Saturday, February 19, 2011

Metro Ahad: Belum berganti

Gerard Benedict, Datin Rodziah & Dani'el Dharanee Kannan

BIARPUN 19 tahun dia meninggalkan kita, Allahyarham Sudirman Arshad terus segar dalam ingatan. Pesona dan aura penghibur prolifik ini masih hidup hingga ke hari ini, bahkan bukan sesuatu yang luar biasa jika anak kecil menyanyikan lagunya. Kehebatan anak jati Temerloh, Pahang ini tiada ganti.

Peguam, penyanyi, hos, penulis, kartunis, pelakon dan usahawan ini menjadi fenomena industri seni tanah air pada penghujung 1980-an. Dia digilai ramai bukan saja di Malaysia, bahkan menjadi sebutan di Asia.

Kagum dengan kehebatan penyanyi legenda ini, AETN All Asia Networks dan Finas menerbitkan dokumentari Sudirman Arshad yang akan ke udara malam ini di saluran History (Astro saluran 555).

Biografi berdurasi sejam itu membawa penonton melihat dari dekat kehidupan sebenar penghibur kesayangan ramai itu dari zaman kanak-kanak hinggalah bergelar penyanyi yang kemudian mengejutkan negara dengan berita kematiannya pada usia 37 tahun pada 1992.

Dialah raja pentas, hingga kini belum ada yang mampu menandingi bakat, kreativiti dan disiplinnya. Dialah artis Asia pertama yang merekodkan single berbahasa Inggeris di Abbey Road Studios, United Kingdom dan memenangi Penghibur Terbaik di Asian Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Di sebalik kegemilangan dan glamor dinikmati, Sudirman bergelut dengan kehidupan peribadi yang menyentuh emosi. Kehilangan ibu pada usia muda dan kegagalan rumah tangga memberi kesan besar dalam kanvas hidupnya.

Segala tutur kata, perlakuan, keputusan dan kisah suka dukanya masih terpahat utuh di hati mereka yang rapat dengannya.

Sisi peribadi ikon negara yang tidak pernah jemu mencari kesempurnaan dalam setiap kerjanya ini dapat diikuti menerusi wawancara bersama teman rapat, orang kuat industri rakaman dan media, termasuk Bahyah Mahmood, Beh Suat Pheng dan Daniel Dharanee Kannan.

Penghasilan dokumentari ini menjadi jambatan rindu buat keluarga Allahyarham. Kakaknya, Datin Rudiah Arshad berkata, kering sudah air matanya melihat Sudirman. Hatinya tersentuh, bahkan bagai terbayang adiknya ada di depan mata.

“Selepas melihat dokumentari ini saya menghubungi penerbitnya, Gerard Benedict untuk mengucapkan terima kasih. Cucu saya yang berusia enam tahun pun menangis sama. Dia tanya kenapa dia lahir lambat, tak sempat jumpa Tok Man (Sudirman).

“Gerard ada memujuk saya untuk terbabit sama dalam program ini tetapi saya tidak mahu diwawancara. Kalau tanya mengenai Sudirman, saya akan cakap yang baik mengenainya, jadi ada baiknya biar orang lain saja yang bercerita mengenainya. Jujur, saya puji dia bukan sebab dia adik saya tetapi sememangnya dia insan yang sangat baik hati. Di rumah dia memang adik saya, tetapi di atas pentas dia hak orang ramai.

“Cepat sungguh masa berlalu, pejam celik pejam celik sudah 19 tahun dia meninggal dunia. Paling buat saya tersentuh hati apabila setiap kali nampak teksi lalu depan rumah. Ketika arwah masih ada, dia selalu datang ke rumah saya dengan menaiki teksi. Jika duduk di rumah dan teksi lalu, hati saya sangat sayu sebab dia tidak ada dalam teksi itu,” katanya yang hadir sama ketika prebiu tayangan Sudirman Arshad baru-baru ini.

Selain ke udara malam ini, Sudirman Arshad akan diulang tayang pada 22 Februari, jam 11 malam, 23 Februari (9 malam), 1 Mac (7 malam), 11 Mac (11 malam) dan 13 Mac (7 malam).

INFO

Sudirman merakam 20 album dan 70 lagu sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi.

Dia juga popular di Singapura, Brunei dan Indonesia, malah pernah mengadakan persembahan di Hawaii, Melbourne, Tokyo, Dubai, London serta Russia.

Lagu Merisik Khabar dendangannya berada di kedudukan teratas carta di Malaysia, Indonesia dan Brunei dan bertahan nombor satu selama dua bulan. Lagu lain dalam album sama juga berada di kedudukan teratas carta lagu.

Dia merekodkan album dengan Stock, Altken dan Waterman (SAW), antara penulis lagu dan produser British terkenal ketika itu.

Konsert Chow Kit Road disaksikan kira-kira 100,000 penonton. Ia menjadi sejarah dalam dunia hiburan tanah air.

Ibu Sudirman ahli politik wanita yang disegani.

No comments: