Friday, October 21, 2011

Atai mengenang 10 tahun pemergian 'Cokman'

 Kenangan Atai bersama Allahyarham Sudirman

ALANGKAH sukarnya untuk mewajahkan hakikat hidup seorang seniman dengan kanta yang jujur dan tulus. Ketika artikel ini ditulis, minda kami telah bejat. Apatah lagi apabila dihadapkan dengan realiti perjalanan hidup seniman kebanggaan negara, Sudirman Haji Arshad. Tanpa sedar, telah sedekad Allahyarham Sudirman atau Sudir berhijrah ke alam barzakh. Saban tahun selepas pemergiannya, penganjuran majlis, keraian dan pelancaran pelbagai pakej nostalgia bagaikan sebuah retorika seni sedangkan sebahagian yang lain hanya menjadi pengeksploit atas nama survival kapitalis seni.

Secara jujur, layar hidup seorang seniman yang jujur tidak wajar dikupasbicarakan. Lantaran banyak ranjau pahit yang ditempuh ketika menuju ke puncak sedangkan yang terpamer di kaca mata masyarakat ialah keceriaan yang memukau. Pemergian Sudir pada hari Sabtu 22 Februari 1992 sebenarnya membawa bersama seluruh kegembiraan dan keceriaan hidup mereka yang akrab dengan arwah. Lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga Allahyarham.

Justeru, pertemuan Mingguan dengan Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Datuk Zainudin pada pagi Rabu lalu di Coffee Bean, Bangsar membuka kembali susur galur hidup dan perjuangan Sudirman.

Barangkali tidak semua pembaca tahu siapa Atai dalam hidup Sudirman. Yang mengenali dan akrab pula barangkali sudah mula melupakan budak lelaki kecil yang manja, keletah dan begitu disayangi oleh Allahyarham. Atai masih seperti dahulu. Dia tenang, petah dan murah dengan senyuman seperti juga bapa saudaranya Sudir. Dulu, ke mana sahaja ada Sudir, di situ ada kelibat wajah manja yang saling tidak tumpah seperti Cokman, iaitu panggilan manja Atai kepada bapa saudaranya.

"Saya begitu rapat dan manja dengan Cokman. Malah Cokman menganggap saya seperti anaknya sendiri. "Sehinggakan Cokman pernah menyuruh saya memberitahu rakan-rakan peguamnya yang bertanyakan siapakah saya: "Katakan sahaja awak anak Cokman,'' Atai memulakan perbualan. Pemergian Penghibur No. 1 Asia itu berlaku ketika usia Atai baru mencecah 18 tahun. Sarat kesedihan yang ditanggung oleh Atai di penghujung usia remaja itu dipendam sedekad lamanya. Tidak sedikit rasa terkilan bersarang di dada anak muda ini apabila melihat nama Sudir gah dijaja dan dijulang.

Persoalannya, belum pernah sekalipun naluri Cokman dan manifestasi seni yang diperjuangkannya disingkap secara tulus - tanpa perlu bertopengkan acara yang bakal memberikan keuntungan kepada kapitalis seni tanah air. Kini Atai sudah berusia 28 tahun, matang dan berwibawa. Dia sekarang sudah bergelar sarjana lulusan University of Rhode Island, Amerika Syarikat.

Seandainya masyarakat tahu gejolak jiwa pemuda ini, pasti mereka bersama berdiri di belakangnya untuk mengangkat perjuangan anak seni bernama Sudir. Banyak benar koleksi pengalaman yang dikongsi dengan Atai mengenai Sudir sepanjang lebih dua jam perbualan dengan Mingguan. Tidak ramai yang tahu betapa kasih sayang dan rasa hormat ahli masyarakat - hatta orang yang menjadi perompak sekalipun - begitu tebal terhadap Allahyarham Sudir.

"Pernah suatu ketika saya dan Cokman berjalan bergandingan sambil mencuci mata di pasar malam Bangsar. Tiba-tiba muncul seorang perompak dengan pisau terhunus diacukan ke pinggang Cokman. "Saya sudah kaget. Cokman tetap tenang. Saya masih ingat perompak itu menggesa diserahkan dompet atau wang kepadanya jika kami sayangkan nyawa. Tiba-tiba Cokman menoleh ke belakang memandang ke arah perompak tersebut. "Sebaik sahaja perompak itu terlihat wajah Cokman, dia terperanjat. Perompak itu lantas memohon maaf dan terus lari,'' cerita Atai.

Ketika ditanya mengenai kerinduannya kepada Allahyarham Sudir, Atai merenung jauh. Sambil menghela nafas panjang dia berkata, "belum ada satu hari yang berlalu tanpa saya mengenanginya. ''Sepanjang 10 tahun pemergian Sudir, masyarakat tidak pernah tahu betapa setiap kali Syawal menjelma, setiap kali itulah juga Atai dan keluarganya menyeka air mata. "Kami sekeluarga tidak boleh mendengar alunan suara Cokman mendendangkan lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf,'' kata Atai dalam suara yang bergetar.

Bahkan sebak yang mereka tanggung tidak berakhir di situ sahaja. Mana mungkin Hari Kebangsaan negara tidak diserikan oleh alunan lagu Tanggal 31 nyanyian Sudir. Kesengsaraan dan kehibaan sudah menjadi sebahagian daripada rencam hidup Atai sekeluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mereka tidak mungkin mampu lari daripada alunan suara Allahyarham Sudir yang jiwanya sudah berakar dan bernafas di seluruh kehidupan peminat seni tanah air. Masyarakat Malaysia sudah terlalu akrab dengan Sudir. Mereka yang pernah hidup sezaman atau dewasa dengan lagu-lagu Sudir amat mengagumi dan menyayangi seniman tulen berjiwa besar ini.


Namun, lumrah seorang seniman yang tulen - berjuang atas nama kecintaan kepada seni semata-mata, lazimnya akan terkorban jiwa, perasaan dan peribadi. Allahyarham Sudir tidak terkecuali. Namun seluruh kekecewaan itu hanya ditanggung oleh Sudir sendirian. "Selepas kegagalan rumah tangga Cokman bersama Aunty Kay (Kamariah), Cokman banyak menyendiri di biliknya yang suram dan kelam,'' Atai mengimbas kenangan itu. Seluruh kegelisahan hidup yang ditanggung oleh Allahyarham Sudirman, kata Atai, tidak sekalipun pernah ditunjukkannya kepada keluarga.

Kata Atai, sebaik keluar dari kamarnya itu, Cokman pantas menjadi periang, lucu dan penuh dengan jenaka. Demikianlah Atai yang menyimpan seribu cerita perjalanan hidup seorang seniman legenda. Pada detik-detik akhir wawancara, Atai tidak mampu membendung keharuannya. "Pada peringkat awal pemergian Cokman, kami sekeluarga sentiasa diselubungi kesedihan kerana arwah terlalu istimewa buat kami. "Cokman pergi membawa seluruh kebahagiaan hidup kami sekeluarga,'' ujar Atai perlahan. Dia berikrar tidak akan melupakan amanat terakhir Sudir kepadanya agar tidak sekali-kali meneruskan kehidupan sebagai artis.

"Arwah berpesan kepada saya agar bekerja keras dan melakukan sesuatu untuk agama, bangsa dan negara. Paling utama, janganlah mengikut jejak Cokman sebagai anak seni. Kata Cokman, hidup anak seni penuh dengan pancaroba. ''Dalam nada sedih, Atai mencurahkan isi hatinya: "Sepuluh tahun berlalu tetapi saya masih terlalu merindui dia.''

Petikan: Mingguan Malaysia bertarikh 24 Februari 2002

No comments: