Ana, Aizat, Elfira dan Sharnaaz di pusara Sudirman di Temerloh, semalam.
TEMERLOH: Emosi empat finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Aizat, Ana Raffali, Elfira Loy dan Sharnaaz Basir Ahmad tersentuh saat menziarah pusara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, di Tanah Perkuburan Islam Chengal, di sini, petang kelmarin.
Mereka mengambil peluang membersihkan pusara bintang yang dikenali dengan jolokan penyanyi peguam itu. Pusara yang pada mulanya kelihatan terbiar sekian lama mula menampakkan seri.
Namun, perasaan sedih dan syahdu yang menyelubungi empat finalis terbabit tidak mampu dibendung lalu mendorong Aizat untuk terus membacakan doa dan diaminkan yang lain.
Calon kategori Penyanyi Lelaki Popular itu menganggap lawatan sehari cukup bermakna kepada dirinya, malah rasa cukup bertuah dapat meluangkan masa menyertai lawatan ini yang diatur Jawatankuasa Pengelola Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010).
“Sekalipun saya tidak pernah bertemu Allahyarham, sumbangannya terhadap industri tanah air meninggalkan impak tersendiri” katanya.
Terdahulu pada sebelah pagi, mereka dibawa ke Galeri Tokoh di Jalan Ahmad Shah. Galeri terbabit dirasmikan pada 18 Julai 2009 atas inisiatif Majlis Perbandaran Temerloh. Tanggal 22 Februari ini genap 19 tahun pemergian bintang tersohor yang pernah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik di Anugerah Muzik Asia.
1 comment:
love arwahyarham sudirman
Post a Comment