Saturday, February 12, 2011

Konsert Hore-Hore Aznil


BUKAN sedikit anganan Aznil Nawawi tetapi satu demi satu menjadi kenyataan, termasuk mengadakan konsert solo. Bermimpi lagi, kalau boleh konsert itu setara konsert idolanya, Allahyarham Sudirman Arshad walaupun dia sedar penghibur itu sukar dicari ganti.

Atas kepercayaan oleh RYE Production Sdn Bhd dan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), impian itu bukan lagi angan-angan.

Konsert Hore-Hore Bersama Aznil Nawawi bakal diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 12 Mac depan yang dijangka penuh gimik sebagai penyeri acara selain lagu yang pernah didendangkan Aznil serta lagu Sudirman menjadi pilihan.

 Teruja dan seperti tidak percaya, Aznil ketika ditemui penuh ceria menyatakan sudah menyenarai pendek 30 lagu untuk dipersembahkan pada konsert dua jam itu nanti.

“Seperti biasa, inilah identiti saya setiap kali beraksi di pentas, gimik perlu untuk menghiburkan penonton dan apakah gimik itu, sama-sama nantikan konsert saya. Selama ini saya hanya mengacarakan konsert orang dan inilah kali pertama dalam hidup saya beraksi di konsert sendiri.

“Sebagai memperingati idola saya, Sudirman, beberapa segmen mengenainya turut diselitkan. Pemilihan 30 lagu berkenaan berdasarkan lagu kesukaan saya dan jika masa tidak mengizinkan, mungkin tidak semua dinyanyikan kerana banyak lagi sketsa dipersembahkan,” katanya.

Memilih Taman Tasik Titiwangsa sebagai lokasi, Aznil menganggap ia kawasan yang mudah dikunjungi oleh keluarga, malah di situ juga Aznil pernah bersekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Seri Titiwangsa yang dulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Lelaki Jalan Temerloh.

“Walaupun hanya konsert berlatarkan sebuah taman, saya juga harus mempersiapkan diri supaya tidak mengalami masalah kelak.

“Maklumlah, tempat terbuka seperti itu banyak perkara tidak diingini boleh berlaku dan persediaan fizikal juga harus ada supaya peminat berpuas hati menyaksikan persembahan saya.

“Melalui konsert ini, peminat akan didedahkan dengan warna sebenar siapakah Aznil Nawawi yang selama ini peminat hanya mengenali saya melalui kaca televisyen serta persembahan pentas dari jauh.

“Pastinya konsert pertama kali daripada saya ini akan meninggalkan banyak kenangan kepada peminat, terutama yang mengharapkan konsert solo saya,” katanya.

No comments: