Tuesday, February 22, 2011

Genap 19 Tahun Pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad

Sudirman bersama kakaknya Datin Rudiah

Pada tarikh hari ini 19 tahun yang lalu iaitu pada tanggal 22 Februari 1992 kita telah kehilangan sebutir 'Permata Seni' yang sukar dicari ganti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Pemergian Sudirman pada usia muda iaitu 37 tahun merupakan kehilangan besar buat industri hiburan tanah air.

Pemergiannya diiringi tangisan ribuan peminat setianya yang masih merindui bakatnya sebagai Hero di pentas. Sudirman ketika hayatnya terkenal sebagai seorang Penghibur yang begitu menghargai peminatnya. Setiap surat yang dikirim kepada Sudirman pasti mendapat balasan & kadangkala disertakan gambar Sudirman siap ditandatangan. Begitulah sifat seorang penghibur sejati, beliau pasti tidak mahu menghampakan peminatnya & sikapnya itu membuatkan peminatnya berasa dihargai & lebih dekat dengannya.


Peminatnya juga merupakan mereka yang terdiri dikalangan masyarakat Malaysia dari pelbagai bilang kaum & keturunan antaranya Melayu, Cina & India, sehinggalah beliau layak digelar Ikon 1 Malaysia kerana berjaya menyatupadukan pelbagai kaum duduk dalam satu pentas nyanyian. Yang uniknya mengenai Sudirman, sewaktu persembahan dia pandai mengusik peminatnya dengan gelagatnya yang lucu. Sudirman juga tidak lupa untuk menyelitkan unsur nasihat dalam persembahannya. Beliau juga berbakat melukis potret sambil menyanyi, ini tidak mampu ditiru oleh artis lain. Lagu-lagu dalam shownya bukan tertumpu pada lagu Bahasa Melayu sahaja tetapi juga turut diselitkan lagu Tamil, Kantonis, Inggeris & tak ketinggalan lagu berunsur Patriotik (serta berbaju bendera) yang telah sebati dalam dirinya.

Sudirman bukan sahaja berbakat sebagai penyanyi, beliau juga  memiliki bakat lain antaranya Pelakon, Pelukis, Kartunis, Penulis, Pereka Fesyen (tidak rasmi), Wartawan Sambilan, Penulis Lirik, Penerbit Album, Pengusaha, Peguam & pernah mendapat jolokan 'The Singing Lawyer'. Di penghujung usianya juga beliau pernah bercita-cita untuk menjadi Pengarah Filem. Sudirman boleh menyanyikan lagu dari pelbagai rentak dengan begitu baik sekali, tak kiralah samada lagu pop, rock, traditional, sentimental malah berentak Broadway. Sepanjang kariernya dia begitu komited & mahu terlibat sama dalam kerja-kerja belakang tabir di setiap shownya termasuklah menyediakan prop yang dibawa sendiri dari rumahnya. Beliau begitu menitikberatkan kepuasan penontonnya. Begitulah Sudirman seorang Penghibur yang versatile.

Kemuncak kejayaan Sudirman adalah apabila beliau dinobatkan sebagai Penghibur No.1 Asia di pentas berprestij Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989 dalam pertandingan "Asian Popular Music Award". Kejayaan itu menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Sudirman telah menewaskan pesaing-pesaingnya iaitu artis-artis ternama dari beberapa negara Asia yang jauh lebih hebat popularitinya antaranya, Anita Sarawak (Singapura), Kuh Ledesma (Filipina), Leslie Cheung (Hong Kong), Anchalee (Thailand), Chyi Chin (Taiwan), Cui Jian (China), Epo (Jepun) & Koo Chang Moo (Korea).

Namun segalanya berakhir apabila Sudirman pergi buat selama-lamanya menyahut seruan Illahi pada tanggal 22 Februari 1992. Sudirman kekal menjadi sumber inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mahu berjaya & legasi yang ditinggalkan terus dikenang sehingga kini. Sehingga saat ini masih belum ada lagi artis yang mampu menyaingi kehebatan Sudirman sebagai Hero di pentas. Sudirman telah mencipta penanda arasnya yang tersendiri & beliau kekal sebagai penghibur yang sukar dicari ganti. Semoga Roh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dicucuri Rahmat & ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman & beramal Soleh, Al-Fatihah.

Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad
(25 Mei 1954-22 Februari 1992)
Al-Fatihah


Pusara Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad
yang sunyi & hening



No comments: