Thursday, February 15, 2018

PUSTAKA PERINGATAN SUDIRMAN?


Jika Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diberi penghargaan oleh kerajaan setelah 11 tahun pemergiannya melalui Arkib Negara dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan mengumpul dana untuk pembinaan “Pustaka Peringatan P. Ramlee” di Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, Kuala Lumpur bermula pada tahun 1984 (Sasaran dana sebanyak RM1 juta) sehingga pembukaan rasminya  pada 22 Mac 1986, mengapa tidak inisiatif yang sama dilakukan ke atas Penghibur Nasional yang bertaraf Penghibur Nombor 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad?

P. Ramlee dikenang berdasarkan dari jasa-jasanya sebagai seorang pemikir budaya yang matang dan kreatif sebagaimana yang disalurkan menerusi karya-karya seninya terutama menerusi bidang pengarahan, lakonan filem mahupun lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya yang malar segar sehingga kini dan dekat di hati setiap golongan masyarakat serta kejayaannya merangkul pelbagai anugerah di peringkat Asia menerusi Pesta Filem Asia.

Sumbangan Allahyarham Sudirman kepada negara juga tidak kurang hebatnya kerana beliau merupakan seorang pejuang seni budaya bangsa yang begitu gigih memartabatkan industri seni hiburan tanah air sehingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila bergelar Penghibur Nombor 1 Asia pada 19 Mac 1989 di pentas berprestij The Royal Albert Hall, London.

Sudirman seorang Penghibur yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan setiap persembahannya memberi impak yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang menyaksikannya. Sudirman memiliki pakej yang lengkap dalam persembahannya iaitu tampil dengan teamnya yang terdiri daripada band iringan ‘The Glue’, penari pengiring ‘The Girls’ dan penyanyi latar ‘The Giggles’. Di dalam setiap persembahannya pasti menjanjikan sesuatu yang terbaik demi kepuasan penonton yang hadir, di setiap sudut beliau akan pastikan kesempurnaan seperti lampu, props malah fesyen yang dipakai oleh beliau dan penari-penarinya turut dititikberatkan. Sudirman tidak pernah sekali pun menghampakan hadirin yang menyaksikan persembahannya.

Sudirman juga merupakan simbol perpaduan, kerana di dalam setiap persembahan beliau pasti diselitkan elemen Malaysia dengan menampilkan lagu-lagu Tamil, Kantonis dan Inggeris untuk menghiburkan semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, kerana itulah beliau disayangi oleh peminat-peminatnya dari semua kaum. Malah pekerja-pekerjanya juga terdiri daripada mereka yang berbilang kaum.

Sudirman juga seorang Penghibur yang peka terhadap situasi masyarakat di sekelilingnya ketika itu daripada golongan bawahan sehinggalah golongan atasan. Kerana itulah beliau menghasilkan lagu-lagu yang temanya diluar kebiasaan seperti lagu Aku Penggangur, Baru Dapat Kerja, Pulang Dari Kilang, Punch Card, Jamilah (Untuk Jururawat), Sepetang Di Pasar Minggu, Chow Kit Road! Chow Kit Road! dan Hidup Di Kota. Lagu-lagu seperti ini begitu dekat dengan semua golongan masyarakat, elemen-elemen sebeginilah mendekatkan peminat dengan Sudirman, kerana beliau faham dengan kehendak peminat-peminatnya.

Selain itu, Sudirman juga dikenali sebagai Penghibur yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan pernah menghasilkan album patriotik berjudul ABADI pada tahun 1982, lagu-lagu dari album ini kekal menjadi lagu tema untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia saban tahun. Konsert-konsertnya tidak lengkap jika tidak tampil dengan baju Bendera Malaysia serta lagu-lagunya yang berunsur patriotik seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita, Warisan, Radio Malaysia (Sejak Dulu), Kehadiranku dan Bapak (Satu Penghormatan kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj). Kerana semangat patriotik yang beliau tampilkan inilah beliau pernah dinobatkan sebagai Ikon Patriotik.

Walaupun meraih kejayaan yang besar sebagai Penghibur, Sudirman tidak lupakan asal-usulnya dari kampung. Disebabkan itu, Sudirman banyak menghasilkan sendiri lagu-lagu yang bertema budaya anak desa seperti lagu Anak Gembala, Hidup Sederhana (Basikal Tua), Aku Budak Kampung, Apa Khabar Orang Kampung dan Balik Kampung. Pendek kata Allahyarham Sudirman merupakan seorang Seniman Rakyat.

Bakat Sudirman bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, beliau juga seorang penari, pelakon, pelawak, penulis lirik, penggubah lagu, wartawan sambilan, penulis, pelukis, peguam dan usahawan yang berjaya. Sudirman pernah memiliki syarikat penerbitannya sendiri ‘Sudirman Productions Sdn. Bhd.’ dan juga syarikat yang menguruskan produk minuman jenamanya sendiri SUDI iaitu ‘Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn. Bhd.’ serta produk Merchandise atas jenama SUDIR SHOPPE.

Di penghujung usianya Allahyarham Sudirman pernah bercita-cita untuk menubuhkan syarikat rakamannya sendiri di Los Angeles, California, Amerika Syarikat untuk mengetengahkan bakat-bakat artis tempatan di peringkat global dan turut bercita-cita menubuhkan empayar perfileman bertaraf antarabangsa sepertimana Shaw Brothers di Hong Kong. Namun begitu, hasrat dan cita-citanya terkubur begitu sahaja kerana beliau terlebih dahulu pergi menyahut seruan Illahi kembali ke Rahmatullah di usia yang terlalu muda.

Inilah antara sumbangan-sumbangan Allahyarham Sudirman terhadap industri seni tanah air. Namanya tetap dikenang saban tahun, namun begitu belum ada usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk mengabadikan namanya secara lebih terhormat agar generasi baru lebih mengenali pejuang seni tulen ini. 

Setelah lebih dua dekad pemergiannya satu usaha perlu dibuat sebagai mengenang jasanya. Adalah wajar dibina sebuah ‘Pustaka Peringatan Sudirman’ untuk menghimpunkan khazanah-khazanah seni yang ditinggalkan oleh beliau supaya dapat menjadi sumber rujukan kepada sesiapa sahaja khususnya mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri seni agar dapat mencontohi kesungguhan Allahyarham Sudirman dalam mencapai kejayaan yang gemilang dan kekal terpahat dalam lipatan sejarah seni tanah air.

*Penulisan ini adalah pendapat peribadi Admin sendiri.


No comments: