Friday, February 9, 2018

MENGAPA SUDIRMAN TIDAK DIKENANG?


Inilah persoalan yang sering menjadi tanda tanya mereka yang pernah bersama Sudir.

Sudir pernah menjadi penulis tamu di Kumpulan Karangkraf. Ruangan Cetusan Rasa Sudirman yang memaparkan pengalamannya menjadi tarikan kepada peminat-peminat. Ini hanyalah sedikit sumbangan Sudir dalam dunia penulisan.

Begitu banyak sumbangan besar Sudir terhadap industri hiburan tanah air. Namun kematiannya seolah-olah melenyapkan penghargaan terhadap sumbangannya.

Mungkin ramai yang bertanggapan ‘usah dikenang orang yang telah pergi’. Biar dan kita yang hidup perlu meneruskan kehidupan ini seperti biasa. Namun tidakkah kejam bagi kita melupakan orang yang begitu jujur dan baik seperti Sudir.

Sungguhpun Sudir mungkin tidak pernah meminta untuk dikenang tetapi segala budi dan bakti yang ditaburkan dalam bidang seni perlu mendapat pengikhtirafan sewajarnya.

Bukan pangkat atau darjat yang diharapkan tetapi cukuplah nostalgia dan kenangan bersama Allahyarham diabadikan untuk tontonan dan ingatan generasi akan datang. Usaha syarikat EMI dan keluarganya sendiri mengadakan majlis tahlil untuk Sudir setiap tahun hanyalah sangat sedikit tetapi patut dipuji.

MEMORI INDAH TETAP DALAM KENANGAN

Pemergiannya ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggal 22 Februari 1992 bersamaan hari Sabtu, hilanglah sebutir mutiara yang menyinari persada seni tanah air. Kehilangannya meninggalkan seribu kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh rakyat Malaysia.

Usahanya menaikkan nama negara di persada dunia dalam bidang seni adalah satu penghargaan buat semua rakyat terutama insan seni. Kejayaannya itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu menawan arena seni antarabangsa.

10 tahun pemergian, dia seolah-olah luput dari ingatan kita. Kalaupun ada yang mengenang penghibur nombor satu ini, hanyalah sedikit sahaja bilangannya. Mungkin mereka terdiri daripada kaum keluarga, sahabat terdekat dan mereka yang mengenali dirinya. Cuma yang mendekatkan kita dengan Allahyarham Sudirman Haji Arshad ialah lagu-lagu yang menyentuh jiwa yang ditinggalkan.

Di wajahnya terukir sekuntum senyuman manis menyimpan seribu pertanyaan di hati kita semua. Ke mana sahaja dia melangkah tidak kira di kala berduka lara atau gembira, senyuman manis tetap terukir di bibir manisnya. Tidak ada lagi insan seni yang boleh menandingi kehebatannya sebagai penghibur nombor satu negara.

Dilahirkan pada 25 Mei 1954, kehadirannya dalam bidang seni mencipta sejarah tersendiri. Anak kelahiran Temerloh, Pahang ini merupakan seorang artis yang serba boleh. Pernah bergelar Penghibur No. 1 Asia. Allahyarham merupakan penerima anugerah kedua di peringkat antarabangsa selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Usaha gigih yang ditunjukkan oleh Allahyarham membuahkan hasil yang turut dikongsi bersama rakan artis dan peminat di waktu itu.

Allahyarham membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu bersaing di pentas antarabangsa. Persembahannya di The Royal Albert Hall, London memukau mata dan hati setiap penonton yang hadir ketika itu.

MULAKAN LANGKAH SEBAGAI ANAK SENI

Penglibatan Allahyarham dalam bidang seni bermula selepas kemenangannya dalam pertandingan Bintang RTM yang disertainya pada tahun 1976. Kemenangan itu terus menempatkan dia di persada seni tanah air. Sememangnya dia bukanlah seorang artis yang tidak mementingkan pendidikan. Kejayaannya dalam bidang seni setanding dengan bidang pendidikan. Allahyarham adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.

Selepas kematian ibunya, dia dibesarkan oleh bapa, adik-beradik dan nenek. Arwah nenek telah banyak membantu Allahyarham kerana arwah ibunya meninggal sewaktu Allahyarham berumur 5 tahun. Allahyarham banyak mendapat kasih sayang daripada keluarga.

Disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang seni, Allahyarham memperhambakan dirinya dalam bidang seni. Status peguam yang sepatutnya dimiliki dibiarkan begitu sahaja. Malah ijazah yang dimilikinya itu merupakan satu aset penting baginya yang menandakan bahawa dia artis yang cemerlang dalam bidang akademik.

Pelbagai pembaharuan dan idea kreatif yang telah ditonjolkan oleh Allahyarham dalam setiap persembahannya. Contohnya persembahan di acara penutup Sukan SEA 1989. Allahyarham mengadakan satu persembahan yang cukup bertenaga dan menampilkan imej yang rasanya tidak mungkin difikirkan orang lain. Dengan memakai set pakaian seperti Bendera Malaysia, penampilannya membuktikan penghibur nombor satu negara ini mampu bersaing.

Malah semasa menyertai pertandingan Salem Music Award di The Royal Albert Hall, London, Allahyarham tidak kurang hebatnya menampilkan satu persembahan yang cukup bertenaga dan mantap. Idea dan kreativiti yang ditonjolkan dalam persembahan tersebut membolehkan dia menjuarai pertandingan tersebut lantas bergelar Penghibur Nombor 1 Asia.

Dalam pertandingan yang sama Allahyarham telah menewaskan beberapa orang artis terkemuka Asia seperti Leslie Cheung, Kuh Ledesma, Anita Sarawak dan ramai lagi.

DIKENANG KETIKA 31 OGOS DAN HARI RAYA

Lebih sedekad pemergian Allahyarham, hanya mereka yang pernah bersama Allahyarham saja yang benar-benar merasakan kehilangannya. Begitu besar namanya dalam bidang seni namun dia umpama permata yang disaluti habuk dan tidak dijaga rapi. Dia seolah-olah dilupakan. Jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam bidang seni juga tidak kurang hebatnya seperti mereka yang lain yang pernah mengharumkan nama negara.

Jika ditanya pada kanak-kanak dan golongan remaja masa kini pada mereka mungkin nama Allahyarham tidaklah sehebat nama-nama insan seni yang lain. Allahyarham dikenang bila lagu-lagunya berkumandang di corong-corong radio. Terutama pada 31 Ogos dan menjelang hari raya. Saat-saat inilah mengingatkan kita pada Allahyarham, selebihnya pergi bersama peredaran masa.

Jika negara terasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, mengapa tidak untuk Allahyarham Sudirman? Hanya mereka yang rapat sahaja mengenang Allahyarham. Setiap tahun nostalgia untuk mengenang kembali jasa dan detik-detik Allahyarham sebagai Penghibur Nombor 1 Negara tidaklah sehebat yang dibuat untuk orang lain.

Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, yang tahu pengorbanan dan perjuangan Allahyarham dalam bidang seni juga perlu diikhtiraf seperti insan seni yang lain. Namun selepas pemergiannya bagaikan dilupakan tanpa sebarang penghargaan dan penghormatan. Suatu ketika dahulu, ada pihak yang menyuarakan untuk membina Muzium atau Pustaka Peringatan Sudirman. Namun sehingga kini setelah lebih sedekad pemergiannya belum nampak usaha ke arah itu dilaksanakan.

*Petikan sisipan akhbar BACARIA ‘Sedekad Pemergian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad’ terbitan 22 Februari 2002.



No comments: