Monday, January 30, 2012

Perginya Seorang Lagenda

Allahyarhamah Biduanita Saloma bergambar kenangan bersama Omara

Aneh sekali seseorang itu dijenguk atau dimuliakan hanyalah apabila nyawanya bercerai dari badan. Ramailah yang datang bertandang. Ramailah yang memuji-memuja. Dan lebih ramai lagi yang bersimpati. Kalaulah kita dapat meluangkan sedikit masa, walaupun seketika dalam seumur hidup kita untuk menceritakan titik berat terhadap yang disayangi, tentu kita akan berasa hampa. Taklah terkilan.

Sejak kecil saya didodoi suara itu. Ia menyentuh hati saya sedalam-dalamnya. Sungguh saya rasa bertuah. Dan ramai lagi yang bertuah seperti saya.

Tidak terlintas di kepala saya akan dapat mendampinginya pada tahun-tahun ini. Tidak terlintas langsung. Dengan kehendak Tuhan ia menjadi kenyataan juga. Alhamdulillah. Tetapi yang lebih indah lagi ialah Allahyarhamah adalah segala-galanya seperti yang saya sangkakan sewaktu kecil periang, lemah-lembut, peramah dan penyayang. Allahyarhamah seperti ibu. Di saat-saat kesempatan pertama saya bersamanya, tanpa meminta saya memanggilnya 'Mama'. Tanpa segan silu saya luahkan perasaan saya. "Terima kasih Mama kerana mendekatkan lagu-lagu lemak merdu, sukaria, sedih pilu kepada saya, di hari-hari saya berjinak-jinak dengan dunia seni." Saya seakan terbaca kata-kata di senyumannya.

"Hei this boy." (Hei budak ini) Saya masih teringat penjelajahan kami ke seluruh Malaysia Barat bersama Orkes Tentera Darat. Ia seakan-akan lambaian terakhirnya buat semua yang mencintai suaranya.

Saya tidak akan melupakan masa luang kami sepanjang pertunjukkan tersebut. Kami main scrabble. Kami menyanyi. Kami memancing. Kami bersembang hingga pagi.

Saya masih ingat di suatu malam selepas pertunjukkan, Mama mengadu lapar. Dalam bilik tiada apa untuk dimakan. Di luar kedai sudah tutup. Malam hujan lebat. Yang ada cuma empat ekor ikan yang kami pancing waktu petangnya. Ikan pun duduk termenung dalam peti ais. Nak dipanggang, kayu di tanah basah. Tetapi Mama lapar. Saya mesti cari jalan.

Api saya nyalakan di beranda. Ikan, saya panggang semua. Saya hidang cantik-cantik bila dah siap, saya menjemput Mama ke bilik. "Macam mana panggang ni?" Mama nampak berselera "Dengan kayu," jawab saya. "Kayu mana?" "Kayu laci." "Laci? Laci Mana?" "Tu ha! Laci almari." Saya tunjukkan ke arah almari yang terlopong. Mama ketawa...........

Saya turut ketawa. Saya tahu perbuatan saya patut dikutuk. Tetapi Mama tak patut lapar di hadapan saya. Esoknya saya bayar tauke hotel harga tiga buah laci. Kami pernah terlewat untuk satu pertunjukkan Serantau Abadi. Kami leka memancing. Hingga terlupa waktu. Di tapak pertunjukkan orang ramai riuh. Pegawai tentera semuanya kelihatan berang. Kami tiba macam orang salah nak mengadap pengadilan.

"Mama, Mama pergilah cakap kat dia orang. Kalau Mama yang cakap dia orang tak marah," saya memujuknya untuk membela kami. "Lah kita buat salah. Dia marah tak apa," jawabnya tenang.

"Bukan kita sengaja, Mama. Kalau dia orang berang, saya susah sikit nak nyanyi, Mama," pujuk saya lagi. Mama cuma tersenyum. Seperti seorang anak yang tahu akan kekuatan ibunya. Saya perhatikan BIDUAN NEGARA kita berbicara dengan lentok-liuknya. Saya percaya tiada masalah akan timbul. Mama ada.

Sebelum pertunjukkan, Mama kerap bertanya sama ada saya suka persalinannya. "Cantik, Mama. Suara Mama punya 'best'. Mama pakai 'jersey' bola pun orang suka," kata saya. Memang saya suka melihat Mama ketawa.

Saya pernah menyanyi di pentas dengan jahitan di kepala saya, balutan di rusuk kiri dan luka di lengan saya. (Jatuh sebab tak boleh duduk diam). Mama terus mendapatkan air mandi buang bala siap dengan peraturan-peraturannya dan sukat bunga yang berbagai jenis.

"Kata orang mandi buang bala ni bagus. Cubalah," katanya. Memikirkan titik beratnya terhadap diri saya, sudah cukup untuk membuat saya gugup.

Mungkin waktu-waktu ini adalah hadiah istimewa darinya buat saya kerana begitu setia menyanjunginya sejak anak-anak dan cucu saya akan datang. Insya-Allah. Seperti serangkap lagu saya:-

Walaupun kau akan pergi
Kau tetap di awan tinggi
Kerana kau bintang hati

Begitulah, kalau dengan ikhlas kita menghulur tangan untuk memegang seorang yang lain, dunia akan menjadi indah. Percayalah.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 9.



No comments: