GERARD Benedict (kiri), Mohd. Muhyidin Mustakim (tiga dari kiri) dan Louis Boswell (dua dari kiri) bersama-sama tetamu jemputan khas pada majlis pelancaran dan prebiu dokumentari Sudirman Arshad di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KEDATANGAN bulan Februari sememangnya merupakan bulan yang signifikan dalam direktori hiburan tanah air. Atau lebih tepat lagi, tarikh 22 Februari 1992 itu sendiri telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam sebahagian daripada hidup kita sebagai rakyat Malaysia.
Tarikh itu merupakan detik yang pastinya tidak mampu dilupakan oleh kita semua apabila seniman berjiwa besar, Datuk Sudirman Arshad pergi meninggalkan kita untuk menunaikan janjinya kepada Allah SWT.
Seluruh dunia seni serta-merta menjadi sepi seketika sebaik sahaja berita kematian penghibur kesayangan ramai itu diumumkan.
Sudirman bukan sembarangan tokoh. Beliau merupakan penghibur yang cukup gah di pentas seni dan tidak keterlaluan dikatakan, sehingga kini tiada siapa yang layak dan mampu menggantikan tempatnya.
Barangkali akan ada yang bertanya apakah lagi yang mahu diberitakan tentang kisah hidup Sudirman? Selama 19 tahun beliau meninggalkan kita, memang diakui sudah terlalu banyak cerita pelbagai versi yang sudah dicoretkan tentang Sudirman.
Biarpun juara Bintang RTM 1976 itu sudah hampir dua dekad pergi menghadap Ilahi, kita harus akui roh dalam setiap hasil kerja seninya masih lagi hidup sehingga ke hari ini.
Lagu-lagu dendangannya masih lagi relevan dan segar sehingga kita pasti akan tertawa, senyum dan menangis menghayati alunan suaranya yang satu dalam sejuta itu.
Ligatnya di atas pentas juga membuktikan dia bukan sembarangan penghibur. Bersahaja dan bijak serta kreatif dalam mewarnakan setiap persembahannya, membuatkan Sudirman kekal sebagai seniman serba boleh.
"Walau apapun terjadi, bagi Sudir, perjuangan Sudir dalam bidang seni tiada noktahnya. Selagi nadi ini masih berdenyut, selagi peminat masih meminati Sudir, selama itulah Sudir berjuang dalam dunia hiburan," demikian luahan hati Sudirman dalam satu kenyataan yang pernah dikeluarkannya satu ketika dahulu.
Penghormatan dan pengiktirafan juga sudah terlalu banyak diberikan kepadanya sehinggalah kemuncaknya apabila Sudirman dianugerahkan dengan gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 18 Jun 2009.
"Bukan gelaran jadi ukuran…Tetapi bakti yang disumbangkan. Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya," ungkap penghibur itu ringkas bagi menggambarkan kejituan semangatnya sebagai seorang anak seni," katanya.
Itulah kata-kata keramat seorang anak seni memang tidak syak lagi begitu jujur dalam berkarya. Bukannya sekadar mahu mengejar populariti atau kemasyhuran kosong yang pastinya tidak mampu bertahan lama.
Di sebalik keghairahan sesetengah pihak dalam menganjurkan persembahan istimewa sempena ulang tahun pemergian Sudirman ke Rahmatullah, jarang sekali jika perhatikan pihak stesen televisyen tempatan mengambil inisiatif memberikan penghormatan kepada penghibur rakyat itu.
Penghormatan di sini bukanlah konsert atau persembahan biasa yang sudah terlalu banyak dianjurkann. Sebaliknya sebuah dokumentasi tentang riwayat hidup Sudirman yang barang kali tidak pernah diketahui sebelum ini.
Kalau ada pun mungkin dari pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang pernah menayangkan semula persembahan televisyen yang pernah dijayakan oleh Sudirman di stesen keramat itu beberapa tahun lalu.
Namun, ia tidak mencukupi. Atas kesedaran itu, pihak AETN All Asia Networks dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah mengambil inisiatif menerbitkan sebuah dokumentari khas untuk tatapan penonton Malaysia.
Diberi judul Sudirman Arshad dan akan ditayangkan di saluran History Astro pada 20 Februari ini. Penerbitan dokumentari itu dilihat mampu menarik perhatian khalayak untuk menontonnya.
Malah, tidak mustahil untuk dokumentari Sudirman Arshad mampu mencetuskan fenomena dan menjadi buah mulut rakyat Malaysia seperti mana yang terhasil menerusi dokumentari P. Ramlee yang pernah ditayangkan di saluran itu tahun lalu.
Penerbitan dokumentari yang dihasilkan oleh syarikat produksi, Code Computer Design Sdn. Bhd., itu dilihat tepat pada masanya. Khususnya bagi tatapan generasi muda hari ini untuk mengenali dengan lebih dekat dan mendalam seorang yang bernama Datuk Sudirman Haji Arshad.
Sebagai seorang kakak yang rapat dengan Sudirman sehinggalah ke akhir nafasnya, Datin Rodziah Arshad memuji penglibatan kesemua pihak yang menjayakan penerbitan dokumentari itu sehingga menjadi sebuah karya yang cukup dibanggakannya.
Bagi Rodziah, sudah tiba masanya untuk orang luar dan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan adiknya itu bercerita serta berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang bekerjasama dengan Sudirman.
Cukup Puas Hati
"Saya mengambil keputusan tidak mahu melibatkan diri secara langsung dalam penerbitan dokumentari ini. Nanti orang akan kata saya cuba masuk dan angkat bakul sendiri apabila bercerita tentang Sudirman.
"Jadi, inilah masa yang tepat untuk kita mendengar dari perspektif dan sudut pandang orang lain terhadap adik saya. Biarlah mereka pula yang bercerita tentang Sudirman," katanya tenang ketika diminta memberikan pandangannya terhadap dokumentari tersebut.
Beliau ditemui pada pelancaran dan prebiu dokumentari Sudirman Arshad yang berlangsung di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim dan Pengurus Besar AETN All Asia Networks, Louis Boswell.
Selain mereka, majlis pelancaran itu juga cukup meriah dengan kehadiran teman-teman yang mengenali Sudirman dan mereka yang pernah bekerja dengannya termasuklah penerbit rancangan televisyen, wartawan hiburan senior, bekas pengurus, penerbit album dan pengarah filem Kami, Patrick Yeoh.
Menyambung perbualan, Rodziah mengakui dia telah menolak perlawaan penerbit filem dokumentari itu, Gerard Benedict yang tidak pernah lelah memujuknya untuk sama-sama melibatkan diri dalam pembikinan Sudirman Arshad.
"Selepas saya menontonnya, saya cukup puas hati dengan penghasilannya biarpun saya gagal memenuhi permintaan Gerard. Ternyata tanpa penglibatan saya sekali pun, mereka telah menghasilkan sebuah dokumentari yang benar-benar meruntun jiwa saya.
"Saya menontonnya di rumah bersama seorang cucu saya berusia enam tahun dan kami sama-sama mengalirkan air mata. Sehinggakan cucu saya itu berkata mengapa dia tidak dilahirkan dalam zaman ketika Sudirman mengecapi kegemilangan dan kemasyhuran sebagai seorang penghibur ternama negara.
"Kenyataannya itu sahaja sudah cukup membuatkan saya terharu dan ia membuktikan kerinduan kami terhadap Sudirman sedikit pun tidak teranjak malah ia semakin bertambah.
"Setiap kali kalau saya mengingatinya atau bayangannya bermain di fikiran saya, hanya Al-Fatihah yang akan saya hadiahkan kepadanya," katanya dalam nada yang bergetar.
No comments:
Post a Comment