Friday, February 16, 2018

RAHSIA BAKAT SUDIRMAN


Dia diberi penghormatan sebagai PENGHIBUR TERBAIK di Malaysia. Baik di dalam mahupun di luar negara bakat semulajadinya pasti menakjubkan penonton yang berbagai-bagai ragam. Namanya terpahat kukuh di hati sanubari masyarakat tanpa mengira bangsa. Lagu-lagu dendangannya seperti Basikal Tua, Anak Gembala, Balik Kampung, Terasing, Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan lain-lain telah menjadi siulan di kalangan anak-anak muda, malahan semua peringkat umur.

Namun demikian, gelaran dan sanjungan tidak mudah membuat dirinya tenggelam dalam khayalan. Sebaliknya, penghormatan dan pujian yang diberikan itu membuatkan dirinya lebih tabah mengejar kejayaan yang lebih gemilang untuk hari muka.

Di bidang akademik, dia telah membuktikan dirinya kini seorang peguambela-peguamcara yang bertauliah, dia lebih berminat kepada bidang seni walaupun bidang tersebut bukan cita-citanya yang asal. Itu semua dilakukan olehnya semata-mata kerana mencari kelainan dalam hidup.

“Yang penting bukan apa yang kita lakukan, tetapi bagaimana kita melakukannya.” Satu saranan daripadanya.

“Setelah lulus dalam jurusan undang-undang di universiti, saya menghadapi dilema untuk memilih karier, iaitu antara peguam dengan penyanyi. Akhirnya saya memilih bidang nyanyian kerana ia lebih sesuai dengan minat saya. Seorang peguam perlu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kes-kesnya. Bermakna, ia tidak dapat disatukan dengan kehendak profesion seorang penyanyi.”

“Namun mungkin satu hari nanti saya akan mempunyai firma guaman saya sendiri. Ijazah undang-undang adalah suatu hadiah buat keluarga saya, lebih-lebih lagi arwah bapa saya. Bidang nyanyian adalah jiwa saya.” Ujar Sudirman.

Demikian kisah SUDIRMAN HAJI ARSHAD, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana masyarakat sudah lama mengenalinya. Baginya dunia seni dan jiwanya ibarat irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan lagi. Malah, beberapa cabang seni yang lain, termasuk menulis, mencipta lagu, melukis dan berlakon turut bertapak dan mengalir dalam dirinya.

Dunia seni diminatinya sejak kecil. Namun demikian, anak kecil dari pekan Temerloh pada ketika itu hanya sekadar menjadi peminat kepada beberapa orang bintang filem dan penyanyi yang dipujanya seperti Ahmad Jais, Rafeah Buang, Seniwati Normadiah, Saadiah, Sarimah dan Allahyarham P. Ramlee.

Cerita Sudir; “Penglibatan saya dalam bidang seni suara bermula dengan Pertandingan Bintang RTM yang saya sertai pada tahun 1976. Saya tidak terlintas untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai satu profesion. Sebaliknya, penyertaan saya itu hanya untuk suka-suka disamping mencari ‘rezeki tambahan’ setelah penat memerah otak dengan buku-buku.”

“Malah pendapatan saya melalui seni suara ketika saya menuntut, telah sedikit sebanyak menampung perbelanjaan pelajaran saya semasa di universiti.” Ujarnya. Tetapi sejak awal lagi, Sudirman telah menampakkan prestasi terbaiknya.

Kerana hanya mahu menganggap nyanyian sebagai hobi, dia mengikat kontrak dengan sebuah syarikat rakaman tempatan WARNADA dengan EP sulungnya ‘Teriring Doa’ sejurus memenangi Bintang RTM. Tetapi pada tahun 1978, EMI telah ‘membeli’ penyanyi yang berjaya menunjukkan kehebatannya, daripada syarikat awalnya. Dan sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.

“Ketika itu ramai juga yang mahu saya menarik diri daripada bidang nyanyian kerana bimbang pelajaran saya kecundang. Tetapi saya sedar, segala sesuatu itu bermula daripada hati sendiri. Kalau kita menyedari tanggungjawab kita, kita boleh melakukan apa sahaja.” Katanya dengan bersungguh-sungguh.

Setelah hampir 12 tahun melibatkan diri dalam bidang seni, beliau boleh berbangga kerana telah menghasilkan 14 album yang berjaya kesemuanya. Dalam menempuh pelbagai ranjau dan onak, Sudirman mula merasakan dia perlu melengkapkan diri dengan ilmu kesenian, bukan sahaja sebagai penyanyi, malah lebih jauh daripada itu.

Pada tahun 1985, pihak TDC menamakan beliau sebagai ‘OFFICIAL SINGING AMBASSADOR OF MALAYSIA’. Dan persembahannya di Australia telah menerbitkan semangat di kalangan penonton Australia untuk sama-sama berdiri memberinya satu ‘standing ovation’ sejurus selesai pertunjukannya. Ini satu penghormatan untuk seorang penghibur.

Pada tahun 1986, beliau mencatat sejarah dengan mengumpulkan lebih 100,000 penonton untuk menyaksikan persembahannya di tengah Jalan Chow Kit; sebatang jalan yang telah diabadikannya di dalam lagunya ‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’.

“Setiap kejayaan adalah pendorong saya untuk berusaha dan bekerja lebih keras,” begitu tegasnya.

Apakah sebenarnya cita-cita Sudirman dalam bidang seni hingga tak mengenal erti penat lelah?

Kata Sudir: Keinginan mengarah filem bukanlah bermaksud untuk meniru jejak langkah Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee.

Sudirman baru sahaja pulang dari kontrak ‘showtime’ di sebuah kelab eksklusif di Singapura. Dunia luar kian membuka mata terhadap kebolehannya. Dan baginya perjuangan di dunia seni suara tiada penghujungnya. Seperti katanya; “Di bidang ini, kita seperti seorang murid. Lagi jauh kita belajar, lagi banyak yang perlu dipelajari.”

Mungkin kerana prinsip yang dipegangnya ini yang selama ini yang telah mencipta banyak lagu-lagu rakyat seperti Balik Kampung, Aku Penganggur, Chow Kit Road, Kesian Dia, Penyu Menangis, Di Manakah Nilai Cintamu, Orang Muda, Baru Dapat Kerja dan kira-kira 30 lagi setakat ini, mula menanam keyakinan dalam dirinya di bidang penerbitan album pula.

Di samping itu beliau telah membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau mampu menubuhkan syarikat piring hitamnya sendiri di bawah nama SUDIRMAN PRODUCTIONS. Atai, anak saudaranya dibimbing sebagai artis pertamanya. Dan album sulungnya bertajuk SAHABAT yang diterbitkan oleh Sudirman adalah satu album yang segar dan mendapat pasaran yang baik dikalangan peminat seni suara. Untuk masa-masa akan datang. Lebih ramai penyanyi akan diambil dan fungsi syarikat tersebut juga akan bertambah.

Beliau juga telah menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Dari Dalam Sudirman’ melalui syarikatnya SUDIRMAN ARTS. Dan buku komiknya ‘Sejarah Awal Sudirman’ bakal menemui peminat-peminatnya.

Melihat kepada semangat yang ada pada beliau, ramai peminat yang ingin tahu apakah sebenarnya cita-cita Sudirman dalam bidang seni sehingga dia sanggup berusaha dengan lebih gigih lagi dalam hidupnya tanpa mengenal erti penat lelah.

“Saya mahu meneroka dunia perfileman, khususnya di bidang pengarahan filem pada suatu masa nanti” Ujar Sudirman. Disebabkan cita-cita itulah, katanya dia kini sedang bertungkus-lumus menceburi bidang penulisan yang dapat membantunya sebagai persediaan ke arah pencapaian cita-citanya di samping menajamkan pemikirannya untuk merancang sesuatu atau bertindak dengan lebih rasional serta bijak.

Sudirman menghasilkan 60 bahan penulisan sebulan untuk kumpulan Karangkraf. Melalui penulisannya, selain mewawancara para menteri, dia cuba membimbing para pelajar untuk mengetahui selok-belok alam pelajaran yang telah dilaluinya. Tidak hairanlah kalau Puan Azah Aziz, seorang wartawan lama yang ternama, isteri kepada Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Diraja Ungku Aziz menggelarkannya ‘wartawan handalan’.

Tetapi dalam hal ini, Sudirman enggan digelar ‘wartawan’. Sebaliknya cukuplah dia dipanggil sebagai ‘penulis’ kerana baginya istilah ‘wartawan’ adalah terlalu mahal. Sememangnya Sudirman suka merendah diri walaupun umum sudah sedia maklum bahawa kelulusannya bukanlah calang-calang kelulusan.

“Sebagai penulis, saya masih belajar. Bagi saya, penulis tidak pernah menjadi seorang yang ‘terpandai’. Di samping itu, seorang penulis juga perlu sensitif terhadap persekitarannya.” Jelas Sudirman apabila dirinya dikaitkan dengan bidang penulisan yang diceburinya.

Sudirman seterusnya menekankan, bidang penulisan yang diceburinya sekarang adalah semata-mata sebagai latihan untuk melengkapkan dirinya sebelum meneroka bidang pengarahan filem.

Katanya; “Keinginan mengarah filem bukanlah bermaksud untuk meniru jejak langkah Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee. Beliau bapa seni dan seharusnya menjadi perangsang bagi angkatan muda untuk terus memajukan bakat masing-masing di bidang ini. Dunia seni di negara ini mempunyai masa depan yang cerah, jika para artis melibatkan diri dalam bidang masing-masing dengan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar mencari nama.”

Sudirman memandang jauh ke hadapan. Dia ingin agar kerjaya seni di Malaysia setaraf dengan bidang-bidang lain supaya masyarakat menghormati artis bukan sahaja sebagai penghibur, malah juga sebagai insan yang dihormati dan disegani masyarakat.

Sudirman juga memuji tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membantu para artis dalam usaha mengatasi masalah cetak rompak dan pelepasan cukai ke atas filem sebanyak 25 peratus. Tindakan tersebut membuktikan kerajaan telah mengikhtiraf dan mengambil berat tentang dunia seni. Menurutnya segala ini diharapkan sebagai tapak permulaan ke arah kecemerlangan dunia seni, kerana banyak lagi yang perlu dilaksanakan.

Apabila ditanya tentang isu pengangguran di kalangan para siswazah hari ini, Sudirman berkata; “Kita tidak dapat mengelak hal ini. 20 tahun dulu pemegang sijil SRP tiada pekerjaan. 15 tahun lalu, pemegang SPM. Kemudian STPM. Hari ini para siswazah pula. Zaman bekerja ‘makan gaji’ dan berjawatan kolar putih telah berakhir kerana telah ramai yang lulus terlebih dahulu. Kerana itu, kita tidak seharusnya segan memegang cangkul atau melakukan apa jua yang tidak setaraf dengan kelulusan kita. Soal berijazah, adalah soal kejayaan diri. Sepatutnya disiplin diri yang sekian lama itu membuat kita lebih tabah dan berani menghadapi kenyataan.” Tegas Sudirman mengakhiri perbualan.

Itulah Sudirman! Baik menyanyi di TV, di kolej universiti, di stadium, di kelab eksklusif, di kampung, di dalam atau di luar negara, disiplin diri dijadikan sebagai pembendung utama yang amat dipatuhi untuk sekian lama demi menjadikan beliau seorang artis yang pandai menyesuaikan diri sejajar dengan daya kreatif yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.

Sememangnya pengajian ijazah undang-undangnya tidak sia-sia. Inilah yang harus diteladani. Dengan semangat ini, tidak mustahil sekiranya satu dunia akan dijadikan pentasnya. Insya-Allah!

*Petikan artikel tulisan Roslan Haji Ibrahim dalam majalah hiburan URTV terbitan 15 Januari 1988.



No comments: