Allahyarham Datuk Ahmad Jais 28 Mac 1936-11 Oktober 2011
Di antara artis lama yang saya 'respect' ialah Abang AHMAD JAIS. Masa saya kecil dulu saya pernah bertanyakan ibu (mak tiri) saya. "Dalam ramai-ramai penyanyi, mak suka siapa?" "Mat Jaeh" katanya.
Waktu itu, saya tidak kenal siapa Ahmad Jais, sehinggalah saya mendengar lagu "GELISAH" nyanyiannya. Di kampung saya, kami mengadakan 'talentime'. Kereta buruk dijadikan pentas. Saya menyanyikan lagu "GELISAH" dan menang! Hadiahnya, sabun buku cap kapak!
Apabila Ahmad Jais menyanyi di Temerloh, Pahang, sayalah yang paling dulu sekali masuk dewan. Teringat saya, pada tahun 1976, di Melaka Ahmad Jais menjadi penyanyi jemputan Bintang RTM. Dia kata saya pasti akan menang. "Kerat jari abang kalau Sudir tak menang!" katanya.
Dia kesian, sebab saya tercengang-cengang di belakang pentas. Tentu dia fikirkan saya cemas dan takut kalah. Sebenarnya, saya tercengang kerana tak percaya Ahmad Jais ada di situ....AHMAD JAIS? Kalau mak saya ada sama, tentu dia pengsan 40 hari!
Petikan: Teringat-Ingat! Catatan: Sudirman Haji Arshad sekitar tahun 1980-an
Nota: Penyanyi veteran Datuk Mohd Jais bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) kira-kira pukul 9.20 pagi 11 Oktober 2011 dipercayai akibat masalah paru-paru. Allahyarham Datuk Ahmad Jais berusia 75 tahun. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment