Sunday, July 15, 2012

Suraj Kumar Anak Angkat Sudir

Sudir bersama anak angkat kesayangannya, Suraj Kumar.

Mungkin sesiapa pun tidak menduga Sudirman Haji Arshad mempunyai 'anak' lelaki. Memang tindakan saudagar Sudirman sesuatu yang perlu diteladani. Beliau tidak memilih keturunan, agama dan darjat untuk berbakti.

Mungkin tindakannya untuk mengambil anak angkat dari bukan Melayu menyinggung segelintir manusia, yang nyata hasrat dan tujuan Sudir adalah murni.

Ini terpaksa diakui walaupun mungkin ada yang tidak menyenangi lebih-lebih lagi "ganjaran" yang bakal diterima oleh bayi itu bukannya sedikit. Malah sebelum ini pun ramai ibu bapa yang menawarkan anak mereka kepada penyanyi ini.

Nama anak yang yang berusia lapan bulan itu diberikan sendiri oleh Sudir, Suraj Kumar, yang bererti Raja Yang Cantik.

Menurut saudagar minuman dan pakaian ini, apa yang menggerakkan hatinya ialah ketika terpandang saja wajah Suraj di hospital, anak ini melemparkan senyuman yang bermakna walaupun ketika itu anak kecil itu sedang nyenyak tidur.

"Senyumannya betul-betul bererti. Lantas saya menyuarakan hasrat untuk mengambilnya sebagai anak angkat kepada kedua ibu bapanya yang merupakan kawan lama saya.

"Saya rasakan seolah-olah Suraj benar-benar mahukan saya sebagai bapanya," kata Sudir.

Suraj Kumar akan menjadi jutawan apabila menjangkau usia 21 tahun. Beliau akan mewarisi $1 juta wang insurans oleh Sudirman, wang belanja $20,000 setiap tiga tahun selepas mencapai usia tiga tahun dan wang simpanan bulanan $600 sebulan.

Malah ibu bapa Suraj pun mendapat sebuah kereta untuk kegunaan mereka dan keluarga anak itu akan ditempatkan berhampiran dengan kediaman Sudir nanti.

Semuanya ini adalah pemberian penyanyi itu tanda kasih. Sekarang ini mereka masih menetap di Senai, Johor.

Seperti bapa lain yang mendapat anak sulung, Sudir juga tidak lari dari tugas menyalin lampin dan membuat susu.

"Ketika Suraj berusia tiga bulan, beliau tinggal dengan saya selama dua bulan. Saya menjaganya dengan penuh kasih sayang. Menukar lampin dan sebagainya. "Suraj tidur dengan saya," katanya.

Sudir akan melawat anaknya itu dua bulan sekali untuk melepas rindu. Bulan ini, bayi itu akan tinggal bersama Sudir selama tiga bulan lagi. Sibuklah penyanyi kesayangan itu melayan anaknya.

"Apa yang istimewa mengenai Suraj, beliau mengenali suara saya. Malah ketika radio memainkan lagu saya, beliau akan mencari-cari menoleh ke kiri dan ke kanan seolah-olah mencari saya," jelasnya lagi.

Tetapi Sudir memberikan kebebasan kepada Suraj untuk memilih agamanya sendiri apabila dewasa kelak.

"Saya mahu beliau mencontohi saya," katanya.

Suraj kini berjaya mengisi kekosongan hidup penyanyi terbaik Asia ini selepas penceraian beliau dengan isterinya, Kay hampir lima tahun lalu.

Sekiranya Sudir tidak kahwin lagi, sekurang-kurangnya "anaknya" itu akan menjaganya di hari tua. Mungkin juga Suraj bakal menerajui syarikat Sudi Productions.

Hasrat dan tujuan Sudir memilih Suraj Kumar sebagai anaknya, hanya beliau saja yang tahu.

Petikan: Majalah TELE-SKOP terbitan tahun 1990.

No comments: