamal berdiri di luar padang memerhatikan gelagat saya.

"Shoot!" Kata saya. "Tapi kalau bola tinggi saya tak mahu lompat!" Kami melangkah ke arah bangsal di mana gerak kerja dijalankan. Seorang penghuni menendang bola dari tengah padang dan melantun di hadapan kami. Jamal merembat bola itu ke dalam padang. Saya perhatikan tendangannya yang begitu bertenaga. Ya, Jamal memang sangat-sangat sihat sekarang. Alhamdulillah.

Penghuni di situ diajar bertukang, mengukir, melukis, menjahit, membaiki kereta dan macam-macam lagi. "Wah... Kalau macam ni, boleh pandai bila keluar nanti, saya pun nak belajarlah." Saya mengusik Encik Jungun. Jamal memperkenalkan saya kepada rakan-rakannya.

"Dulu Jamal tak ramai kawan. Sini, ramai kawan. Mereka semuanya baik." Ujar Jamal. "Jamal tak mahu dipindahkan ke Semenanjung. Di sana ramai orang. Di sini tak beberapa. Hanya lebih kurang 50 sahaja. Dan dua perempuan. Jadi Jamal dapat membuat latihan dengan lebih khusus."

"Sudir tua dari Jamal berapa tahun?" Tanya Jamal secara tiba-tiba. "Tiga." Kata saya ringkas. "Sudir tak nak biar berisi sikit badan Sudir?" Tanya Jamal. "Sekarang di Semenanjung, gossip bukan main kencang mengatakan saya ambil dadah. Sebabnya saya kurus begini. Tapi tak kisahlah. Asalkan saya tahu yang saya tidak." Saya menerangkan kepada Jamal.

"Masa Jamal sembahyang Jumaat, imam berkhutbah, cerita hal-hal dadah ni. Tapi Jamal dah tak rasa apa-apa. Jamal tak rasa pun seperti dia mengiat-giat hal Jamal. Jamal rasa bersih. Jamal tak rasa apa-apa. Tak macam dulu. Maksud Jamal, kalau kita bukan penagih, kita tak perlu takut." Nasihat Jamal seolah-olah memberi semangat kepada saya. Dan saya amat yakin, Jamal sudah menjadi "Orang Baru".

Kami bercerita panjang lagi. Mengenai 'dunia hiburan'. Dan Jamal meminta saya sampaikan salam kepada semua peminat-peminatnya dan kepada artis-artis (Waalaikumussalam).

Masa begitu pantas berlalu. Dua setengah jam bagaikan sepuluh minit sahaja. Jamal dan saya diiringi pegawai-pegawai pusat itu melangkah ke arah pintu besar. Berat kaki saya melangkah. Di antara kami, bersambung-sambunglah pesanan dan kata-kata semangat. Kami berpelukan di depan pintu pagar besar. Erat!

"Sabar Jamal. Sabar." Bisik saya. Terasa oleh saya kesunyian yang akan membelenggui jiwanya semula. Kelopak mata Jamal bergenang dengan air jernih. Tetapi bibirnya menguntum satu senyuman yang ikhlas buat ingatan saya sewaktu pulang.

"Terima kasih Sudir, kerana sudi datang tengok Jamal." Kata akhir dari Jamal. "Jamal nak saya duduk sama di sini? Boleh!" Saya berseloroh lagi. Kami bersalaman. Erat. Saya melangkah keluar pintu pagar. Dan budak kecil yang saya lihat sewaktu saya datang tadi sudah menunggu di luar dengan kawan, saudara, keluarga dan jiran-jirannya. Masing-masing dengan autograf dan kamera. Saya melayan mereka. Dan dari sudut mata, saya perhatikan yang Jamal masih berdiri di tempat kami bersalaman. Memerhatikan asam garam rentak dunia hiburan di luar pagar. Saya pelakonnya. Kali ini dia penontonnya. Saya masuk kereta dan membuka tingkap. Kereta berlalu. Saya melambai-lambai ke arah Jamal. Jamal tidak berganjak dari tempatnya. Dia melambai jua. Kami saling lambai-melambai sehingga pandangan mata kami terpisah.

Hari itu saya mulai mengenali Jamal. Kesopanannya terhadap saya seperti kesopanan saya terhadap dirinya. Berkat pendidikan ibu bapa. Cara kami, satu kepala. Kereta saya terus meluncur laju. Dan saya tahu di dalam pusat itu Jamal amat merindui kita semua. Seperti kita merinduinya.

Oleh: Sudirman Haji Arshad


No comments: