Sudirman ketika menjulang Trofi Penghibur No.1 Asia
TANGGAL 22 Februari depan, genap 19 tahun penghibur prolifik tanah air Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad pergi meninggalkan semua peminat muzik.
Bagi yang benar-benar mengenali atau sekadar menyanjung lagu-lagu dan kerja seni Allahyarham, legasi dan peninggalannya akan tetap mekar pada hati kita semua.
Sebagai satu penghargaan dan usaha dokumentasi khazanah seni negara itu, saluran HISTORY (Saluran 555) di bawah AETN All Asia Networks menghidangkan sebuah memorabilia yang cukup berharga untuk semua yang mengenali dan menghargai insan seni terbilang bergelar Sudir itu.
Dokumentari berdurasi satu jam tersebut bakal merungkai kronologi hidup Sudirman sepanjang 37 tahun hayatnya. Bermula dengan zaman kanak-kanak sehingga mendapat jolokan The Singing Lawyer.
Coretan suka, duka, jatuh dan bangun Sudirman sebagai insan seni dikupas daripada perspektif dan pandangan berbeza menerusi insan-insan yang rapat dan pernah bekerjasama dengannya.
Lebih membanggakan bagaimana Sudirman berjaya mengumpulkan puluhan ribu peminat yang menyaksikan persembahannya di Chow Kit suatu masa dulu.
Dokumentari berjudul Sudirman Arshad diterbitkan oleh AETN All Asia Networks dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Ia bakal ditayangkan pada 20 Februari ini, pukul 10 malam di saluran tersebut.
Seperti yang diketahui umum, antara insan yang paling rapat dengan Allahyarham adalah anak saudaranya sendiri iaitu Atai, 37.
Namun, Atai sering mengelak daripada sebarang publisiti atau liputan kerana lebih selesa untuk tidak menonjolkan dirinya.
Peluang bersemuka dengan pemilik nama sebenar Razman Azrai ini pada majlis pratonton dokumentari tersebut, Khamis lalu, membuka peluang untuk mendekati isi hati dan pandangannya tentang Allahyarham dan penerbitan dokumentari khas untuk pakciknya itu.
Kata Atai, dia sangat berpuas hati dan gembira dengan dokumentari tersebut kerana buat pertama kalinya dia merasakan kandungan yang dipaparkan itu bersifat adil dan berbeza tentang Allahyarham.
Visual, info dan temu ramah yang dimuatkan menjelaskan justifikasi yang selayaknya buat Sudirman itu daripada sudut berbeza dan segar.
“Ini adalah pertama kali terhasilnya sebuah dokumentari yang menjelaskan justifikasi yang sewajarnya buat Allahyarham. Kita dapat melihat kronologi hidup Allahyarham secara terperinci dengan penceritaan yang berbeza.
“Paparan tentang perasaan gemuruh dan kebimbangan Allahyarham ekoran masalah teknikal yang dihadapinya sebelum melakukan persembahan di Asian Music Awards di London contohnya adalah sangat tepat. Saya masih ingat saat itu kerana turut berada di sana.
“Saya harus berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pasukan produksi yang bertungkus-lumus menghasilkan sebuah dokumentari yang boleh dijadikan sebagai khazanah seni negara,” katanya yang mengakui keakrabannya bersama Allahyarham bak hubungan sahabat karib.
Berbeza pula ceritanya dengan kakak kepada Allahyarham iaitu Datin Rudiah Arshad, 68, apabila ditanya tentang pandangannya mengenai dokumentari itu.
Ibu kepada Atai itu mengakui sudah tidak mampu untuk menangis lagi setiap kali mendengar lagu, menonton program atau apa sahaja yang berkaitan adik bongsunya.
“Terus terang saya sudah kehabisan air mata untuk menangis apabila mengenangkan Allahyarham. Sampai ke hari ini, setiap kali saya terlibat dengan sebarang program berkaitan Sudir pasti ia menyentuh perasaan saya.
“Apa pun, saya sangat berterima kasih kepada pihak penerbitan atas penghasilan dokumentari ini. Saya sekeluarga amat menghargai segala usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini,” katanya yang mengakui menangis pertama kali menonton dokumentari itu.
Menjawab pertanyaan mengenai ketiadaan beliau dalam dokumentari tersebut, Rudiah berkata, keengganannya untuk ditemu ramah kerana mahu mengelak sebarang persepsi di kalangan penonton apabila dia hanya bercerita tentang perkara baik sahaja tentang adiknya itu.
“Jika saya ditemu ramah tentang Sudir, sudah tentu saya akan berkata perkara-perkara yang baik sahaja kerana sememangnya dia seorang insan yang baik.
“Namun, komen sebegitu mungkin akan membuatkan penonton berfikir macam-macam atau menganggap saya memuji Allahyarham kerana dia adik saya.
“Jadi, biarlah orang lain yang bercerita tentang segala kebaikan Sudir supaya kandungan yang dipaparkan itu bersifat lebih adil dan terbuka,” katanya.
Rudiah mengakui sehingga ke saat ini, setiap kali dia berdiri di laman rumah dan terlihat kelibat teksi melepasi rumahnya, hati beliau sebak.
“Setiap kali teksi lalu di depan rumah, saya akan teringatkan Allahyarham. Ketika hayatnya, dia akan datang ke rumah saya dengan menaiki teksi.
“Saya pasti akan menangis setiap kali peristiwa itu terjadi,” katanya.
Bekas penari penyanyi itu, Joanne Ng, 48, menyifatkan penerbitan dokumentari Sudirman Arshad sebagai satu usaha yang layak dipuji kerana tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Ia satu usaha yang baik kerana paparan dokumentari ini cukup berbeza dan terperinci tentang Sudirman sebagai seorang insan tegar dan bijak.
“Penonton akan mendapat gambaran berbeza dan segar daripada cerita-cerita yang biasa kita dengar sebelum ini tentang Sudir,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai penari Allahyarham selama enam tahun.
Mengulas tentang hubungannya dengan Sudirman, Joanne berkata, dia merupakan penari penyanyi itu yang paling lama berkhidmat kerana dia merupakan penari kesayangan penghibur hebat itu.
“Menurut kata Datin Rudiah, saya menjadi penari yang paling lama bersama Sudir kerana Sudir menganggap saya penari kesayangannya.
“Itu satu penghargaan dan saya akui walaupun hubungan kami atas dasar kerja sahaja tetapi kebaikan dan kebijaksanaan Sudir memang ketara ketika kami bekerja.
“Dia seorang yang tahu apa yang dia mahu. Setiap perkara tentang persembahannya akan diteliti sehingga dia berpuas hati,” katanya yang kali terakhir menjadi penari Allahyarham pada 30 Disember 1990 dalam sebuah persembahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Akui Joanne, dek keserasian yang terbina antara mereka, dia tidak pernah bekerjasama dengan artis lain biarpun selepas mengundurkan diri daripada terlibat dengan Sudirman.
* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad Bersama Sunday Star, sekitar Lembah Klang.
No comments:
Post a Comment