Thursday, February 22, 2018

SUDIRMAN MEMBUAT PENONTON TIDAK MERASA BOSAN


Malam 4 Ogos 1986 bertempat di Merlin Show Palace, Kuala Lumpur. Tepat jam 10 malam, buat pertama kalinya Sudirman Haji Arshad muncul secara solo setelah hampir empat tahun diiringi oleh dua orang penari jelita.

Ternyata kejayaan setiap pertunjukan Sudir selama ini bukan terletak kepada kejelitaan, kegenitan dan kelincahan dua orang penarinya itu. Sudir mampu menghibur setiap inci dewan dan mencuit hati setiap lapisan penonton, baik peringkat kanak-kanak, muda-mudi belasan tahun, orang dewasa mahupun peringkat makcik dan pakcik.

Selama ini, ramai peminat Sudirman yang bersungut kerana tidak berpeluang untuk menyaksikan persembahannya secara dekat. Ini adalah kerana kontrak Sudir lebih menumpukan pertunjukan berbentuk ‘international’ di hotel-hotel mewah. Bukan calang-calang orang yang mampu masuk menyaksikan persembahannya!

Tetapi di Merlin Show Palace di mana kontrak Sudir selama tiga minggu yang bermula dari 4hb. Ogos dan kemudian telah dilanjutkan tiga minggu lagi dan berakhir pada 13hb. September lalu, telah memberi peluang kepada peminat-peminat yang kurang mampu untuk berhibur. Bayaran yang dikenakan begitu berpatutan dengan ditambah keselesaan serta kesempatan berhibur dengan keluarga.

Rata-rata penonton yang datang ke situ membawa keluarga. Tidak terkecuali muda-mudi yang datang berhibur bersama rakan-rakan, pasangan muda-mudi yang sedang bercinta serta pasangan suami isteri yang merasakan perlu ‘privacy’ tanpa gangguan anak-anak!

Selama hampir dua jam persembahan Sudir bersama Glue dan Giggles tanpa henti-henti, tiada saat yang membosankan. Itulah keistimewaan Sudir yang segar, tanpa mahu membiarkan seorang jua penonton bosan menyaksikan persembahannya!!!!

Oleh: Norbaya Musa

*Petikan sisipan majalah hiburan URTV terbitan 1HB Oktober 1986.


No comments: