Wednesday, February 21, 2018

PERJALANAN AKHIR SEORANG SENIMAN



Sukar bagi BAM untuk melupakan Sudir yang terbaring selama 7 bulan itu. Wajah comel itu senantiasa terbayang-bayang di ruangan mata. Asyik terkenang-kenang dan terbayang-bayang akan keadaan dirinya selama sakitnya dulu. Kesian dia...

Apatah lagi bagi keluarga terdekat yang menjaganya. Dua orang kakaknya, Rudiah dan Ani, menatap wajahnya siang dan malam. Yang memandikannya saban hari, yang menyalinkan pakaiannya, yang menyikatkan rambutnya, yang menyuapkan makanan ke mulutnya.

Masakan semuanya ini dapat dilupakan dalam sekejap masa. Tidak mungkin!

Abang-abangnya yang 3 orang itu: Zainuddin, Basir dan Dr. Roslan dan juga Mak Yam yang sudah dianggap bagai ibu kandung, memang tidak henti-henti berusaha dan terus berusaha mencari dan menemui tukang-tukang ubat handalan untuk meminta pertolongan bagi menyembuhkan penyakit Diman yang dikhabarkan terkena santau yang membuatkan dia tidak boleh bercakap sejak bulan Ogos, sebulan lebih setelah dia terbaring.

Sebelah badan serta kaki tangannya juga tidak dapat bergerak, keras dan kejang, yang dikatakan kononnya dia terkena ‘angin ahmar’. Kesian Sudir, keadaannya sungguh menyedihkan.

Lantaran itu bila BAM mendengar kesedihan peminat-peminatnya di dalam telefon sampai menangis-nangis... terus BAM berkata: “Adik tau tak perasaan Kak BAM lagi sedih, kerana Kak BAM tengok dia sakit, berbulan-bulan terbaring.

“Hingga sekarang ini, bila teringatkan penderitaannya, bukan saja Kak BAM nak menangis, tapi rasa macam nak meraung sekuat hati kerana sedih dan belas melihat penanggungannya. Diri yang kerdil itu tidak tertanggung dengan penyakit yang berat. Hanya berserah pada Allah!

Pertama kali BAM menziarahinya pada Ahad malam 8 September 1991, hancur luluh rasa hati ini melihat dirinya seperti budak belasan tahun yang sedang sakit. Diam membisu. Matanya bulat memandang ke satu hala di bumbung rumah.

Bagaikan tidak percaya itulah dia SUDIRMAN HAJI ARSHAD, Penghibur Nombor 1 Asia, yang ditanya-tanya, yang dicari-cari, ke mana dia disembunyikan sejak 20 Julai yang lalu setelah diberitakan dia jatuh sakit.

Siapa pun yang melihat dirinya ketika itu, pasti akan menangis dan meratapi nasib dirinya. Itulah yang Sudir tidak mahu. Dia tidak mahu orang menangis kerananya! Lalu dia berpesan kepada keluarga terdekatnya, iaitu kakak-kakak dan abang-abangnya, kalau ditakdirkan dia jatuh sakit yang teruk kali ini, jangan dibiarkan dirinya menjadi tontonan orang ramai yang datang dan pergi. Jangan dibiarkan dirinya jadi sasaran lensa kamera orang-orang surat khabar.

Kali kedua BAM menziarahinya pada Selasa malam 10 September 1991, keadaannya sama saja, diam membisu, matanya tegak memandang ke atas.

Apakah perasaannya ketika itu? Pandangannya kosong... tak punya erti apa-apa!

Kata tukang ubat, itu bukan dirinya lagi. Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

ATAI pernah bermimpikan COKMANnya pada suatu malam... Kata Atai kepada emaknya Rudiah, “Atai mimpi jumpa Cokman, mak! Dia bukan di rumah kita di Bangsar ini dan bukan di pejabatnya di Taman Sri Hartamas, tapi di suatu tempat lain... entah di mana... Atai pun tak pernah tengok tempat itu.”

UJI RASHID pun bermimpikan Sudir seperti berada di dunia lain... tempatnya berangin... kata Uji macam melayang-layang... Sudir memakai jubah putih, macam baju ihram. Mukanya biru... macam kena sinaran cahaya. Sudir dipegang oleh lima orang kelilingnya.

“Mungkin itu adik-beradiknya,” jawab BAM.

“Uji memang tak tau adik-beradik Sudir ada berapa orang,” jawab Uji.

Dalam mimpinya itu kata Uji, dia menjerit memanggil-manggil Sudir... Sudir... Uji nak jumpa Sudir sekejap pun jadilah. Uji nak tengok muka Sudir.

Sudir jawab, “Uji, jaga diri baik-baik. Saya okey, jangan bimbangkan saya.”

Kemudian disampuk oleh kakaknya di sebelah: “Jangan risau, dia tak ada apa-apa. Kalau nak tengok dia nantilah dulu. Bapa kita orang nak datang jumpa dia esok.”

Padahal Uji pun tak tahu, bapa Sudir telah pun meninggal dunia.

Uji terus tersedar dari tidurnya dan menangis teresak-esak.

Pagi itu Uji terus menelefon BAM untuk menyatakan “tak sedap hati” dengan mimpinya malam tadi. Apakah itu memang suatu ‘alamat’.

BAM hanya menjawab: “Alah... mimpikan permainan tidur. Tak usah diingat-ingatkan sangat. Sama-samalah kita doakan dia cepat sembuh. Sudir tu panjang umurlah Ji.”

Kemudian di saat-saat dia akan pergi menemui Tuhan seminggu lagi, sekali lagi Uji memberitahu BAM: “Uji bermimpikan Sudir lagilah. Dia pakai baju Melayu warna kuning emas. Dia senyum dan melambai-lambai Uji.

“Uji rasa dia dah selamat. Selamat dari penderitaannya!” Kata Uji sebak lalu menangis.

Berderau hati BAM mendengar mimpi Uji itu. Tapi hati BAM yakin Sudir akan sembuh jua.

Memang tukang ubat ada menyatakan: “Dia akan sembuh tak lama lagi. Bersabarlah...!”

Kata adik-beradiknya Rudiah, Basir dan Ani bercerita: “Semasa Diman boleh bercakap lagi (pada bulan Ogos) semasa itu dia dah sakit. Diman cerita dia selalu bermimpikan seorang ‘orang alim’ namanya Ismail Azran.

“Nama Ismail Azran selalu Diman sebut-sebut. Ismail Azran orangnya lawa, kacak dan bersih. Dia membimbing Diman belajar agama. Kata Diman, dia ingin menjadi seperti Ismail Azran.”

Adik-beradik Sudir sendiri sudah dapat membayangkan apa akan jadi kepada Sudir bila dia dah sembuh nanti?

“Jangan terkejut jika dia dah tak mahu menyanyi lagi. Dia akan menjadi pendakwah. Bersyarah di Dataran Merdeka. Semua orang datang mendengar syarahan Ustaz Sudirman Haji Arshad. 

Semasa boleh bercakap di saat-saat akhir sebelum suaranya terhenti. BAM dapat mendengar Sudir mengaji, berwirid dan berzikir memuji nama Allah tak henti-henti...

Abang Sudir, Dr. Roslan, bila datang dari Johor Bahru, menjenguk adik kesayangannya itu, pasti mengajak Sudir mengaji dan berzikir... sampai dia tercungap-cungap kepenatan.

Kakak Sudir, Rudiah terkilan juga tak dapat menunaikan hajat adik kesayangannya itu yang betul-betul dah merancang nak menunaikan Fardhu Haji pada tahun lalu (1991).

Sudir mengajak Rudiah dan Mak Yam ke Mekah tahun lalu. Tapi Rudiah pula harus berangkat ke England untuk selama 6 minggu pada bulan Jun itu kerana anak perempuannya nak menghadapi peperiksaan, menyuruh ibunya datang juga pada masa itu.

“Tak mengapalah. Lepas awak baik sakit, kita pergilah ke Mekah sama-sama,” kata Rudiah kepada Diman yang sedang sakit.

Dan ketika dia masih boleh bercakap dan ketika Atai sedang duduk di sisinya, Rudiah bercakap secara bergurau dengan Diman: “Bila Atai dah habis sekolah nanti, bolehlah awak bimbing Atai jadi Asia’s No.1 macam awak!”

Terbeliak mata Diman memandang Ngahnya dan mengalihkan pandangannya kepada Atai lalu berkata: “Jangan! Jangan! Atai jangan jadi macam Cokman. Beginilah akibatnya!”

“Begitulah. Dia yang menggalakkan Atai menyanyi, akhirnya dia melarang Atai, jangan jadi seperti dia,” kata Rudiah bercerita.

BAM masih ingat lagi pada hari yang keempat BAM datang menemuinya pada hari Jumaat, 20 September 1991, Sudir nampak lemah sangat semacam tidak bermaya langsung. Wajahnya sedih dan sugul.

Kata Rudiah: “Sepanjang hari ini dia nampak lain sangat. Risau hati saya melihat dia sugul dan sedih. Niat hati nak balik sekejap, sehari dua ke Butterworth, tapi hati saya rasa tak sedap, tak sampai hati nak meninggalkannya.

Kami semua yang berada di biliknya pada malam itu. Rudiah, Ani, Basir, Aishah isteri Basir, Atai... semuanya membisu... sayu rasa hati tak dapat menahan perasaan sebak terus menangis teresak-esak... masing-masing asyik mengesat air mata.

“Tolong Abang Mat, mengajikan di telinganya...” pinta Rudiah.

Dibacakan Yasin di telinganya, dibacakan ayat Kursi... kemudian diazankan... dia semacam tersedar... nampak wajahnya begitu sedih... dan meleleh air matanya...

Kakak-kakaknya, Rudiah dan Ani, yang menunggunya siang dan malam, pun merasa hairan... apalah penanggungan Diman yang sebenarnya. Penderitaan hatinya hanya dia saja yang tahu.

Ketika dia baru jatuh sakit di bulan Julai dulu, kata Rudiah, bila dia duduk sorang-sorang di kerusi sandarnya di dalam bilik, selalu dia termenung dan bersedih.

Itulah yang dikatakan, penderitaan batinnya, hanya dia saja yang tahu!

Kali yang ke-5 saya menziarahinya pada hari Isnin 23 September 1991. Sudir tidur sejak Maghrib tadi selepas dia dimandikan.

Rudiah duduk di sisi adik kesayangannya itu sambil mengurut-ngurut tangan Diman buat eksersais... dan mencium tangan Diman dan dahi Diman, mengajak dia bercakap-cakap: “Alah busyuk Ngah ni, Cayang Ngah, bilalah awak nak baik Diman. Tengok tangan Ngah ni, sebelah kiri dah macam nak ‘cramp’ mengangkat awak dan mendokong awak, mandikan awak. Alah busyuk Ngah ni macam babylah, hari-hari kena dokong nak mandi.”

Begitulah kasih sayang yang diberikan oleh kakak-kakak dan abang-abangnya sepanjang Diman sakit. Di waktu Maghrib sampailah ke waktu Isyak, dipasangkan kaset, berkumandang bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an di biliknya.

Melihatkan keadaannya yang sama, begitu juga boleh membuatkan orang yang menjaganya semacam berputus asa. Sudah berpuluh-puluh orang yang dikatakan handal-handal datang mengubatinya, tapi belum juga nak sembuh.

Kali ke-9 BAM datang menziarahinya pada hari Rabu 16 Oktober 1991, BAM merasa pilu sangat melihat Sudir yang lemah tidak berdaya. Kesian... tubuhnya semakin kecil dan semakin kurus.

Tapi, keesokan harinya, Khamis 17 Oktober 1991, hati kami semua yang mengadapnya merasa lega sedikit bila melihat wajahnya agak tenang... dan terdengar sedikit-sedikit suaranya... huh... huh... huh! Mudah-mudahan dia akan sembuh jua.

Tapi ada waktu-waktunya, tukang-tukang ubat sendiri pun semacam berputus asa! “Kalau ada orang lain yang sanggup boleh mengubatkan, tak apa, sama-sama kita berikhtiar seorang sedikit untuk mengurangi penyakitnya.” Demikian, ada yang berkata begitu.

Kali ke-14, Isnin 4 November 1991 BAM menziarahinya, hati bertambah lega melihat Sudir. Dia semacam sudah sedar. Matanya sudah boleh bergerak-gerak.

Ya Allah, Ya Tuhanku. Sembuhkanlah dia. Kesian Sudir... lama sangat dia terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Mudah-mudahan dia akan sembuh! Kata hati BAM.

Kali ke-15, Khamis 14 November 1991 iaitu kali terakhir BAM menziarahinya sebelum Sudir menghembuskan nafasnya yang terakhir... perubahan dirinya semakin meyakinkan hati ini bahawa Sudir akan sembuh tidak lama lagi.

Kata Ani kakaknya, sepanjang hari ini dia asyik muntah-muntah aje. Mudah-mudahan segala penyakitnya akan keluar semuanya.

Dia semacam mula sedar... matanya mula bergerak-gerak dan sudah boleh terkelip-kelip...

Kesemuanya mengucap syukur ke hadrat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!

Kakak-kakak dan abang-abangnya sudah membayangkan nanti Diman boleh bercakap semula.

Kalau dia dah sembuh nanti, adik-beradiknya pula yang berdebar-debar untuk melihat Diman yang baru hidup semula. Apakah dia akan menyanyi semula? Atau kata Diman, dia mahu menjadi Ulama seperti Ismail Azran yang sering muncul di dalam mimpinya itu...?

Tapi akhirnya Diman telah meninggalkan orang-orang yang telah menyayanginya... kerana Allah lebih menyayanginya lagi. Kita semua pun akan menyusul pemergiannya...!

Innalillahi-wainna-ilaihirajiuun...


1 comment:

Anonymous said...

Genap 26 tahun, baru tahu cerita-cerita sebelum pemergiannya. walaupun tidak sezaman dgn arwah, tapi rasa begitu rindu dgn suaranya.Lagi rindu lepas tahu cerita² ini. Allah begitu menyayanginya walaupun diberi kesakitan yg tidak diduga. Sakit itu penghapus dosa buat beliau. Moga kisah arwah dapat perhatian org ramai dan dijadikan pedoman buat semua. Sudirman Hj Arshad mmg tiada pengganti. Manalah nk cari artis seniman yg ada cara tersendiri menarik peminat dan ikhlas. Bukan semata mata mahu gelaran dan duit. Tiada lgsg. Al-Fatihah.