Tanggal 22 Februari 1992, negara kita telah kehilangan sebutir bintang yang cukup begemerlapan dalam dunia seni tanah air. Pemergian Allahyarham Sudirman Haji Arshad dalam usia 37 tahun ternyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh masyarakat Malaysia yang rata-rata mengagumi bakat penghibur terbaik Asia ini.
Walaupun hampir 19 tahun Allahyarham pergi meninggalkan kita, namun nama dan lagu beliau tetap kekal dan segar dalam hati kita. Antara lagu popular dendangan Allahyarham ialah Chow Kit Road! Chow Kit Road, 31 Ogos, Pelangi Petang, Balik Kampung, Terasing, Salam Terakhir, Merisik Khabar, One Thousand Million Smiles, Hoore! Hoore!, Hujan dan banyak lagi.
Selain bergelar penyanyi, Allahyarham juga merupakan seorang penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang, pelukis kartun, usahawan dan juga pelakon. Sepanjang 16 tahun berkecimpung dalam karier seni, Allahyarham telah menghasilkan sebanyak 20 buah album.
Selain itu, Allahyarham turut meraih banyak pencapaian antaranya Penghibur Terbaik RTM 1977, Penghibur TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 1978 dan 1985, Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia 1985, Penghibur Terbaik Asia dalam Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, Londan, dan Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 1989.
Sebagai mengenang jasa dan bakat pelakon filem KAMI ini, syarikat AETN All Asia Networks yang memiliki siaran televisyen History di Malaysia, sekali lagi berkolaborasi dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia FINAS, menghasilkan dokumentari biografi bakat lagenda ini.
“FINAS berasa bangga kerana dapat terlibat sekali lagi dalam produksi ini. Sudirman merupakan seorang artis profesional yang memberi perubahan dalam industri hiburan Malaysia dengan fesyen dan karisma persembahan pentasnya,”kata Ketua Pengarah FINAS, Mohd. Mahyidin Mustakim ketika ditemui pada majlis tayangan media dokumentari Sudirman Arshad di Smoke & Fire, The Gardens petang semalam.
“Ia merupakan satu kesinambungan penerbitan dokumentari antara FINAS dan AETN selepas dokumentari mengenai Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mendapat maklum balas yang baik pada tahun lepas.”
“Ini sekaligus dapat memberi gambaran di mata dunia bahawa orang Malaysia dapat menghasilkan dokumentari yang bertaraf antarabangsa selain dapat menyemarakkan lagi dokumentari di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.”
Menurut Gerard Benedict, Pengarah Urusan Code Computer Design Sdn Bhd yang bertanggungjawab menghasilkan dokumentari ini, produksinya mengambil masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkan dokumentari berjudul ‘Sudirman Arshad’ ini.
“Kami bermula sejak Ogos tahun lepas untk menghasilkan dokumentari ini. Perkara pertama yang kami lakukan adalah menghubungi keluarga serta individu yang terlibat dengan karier beliau. Kami menghubungi kakaknya, Datin Rudiah Arshad sebanyak dua kali. Agak sukar juga kerana pada mulanya dia bersetuju, kemudian tidak bersetuju, namun, akhirnya beliau benarkan juga,”kata Gerard yang turut bertindak sebagai Penerbit di samping dua Penerbit Bersama iaitu Hafi Pudin Abd Malek dan Harjit Kaur.
“Selain itu, cabaran yang kami perlu lalui ialah untuk mencari bahan seperti gambar dan video persembahan beliau. Kebanyakan bahan-bahan ini kami dapat dari RTM, TV3, Utusan dan NST.”
“Walaupun saya tidak pernah bertemu dengan beliau, bagi saya, Sudirman merupakan seorang yang begitu fokus sekali dalam mencapai matlamatnya. Itu yang membuatkan beliau menjadi yang terbaik.
Antara individu yang terlibat memberi kerjasama dalam pembikinan dokumentari ini ialah kakaknya, Datin Rudiah Arshad, pengurus kerjaya Sudirman dari 1988 hingga 1991, Daniel Dharanee Kannan, Penganjur Anugerah Muzik Asia 1989 di Albert Hall London, Simon Napier-Bell, Pengarah Muzik, Jenny Chin, Penerbit RTM, Jack Nadarajah, penulis lirik Habsah Hassan, Fauzi Marzuki, Michael Veerapan dan ramai lagi.
Dokumentari biografi, ‘Sudirman Arshad’ akan ditayangkan di History (Astro Channel 555), pada 20 Februari 2011, jam 10.00 malam. Dokumentari ini turut menyediakan sarikata dalam Bahasa Melayu dan Cina. Bagi yang ketinggalan menonton pada 20 Februari, anda juga dapat menontonnya pada 22 Feb (11.00pm), 23 Feb (9.00pm), 1 Mac (7.00pm), 11 Mac (11.00pm) dan 13 Mac (7.00pm).
No comments:
Post a Comment