Thursday, February 15, 2018

SUDIRMAN TINGGALKAN BIDANG GUAMAN DEMI MENJADI PENGHIBUR


Akhirnya Sudirman mengambil keputusan muktamad untuk menjadi penyanyi. Selama ini, Sudirman berada di dalam dilema iaitu sama ada ingin menjadi penyanyi atau peguam. Dengan pengumuman yang dibuatnya pada 16hb. Februari yang lalu, hapuslah segala teka-teki yang tersebar di sana sini mengenai karier Sudirman di masa depan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Sudirman berada di dalam situasi yang membingungkan sebaik saja dia diterima sebagai peguam tidak lama dulu, beratus-ratus pucuk surat diterima dan entah berpuluh-puluh kali panggilan telefon untuknya dalam sehari, hanya semata-mata memberi pandangan mengenai kariernya di masa depan. Ada yang memintanya untuk terus menjadi penyanyi dan tidak kurang pula yang menaruh harapan agar Sudir menjadi peguam saja.

Kini legalah segala keraguan di hati para peminat bila Sudir mengumumkan keputusannya untuk terus bergiat dalam bidang seni suara. Tiada kekesalan di hatinya kini dan tidurnya telah lena bila kerunsingan telah berlalu dari jiwanya.

“Saya telah menunaikan hasrat dan cita-cita Allahyarham ayah saya. Semasa hidupnya, dia meminta saya menunaikan hasratnya untuk menjadi peguam dan saya kini telah pun diikhtiraf sebagai peguam. Dan hari ini, saya membuat keputusan untuk terus menyanyi sebagai menunaikan hasrat dan cita-cita saya di masa kecil dulu,” jelas Sudirman dengan penuh yakin dengan keputusan yang dibuatnya itu.

“Penglibatan saya selama tujuh tahun dalam dunia seni suara, memberi keyakinan pada diri saya untuk terus maju. Dulu, memang dunia seni suara ini penuh dengan risiko dan saya tabah menghadapi risiko tersebut. Ianya memberi dorongan dan kekuatan pada diri saya.

“Kini bidang seni suara bukan lagi risiko pada diri saya tetapi merupakan satu perjuangan. Saya telah lama mengenali dunia seni ini malah tujuh tahun lalu saya sentiasa berpijak sebelah kaki dalam dunia seni dan sebelah lagi dalam dunia peguam. Sudah tiba masanya saya menggunakan kedua-dua belah kaki itu untuk terus berjuang bagi memeriahkan lagi dunia seni suara tanah air ini,” jelas Sudir lagi.

Dengan pengumuman tersebut, Sudirman sudah tidak ragu-ragu lagi untuk melangkah dan terus melangkah dalam dunia hiburan tanah air. Malah pengorbanan yang dibuatnya, tidak kurang mendapat tentangan dari setengah golongan. Sudah tentu ada yang mengatakan keputusan Sudir untuk menjadi penyanyi adalah keputusan bodoh dan sia-sia, namun Sudir lebih arif dengan langkah yang diambilnya itu.

Sudir ingin menjadi penghibur dan kini sudah mempunyai syarikatnya sendiri iaitu “Sudirman Production” yang bertujuan untuk menguruskan segala kredibiliti Sudir dalam sesuatu pertunjukan termasuk hiasan pentas. Sementara Mike Berney masih menjadi pengurus kepada Sudirman di dalam hal mendapatkan konteks untuk pertunjukan di dalam dan di luar negeri.

Semoga Sudirman akan terus gigih mendaki hingga ke puncak kejayaan sebagai seorang penghibur. Selama hari ini tidak siapa yang menafikan akan daya kreatif Sudir dalam dunia seni. Sudir sentiasa membuat idea bagi memberi kepuasan kepada para peminat dan belum ada kedengaran keluhan dan perasaan tidak puas hati akan persembahannya.

*Petikan "Cover Story” SUDIRMAN AMBIL KEPUTUSAN dalam majalah hiburan URTV terbitan 1 Mac 1984 oleh Norbaya Musa.


No comments: